http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, July 13, 2011

Bab 4


Ahmad Syafiq Bin Ahmad Iskandar. Ketua pengawas sekolah masa dia darjah enam. Mendapat keputusan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan percubaan UPSR, pelajar contoh untuk pelajar-pelajar lain, pelajar kesayangan guru-guru. Menjadi rujukan rakan-rakan sebaya. Menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan yang satu darjah dengan dia mahupun pelajar-pelajar junior. Termasuk aku.

    Kenapa aku suka dia? Selain ciri-ciri yang aku nyatakan di atas, dia juga bagi aku ada auranya yang tersendiri. Gaya dia berjalan.. teratur dan cool. Jarang nampak dia berjalan seorang diri, selalunya dia berjalan ramai-ramai dengan kawan-kawan lelaki dia. Itu pun dah menunjukkan betapa dia begitu disenangi oleh orang-orang disekelilingnya.

    Dia tetap nampak kacak walaupun rambut dia kering tanpa gel macam selalu. Dan kalau rambut dia disapu gel, ia akan membentuk huruf M. Keningnya yang lebat, alis matanya yang melentik, walaupun ketinggian dia tidaklah seperti mana-mana lelaki macho yang selalu digambarkan seperti dalam tv atau novel, tapi dia masih mempunyai ketinggian yang ideal.  Dia nampak macho walaupun kadang-kadang muka dia nampak serius, dia nampak macho walaupun dia berjalan seorang diri dan menundukkan kepalanya, dia nampak macho dalam apa saja gayanya. Ternyata dia mempunyai auranya yang tersendiri.

    Walaupun dia tak begitu aktif bersukan, tapi dia masih aktif berpersatuan dan kebiasaannya, jawatan pengerusi akan disandang oleh dia, macam biasa. Satu perkara yang aku paling suka tentang dia, adalah dia tak gunakan kekacakkan wajahnya sebagai sesuatu yang harus dibanggakan dengan berlagak menjadi playboy. Tidak. Dia tidak begitu, sebaliknya dia berkawan dengan semua perempuan sama rata dan dia hanya ada seorang kekasih pada masa itu. Ya, perempuan itu selalu membuatkan aku rasa cemburu. Kenapa bukan aku saja yang jadi kekasih lelaki pujaan sekolah itu?.

    Ada satu peristiwa yang aku masih belum boleh lupa sampai sekarang adalah bila dia dengan baik hatinya telah menolongku membaikpulih rantai basikalku yang jatuh, di garaj basikal dalam kawasan sekolah.

Waktu itu, aku dan seorang kawanku ingin pulang ke rumah, tapi malangnya rantai basikalku yang jatuh itu tak mahu melekat di rim basikal walaupun sudah berkali-kali aku cuba membaikinya, kebetulan waktu itu hanya tinggal kami berdua di garaj dan hanya ada sebuah basikal lain di situ, yang aku sedia maklum, basikal itu adalah miliknya. Tak lama selepas tu, dia datang dengan kawannya, dan masa itulah dia menghulurkan bantuan. Satu perkara yang masih membuatkan aku kesal kerana aku tak lakukan dulu, adalah aku langsung tak ucap terima kasih. Sebaliknya aku terus pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.

    Setiap hari selepas kejadian itu, aku harap yang aku diberi keberanian untuk mengucapkan perkataan itu kepadanya, tapi siapalah aku untuk bercakap dengan senior lelaki yang popular di sekolah. Akhirnya sehinggalah dia tamat darjah enam dan berpindah sekolah menengah, manakala aku masih tersangkut di sekolah itu untuk menamatkan lagi satu tahun persekolahan, rasa kesal itu masih belum hilang. Malah, aku semakin terasa 'kehilangannya'.

    Tak ada lagi orang yang aku nak pandang masa perhimpunan, tak ada orang yang aku nak cari masa rehat, tak ada lagi orang yang aku nak jumpa bila nak pergi sekolah. Tak ada lagi orang yang akan membuatkan aku rasa lebih bersemangat setiap hari.

    Tapi itu cuma untuk setahun sahaja. Setahun kemudiannya, aku masuk ke sekolah menengah, sekali lagi aku belajar di sekolah yang sama dengan dia. Mujur dia tidak memilih untuk bersekolah di mana-mana sekolah berasrama penuh memandangkan keputusan UPSRnya cukup baik walaupun dia kekurangan satu A. 

Di situ, semangat aku kembali membara. Tapi itu pun tak lama, dua tahun kemudian bila keputusan PMR 
diumumkan, akulah orang paling sedih mendengar berita yang dia mendapat keputusan cemerlang. Bermakna dia akan pilih sekolah yang lebih baik dari sekolah ini.  Sekali lagi aku kehilangannya.

    Sejak dari itu aku tak pernah berhenti berharap untuk terserempak dengan dia di mana-mana, mungkin di kedai, mungkin di pasar, mungkin di depan rumah dia, atau dimana-mana saja. Syafiq adalah lelaki pertama yang aku suka gila-gila. Suka yang bukan suka sebab dia kacak, atau sebab-sebab yang entah apa-apa, macam.. aku suka safuan sebab dia duduk kat sebelah aku masa darjah 3, aku suka zahier sebab dia anak cikgu, aku suka ali sebab muka dia jambu, aku suka michael sebab dia suka kacau aku. Tapi aku suka syafiq sebab dia tak pernah buat apa-apa pada aku. Aku suka dia sebab siapa diri dia.  Aku suka dia tanpa aku sendiri tau apa sebabnya. Misteri..

Rupanya perasaan itu tak pernah hilang sampai sekarang, walaupun aku sudah berumur 22 tahun dan dia 23 tahun, yang kemungkinan besar dia dah ada kekasih lain, atau mungkin kekasih yang bakal jadi calon isteri, aku masih simpan perasaan ini untuk dia.

Dan berharap, suatu saat nanti, perasaan ini akan dibalas. hem!.

    "Apa benda la yang kau tulis tu..." Teguran Ziana yang tiba-tiba berdiri di sebelahku sambil mencuri baca apa yang aku tulis membuatkan aku sponton menutup buku dan memeluknya erat ke dada. Fuiihh, bahaya betul!.

    "Mana boleh curi baca apa yang orang tulis.." Kataku, separa malu dan marah. Bergetar dadaku. Risau jika Ziana mungkin akan terbaca hatta satu perkataan sekalipun.

    "Tak sempat baca pun..." Katanya dan kembali menjauhkan diri dariku.

Aku menyimpan buku nota dan pen itu ke dalam beg. Selepas itu aku kembali menyibukkan diri dengan menyusun majalah-majalah di rak yang diletak betul-betul besebelahan dengan pintu.

    Loceng pintu berbunyi menandakan ada pelanggan yang baru masuk. Pantas aku berpaling ke belakang untuk kembali ke meja kaunter sebelum aku tergaman dan dadaku bergetar. Untuk tempoh masa kurang dari sesaat, mata aku dan matanya sempat bertentangan.

Syafiq!.

Kenapa dia selalu muncul di saat aku langsung tak jangka?. Bila terjumpa dalam keadaan tak disangka-sangka begini hati aku selalu tak keruan, tingkahku selalu tak teratur, nak berjalan ke meja kaunter yang jaraknya cuma beberapa langkah pun aku dah terketar-ketar, macammana nak serve dia nanti? Ah, kacau!.

Dalam pada cuba meredakan gelora di hati, aku terperasan sorotan mata Ziana yang memandangku pelik bercampur curiga. Aku angkat kening ke arahnya, seolah isyarat bertanyakan kenapa dia memandangku. Ziana menggelengkan kepalanya dan berlalu ke belakang. Mungkin menyambung kerja.

Aku tarik nafas dan menghembusnya berulang kali sehingga aku benar-benar yakin yang aku mampu mengawal diri. Err.. maksud aku mengawal perasaan ini. Maklumlah, kadang-kadang bila berada dekat dengan orang yang aku suka dalam diam, perilaku aku secara tiba-tiba akan bertukar menjadi kelam kabut dan agak tak terkawal, otak aku jadi tak boleh berfikir dengan waras..

Oh, itu dia datang. Rileks Irina.

Sebotol air 100 plus,  sebatang gula-gula lolipop dan sebungkus keropok Twisties perasa tomato dihadapkan di hadapanku. Dengan tenang, aku mengira semua jumlah barang-barang ini dan memasukkan ianya ke dalam plastik, sementara Syafiq mengeluarkan duitnya dari dalam beg duit.

Not RM5 dihulurkan kepadaku. Jumlah barang yang dibeli cuma RM4.60, lalu aku memberi baki lagi RM0.40 kepadanya.  Sejak tadi aku cuma menunduk, sekalipun hati aku begitu rindu untuk melihat 
wajahnya. Sesaat berlalu, plastik barangannya di atas meja masih belum berusik. Aku menjeling sedikit dan melihat Syafiq masih berdiri di hadapanku, kenapa? Dia nak kata sesuatu dengan aku kah? Aku mula tak keruan. Serba tak kena bila dia masih tak pergi.

    "Duit baki?" Soal Syafiq.

Aku angkat kepala. "Haa??" Soalku agak kabur dengan pertanyaannya.

    "Tadi aku bagi RM50, Kau bagi balance RM0.40 je, mana lagi RM45?" Katanya menerangkan kepadaku satu persatu.

Aku garu kepala. Blur. Bukan dia bagi RM5 je ke tadi?

    "Bukan kamu bagi RM5 je ke?" Soalku, menutup rasa malu.

    "Tak.. RM50, kau silap pandang kot.." Balasnya.

Tanpa mahu banyak soal aku memulangkan kembali baki duit yang sepatutnya kepada dia. Panas membahang terasa mukaku saat ini.

    "Sorry, kita tak perasan tadi." Kataku walaupun kalau boleh sekarang juga aku ingin lenyap dari pandangannya.

    "Tak apa.." Balas Syafiq, lembut kedengaran di telingaku. Nada seolah memujuk. Ahhh... Pengsan!

    Aku hanya memerhatikannya sehingga dia keluar dengan senyuman malu di wajahku saat ini. Juga dengan muka yang terasa panas.

    "Aku dah agak dah!, Patutlah masa dia mula-mula masuk tadi muka kau dah lain..." Sergah Ziana tiba-tiba.

    "Apa kau cakap ni?" Soalku, pura-pura tak faham.

    "Alah, tak payah nak malu-malu dengan aku lah. Tengok tu muka kau dah merah, kau suka mamat tu tadi ye?" Soal Ziana giat mengusikku.

    "Pandai-pandai je, mana ada lah!" Dalihku.

    "Alalala.. malu-malu kucing pulak. Cerita la kat aku, siapa mamat tu? Bekas pak we kau eh?" Soal Ziana lagi.

Kalau nak diikutkan, sebut saja Ahmad Syafiq, siapa yang tak kenal dengan pelajar terbaik sekolah tu, tapi sebab Ziana bukan berasal dari pekan sini jadi memang tak hairanlah kenapa dia tak kenal Syafiq, dan aku takkan sekali-kali membuka cerita tentang Syafiq kepadanya.

    "Sibuk je lah Ziana nih, pergi buat kerja." Aku menolak lembut tubuhnya supaya menjauhi aku.

    "Tak nak cerita kat aku tak apalah..." Katanya pura-pura merajuk dan menjauhkan diri dariku.

tapi baru beberapa langkah dia menjauh, dia kembali kepadaku dan memujuk supaya aku menceritakan tentang Syafiq kepadanya.

    "Eii.. aku tak kenal dia lah, dah! kalau kau tanya lagi aku tak mahu cakap dengan kau lagi." Ugutku.

    "Ok..ok.. orang tak nak cerita takkan kita nak paksa pulak kan..." Ziana sengaja bercakap dengan nada berjauh hati supaya aku dihimpit perasaan serba salah.

    "Hemmm.. tau tak apa." Balasku selamba, sempat aku jelir lidah ke arahnya yang geram mendengar jawapanku itu.

1 ceritaMia's lovers:

Rindu Lukisan said...

Wow RM50 ngan RM5 tu ...sampai x perasan....betul la c Irin nih...angau dlm diam..