http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, June 24, 2016

KarKas : Bukan menantu pilihan



                Oly memangkah tarikh hari ini pada kalender dengan pen merah. Tarikh akhir yang dia paling takuti berbaki lagi sehari. Sudah beberapa hari dia hilang selera makan, dan tidurnya kerap terganggu dengan mimpi ngeri dimana bakal mak mertua tak izinkan dia berkahwin dengan anaknya.        

                Sudah pukul satu pagi tapi Oly masih menekan pedal mesin jahit dengan mata yang berair – mengantuk. Sudah tak terkira berapa kali dia menguap. Mug berisi Nescafe sudah tiga kali dibancuh. Urat-urat leher Oly terasa menegang. Tulang belakangnya juga sakit ditambah kepala yang pening.

                Bunyi guruh kedengaran. Hujan mula turun rintik-rintik.

                Tinggal sehelai kain je lagi sebelum 10 helai baju pelanggannya itu siap dijahit dan akan diambil pagi esok. Senyuman mula terukir di bibir, satu persatu urat terasa mengendur. Beban berat di kepala terasa seperti diangkat satu persatu, saatnya semakin hampir, azab Oly akan berakhir sekejap sahaja lagi dan Oly boleh tidur dalam kesejukan hujan.

                Tiba-tiba kilat berdentum kuat, lampu terpadam, dan.... suasana gelap gelita. Elektrik terputus??

                 Sesaat kemudian bunyi jeritan Oly lebih kuat daripada bunyi petir di luar.

***

                Sepanjang malam Oly tak boleh tidur, dalam kepalanya hanya memikirkan tentang mimpi buruknya dua tiga hari lepas itu akan jadi kenyataan.

                “Mak cik, masa saya menjahit malam tadi elektrik terputus, dengar kata ada pokok tumbang hempap tiang elektrik ye?” Oly berbasi-basi.

                “Entah! Mak cik tak tau. Baju mak cik dah siap?”

                “Ahhhaa.. saya dah siapkan SEMBILAN PASANG dan sehelai baju mak cik, cumaaa....”

                “Cuma apa?” Kasar nada suara mak cik ini.

                “Masa saya tengah jahit kain yang terakhir, tiba-tiba lampu terpadam! Sampai pagi ni tak ada elektrik. Jadi saya tak sempat siapkan kain ni, baru sempat jahit kiri kanan kain je mak cik...” Oly menunjukkan kain yang belum siap di tangannya, sambil tayang muka raih simpati.

                Mulut mak cik itu terlopong. “Tapi mak cik nak pakai baju ni dulu, hari ni!”

                Oly pasrah. Ibu kekasihnya ini memang akan selalu cari jalan untuk cuba memutuskan hubungan Oly dan anaknya. Siapa cakap mak mentua sayang menantu yang pandai jahit? Oly rasa macam nak sumbat mulut orang itu dengan kain yang tak siap ni!



Tema : 'Lampu terpadam, dan...'




Thursday, January 28, 2016

Karkas : Gelombang golongan pekerja

       

                Hari ini hari isnin. Haiihhh.... Tiada istilah Monday blues dalam hidup aku melainkan weekdays blues. Memijak satu persatu anak tangga seperti menerima satu persatu fail yang diletakkan di atas bahu. Memandang pintu yang kebal dan tebal berwarna krim itu seperti melihat tebalnya masalah yang perlu aku selesaikan. Menjadi seorang kerani di pejabat guaman... seperti menjadi hamba kepada....

                “Hidayah, call mahkamah tanya berkenaan dengan kes Azirawati, dah ada tarikh Sebutan kes atau belum.” Azri, lawyer assistant di pejabat Amin & co memberi arahan sebaik melihat muka aku di muka pintu masuk. Dia yang kebetulan datang dari arah pantri terus masuk ke biliknya dengan secawan Nescafe panas di tangan.

                “Baik.” Jawabku sambil melangkah ke arah meja yang diatasnya sudah ditimbuni dengan fail-fail berwarna coklat dan diikat dengan tali warna merah jambu.

                Nombor mahkamah Ipoh aku dail, bercakap dengan Aisyah kerani di sana yang biasa berurusan dengan aku berkaitan fail ini, dan tarikh baru  untuk Sebutan kes yang telah ditetapkan aku masukkan dalam diari. Pada tarikh yang sama Encik Azri ada Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Lalu aku maklumkan hal itu kepadanya di biliknya.

                “Saya akan pergi KL, awak cari lawyer lain tolong MOB saya.”Arahnya tanpa memandang aku. Matanya hanya tertumpu pada fail di atas meja.

                “Hidayah!” Keluar dari bilik Azri, aku dipanggil pula oleh Encik Amin. “Pukul berapa awak sampai tadi? Waktu operasi pejabat ni pukul 9 pagi sampai 5 petang, tapi saya perasan kadang-kadang awak selalu masuk dah nak dekat pukul 10 dan balik tepat pukul 5.”

                “Oh saya...”

                “Saya nak awak balik pukul 6 hari ini. Ambilkan fail Puan Rahimah. Dia dah bayar hutang dia belum?”

                Belum sempat aku menjelaskan punca aku datang lambat dan pulang awal, bertubi-tubi pula soalan dan arahan yang diberi pada aku. Dengan keluhan aku menjawab. “Belum bayar lagi.”

                “Kalau awak nak gaji awak masuk tepat pada masanya hujung bulan ni, awak tahu apa yang awak kena buat kan?” Nadanya yang sinis menampar gegendang telingaku.

                “Sehari, sepuluh kali saya call dia mintak dia bayar bill, tapi dia marah saya balik. Saya nak buat macammana?” Aku cuba mempertahankan diri.

                “Saya ambil awak bekerja bukan untuk awak tanya saya balik apa yang awak patut buat. Dah, pergi ambil fail dia.”

                Dia dan egonya, yang langsung tak nak kalah!

                Keluar dari bilik Encik Amin, sekali lagi nama aku dipanggil.

                “Hidayah! Pak cik Rahim on the line.” Kak Ina menyambungkan panggilan ke mejaku. Berlari anak aku ke meja untuk menyambut panggilan.

                “Hello...”

                “Hah, Hello. Pak cik ada kat mahkamah ni, mana lawyer tak ada pun?” Nadanya terus meninggi sebaik panggilan itu disambut.

                “Kami mintak lawyer dari firma lain tolong ganti sebab...”

                “Saya bayar lawyer awak, bukan suruh awak pergi cari lawyer lain suruh gantilah apa lah. Ni dah lama saya tercongok menunggu ni, sorang pun tak ada nak panggil saya. Tiap kali pergi mahkamah duit kena bayar jugak RM100. Kamu ni nak main-mainkan saya ke??”

                “Pak cik... kes hari ini untuk sebutan saja, jadi...” aku cuba untuk menjelaskan hal sebenar tapi panggilan dah dimatikan dahulu.

                Oh, ini bukan kali pertama aku diserang dalam telefon. Bahkan ada yang datang pejabat dan memaki hamun hanya kerana mereka tak faham bidang tugas kerani dan peguam. Ini bukan kali pertama aku ditegur encik Amin, bukan juga kali pertama dilayan macam manusia tak ada perasaan oleh Azri. Bukan juga kali pertama diarah buat itu dan ini. Menjadi proletar bermaksud berada dalam frekuensi dimana aku tiada hak untuk bercakap lebih selain menelan semua kepahitan itu sendiri dan teruskan hidup sehingga nyawa dicabut dari badan.

                Haihhh... dah penat rasanya nak hidup dalam frekuensi proletar ini lagi. Tak pernah dalam sebulan, aku tak fikir untuk berhenti saja, tapi ketidakyakinan itu sentiasa menghalang niatku.

                “Hidayah! Mana fail yang sama mintak tadi.” Laung encik Amin dari dalam bilik kerjanya.

                Tapi sampai bila nak hidup bawah telunjuk orang saja. Dah macam badut mekanikal! Lalu dengan lafaz bismillah, aku cetak surat yang yang sudah lama tersimpan dalam komputer. Ruangan tarikh yang selama ini aku biarkan kosong, aku isikan dengan tarikh hari ini. Dengan fail Puan Rahimah dan surat yang aku ‘print’ tadi aku letakkan di hadapan Encik Amin.

                “Awak marah sebab saya tegur tadi?” Soalnya sebaik membaca isi kandungan surat tersebut. “Kalau awak tak boleh terima teguran, kat mana-mana pun...”

                “Saya nak jadi macam encik Amin!” Aku memotong kata-katanya, “Atau mungkin lebih hebat daripada encik Amin.” Buat pertama kalinya, dia mendengar.

                “Waktu tu, saya akan jadi pendengar yang baik untuk pekerja saya, memahami masalah mereka, dan sama-sama membantu mereka selesaikan tugas sebab bekerja dalam satu pasukan memerlukan kerjasama.”

                Encik Amin terdiam terus.

                “Oh lagi satu, saya selalu datang lambat sebab bas yang saya naik tu selalu tak menepati masa. FYi, saya dah tunggu bas dari pukul 7.30 pagi.” Aku sendiri tak tahu mana datang keberanian aku untuk memerlinya.

                Encik Amin letak notis berhenti aku itu ke tepi dan dia kembali meneliti kes. Aku berundur  setapak dua ke belakang sebelum memusing untuk keluar, tapi di muka pintu bilik kata-kata encik Amin buat aku tersenyum menang.

                “Saya doakan awak berjaya.”


p/s : Frekuensi = Gelombang. Proletar = golongan pekerja, marhaen, orang kebiasaan.



Tuesday, December 29, 2015

KarKas : Trauma


                Saat kaki melangkah masuk ke rumah apartment 11 tingkat itu, seakan ada kabus yang perlahan-lahan hilang dan menampakkan ruang kosong yang sepi dan suram dalam rumah itu. Bunyi cicak di siling seakan menyambut kedatangan tuan baru ke rumah tumpangannya.


                Sarang lebah di satu dua sudut mengukuhkan lagi dakwaan yang rumah ini sudah terlalu lama tidak disewakan. Oleh kerana itu, sewa rumah diletakkan harga rendah asalkan ada penghuni, itu kata tuan rumah. Aku dan isteri yang baru mendirikan rumah tangga memang sangat memerlukan rumah kos rendah seperti ini. Biarpun rupanya sedikit usang, ia bukan masalah besar untuk aku 


                Suatu malam, aku terjaga dari tidur bila telinga aku menangkap semacam bunyi aneh dari luar bilik. Ingin membangunkan isteri di sebelah, tapi tempat pembaringannya kosong. Aku fikir mungkin bunyi itu datang darinya, dia membasahkan tekak di dapur barangkali. Lalu aku terus sambung tidur.


                Dua malam seterusnya, aku terjaga lagi. kali ini aku terdengar bunyi erangan dari luar bilik. Aku raba katil di sebelah, ingin mengejutkan isteri, tapi ternyata dia tiada di sebelah. Aku terpandang pula pintu bilik air yang bernyala lampunya. Bunyi erangan siapakah itu?


                Aku duduk membatu di atas katil. Menunggu isteri keluar dari bilik air sambil mendengar dengan teliti bunyi erangan yang sayup-sayup itu. Rasa ingin tahu yang begitu membuak-buak buat aku tak betah menunggu, lalu pintu bilik aku buka sedikit dan mengintai di ruang tamu.


                Kosong.


                Aku menapak perlahan keluar dari bilik, berjalan perlahan-lahan ke ruang dapur. Bunyi erangan yang sekejap berbunyi, sekejap hilang itu kedengaran kuat di ruangan ini. aku mengintai dari sebalik pintu, kosong. Tapi bunyi itu kedengaran jelas dari bawah singki!


                Aku telan liur yang terasa pahit. Bulu roma aku naik meremang. Seakan tak kuat lutut aku untuk terus berdiri di sini. Laju aku berlari masuk ke bilik, panjat katil dan terus berselubung. Dari dalam selimut, aku intai lampu bilik air yang masih bernyala.


                Esoknya, aku memanggil beberapa orang kawan rapat dan jemaah di masjid berdekatan untuk membaca yasin dan solat hajat di rumah ini. bila isteri bertanya, kenapa aku buat semua ini, aku jawabkan saja sempena masuk ke rumah baru. Tak akan sekali-kali aku menceritakan hal sebenar kepadanya. Aku masih belum mampu untuk mencari rumah sewa lain dengan harga yang murah seperti ini. Harapanku semoga dengan usaha kecil ini akan memberi keamanan kepada kami untuk mendiami rumah ini.


                Seminggu sudah berlalu dan tiada lagi perkara aneh berlaku. Aku juga sudah berlapang dada untuk terus tinggal di rumah ini. Tapi kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pada malam berikutnya, bunyi erangan itu kedengaran lagi.


                Aku toleh ke sisi, setiap kali bunyi erangan itu muncul, mesti isteriku juga tiada di sebelah. Lampu bilik air juga tertutup, Aku keluar ke ruang tamu, risau kalau-kalau isteriku terdengar apa yang aku dengar dan dia pergi mencari punca suara itu. Tetapi isteriku tiada di dapur mahupun di ruang tamu. Dan bunyi erangan di bawah singki itu masih kedengaran.


                Dimana isteriku?


                Pada saat dan ketika itu, mataku hanya tertumpu pada kabinet bawah singki. Walau debar dalam dada seperti tiada penghujungnya, aku harus mencari jawapannya.


                Di bawah singki itu.


                Air liur yang aku telan terasa keras seperti batu. Tangan sasa aku yang ingin memegang tombol kabinet sedikit menggeletar. Terlihat liang roma yang menegak. Bukan entiti yang berwajah hodoh yang aku takutkan, tetapi jawapan disebalik misteri erangan di bawah sinki ini yang buat aku berdebar.


                Dengan lafaz bismillah disertai seketul air liur aku telan, pintu cabinet aku buka.


                “Sayang?”


                Dan erangan terhenti.


***

                “Mak ingat dia dah sembuh..” ibu mertuaku mematah-matahkan jemarinya.


                “Maksud mak?”


                “Dulu dia selalu menyorok bawah sinki, kalau bekas suaminya balik dalam keadaan mabuk.” Ibu mertuaku mengesat air mata yang jatuh di pipi.


Tema : Erangan bawah singki
                

Friday, December 4, 2015

karkas : Buah hati rakyat malaysia



Menjadi Buah Hati Rakyat Malaysia tidaklah semanis seperti yang semua orang lihat. Sedekad sudah berlalu, dari beribu-ribu pujian kepada berjuta-juta makian sudah dia hadam. Namun dia masih mampu berdiri dan melangkah setiap hari dengan senyuman, dan terus mengekalkan status penyanyi nombor satu terbaik di Malaysia.

Terbaharu, seorang Datin dalam lingkungan lewat usia 40-an membuat kenyataan di Melodi (dengan namanya dihitamkan) bahawa suaminya sedang menjalin cinta dengan seorang penyanyi terkenal (juga identiti penyanyi itu dihitamkan) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Apabila ditanya apakah motif kenyataan ini dibuat, wanita itu mendedahkan yang penyanyi itu merancang untuk  berkahwin dengan suaminya sedangkan dia tidak bersetuju untuk berpoligami. Akibatnya dia diminta untuk memilih samada berpoligami mahupun berpisah. Pilihan yang diberikan sangatlah berat sebelah dan langsung tidak memihak kepada dirinya sedikit pun.

Lalu wanita ini menggunakan medium 'Melodi' untuk meraih simpati jutaan rakyat Malaysia agar keadilan berpihak kepadanya.

Skuad Melodi yang terkenal dengan 'Terjah!' mencari penyanyi yang dimaksudkan akan tetapi sudah beberapa kali terjahan mereka terganggu kerana ketiadaan penyanyi itu di Malaysia ketika ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, penyanyi itu sedang bercuti di London sehingga minggu hadapan.

Segelintir manusia yang bersembunyi di sebalik identiti Pahlawan Kekunci dengan mudahnya dapat menebak siapkah penyanyi yang dimaksudkan setelah mereka menonton Melodi dan mengikuti perkembangan penyanyi itu di Instagram. Lalu muncullah gossip di blog-blog hiburan dengan tajuk sensasi:

‘Mariyyah punca keretakan rumah tangga orang.’

‘Mariyyah bakal berkahwin dengan suami orang.'

‘Mariyyah bakal menamatkan zaman bujang.’

Seluruh rakyat Malaysia menantikan kepulangan Mariyyah, penyanyi nombor satu Malaysia itu untuk memberi kenyataan balas bagi pertuduhan dan gosip yang telah tersebar ini. Berita perkahwinan Mariyyah adalah satu hal yang paling dinanti-nantikan oleh semua peminatnya dari luar dan dalam negara.

***

Mariyyah sedar yang rahsia besarnya telah terbongkar. Sebentar lagi pihak wartawan akan mengejarnya sehingga ke lubang cacing. Dia akan dicincang dengan soalan-soalan yang bisa memuaskan hati-hati seluruh rakyat Malaysia. Di dalam bilik kebal itu, dia tanggalkan telinganya dan disimpannya di dalam peti besi. Diambilnya rambut yang paling mengerbang, lalu disarung ke kepalanya. Kelihatan di depan cermin, membiaskan rupa Buah Hati Rakyat Malaysia yang anggun. Tiada siapa yang pernah tahu rahsia ketenangannya tika berhadapan amukan manusia-manusia di luar sana.

***

“Mariyyah, betul ke dakwaan mengatakan you akan berkahwin dengan suami orang?” Tanya wartawan yang bertudung dengan rokok di tangan.

“Adakah lelaki itu akan menceraikan isterinya?” Tanya wartawan botak bertatu di lengan, yang macam pondan.

“Mariyyah, apa pendapat awak tentang poligami?” Tanya wartawan wanita tua yang berskirt-mini kemanja-manjaan.

Dia dikeremuni lebih daripada sepuluh orang wartawan dan diajukan soalan bertalu-talu namun dia masih mampu tersenyum, riak wajahnya langsung tidak menampakkan garis-garis kelelahan mahupun tekanan.

“Mariyyah apa istimewanya Datuk J?"

Mariyyah langsung tidak mendengar setiap satu soalan yang diajukan, dia cuma melihat kumat-kamit wartawan.

“Hehe. No komen.” Jawabnya, mudah...

...senyuman manis terus terlukis di bibirnya, mengekalkan status Buah Hati Rakyat Malaysia, selagi belum melepasi tarikh luput status itu yang ditentukan oleh Melodi dan Pahlawan Papan Kekunci.



***

Friday, November 6, 2015

certot : Crush!



                Marissa tidak tahu apa itu ‘crush’ sehinggalah dia jatuh suka pada seorang lelaki yang dia selalu nampak berkemeja dan berseluar slack setiap hari. Setelah disiasat, lelaki itu rupanya adalah pekerja di bank berdekatan. Sejak itu dia selalu menunggu untuk melihat lelaki itu dihadapan matanya, malah dia juga memberikan nama samaran untuk lelaki itu, Transformers.

                Setiap kali berbicara tentang lelaki itu dengan kawan sekerjanya Fad, ianya akan berbunyi begini,

                “Tadi aku Nampak transformers.”

                “OMG KAT MANA?” Dengan reaksi teruja.

                “Kedai makan.” Muka bosan.

                Fad selalu menyampah nak layan aksi terlalu teruja Marissa bila ianya melibatkan lelaki itu, (selepas ini dirujuk sebagai transformers) macamlah hebat sangat lelaki yang pakai myvi putih itu, kerja bank je pun.

                Bagi Marissa mempunyai crush adalah seperti mengunyah gula-gula getah, manis dan mengasyikkan!. Fad teringin sangat nak sedarkan Marissa yang mempunyai crush itu seperti mengunyah gula-gula getah yang manis dan mengasyikkan, tapi perlu dibuang bila dah habis gulanya. Jika terus dikunyah ia akan pahit.

                Satu hari, transformers yang dipuja Marissa datang ke kedai jahit mereka. Marissa yang terlalu teruja tersenyum sampai ke telinga sampai tak Nampak anak mata sedangkan Fad yang berfikiran rasional ketika itu seperti sudah dapat mengagak sesuatu yang pahit bakal ditelan Marissa pada hari ini.

                Fad duduk di satu sudut dan hanya menjadi pemerhati kepada sketsa dihadapannya.

                “Assalamualaikum.” Transformers memberi salam dengan suaranya yang sedikit garau memberi impak yang Nampak macho.

                Dengan muka tahan senyum, Marissa menjawab salam sambil bertanya, “Ya?”

                “Kat sini ambil tempahan baju lelaki?” soal transformers, masih dalam aura lelaki machonya berdiri sambil memegang beg kertas tertulis perkataan ‘Brightsale’

                Dalam fikiran Fad, lelaki tak akan pegang beg berjenama Jakel, Osman atau Brightsale jika mereka Cuma mahu tempah baju raya atau baju ke pejabat.

                “Oh ambik, ambik.” Laju Marissa mengangguk. Takut benar dia jika Transformer lari ke kedai lain.

                Transformers senyum. Ada sinar kelegaan di matanya.

                “Saya nak tempah baju melayu.”
                
                “Boleeehhh.. nak sukat badan ke atau ada baju contoh?”


                “Sukat badan boleh? Saya tak bawa baju contoh, lagipun baju melayu saya pakai dua tiga tahun lepas punya, tak ada yang terbaru.”

                Marissa tergelak kecil sambil mencapai tali pengukurnya di atas meja dan membuka buku nota ukuran lalu melukis graf badan secara kasar. “Nak pakai bila?” soal Marissa.

                “Bulan depan? Awal bulan?”

                Marissa melihat kalender di atas meja, bulan depan, awal bulan kurang tiga minggu dari sekarang. Sebenarnya Marissa ada baju-baju lain yang perlu disiapkan sebelum bulan depan, tapi demi transformers Marissa senyum dan mengangguk saja.

                Selesai menyukat badan lelaki itu, barulah kain dari dalam beg Brightsale itu dikeluarkan. Kain dutchess berwarna krim.

                “Jadi saya ambil hujung bulan ni bolehkan?” sinar mata transformers begitu berharap Marissa akan berkata ya.

        Saat itu Marissa tak mampu lagi untuk senyum, dia cuma mengangguk dan menyimpan semula kain itu di dalam beg asalnya. Setelah transformers keluar, Marissa masih berdiri di tempatnya berdiri tadi. Pegun.

               ‘Sekarang Marissa sedang menelan kepahitan rasa gula-gula getah itu.’ Kata Fad dalam hati.


p/s : Crush game versi certot

Saturday, August 15, 2015

Cuba Jangan



                Apa yang Faley tak buat untuk pikat hati Daris? Dari belajar minum kopi sedangkan dia benci rasa kopi yang pahit. Belajar membaca komik padahal dia lebih sanggup baca beribu perkataan dalam novel daripada melihat gambar dan membaca dialog yang buat dia pening kepala. Menonton perlawanan bola sepak sedangkan dia anti-bola. Menonton siri Transformer dan dia tertidur di pertengahan cerita, ulang tayang semula semata-mata untuk memahami jalan cerita dan cuba untuk kenal semua watak tapi akhirnya dia Cuma kenal kereta kuning bernama bumble bee, sehinggalah belajar buat kuih seri ayu padahal buat karipap pun dia tak pernah.

                “Mak i suka perempuan yang pandai masak. “

                Lalu Faley menyalin resepi dari ibunya dan cuba masak setiap hujung minggu. Faley tahu yang dia tak hebat di dapur, tapi sekurang-kurangnya dia cuba. Kalau dia tak cuba sampai bila-bila dia takkan tahu siang ikan rebus tak payah pakai pisau. Basuh ayam pakai tepung. Goreng ikan keli letak asam keping.

                “I suka tengok perempuan pakai selendang. Nampak... cantik.”

                Faley faham. Tudung bawal crepe yang dia selalu pakai ni keras, selalu nampak tak kemas bila dipakai jadi Faley belajar pakai selendang ikut tutorial kat youtube. Daris tersenyum lebar bila tengok Faley buat seperti yang dia mahu. Senyuman Daris adalah kepuasan Faley.

                Dan hari ini, dada Faley berdebar-debar sebab ini kali pertama Daris akan membawanya berjumpa dengan mak dia.

                Emaknya yang ramah selalu tersasul memanggil Faley dengan nama Fanaa. Mungkin Faley dan Fanaa tu tak jauh beza bunyinya sampai tersasul. Bila emak Daris meminta diri untuk ke dapur, dan Daris mahu mengambil barang di bilik,  Faley mengambil album gambar yang diletak bawah meja kopi. Diselak satu persatu sehingga dia tertancap lama pada sekeping gambar perempuan yang iras muka dirinya.

                “Itu Fanaa..” Kata Mak Daris sambil meletakkan sedulang minuman di atas meja.

                “Siapa Fana?”

                “Err.. kawan lama Daris.”

                Faley pandang gambar itu lama. “Fana pandai masak mak cik?” Soalnya.

                “Oh, dia memang hebat di dapur.

                Dan Daris muncul di sebalik dinding. Tergamam melihat Faley dan album gambar di tangannya.

                Sekarang Faley faham siapa dia di mata Daris.

“Aku bukan yang terbaik, tapi ku cuba. Hanya satu yang ku pinta agar kau cuba jangan suruh aku jadi seperti dia. Mana mungkin aku terima jadi bayang-bayang dirinya dan berhenti menjadi aku” 

Lagu Ana Raffali bermain di telinganya ketika itu.







                

Tuesday, June 30, 2015

Awak!



Dah setahun sejak awak pergi dan saya belajar untuk berhenti 'stalk' awak dari hari isnin sampai jumaat. Kalaulah awak tahu proses untuk berhenti melakukan rutin itu sangat sukar bagi saya tapi seiring waktu berlalu, saya tak sangka yang awak perlahan-lahan keluar dari hati saya. Dan saya belajar tentang 'move on' malah belajar untuk terima hakikat yang saya bukan sesiapa pada awak. 


Tapi awak.... bila saya nampak bayang-bayang awak tadi, tiba-tiba saya rasa sesuatu. Saya tak rasa itu rindu. Saya tak percaya itu harapan. Saya tak harap awak kembali. Saya mungkin.... teringat yang awak pernah hadir dalam hidup saya dulu.




p/s : Urghhh... jiwang tengah-tengah malam. Bosan weh jahit manik sengsorang!