http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Tuesday, July 5, 2011

Bab 3

Esok, shift kerjaku pada waktu petang, pukul 3. Jadi malam ni memang tak ada alasanlah untuk aku tak tolong emak buat kuih dan nasi lemak. Memang sejak aku kecil sampai dah besar panjang ni, emak tak pernah berhenti dari buat kerja ini walaupun aku dah melarangnya kerana aku mampu untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Tapi kata emak...

    "Irin simpanlah duit Irin tu, selagi mak ada tenaga, biarlah mak je yang cari duit. Lagipun dah bertahun-tahun mak buat kerja ni, dah biasa pun.."

Dan lepas tu, aku tak pernah bangkitkan lagi soal ini. Yang penting, tiap-tiap bulan aku masih beri duit pada emak dan abah walaupun mereka menolak. Tapi sebab aku berkeras ingin beri, emak dan abah dah tak kuasa untuk menolak lagi.

Aku keluar dari bilik, melintasi abah yang sedang menonton berita di televisyen dan terus ke dapur, melihat emak sedang terbongkok-bongkok di almari tempat penyimpanan barang-barang kering.

    "Emak cari apa tu?" soalku.

Emak menoleh memandangku sekilas. Kemudian dia kembali berdiri tegak dan berjalan ke arah meja makan, tempat dimana aku sedang berdiri.

    "Tak ada pulak.." kata emak sambil menggaru lehernya.

    Aku kerut dahi. "Apa yang tak adanya mak?" soalku.

    "Tepung!, dah habis. Macammana nak buat kuih malam ni.." keluh emak.

    "Lah, kan boleh beli." Jawabku. Kalau setakat tepung habis memang tak jadi masalah besar, beli je lah kat kedai Papathi tu. Kedai tu biasanya tutup dalam pukul 9 malam. Sekarang baru pukul 8.10, masih sempat lagi kalau nak pergi beli.

    "Siapa pula yang nak pergi beli?" Soal emak, masih mengeluh.

aku pandang abah di depan televisyen. Sebagai isyarat kepada emak supaya menyuruh abah.

    "Abah penat tu, petang tadi dia pergi potong rumput." Kata mak sebagai jawapan kepada isyaratku tadi.

    Aku diam, kalau bukan abah yang nak pergi, siapa pula?.

    "Tak apalah, malam ni kita buat nasi lemak je. Esok mak pergi beli tepung." Kata mak mencari jalan tengah. Tangannya mula lincah mengupas bawang.

    Aku mula rasa tak sedap hati. Walaupun aku sendiri yang tak mahu emak bekerja terlalu keras, tapi memang dah jadi kebiasaan emak akan buat kuih dan nasi lemak tiap-tiap hari. Tengoklah tu, muka mak macam tak seronok je. Makin menambahkan rasa serba-salah di hatiku. Aduhhh..

    "Mak, biar Irin pergi beli lah." Putusku akhirnya.

Mak mendongak memandangku. Matanya bersinar-sinar. "Irin nak pergi?" soalnya dengan sengihan di bibir. Memang tak susah nak baca hati mak melalui reaksi mukanya.

    "Hemmm, Irin pergi."

    "Tapi boleh ke Irin keluar sorang-sorang? Tak apalah, esok je la mak pergi beli" Soal emak, tiba-tiba berasa ragu-ragu. Memang aku jarang keluar malam seorang diri walaupun hanya nak ke kedai Papathi yang jaraknya dari rumah cuma 10 minit. Nak balik kerja kalau memerlukan aku bekerja sehingga waktu malam pun, abah yang akan mengambilku kalau tak ada rakan sekerja yang tolong hantarkan.

    "Alah, bukannya jauh sangat pun. Irin lari la.. kejap je dah sampai" Jawabku cuba menyakinkan emak.

    "Irin tak takut ke?" Soal emak lagi.

    "Kalau takut buat apa Irin nak pergi beli.." Jawabku.

    "Kalau Irin dah cakap macam tu, tak apalah. Nanti kejap, mak ambil duit.." Kata mak akhirnya. Kerja-kerja mengupas bawang ditinggalkan dan dia bangun ingin mengambil duit seperti yang dikatanya tadi sebelum aku melarang.

    "Mak, tak payah. Pakai duit Irin je."

Emak berhenti melangkah. "Tak apa, guna duit mak.. lagipun duit kuih mak dah asingkan siap-siap. Nanti kejap!." Lalu dia terus mengatur langkah ke bilik.

Dan aku juga ke bilikku, untuk menyarung baju sejuk dan mengambil beg duit.

    "Nak pergi mana?" soal abah selepas aku selesai mengambil barang yang kendaki dan duduk di kerusi berdekatan abah sambil menunggu emak.

    "Kedai Papathi kejap."

    "Kenapa?" soal abah lagi.

    "Nak beli tepung."

    "La.. kenapa tak suruh abah? Nak beli apa lagi? Biar abah la pergi belikan." Kata abah sudah berkira-kira untuk bangun dan menyarung bajunya.

    "Eh, tak payah abah, biar Irin pergi. Lagipun abahkan penat.."

    "Irin berani ke keluar sorang-sorang ni?" Soal abah, risau.

    "Irin dah besar la abah. Mestilah berani."

    "iya lah tu.. "

Emak keluar dari bilik dan memberiku duitnya berserta senarai barang yang dia ingin aku beli. Patutlah lama sangat kat dalam bilik tu, rupanya siap buat senarai barang sekali.

    "Nah duitnya. Alang-alang nak pergi tu, mak nak kirim barang sekali boleh?" Soal mak.


    "Boleh mak, tak ada masalahlah!" aku menyambut huluran duit dan kertas senarai barang itu dari tangan emak. Di muka pintu sekali lagi emak bertanya samada aku betul-betul berani atau tidak. Aku jawab dengan yakin yang aku sangat berani!. Barulah mak melepaskan aku pergi dengan sengihan senang hatinya.

Sekali-sekala buat emak senang hati pun seronok juga kan?.




Aku berjalan dari satu rak ke rak yang seterusnya. Dua kampit tepung sudah berada dalam pelukanku, yang aku perlukan lagi adalah gula, kacang dal, yis kering dan gula merah. Walaupun kedai ini hanyalah sebuah kedai biasa yang menjual bermacam-macam benda macam sebuah pasaraya, kenapa la tak disediakan sekali raga untuk kegunaan pelanggan-pelanggan yang nak beli barang banyak-banyak macam aku ni?

Baru pegang dua kampit tepung gandum dengan sekampit gula, aku dah tak boleh nak capai apa-apa barang lain lagi dan memaksaku untuk meletakkan dulu barang-barang ini di meja kaunter.

Tapi sesuatu yang aku tak jangka langsung akan terjadi telah pun berlaku. Jantung aku tiba-tiba berdegup dengan lebih kencang, muka aku terasa kepanasan, kaki aku lemah tak lalu nak melangkah, tangan aku menggeletar sampaikan aku rasa barang-barang ni macam nak terhempas jatuh ke lantai. Oh, hati janganlah kau berlari kencang sangat. Cool Irin, cool.

Aku berjalan melalui belakang Syafiq yang sedang memilih sesuatu di rak makanan ringan. Sungguh!, kaki aku rasa macam nak tercabut masa berjalan kat belakang dia. Bila aku berharap untuk terserempak dengan dia kat mana-mana, dia tak pernah muncul, tapi bila aku tak harap langsung untuk terserempak, dia ada depan mata pula. Aduhai...

Semua barang-barang tadi aku letak di atas meja bersebelahan dengan barang-barang milik pelanggan lain. Berat terasa kaki aku nak melangkah balik ke tempat tadi walaupun hati aku meronta-ronta nak ke sana semula. Ah kaki, kenapa kau tak sepakat dengan hati? Kaki aku melangkah ke arah yang bertentangan dari tempat yang sepatutnya aku ingin pergi. 

Elok-elok nak pergi ambil gula merah tadi, aku terus ambil kacang Dal dulu. Dua lagi barang yang aku perlukan ada di tempat Syafiq berdiri tu. Ahh kenapa rasa malu tiba-tiba ni? Pergi je lah Irin, dia bukan tahu kau suka dia pun. Aku paksa kaki aku untuk melangkah, capai barang yang aku nak dan terus pergi dari situ.

Sengaja aku membelek majalah yang ada di situ, sementara nak tunggu syafiq habis beli barang. Ya, walaupun aku tahu yang aku sama sekali tidak akan tegur dia, dan aku yakin yang dia pun takkan tegur aku tapi aku cuma nak ada dekat dengan dia. Nak curi-curi memandang dia, nak rasa kehadiran dia dekat denganku. Konon!.

Lepas dia selesai pilih keropok dan minuman ringan, buat bayaran dan terus keluar, aku masih terkial-kial nak kira harga barang-barang aku.




Pulang ke rumah disambut dengan wajah risau emak. Kalau bukan kerana Syafiq, pasti aku dah sampai ke rumah lebih awal. Wahh.. sekarang kau nak salahkan Syafiq pula ke irina?.

    "Kenapa lambat? Risau mak, ingat ada apa-apa la jadi kat kamu." Kata mak dengan wajah penuh kelegaan.

    "Tadi ramai orang kat kedai, kena tunggu turn uncle tu nak kira barang" jawabku, separuh menipu. Memang ramai orang, memang aku kena tunggu giliran, tapi aku akan lebih cepat kalau aku tak tunggu Syafiq tadi.

    "Ermm, jomlah tolong mak. Ubi pun belum berkupas lagi tu, petang tadi tak sempat mak nak kupas." Kata mak sambil membawa barang-barang itu ke dapur. Selepas menyimpan baju sejuk dan beg duit kat dalam bilik, aku menyusul mengikuti emak di dapur.

    "kita nak buat kuih apa ni mak?" soalku.

    "Kuih gelang. Tolong kupaskan ubi tu ye, mak nak buat sambal kejap." Pinta emak lembut. Setiap kali emak ingin meminta pertolonganku, pasti dengan bahasa yang lembut, tak pernah dia memaksa kalau aku tak mahu buat.

fikiran aku tiba-tiba teringatkan soalan Bob beberapa hari lepas, tentang apa aktiviti malamku sehingga membuatkan aku terlewat bangun seterusnya terlewat pergi kerja. Inilah kerjaku, tolong mak buat kuih, kalau cepat habis, cepatlah aku tidur, kalau lambat habis, lambatlah aku tidur. Itupun belum kira masa tambahan untuk aku curi-curi menulis lagi.

Waktu kerja yang tak menentu menyukarkan aku untuk membahagikan masa untuk melakukan kerja-kerja sampingan aku. Disebabkan itulah aku suka menulis pada waktu malam. Masa tu biasanya idea datang mencurah-curah macam tagline dalam iklan kokokrunch, 'coklat yang  tumpah mencurah-curah  ke ladang gamdum!.

0 ceritaMia's lovers: