http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, July 1, 2011

Bab 2


Pukul tiga petang, Shift aku tamat. Hari ni aku tak terasa untuk buat overtime macam selalu bila fikiran aku dah sangat berat dengan sesuatu yang berlegar-legar di dalamnya. Sebaik Nina sampai dan mengambil alih tempatku, terus aku capai beg dan keluar. Di muka pintu sempat pula Bob memanggilku.

    "Tak buat OT ke hari ni?" soalnya.

Aku cebikkan bibir lalu menggeleng. Setelah pasti tiada apa-apa lagi yang Bob ingin tanyakan, aku terus keluar. Berjalan, berjalan dan berjalan sambil menunduk memandang jalan yang diturap dengan tar. Fikiran aku sarat dengan bermacam-macam persoalan, kebarangkalian, teka-teki, pertanyaan dan macam-macam yang semuanya dijawab oleh diri aku sendiri.

    'Kenapa ibu dengan ayah tinggalkan aku terlalu cepat? Kenapa aku boleh tersesat kat dalam kawasan ini? Kenapa pak cik tu hantar aku ke sini? Kenapa aku rasa hidup aku kosong? Kenapa aku rasa sunyi?'

Kenapa, kenapa dan kenapa sehinggalah sedar tak sedar aku telah pun berjalan ke tempat biasa aku melepak. Bawah pokok ketapang, berhadapan dengan tasik. Tak jauh dari pokok ni pun ada dibina sebuah pondok, untuk sesiapa yang nak bersantai, sambil menikmati udara dan pemandangan indah di sini. Tapi aku tak suka duduk bawah pondok tu sebab kadang-kadang ada orang duduk kat situ, aku tak selesa. Jadi aku memilih untuk duduk atas rumput bawah pokok ketapang ni, sekurang-kurangnya tak ada orang yang akan ganggu aku.

Buku nota yang selalu aku bawa kemana saja aku pergi, aku keluarkan dari dalam beg. Aku menyelak setiap helaian kertas sehingga sampai di muka surat yang kosong. Laju jari aku menulis di atas kertas kosong itu. Sesuatu yang mengganggu fikiran aku sejak tadi.

Tolong Rungkaikan

Aku ingin segala keresahan
persoalan dan masalah ini
Segera diselesaikan.

Setiap malam aku bermimpi,
Mimpi yang aku harap
realitinya pasti.

Setiap hari aku harap agar keresahan
persoalan dan masalah ini
Segera dirungkaikan

Setiap saat fikiran aku
resah kerana itu

Jika tersirat seribu hikmah
disebalik semua ini.
Biarlah pengakhirannya membahagiakan.

Biarlah aku tenang,
Biarlah aku ketawa
Biarlah aku senang
Itu doaku.
Yang Maha Mengetahui,
Tolong makbulkan..

25hb Feb-BawahPokokKetapang

    Sejak aku tahu yang kebarangkalian untuk aku sambung belajar adalah 1 : 0 dan aku sendiri yang memberitahu pada mak dan abah yang aku tak mahu sambung belajar lagi sebaliknya aku ingin bekerja, aku mula berjinak-jinak dengan pen dan kertas. Memang selama ini aku selalu 'berkawan' dengan buku dan pen, tapi yang ini lain sikit. Aku mula merajinkan diri menulis nota-nota pendek dan segala macam kisah hati seperti puisi yang aku sendiri tak pasti, layakkah tulisan aku itu dipanggil puisi? Yang akhirnya aku mula tersedar dengan bakat menulisku.

Dalam aku tak sedar, aku semakin banyak menyimpan perasaan. Depan mak dan abah aku berlagak seolah-olah aku gembira dengan kehidupanku, dibelakang mereka, aku menangis sendirian. Aku cuma tak nak bebankan perasaan mak dan abah jika mereka melihat aku tak gembira hidup bersama mereka.

Bukan aku tak bersyukur dengan segala apa yang aku ada sekarang ni, aku cuma... rindu ibu dan ayah. Kejadian berbelas tahun lepas begitu pantas berlaku. Sekelip mata! sehingga membuatkan aku rasa seperti ada sesuatu tentangku yang tertinggal di sana. Seperti ada kenangan silamku di sana yang aku tak pasti apa dia. Takkan aku tak ada saudara mara?  Mungkin mereka sedang mencariku saat ini. Mungkinkah?.

Keriuhan bunyi suara budak-budak yang sedang bermain di bawah pondok itu mencantas lamunanku. Aku kerling jam di tangan, dah pukul empat lebih. Lebih baik aku pulang sekarang daripada terus termenung disini.  Aku simpan buku dan pen dalam beg dan berjalan pulang ke rumah.

Sewaktu dalam perjalanan, aku berhenti di hadapan sebuah kedai yang menjual barangan dan aksesori komputer. Dari dinding cermin luar aku memerhatikan sebuah laptop berjenama Apple berwarna putih. Dah lama aku teringin nak memilikinya, tapi entahkan bila baru aku berpeluang untuk mendapatkannya. Duit yang aku simpan pun masih belum mencapai sasaran yang sepatutnya untuk memiliki laptop ini.

Belum pun apa-apa lagi aku dah berangan, kalaulah aku boleh tolong mak dan abah dengan hasil jualan bukuku nanti. Tapi semua tu takkan terjadi selagi aku belum berjaya memiliki sebuah laptop dan mula menulis.

Tiba-tiba satu perasaan menyelinap dalam diriku. Yang membuatkan aku tiba-tiba bersemangat dan berjanji, walau apa pun, aku akan berusaha mendapatkan laptop ini secepat mungkin!.

Refleksi luar sedar, rupanya aku sedang mengenggam lima jari kiri dan mengangkat lenganku separa dada dan memandang laptop itu dengan mata yang penuh.. keazaman.

1 ceritaMia's lovers:

Rindu Lukisan said...

Tanamkan azam Irin..sure Apple akan ditgnmu nanti...