http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, July 28, 2011

Bab 7



Hari ini adalah hari terakhir aku bekerja. Mungkin aku takkan sempat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada semua rakan sekerja memandangkan hari ini, aku akan masuk kerja pagi dan bertugas bersama-sama dengan Ziana. Juga Bob. Tapi aku pasti akan merindui mereka semua.

    "Bob aku ada benda nak cakap dengan kau.." Kataku membuka bicara.
Bob menanti dengan penuh sabar, berkerut keningnya memandangku.

    "Kau pun tau kan yang aku ni anak angkat je?"

Bob mengangguk. "Ehemm.." Katanya.

    "Semalam keluarga kandung aku cari aku kat rumah, diorang dah jumpa aku."

Bob tersenyum teruja dan gembira. "Ye ker? Baguslah macam tu! Rupanya kau ada keluarga juga ya"

Aku senyum segaris. Tawar.

    "Sebab tu, aku nak berhenti kerja. Aku kena ikut family aku, tinggal dengan diorang..." Aku bersuara perlahan. Sedih. Tak pasti kenapa aku perlu sedih, sedangkan aku akan tinggal bersama-sama dengan atuk kandungku, keturunan aku sendiri.

    "Oh.." Bob terdiam. Hilang senyuman di bibirnya.

    "Bila kau nak pergi?" Soalnya lagi.

    "Lusa.."

    "Cepatnya..."

    "Kalau tak, semalam lagi aku dah kena pergi. Nasib baik pak cik tu bagi aku tempoh untuk selesaikan semua urusan aku kat sini."

Kami masing-masing diam untuk beberapa minit.

    "Okeh, memandangkan hari ni hari terakhir kau kat sini, apa kata habis kerja nanti kita keluar makan? Aku belanja!" Kata Bob cuba menceriakan suasana.

    "Hari terakhir? Siapa yang nak berhenti?" Soal Ziana tiba-tiba yang baru muncul dari belakang.

    "Aku.." kataku.

    "Kau? Kenapa kau nak berhenti Irin? La.. tak syok la macamni. Kau dapat kerja lain ke?" Soal Ziana bertubi-tubi.

    "Eh, banyak pula soalan kau kan? Sukahati dialah nak berhenti kenapa pun." Usik Bob.

    "Aku tanya kau ke Bob?" Soal Ziana, mula menunjukkan tanda-tanda ingin bergaduh.

    "Ha'ah, aku jurucakap Irin. Kau jangan tak tau pulak!"

    "Eleh.. budget Irin ni baranglah yang nak kena ada jurucakap kan..." Balas Ziana.

    "Wei sudah-sudah la tu, aku nak berhenti ni cuba la korang bawak-bawak berbaik." Kataku meleraikan pergaduhan 'manja' mereka.

    "Lepas ni kau dah tak dapat tengok kitorang gaduh dah. Sementara kau ada ni, baik kau tengok puas-puas" Kata Bob.

    "Sementara aku ada ni lah aku nak tengok korang berbaik-baik.. nanti kempunan pula aku.." Kataku lirih. Entah bila lagi aku boleh datang ke sini melawat mereka..

    "Eh kau ni Irin, cakap macam.. nak pergi jauh je. Kau nak pergi mana sebenarnya ni?" Soal Ziana curiga.
Aku senyum sambil menggaru kepala. Sukar untuk aku jelaskan kepadanya bila dia sendiri tak tahu yang aku sebenarnya cuma anak angkat kepada emak dan abah. Hanya Bob saja yang tahu status diriku. Itupun sebab dia terlebih rajin menemubual diriku masa awal-awal aku mula bekerja dulu.

    "Aku nak pindah.." Itu yang terkeluar dari mulutku akhirnya. Mungkin itu jawapan terbaik daripada aku membuka hikayat sejarah hidupku di sini, memang sampai esok pun tak habis agaknya..

    "Pindah mana?" Soal Ziana.

    "Eh dah la tu kau ni banyak sangat soalannya. Pergi sambung kerja, habis shift ni kita pergi makan, aku belanja!" Putus Bob mematikan terus soalan-soalan yang sedang dan akan keluar dari mulut Ziana.

    Ziana berlalu dengan rungutan di bibirnya, tak puas hati. Aku tersenyum gelihati. Jenaka sebeginilah yang akan aku rindu nanti.. dan Syafiq! 


*****************

    Ini suratan atau kebetulan? Atau Allah mendengar kata hatiku lalu memakbulkan permintaanku yang berharap untuk 'terjumpa' dengan Syafiq sebelum aku pergi meninggalkan tempat ini. Ah walauapapun alasannya, aku bersyukur dan terharu akhirnya aku terjumpa Syafiq di gerai ini semasa aku, Bob dan Ziana baru saja duduk di kerusi tak jauh dari tempat Syafiq berdiri. Walaupun hanya memandang dari jauh, tapi kegembiraan aku tak terhingga!.

    "Ahhh.. patutlah mata tu tak berkelip, ingatkan tengok apa, rupanya tengok pakwe dia kat situ.." Usikan Ziana mematikan terus lamunan aku daripada terus memandang Syafiq di hujung sana yang sedang menunggu pesanan makanan agaknya.

    "Eh, ZIana ni kan, mana ada aku pandang sesiapa. Pandai-pandai je.." Dalihku, tak mahu dia terus memikirkan yang aku mempunyai kaitan dengan Syafiq, kalau Bob dapat tahu lagi kecoh jadinya nanti.

    "Pakwe? Pakwe siapa ni? Mana?" Soal Bob, mula curiga. Tengoklah tu, berkerut keningnya.

    "Mana ada sesiapa, Ziana ni memandai je nak kenakan aku.." Cepat-cepat aku menjawab sebelum Ziana membuka mulut.

    "Ye lah, aku je la yang nak kenakan dia, padahal dia yang pandang orang tu tak berkelip. Dua kali pulak tu aku nampak.." Kata Ziana tersengih-sengih. Menyindir aku tu.

    "Eh, pening kejap. Cuba cerita kat aku betul-betul, siapa pandang siapa? Pakwe siapa? Ini cakap berbelit-belit.." Rungut Bob sambil memegang kedua belah kepalanya.

    "Itu hah.. mamat yang Irin suka usha tu. Dah suka cakap je ala suka, boleh aku tolong mintakan nombor telefon ke, tanyakan nama ke, apa ke, ini suka diam-diam buat apa.."

    Lemah semangat aku bila Ziana dengan lancarnya menyebut "mamat yang Irin suka usha tu" adoi Ziana ni memang tak boleh simpan rahsia betullah. Tengoklah Bob ni, dah pandang aku sambil terangkat-angkat keningnya ha.. memang payah betul kalau dapat kawan yang sorang tak pandai simpan rahsia dan yang sorang lagi banyak tanya mengalahkan wartawan!

    "Baik kau cerita kat aku cepat, siapa mamat tu? Kekasih gelap kau ye?" Soal Bob dengan jari telunjuknya digoyang-goyangkan di hadapan mukaku.

    "Kekasih gelap apanya, mana adalah! Dah la, korang datang sini nak makan ke nak korek rahsia aku?" Aku capai menu makanan atas meja dan cuba memfokuskan diri dengan membaca menu yang tersenarai.

    Tapi dari ekor mata aku nampak yang Ziana dan Bob masih memandangku mengharapkan jawapan. Aku mengeluh, lemah dengan 'serangan' mereka.

    "Ok, memang aku suka dia.." Kataku menunduk. Kalau bukan sebab diorang memang takkan lepaskan aku selagi aku tak buka mulut terutama Bob, pasti aku takkan buka pekung sendiri. Malu kot mengaku suka kat seseorang lelaki pada lelaki lain. Walaupun lelaki itu adalah Bob.

    Ziana tepuk tangan, Bob tepuk meja. Di mulut mereka masing-masing terluah perkataan "hahh..". Aku tutup muka sambil menongkat dagu.

    "Dia tau tak kau suka dia? Nak aku tolong ke?" Soal Bob. Begitu prihatin dengan masalah cinta 'syok sendiri' aku.

    "Tak payahhhhh..." Tegasku. Janganlah mereka buat kerja gila dengan memanggil Syafiq dan tolong aku membuat pengakuan yang aku sebenarnya suka dia. Tolong jangan!.

    "Lah, orang nak tolong kau jual mahal, karang melepas apa tak dapat." Bidas Ziana.

    "Eeii.. aku suka dia, bukan bermaksud aku nak ada hubungan dengan dia. Suka senyap-senyap pun apa salahnya.." Aku memandang tanpa perasaan ke arah senarai menu di tanganku.

    "Sampai bila kau nak syok sendiri ni? Mana tau dia pun syok kat kau, untung-untung jodoh korang panjang, boleh kahwin terus..." Kata Bob, menyokong teori Ziana.

    Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Kalau aku tau diorang akan jadi terlebih prihatin, memang aku takkan buka mulut tadi. Lebih baik aku biarkan mereka mendesakku supaya bercerita tentang Syafiq berbanding aku yang terpaksa mendesak mereka supaya jangan masuk campur dalam urusan cintaku.

    "Hah tu, dia datang. Bob jalankan tugas anda." Kata Ziana. Cepat-cepat aku angkat kepala dan melihat Syafiq sedang berjalan ke arah kami dengan bungkusan plastik di tangannya. Bob dan Ziana juga memandang tepat ke muka Syafiq dengan tangan Bob yang aku lihat sedang bersedia untuk mengangkat tangan, mungkin ingin memanggil Syafiq bila dia dah berada dekat dengan kami nanti.

    "Korang jangan terfikir nak buat kerja gila tu ya." Kataku memberi amaran dan berharap yang amaran aku ini cukup 'keras' sehingga mampu menggerunkan mereka. 

    "Kitorang cuma nak tolong kau Irin, kau kena faham..." Kata Ziana, mendatar. Seolah-olah cuba untuk memahamkan aku bahawa tindakan mereka nanti bukan sesuatu yang... memalukan aku.

    "Jangan! Jangan! Jangan! Kalau korang buat macam tu, korang bukan kawan aku lagi!" Kali ini aku yakin kata-kataku ini bukan lagi satu amaran main-main, tapi amaran yang akan aku laksanakan jika mereka benar-benar melakukan perkara itu.

    Bob dan Ziana memandang tepat ke mukaku. Dan ketika itulah Syafiq semakin menghampiri meja kami dan dia berjalan di laluan sebelah meja kami tanpa memandang sedikit pun ke arah aku. Lega...

    "Wow." Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Bob.

    "Wooo.." Dan itu pula perkataan pertama yang keluar dari mulut Ziana.

    "Bob, aku rasa sepanjang tujuh bulan aku kerja dengan Irin ini pertama kali aku nampak dia marah.." Kata Ziana kepada Bob.

    "Jangan kata kau, aku pun sama. Boleh tahan jugak kan kalau dia marah.. ish..ish..ish.." Kata Bob dengan kepala yang digeleng-gelengkan.

    "Cuba la buat aku marah lagi. Silap-silap aku boleh bertukar jadi Incredible Hulk baru korang tau.." Kataku sambil mengipas mukaku dengan kertas menu, rasa macam berasap je muka aku ni.

    "Ok, ok, aku rasa Irin dah lapar, apa kata kita order sekarang." kata Ziana lalu membelek menu.

    "Elok juga tu, sebelum ada asap keluar dari telinga dia pula." Balas Bob tersengih-sengih.

Aku sepatutnya dah selesai makan dan boleh pulang lebih awal kalau Bob dan Ziana tak sibuk-sibuk nak selesaikan masalah cinta syok sendiri aku.


************

Pejam celik, pejam celik, rupanya hari ini sudah masuk hari ketiga. Awal pagi lagi dah tersadai di hadapan rumahku kereta hitam yang datang beberapa hari lepas. Pak cik Ghazi juga sudah menunggu untuk membawaku pulang. Walaupun sebelah hatiku dah terasa terbang ke sana, tapi sebelah lagi hatiku terasa berat untuk melepaskan kehidupan aku di sini.

Kenapalah aku perlu melalui kehidupan yang rumit ini? Kenapalah aku harus kehilangan ibu dan ayah? Kenapalah aku terpisah dari keluarga asalku? Bukankah bagus kalau kehidupanku bukan begini jadi aku takkan menghadapi dilema ini?. Ah, tak baik merungut Irin!.

    "Mak, abah, izinkan Irin untuk datang melawat mak  dengan abah kat sini lagi ya? Irin janji, Irin akan selalu jenguk mak  dan abah. Irin nak mak dengan abah  tahu yang Irin tak pernah lupa jasa baik mak dan abah." Aku genggam erat tangan mereka.

    Kami berpelukan beberapa ketika sebelum aku masuk ke dalam kereta yang pintunya sudah dibuka untuk menyambutku sejak tadi. Tiga hari rasa macam tiga jam! Sekejap je aku dah kena balik ke tempat asalku. Ke dunia dimana aku patut berada 19 tahun lepas.

    "Jaga diri baik-baik Irin, jangan lupa makan, jangan nakal-nakal. Jangan lawan cakap atuk, jangan.. lupakan mak.." Perlahan kedengaran suara emak sewaktu menyebut perkataan terakhir itu. Ahh mana mungkin aku akan lupakan emak dan abah. Tidak sama sekali.

    "Jangan tinggalkan solat, jangan bangun lewat, jadi cucu yang baik sepertimana Irin jadi anak yang baik untuk mak dan abah. Ingat pesan abah?" Itu pula pesanan abah.

    "Ingat abah, Irin takkan lupa. Terima kasih sebab jaga Irin selama ni. Irin pergi dulu.." Aku tak dapat menahan airmata daripada mengalir bila melihat tangisan emak. Sehingga aku masuk ke dalam kereta, sehingga pintu kereta ditutup, sehingga kereta itu berjalan, dan sehingga ia bergerak makin jauh, dan menjauh, aku masih menoleh ke belakang dan berharap agar aku akan dapat kembali lagi ke kampung ini.

    Pemergianku bukan kerana ingin hidup mewah dengan atuk, tapi kerana aku ingin menggamit memori bersama ibu dan ayah. aku ingin cari "perasaan" aku di sana.

************

    Sejak tadi mulut aku seakan tak mahu tertutup, mata aku seakan tak mahu berkelip, tubuh badanku seakan kejang tak mampu bergerak bila melihatkan pemandangan indah di hadapan mataku ini. Ya, rumah atuk yang bakal aku diami ini kelihatan tak jauh beza seperti istana. Bangunan berwarna krim susu yang tersergam indah ini benar-benar memukau pandangan mataku. Aku kelu.

    Aku tahu atuk seorang yang agak kaya dengan hanya melihat dari kereta yang dipandu oleh pemandunya yang kemas berpakaian seragam, juga aku tahu atuk seorang yang berpengaruh dengan hanya melihat pak cik Ghazi dan ceritanya tentang penyiasat persendirian itu, tapi aku sangat tak sangka yang atuk rupanya jauh lebih hebat dari itu. Atuk mungkin jutawan atau hartawan!

    Tubuhku masih lagi kejang dan tak mampu bergerak keluar dari kereta walaupun kami sudah sampai betul-betul di hadapan rumah bak istana ini dengan disambut oleh berpuluh-puluh orang yang memakai pakaian seragam warna hitam putih, cuma berlainan rekaan sahaja. 

Jangan kata mereka berdiri di situ untuk menyambut kedatanganku...

    "Irina, atuk dah tunggu tu, jom kita masuk." Teguran pak cik Ghazi membawa aku kembali ke alam realiti. Alam dimana aku kini bukan lagi di kampung halaman, sebaliknya di kawasan hutan yang  tersembunyi mahligai indah di sebaliknya.

    "Atuk.." Tanpa sedar perkataan itu yang keluar dari mulutku. Ya, itu tujuan aku ke sini, untuk bertemu dengan atuk.

    Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari kereta dengan kaki yang tiba-tiba menggeletar dan terasa seram sejuk, mengekori langkah pak cik Ghazi ke hadapan pintu  rumah bak istana ini, dimana berpuluh-puluh manusia berpakaian seragam itu berdiri. Malu pula bila tau diri sendiri jadi tumpuan. Penyudahnya aku hanya berjalan menunduk sambil mengira satu persatu anak tangga yang aku daki.

    "Irina.." Aku mengangkat kepala bila terdengar suara asing yang agak garau menyapaku.

    Seorang lelaki tua yang berkerusi roda tersenyum memandangku. Berkaca-kaca matanya memandangku tanpa kelip sambil tangannya didepangkan seolah-olah ingin menyambut aku ke dalam pelukannya.  Diakah atuk?

    "Atuk?" Soalku.

    Dia mengangguk. Mataku terpaku memandangnya, mencari persamaan wajah tua itu dengan wajah kedua ibu bapaku. Garis-garis halus di mata dan di sebahagian besar mukanya membuatkan aku tak mampu melakukan pengecaman. Walau tiada persamaan di wajah itu, dia tetap atuk aku.

    Atuk menghulurkan tangannya, memintaku supaya menghampirinya. Lama aku pandang huluran tangan itu sebelum perlahan-lahan aku berjalan menghampirinya dan menyambut huluran tangan itu. Tubuhku dibawa ke pelukannya. Rambut aku diusap perlahan.

    "Irina cucu atuk.." Kata atuk. Berkali-kali. Ada nada gembira. Ada nada sedih pada intonasi suaranya. 

    Air mataku mengalir. Terasa seolah-olah ada aliran magnet yang meresapi tubuhku. Aku yakin ini memang atuk dari darah dagingku sendiri. Aku rindu...

    "Atukk.." Aku membalas pelukannya.

    Atuk meleraikan pelukan setelah entah berapa minit kami berkeadaan begitu, dia mengesat airmataku. 

"Muka kamu sekarang saling tak tumpah macam muka ibu kamu dulu." Katanya sambil tersenyum.

    Aku tersengih, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Kalaulah ibu masih ada sekarang, pasti aku boleh membuat perbandingan muka aku dengan ibu. Wajah ibu hanya tersemat dalam hatiku, dalam kotak fikiranku saja kerana aku langsung tidak mempunyai sekeping pun gambar ibu selama ini.

    "Atuk ada banyak sangat perkara yang nak dicerita dengan kamu, dan kamu pun pasti nak tanya macam-macam dengan atuk kan? Tapi sekarang ni, pergi rehat dulu. Malam nanti kita sembang panjang." Kata atuk menepuk bahuku. Terpancar sinar kepuasan dan keserian di wajahnya.

    Aku mengangguk. Ya, macam-macam yang nak aku tanyakan, dimana atuk sewaktu ibu dan ayah kemalangan, dimana atuk selama aku dipelihara oleh keluarga angkatku itu. Kenapa baru sekarang atuk muncul? Walaupun pak cik Ghazi dah menceritakan semuanya tapi aku masih ingin tahu dari mulut atuk sendiri. Mungkin aku perlu persiapkan mental dan fizikal sebelum aku mendengar cerita sebenarnya daripada atuk.

    Seorang perempuan yang memakai uniform hitam ala-ala jaket dipadankan dengan seluar hitam dan bersanggul kemas menghampiriku.

    "Mari saya bawa cik muda ke bilik" Katanya.

    Aku pandang atuk, meminta izinnya. Atuk mengangguk. Mengizinkan. Aku menghadiahkan senyuman mesra kepada atuk sambil bangun dari lantai marmar itu yang  telah aku duduk sejak tadi dan mengikut langkah gadis ini ke bilikku.

    Aku dibawa ke sebuah bilik yang luas dan cantik. Betul-betul macam bilik seorang puteri inggeris macam yang selalu aku tonton di tv. Zapp!! Tiba-tiba fikiran terbayangkan bilik yang berwarna merah jambu semasa aku masih tinggal bersama ayah dan ibu dulu, cuma bilikku sekarang ini bertemakan warna putih dan diserikan dengan warna-warna pastel dan terang pada bantal-bantal kecil yang dipenuhi di atas katil, pada hiasan bungan ros merah segar yang diletakkan pada setiap sudut, pada kusyen-kusyen kecil yang disusun di sofa, pada pengepit langsir yang berbentuk bunga. Walaupun bilik yang aku duduki dulu tidak seluas ini, tapi gambarannya seolah-olah sama.

    "Ini bilik cik muda. Oh ya, saya Ros, pembantu peribadi cik muda. Jika ada apa-apa cik panggil je saya." Katanya sambil tersenyum.

    Kerana terlalu kaget dan terkejut, aku sekadar menganggukkan kepala. Ros berdiri tegak di tengah-tengah laluan antara pintu dan ruang yang menempatkan sofa dan kerusi-kerusi juga televisyen. Manakala aku berjalan "menjelajahi" bilik ini.

    Katil  empuk dengan limpahan bantal-bantal kecil pelbagai bentuk, baju-baju yang pelbagai warna dan jenis bergantungan, kasut-kasut bertumit tinggi tersusun kemas di rak, bilik air berjakuzi, ahh.. aku tak pernah jumpa bilik air yang macam bilik tidur ini. Kemas. Cantik! Sampai aku tak tahu bagaimana untuk aku mandi nanti.

    "Kalau cik muda nak tau, bilik ni dah lama kami sediakan, cuma tunggu kepulangan cik muda saja."

    Aku hampir melompat terkejut bila ditegur oleh Ros dalam keadaan aku yang tengah leka dengan suasana baru ini.

    "Ya kah?" Itu reaksiku. Aku perlukan masa untuk membiasakan diri dengan orang yang baru aku kenal. 

    "Menurut cerita daripada pekerja-pekerja senior di sini, sewaktu rumah ini dibina, tuan pengerusi telah kelihangan anak, menantu dan cucunya sekaligus, sedangkan pembinaan rumah ini adalah sebagai kejutan pengerusi untuk mereka. Kerana terlalu sedih dan kecewa proses pembinaan rumah ni pernah terbantut, sedangkan perbelanjaan untuk membina rumah ini saja dah menelan belanja jutaan ringgit, sehinggalah ada maklumat mengatakan yang kemungkinan besar cucu tuan pengerusi belum meninggal tapi jejaknya tidak dapat dikesan, waktu itu tuan pengerusi mula giat menjalan penyiasatan dan pencarian secara besar-besaran ke atas cik muda dan proses pembangunan rumah ini juga disambung semula, dengan harapan apabila cik muda di temui rumah ini boleh cik muda duduki." Terang Ros panjang lebar. Seperti sedang membacakan nota sejarah tentang diriku.

    "Rupanya pencarian itu hanya berhasil setelah berbelas-belas tahun. Saya bertuah kerana akhirnya saya adalah orang yang akan menjaga cik muda di sini." Kata Ros lagi. Teruja.

    "Bertuah?" Soalku.

    "Ehemm.. bertuah sebab sejak dulu lagi dah ramai yang menanti cik muda di sini dengan harapan mereka dapat menjadi pembantu peribadi cik muda sekembalinya cik muda nanti, tapi setelah bertahun-tahun cik muda masih belum ditemui, mereka mula putus asa, sehinggalah saya yang memegang jawatan ini, tak sangka penantian saya selama dua tahun akhirnya terbalas."

    "Oh.." Itu saja reaksi yang mampu aku beri. Apa la yang istimewa sangat dengan jadi orang gaji? Agaknya atuk bayar gaji mahal kot..

    "Kenapa awak pilih kerja ni?" Soalku.

    "Sebab saya nak jaga cik muda.."

    "Sanggup jadi orang gaji semata-mata nak jaga saya??"

    "Saya bukan orang gaji, saya cuma pembantu peribadi yang hanya akan menguruskan hal ehwal cik muda SAHAJA. Dan saya sangat berbesar hati untuk melakukan perkara itu."

    "Peliklah, kenapa awak buat saya rasa macam saya ni terlalu istimewa?" Soalku, kerut dahi.

    "Sebab cik muda Irina Imani memang istimewa! Berita kehilangan cik muda saja dah tersebar seluruh malaysia, walaupun masa tu saya kecil lagi dan tak berapa nak faham tentang hal ini tapi saya tau yang setiap orang pun mengharapkan untuk jadi seseorang yang paling dekat dengan cik muda.."

    "Tersebar seluruh malaysia? Kalau macam tu memang mustahillah kenapa saya tak ditemui sedangkan saya masih berada di malaysia.." Kataku terfikir-fikir.

    "Sebab itulah kehilangan cik muda dianggap sesuatu yang misteri kerana masih belum dijumpai walaupun berita kehilangan sudah tersebar."

Tiba-tiba  satu perasaan jahat menyelinap dalam hatiku, takkan mak dan abah sengaja menyembunyikan aku di sana kerana tak mahu aku diambil oleh keluargaku? Tapi kalau betul, kenapa tadi abah dan mak seakan merelakan pemergianku?

    "Ah, cik muda jangan fikir bukan-bukan, saya yakin yang mak dan ayah angkat cik muda takkan buat perkara yang tak sepatutnya terhadap cik muda.  Kalau tak, mesti dah lama diorang minta duit tebusan atau apa-apa sebagai balasan sebab dah menjaga cik muda selama ni, kan?" Kata-kata Ros membawa pergi semua fikiran negatifku. Macam tau-tau saja aku sedang memikirkan tentang itu.

    "Awak ni boleh baca fikiran orang ke Ros??" Soalku, sengaja ingin menyakatnya.

Ros tersipu-sipu malu, "Boleh baca fikiran tu tak adalah, tapi kalau setakat nak agak daripada reaksi muka tu.. boleh la sikit-sikit." Katanya tersengih-sengih.

Aku tersenyum melihat gelagat Ros yang nampak agak ceria dan petah bercakap. Lain benar peribadinya semasa dihadapan atuk tadi.

    "Alamak!.." Jerit Ros tiba-tiba sambil menutup mulutnya dengan kesepuluh jari.

    "Kenapa?" Soalku, terkejut.

    "Saya lupa nak siapkan baju untuk cik muda pakai malam ni..." Katanya tersengih sumbing sambil menggenggam kedua-dua belah jari tangannya.

Kali ini aku tergelak sambil menggelengkan kepala. Ros..Ros..

4 ceritaMia's lovers:

Juann Fitri said...

Perfect...

mia kaftiya said...

juann : akak rasa cam masih byk lg yg kurang.. huhu.. *thnaks 4 reading!!*

Nur_Al adawiyy said...

sweet..
^_^

mia kaftiya said...

10Q adawiy >_< hehe