http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Sunday, June 26, 2011

Bab 1 (Selepas diedit)

   "Irina.. tuk, tuk, tuk, Irinaaaa...."

Terus aku buka mata bila mendengar suara mak menjerit di muka pintu, dengan pantas aku bangun dan membuka pintu bilik. Terkejut.

    "Kenapa mak?" Soalku.

    "Kenapa? dah pukul 7.30 pagi sayang. Tak kerja?" Soal mak, sempat memerli aku.

    "7.30??" Pantas aku terus capai tuala dan meluru masuk ke bilik air. Uurrgghh aku selalu macam ni, tak boleh tidur lambat sikit, mesti bangun pun lambat.

Bila dah terlambat mandi pun ala kadar je la, yang penting cukup syarat gosok gigi, cuci muka, sabun badan. Siap.

    "Mak kenapa tak gerak irin awal-awal?" soalku dalam kain kemban sambil berlari masuk ke bilik.

    "Mak ingat kamu tengah bersiap, lama tu baru mak perasan, kamu mana ada keluar-keluar dari bilik, Tu yang mak ketuk pintu tu, rupanya betul tak bangun lagi." jawab mak melaung dari ruang hadapan rumah. Rumah ni pun tak besar mana kalau setakat aku kat bilik, mak kat dapur nak bersembang, masih boleh didengar lagi.

    "Irin tak sedar langsung mak, matilah Irin kena marah kejap lagi.. mak, tolong tapaukan apa-apa yang mak masak tu." Pintaku.

Aku sarung uniform kerja. Mujur baju seragam ni tak perlu digosok kerana aku memang akan menyangkutnya tiap-tiap hari. Rambut? Ahh sanggul saja lah. Hendak disikat pun pasti tak sempat. Salah satu keburukan bila anda memiliku rambut kerinting yang panjang yang hampir mencecah paras pinggang adalah perlukan masa yang lebih untuk menguruskannya.

Siap! Aku capai beg di atas lantai, mencari-cari telefon bimbit di atas katil dan memasukkannya ke dalam beg dan terus keluar dari bilik. Mak yang sudah sedia menunggu di muka pintu menghulurkan bekas makanan dan air untukku. Aku sumbat masuk dalam beg dan mencium tangan mak. Langkah aku atur pantas. Kalau boleh berlari, memang aku akan buat, tapi aku malu..  

Hampir sepuluh minit kemudian, aku sampai ke destinasi yang aku tuju.

    "Aii mak cik, awal sampai?" Tegur bob, menegurku dalam masa yang sama memerli. Kerana kepenatan aku cuma membalas tegurannya dengan segaris senyuman.

    "Ni kes bangun lambat lagi la ni?" Soalnya menghampiriku yang sedang menyimpan beg dalam laci, sebelum aku duduk di kerusi kaunter.

Sekali lagi aku hanya mengangguk.

    "Kau buat apa malam-malam sampai tidur lambat tu? Takkan jaga anak kot..." Usiknya. bertenggek di atas meja kaunter, berhadapan denganku.

    "Ceh, ada ke. Aku tak buat apa-apa la. Saja malas nak tidur awal." Jawabku.

    "Macam aku percaya je cakap kau tu kan?" Bob mengecilkan matanya. Curiga.

    "Tak paksa kau percaya pun." Aku jelir lidah kepadanya. Sibuk sangat nak tahu aktiviti malam aku.

    "Cerita la kat aku, kau sambung belajar ya? Eh, kau sambung belajar kat mana? kenapa tak bagitau aku?" Soal bob lagi, mula membuat andaian yang bukan-bukan.

    "Bila masa pula aku pergi sambung belajar ni? Heh kau ni, pandai-pandai je."

    "Dah tu, kalau bukan sebab kau belajar malam-malam, apa lagi yang kau buat? Nak kata kau pergi ronda-ronda satu pekan, memang tak logik la. Nak kata kau layari internet, lagi tak logik. Bagi aku kalau kau belajar malam-malam je yang logik. Dalam seminggu, memang tak sah kalau kau tak datang kerja lambat." Rungut Bob. 

    "Aku dah kata aku tak buat apa-apa kau tak nak percaya, aku nak cakap apa lagi kan? Terpulanglah kau nak kata apa pun." Balasku. Bagi aku punca aku lambat datang kerja tak ada kaitan dengan Bob yang sibuk nak tahu aktiviti malamku. Hal peribadi tetap peribadi.

    "Eh, bercakap pasal sambung belajar ni kan, kau tak nak sambung belajar ke? Umur kau baru berapa, 22 tahun kan? Muda lagi, boleh la kalau nak sambung." Cadangnya tiba-tiba. Terkeluar dari topik bahasnya tadi.

    "Nak tu memang la nak, tapi dah tak ada rezeki nak buat macammana? Lagipun, belajar tak semestinya kena masuk sekolah balik bob, ilmu itu ada dimana-mana, belajar daripada kehidupan pun dikira belajar juga kan?." Balasku.

    "Betul juga tu, ramai orang sekarang aku tengok, belajar tinggi-tinggi tapi bila berfkir macam orang tak ada kelayakan. Baik jadi macam kita ni je, belajar pun tak tinggi, tapi pandai. Kan Irin?"

    "Ish! Kau ni, tak semestinya.. dah la, layan kau bercakap je nanti tak siap kerja aku. syuhh, syuhh.. pergi main jauh-jauh," Aku menolak badan Bob menjauhi aku.

    "Ala kau ni, nak gurau sikit pun tak boleh. Tapi betul la aku cakap, kalau kau nak sambung belajar lagi boleh apa, kau bukannya tua sangat. Orang lain umur macam kau ni ada yang tengah bergelumang dengan kertas peperiksaan lagi tau. Rugi la kau, kalau muda-muda dah tak nak belajar, jangan jadi macam aku ni, dah tua baru teringin nak masuk Universiti. Muda-muda dulu tau enjoy je.." Kata Bob panjang lebar, seolah-olah menyesali dengan nasib dirinya.

    "Tua? haha.. sedar pun kau tu dah tua kan. itulah aku nak panggil abang kau tak kasi, budget umur 25 tahun tu muda macam aku la tu.."

    "Eh, budak ni, orang cakap betul-betul dia kenakan aku balik pulak. Ahh... malas dah aku nak cakap dengan kau." Kata Bob terus ke bahagian belakang. Merajuk lah tu.

Sambung belajar? Eerrmm... siapa yang tak nak. Kalau diberi peluang, aku nak sangat ambil bidang Kesetiausahaan. Aku minat bidang tu sejak aku tengok drama jepun kat TV tentang sekumpulan setiausaha dalam satu syarikat. Ntah apa tajuknya, aku pun dah lupa.

Tapi suatu hari, aku terdengar perbualan mak dan abah tentang aku. Tentang perancanganku lepas habis SPM nanti.

    "Kalau Irin dapat keputusan yang baik dalam SPM dia, kita nak hantar dia sambung belajar pakai duit apa bang?" Soal emak meluahkan kerisauannya. Aku yang ketika itu baru pulang dari sekolah, kaku di muka pintu. Aku ingin dengar perbualan yang seterusnya.

    "Nanti abang akan usahakan cari duit untuk dia. Duit jual pisang yang abang dapat tu pun, abang dah asingkan. Kita menyimpan la sikit-sikit. kalau tak cukup nanti, kita pinjam la kat sesiapa dulu." Itu kata abah.

    "haiihh.. apa la nasib anak kita tu, dah la mak ayah dah tak ada. Dapat pula mak abah angkat yang tak mampu nak bagi kemewahan pada dia. Kesian Irin.." Keluh emak.

    "Tak baik awak cakap macam tu, kalau bukan sebab Irin, agaknya sampai sekarang pun kita tak merasa nak ada anak." Tegas abah.

    "Ya itu saya tahu bang, tapi kalau sampai belanja untuk sekolah dia pun kita tak mampu nak sediakan. Patutnya dari dulu lagi kita serahkan dia pada orang yang boleh jaga dia dengan sempurna." Keluh emak lagi.

Aku yang mendengar sejak tadi, menahan mulut dengan jari agar suaraku senduku tidak kedengaran. Daripada masuk ke rumah dan menghadapi emak dan abah, aku memilih untuk berpatah balik dan memencilkan diri di satu kawasan kampung, bawah pokok ketapang, berhadapan tasik. Di situ aku menangis semahu-mahunya.

Aku sedar yang aku tak seharusnya menyusahkan emak dan abah untuk menyediakan keperluan pembelajaran aku lagi bila mereka sudah bersusah payah membesarkan diri aku selama ini. Jasa emak dan abah terlalu besar. Dan sejak dari itu, aku memasang tekad untuk tidak lagi menyusahkan emak dan abah. Sebaliknya, aku akan cuba untuk membalas budi mereka.

       "Hellooo.. ni nak kerja ke nak termenung ni?"

Aku hanya tersedar seorang pelanggan perempuan berdiri di hadapanku dengan muka bosan bila Bob menolakku ke tepi sebelum dia mengambil alih tugasku dengan mengambil bayaran barang yang dibeli oleh pelanggan ini.

Aku terpinga-pinga.

Selepas pelanggan itu keluar, Bob memandangku curiga. Aku pura-pura menyibukkan diri dengan menyusun barang-barang yang ada di atas meja. Cuba berlagak seolah tiada apa-apa yang berlaku.

       "Mula-mula datang lambat, lepas tu termenung sampai tak sedar orang datang. Apa masalah kau sebenarnya?" soal Bob, prihatin.

Aku tak ada apa-apa masalah Bob!. Jeritku dalam hati. Terus aku ke tandas. Melarikan diri daripada pandangan curiga dan soalan bertubi-tubi Bob.

 


2 ceritaMia's lovers:

s.z.i said...

best gak cite ni,,bob ke hero?

Rindu Lukisan said...

suka gak...