http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, August 26, 2011

bab 11



Terkebil-kebil mataku memandang atuk yang sedang duduk di kerusi bersebelahan katilku. Aku memandang Ros yang sedang berdiri di sebelah atuk dan aku menjeling Iman Harraz yang sedang berdiri di bucu katilku sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar sukan yang masih tersarung di tubuhnya. Akhirnya pandangan aku kembali terarah kepada atuk yang setia menunggu jawapan dariku.

    "Irin sakit apa?" Itu soalan atuk sejak aku dibawa masuk ke bilik oleh Iman Harraz dan disumbatkan makanan ke mulutku oleh Ros. Sejak tadi aku cuba mengelak menjawab soalan itu dengan alasan aku ingin makan tanpa bercakap tapi kini makanan sudah pun aku habiskan. Maka aku harus menjawab pertanyaan atuk.

    Kenapa aku boleh tersadai di atas katil dengan atuk dan Iman Harraz di bilikku sekarang? Begini ceritanya...

    Setelah menghabiskan pusingan ketiga, termasuk dua pusingan pertama sebelum ini, aku semakin lemah dan tak berdaya untuk berlari lagi. Satu kelemahanku, aku bukanlah seorang atlet sekolah, jauh sekali ahli sukan yang aktif bermain walaupun bola jaring. Setiap kali sukan aku hanya akan menjadi penyokong pasukanku itupun dengan hanya menjadi pemerhati, bukannya penyorak. Disebabkan itu, bab berlari-lari mahupun berjogging ini tak termasuk dalam senarai perkara yang akan aku lakukan seumur hidupku, sehinggalah aku dipaksa mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Iman Harraz.

    Semakin jauh aku berjogging, semakin aku terasa perut aku sakit. Sakit yang seakan kebas. Aku nak panggil Iman Harraz tapi dia dah terlalu jauh dari aku. Aku sering mengalami rasa sakit perut setiap kali aku terpaksa berlari semasa di sekolah dulu bila cikgu nak buat pemilihan peserta untuk acara larian, dan sejak itu aktiviti berlari telah aku 'haramkan' dalam kamus hidupku. Bila cikgu tanya apa alasanku untuk tidak terlibat dalam acara larian, aku katakan yang aku lelah. Padahal aku tak ada penyakit tu pun. Tipu sunat sekali-sekala tak apa kan??.

    Perut yang dah sakit jadi semakin sakit. Aku tak boleh menunduk, perut aku krem. Aku tak tau berapa lama aku terduduk di atas jalan yang berbatu bata itu, yang aku tau Iman Harraz datang mencariku dan memarahiku kerana mencuri tulang di sini.

    "Aku suruh kau lari, bukan duduk makan angin kat sini.." katanya. 

Panas membara hati aku dengar kata-katanya itu. Terasa macam nak ambil pasu bunga kat tepi ni dan hempuk kepala dia. 

    "Kau kenapa ni? " Nada suara Iman Harraz mula kendur, dia berjalan menghampiriku dan duduk bercangkung berhadapan denganku.

    Aku tak menjawab soalannya sebaliknya terus menerus memegang dan mengusap perutku dengan harapan rasa sakit dan kejang itu akan hilang. Sengaja aku malas nak hiraukan kehadiran dia di sini dan menjawab pertanyaannya. Buat sakit hati je berkomunikasi dengan lelaki ini, balik-balik aku juga yang kena balik.

    "Kau kenapa? Aku tanya ni tak ada mulut ke nak jawab?" Soal Iman Harraz, kasar. Mungkin geram kerana aku tidak menjawab pertanyaannya.

    "Kita sakit perutlah.. " Dalam hati aku dah terpacul perkataan sengal, nasib baik mulut aku masih mampu menahan kata-kata itu daripada terkeluar. Seburuk mana pun layanan dia terhadapku, masih ada rasa hormat aku terhadapnya sebagai orang yang lebih tua dan sebagai penasihat peribadi aku.

    "Tiba-tiba pula sakit perut, tadi elok je?" Soal Iman Harraz, seolah-olah curiga dengan alasan yang aku berikan.

    "Habis tu dah dia nak sakit, mana kita tau. Ingat kita mintak ke sakit ni suruh datang?" Aku melempiaskan rasa marah terhadapnya. Sangat tak kelakar bila kesakitan yang datang tanpa diundang ini menjadi sesuatu yang harus dipersoalkan dan diragui.

    "Sakit kenapa? Datang bulan ke?" Soalnya, masih dalam nada keras. 

Panas mukaku bila soalan itu yang ditanya. Klise. Asal sakit perut je datang bulan, sakit perut, datang bulan. Aku tak ada senggugutlah!  

    "Tak lah, sakit perut nak buang air besar!" Balasku memerlinya.

    Iman Harraz buat muka jelik. Tak sangka jawapan itu yang akan aku bagi.

    "Dah tau nak 'melabur' yang kau duduk kat sini lagi kenapa? Pergi la balik!" katanya masih dalam nada sindiran. Ish, kenapa la dia tak boleh cakap lembut-lembut denganku? Bukannya kena bayar pun kalau cakap elok-elok.

    "Perut kita sakit ni..." Aduku, lebih mengharapkan simpati darinya.

    "Aku tau la perut kau sakit, sebab tu lah aku suruh kau balik.." Balasnya.

    "Perut kita sakit sampai tak boleh nak berjalan.." Tegasku. Aduh, kan bagus kalau aku ajak Ros ikut aku sekali tadi, tak payah la aku terhegeh-hengeh nak dapatkan simpati daripada singa jantan ni.

    "Dah tu? Kau nak suruh aku angkat kau pulak? Banyak cantik muka kau?"

    "Tak suruh awak angkat pun.. tolong la panggilkan Ros, suruh dia datang sini." Pintaku. Gila, ingat aku perempuan murahan ke suka suki hati nak biarkan sembarangan lelaki sentuh aku. Walaupun bukan "sentuh" yang itu tapi membiarkan Iman Harraz mengdukungku ke villa samalah ertinya seperti "membenarkan" lelaki itu menyentuhku.

    "Suruh dia datang sini buat apa?" Soal Iman Harraz, blur.

    "Suruh dia tolong kitalah, takkan suruh dia datang makan angin dengan kita kat sini kot..." hah, kadang-kadang tuan muda yang dihormati dan digeruni pekerja-pekerja di villa ini blur juga ya.

    Iman Harraz diam. Dipandangnya muka aku tak berkelip, aku pula yang termalu sendiri. Salah ke apa aku cakap, mestilah panggil Ros sebab nak suruh dia tolong aku, habis tu nak buat apa lagi kan?.

    "Mulut kau ni boleh tahan juga kan?" Katanya selepas beberapa saat berdiam diri dan merenungku tanpa henti.

    "Dah ada mulut, cakap aje lah.." Rungutku, perlahan.

    "Aaahh? Apa kau cakap?" Soalnya, mendekatkan telinganya ke mulutku. Aku menjarakkan diri. Tak selesa.

    "Tak ada apa.." Balasku. 

    "Perut kau tu sakit lagi ke?" Soalnya mengalih topik 'perbalahan' kami.

Aku mengangguk.

    "Tak payah panggil Roslah, leceh. Dan aku pun takkan angkat kau, memenatkan. Kau masih boleh jalan lagi kan kalau aku pimpin kau?" Soalnya.

    Aku terus angguk. Kalau aku panggil Ros ke sini pun bukan aku nak Ros menggendong aku ke Villa, tapi kerana aku ingin dia memimpinku berjalan saja. Dalam teragak-agak dan nampak kekok, Iman Harraz menarik perlahan lenganku. Bukan dia saja yang malu, aku pun malu bila dia pegang tanganku. Rasanya ini kali pertama aku berada begitu 'dekat' dengan seorang lelaki.

    Serapat mana aku dengan Bob pun, Bob tak pernah menyentuh aku. Apalagi berjalan berpimpinan tangan begini.

    Iman Harraz sekadar menarik tanganku dan membantu aku berdiri, selebihnya, aku berjalan terbongkok-bongkok dengan sebelah tanganku dalam cengkaman Iman Harraz. Aku lega kerana sekurang-kurangnya dia tak mengambil kesempatan dengan memeluk bahuku. Hampir dua puluh minit perjalanan barulah kami sampai ke villa dan sekarang disinilah aku. Di dalam bilik ditemani atuk, Iman Harraz dan Ros.

    Oh ya, macammana atuk pun boleh ada di dalam bilikku ini? Begini...

    Sewaktu kami sampai di hadapan pintu utama villa, kebetulan atuk baru nak keluar. Bila dilihatnya aku dan Iman Harraz berjalan dalam keadaan yang 'mencurigakan' dia mendekati kami dan bertanyakan keadaanku.
    "Kenapa ni?" Soal atuk, berkerut dahinya.

    "Tak ada apa.. " Jawabku. 

    Dahi atuk masih berkerut walaupun aku kata tak ada apa-apa yang berlaku. Matanya tajam memerhatikan tangan Iman Harraz yang mengcengkam lenganku. Cepat-cepat aku lepaskan. 

    "Atuk nak keluar ke? Irin masuk dulu ya.." Kataku meminta diri, tak selesa bila direnung atuk sebegitu rupa. Lalu aku terus berjalan terbongkok-bongkok, diekori oleh atuk dan Iman Harraz ke bilikku. 

    "Irin?" Panggil atuk, membawa aku kembali ke alam realiti. Alam dimana aku bukan lagi di laman villa dan dipimpin Harraz ke bilik, sebaliknya aku sedang diperhati oleh tiga pasang mata.

    "Irin nak pergi klinik?" Soal atuk.

Pantas aku menggeleng.

    "Irin tak sakit teruk pun atuk.. sikit je ni." Balasku.

    "Sikit pun mana kita tau sakit apa yang ada kat dalam badan tu, takkan berjogging pun boleh sakit perut? Irin gastrik ke?" Soal atuk lagi. Curiga bercampur risau.

    Pantas aku menggeleng. Perut aku kebal, walaupun aku suka melewatkan makan, aku belum pernah kena gastrik, cuma.. aku tak pasti kenapa setiap kali aku berlari perut aku sakit?. 

    "Atau Iman ada suruh Irin buat apa-apa ke?" Soal atuk memandang aku dan Iman Harraz silih berganti. Curiga.

    Ada!, dia suruh Irin berlari sepuluh pusingan semata-mata sebab irin terlewat sepuluh minit.

    "irin?" Teguran atuk mengejutkan aku yang tengah merenung Iman Harraz dengan pandangan "menggertak".

    Iman harraz menundukkan wajah. Seolah redha dengan apa saja yang bakal aku ceritakan kepada atuk.

    "Err.. tak ada, Harraz tak suruh irin buat apa-apa pun, tapi perut irin ni tiba-tiba je macam kejang sikit.. sebab tak biasa berlari kot atuk?.." Aku memilih untuk tidak berlaku jujur kepada atuk sedangkan masa kena paksa jogging tadi, itulah perkara yang aku nak sangat lakukan. Entah kenapa, rasa kasihan pula bila tengok muka tuan muda ini tadi.

    Iman Harraz mengangkat muka memandangku. Reaksi pelik terlukis di wajahnya. Harraz.. Harraz.. kau patut buat baik pada aku sebab aku dah backup kau.. 

    Atuk menoleh memandang muka Iman Harraz sebelum dia kembali memandangku. "Betul Irin tak nak ke klinik?" Soal Atuk, meminta kepastianku.

    "Betul.." Aku mengangguk macam burung belatuk.

    "Oklah kalau macam tu, atuk keluar dulu.." Kata atuk dan berkira-kira untuk bangun dari kerusi dibantu oleh Ros dan dihantar terus ke muka pintu.

    Tinggal kami berdua saja di sini. Aku menghantar pemergian atuk ke pintu dengan pandangan mata. 

    "Kenapa kau tak cakap kat atuk tadi?" Soalan Iman Harraz mengalihkan pandanganku ke mukanya.

    "Cakap apa?" Soalku, pura-pura tak faham maksudnya.

    Iman Harraz merenungku. Lama. Mungkin dia cuba menafsir reaksi mukaku sehingga aku sendiri tertunduk malu.

    "Sakit sikit je kan? Ikut jadual, jumpa aku lepas ni. Jangan nak mengelat pula." Pesan Iman Harraz akhirnya sebelum dia sendiri keluar dari kamarku. Eii rasa macam nak baling je bantal ni kat kepala dia. Rugi aku backup dia tadi tapi dia langsung tak hargai? Memang la... memang dia lelaki yang tak ada perasaan!.


**********************

    Selesai mandi dan berpakaian, aku bergerak ke bilik bacaan. Mengikut jadual, masaku akan lebih banyak dihabiskan di bilik bacaan bersama-sama dengan lelaki tak ada perasaan itu. Dan kali ini, aku meminta Ros menemaniku sepanjang masa kerana aku tak mahu dibuli lagi dengan Iman Harraz. Awalnya Ros menolak kerana katanya, dia tak mahu ganggu masa aku bersama Tuan muda, tapi bila aku memaksa, barulah dia bersetuju.

    Aku masuk ke ruangan yang agak luas itu dengan di dindingnya dipenuhi dengan rak yang tersusun buku-buku pelbagai jenis. Terdapat sebuah meja panjang di situ. Juga beberapa hiasan gambar pada dinding. 

    Sebaik melihatku, Iman Harraz menelek jam di tangannya. Seperti biasa, ingin memastikan samada aku sampai tepat pada waktunya atau pun terlewat. Kalau terlewat hatta seminit pun, bolehlah dia cari alasan untuk jatuhkan hukuman untukku. Huh, klise!. Aku takkan benarkan dia menghukum aku lagi!.

    "Wah, bawak PA untuk belajar sekali ke?" Tegur Iman Harraz sambil sorotan matanya memandang Ros yang berdiri di belakangku. Reaksi muka Ros menunjukkan yang dia berasa tak selesa berada di tengah-tengah diantara kami. Aku tarik tangan Ros supaya berdiri di sebelahku.

    "Dalam jadual tak cakap pun 'tak dibenarkan bawa PA sepanjang kelas pembelajaran?' " Sengaja aku memerlinya dengan cara yang sama dia memerliku dulu, sewaktu aku membawa masuk muffin ke bilik ini.

    "Dah, kau tak payah nak bertekak dengan aku kat sini pula. Tolong duduk jadi kita boleh mulakan kelas kita sekarang." iman Harraz mengambil jalan tengah dengan tidak memanjangkan isu aku membawa Ros ke sini.

Aku menarik kerusi dan meminta Ros duduk di sebelahku walaupun dia sehabis mungkin cuba mengelak. Dia lebih sanggup berdiri di belakangku sedangkan tempoh kelas ini akan berlangsung sehingga waktu makan tengahari nanti.

    "Duduklah Ros." Pintaku.

    Ros menggeleng.

    "ish.. awak ni, kita suruh duduk je, bukan suruh buat apa pun. Duduk la.. tak ada sesiapa duduk kat sini" Pelawaku lagi.

    "Ehemm.. baguslah tu, nak suruh duduk atas kerusi pun kena pujuk. Lepas tu buang masa aku yang dah sedia nak mengajar ni.." Kata Iman Harraz, masih kedengaran sinis, sambil menunduk menyelak helaian kertas di tangannya.

Terus aku tarik tangan Ros supaya duduk jadi Iman Harraz takkan memerli kami lagi. Ros akur, itupun dengan reaksi muka yang serba tak kena. Pasti dia tak selesa.

    Setelah berpuas hati dengan keadaan yang tenang ini barulah Iman Harraz memulakan sesi pengajarannya. Satu perkara yang aku tak faham, dia kata dia penasihat aku, tapi kenapa dia bereaksi macam dia cikgu aku?

    "Aku tak tau Ros dah bagitau kau tentang kedudukan sebenar kau dalam Villa ni atau tak, tapi aku tetap nak bagitau yang kau bukan sekadar cucu Tuan Pengerusi yang dijumpai setelah hilang bertahun-tahun dan akan hidup mewah, bersenang lenang di villa sini. Buat permulaan, ya, kau akan duduk senang lenang di sini tapi nanti, kau tetap akan diperkenalkan kepada pihak luar tentang kewujudan dan penemuan kau setelah bertahun-tahun." Iman Harraz berhenti bersuara seketika.

    "Kau juga akan mewarisi harta pusaka dan legasi rangkaian hotel terbesar di malaysia kepunyaan atuk. Sebab tu, sebelum kau benar-benar bersedia untuk bersemuka dengan dunia, kau kena belajar betul-betul. Jangan main-main dalam kelas aku!" Katanya menyambung bicara.

    Tiba-tiba aku terasa macam ada satu beban yang sangat berat menghempap bahuku. Aku akan mewarisi legasi rangkaian hotel kepunyaan atuk? Bermakna aku perlu uruskan perniagaan ini? Oh.. aku tak minta untuk punya harta yang banyak dan tanggungjawab yang besar ini, aku cuma ingin jadi manusia biasa yang hidup dengan cara aku sendiri. Sekurang-kurangnya, cita-cita terbesar aku buat masa ini, aku cuma ingin jadi penulis, bukan pewaris harta berjuta-juta!.

    Aku tersentak bila petikan jari Iman Harraz kedengaran jelas di telingaku. Aku memandangnya, terpinga-pinga. 

    "Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?" Soalnya. Jarak dia berdiri dengan kedudukan aku duduk, agat rapat.

    "Dengar.." Balasku. Cepat sangat fikiran aku melayang.

    "Lain kali tolong jangan berangan dalam kelas aku." Dia memerliku.

Aku mencebik. Mana ada aku berangan, aku cuma terfikir je.

    "Berapa umur kau sekarang?" Soalnya, membawa aku kembali fokus kepada keadaan persekitaran.

    "22.." jawabku. RIngkas.

    "Sebelum ni kau belajar sampai tahap mana?" Soalnya lagi. Seperti temubual exklusif pula aku rasa.

    "SPM."

    "Tak sambung belajar?"

    "Tak"

    "Kenapa?"

    "Tak sampai hati nak susahkan mak dan abah."

    "Bukan sebab kau yang malas belajar?"

    "Tak!,"

Iman Harraz ketawa. Ketawa pendek. Aku ragu-ragu dia ketawa sebab apa yang aku cakap itu lucu atau dia ketawa sebab dia sedang memerliku?. Harraz.. mana pernah nak ikhlaskan diri bercakap atau ketawa dengan aku.

    "Aku dah nampak.." Katanya, dengan sengihan senget di bibir.

    "Nampak apa?" Soalku, keliru. Sempat aku pandang Ros di sebelahku, meminta pendapat. Ros jongket bahu. Tak tahu.

    "Kelemahan kau."

    Aku garu kepala. "Kelemahan...." Berfikir. "Kelemahan apa?" Soalku, bila tak dapat jawapan daripada pemikiran itu.

    "Bila berhadapan dengan pihak media, diorang akan tanya soalan-soalan yang tak logik dan tak masuk akal. Kat situlah bila kau tersalah cakap, atau kau tersilap tafsir soalan wartawan, mereka akan terus memanipulasikan fakta dan soalan. Kau harus lebih peka." Terangnya. Kali ini dia nampak tegas. Tak lagi dengan mimik muka menyindir.

    Aku garu kepala lagi. Adakah Iman Harraz sekarang sedang mengajar aku? Tapi aku tak dapat tangkap bila mula-mula dia bertanya soalan lepas tu dia bagi penerangan. Apa ni.. pening lah.

    "Kau faham ke tidak apa yang aku cakap ni??" Soal Iman Harraz, berlagu.

    "Tak faham..." Jawabku, takut-takut. Aku pegang tangan Ros di bawah meja. Meminjam semangatnya. Ros membalas usapan tanganku seolah-olah dia mengalirkan semangatnya kepadaku.

    Iman Harraz mengeluh.

    "Kau takut dengan aku ke Rina?" Soal Iman Harraz, mengendur.

    Terus aku pandang mukanya. Apa dia panggil aku tadi?

    "Apa?" Soalku kembali. Ingin mendengar dengan lebih jelas.

    "Kau takut dengan aku ke?..." Soalnya, lembut. Ok, mungkin aku salah dengar. Dia tak panggil aku apa-apa pun.

    "Ermmm...." Aku serba-salah samada nak cakap ya, atau tidak. Kalau aku cakap 'ya' dia mungkin akan jadi lebih besar kepala, dia mungkin akan buat aku lebih takut kepadanya. Tapi kalau aku kata tidak?
Masalahnya, aku tak takut dengan dia, tapi Ros selalu menakut-nakutkan aku!.

    "Rina.. Rina... kau tak payah jawab pun aku dah tau jawapan kau. Aku ni manusia macam korang juga. Kau nak takut apa dengan aku? Bukannya aku nak makan kau pun..." Kata Iman Harraz sedikit tergelak. Lucu.

    Pasti, sekarang telinga aku memang tak salah dengar. Dia panggil aku RIna?

    "Awak.. nama kita Irina Imani binti Ilyas. kita tak kisah kalau awak nak panggil kita Irin ke, Irina, Imani atau apa saja nama lain asalkan bukan RIna!" Tegasku. Tak pasal-pasal aku jadi berani bila melibatkan namaku.

    Iman Harraz kerut dahi memandangku. 

    "Apa masalahnya kalau aku panggil kau Rina pun? Irina.. Rina.. ada beza ke?" Soalnya.

    "Ada.. kita tak suka orang panggil kita dengan nama tu."

    "chitt.. pasal nama pun nak jadi isu besar?." 

    "mestilah!"

    "apa-apa ajelah Irina..."

Iman Harraz berkalih ke rak-rak buku, satu buku dicapainya sebelum dilemparkan buku itu dengan lembut ke arahku. Mata aku silih ganti memandang diantara buku itu dengan mukanya. 

    "Baca buku tu, banyak maklumat yang boleh kau belajar" Katanya.

Aku membaca tajuk yang tertera di kulit buku tebal itu "How to talk to anyone, anytime, anywhere" bahasa inggeris? Aku tau la bahasa inggeris aku dapat 4 je dalam SPM, nak sebut pun tak berapa nak lancar, apatah lagi nak baca. Haduii..

    "Tu kamus berlambak kat situ, kalau tak faham rajin-rajinkan diri tu selak kamus." Kata Iman Harraz sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah rak yang menempatkan beberapa buah kamus. 

    "Aku nak keluar kejap, kau jangan ke mana-mana, aku balik nanti aku nak soal apa yang kau dah baca." Pesannya sebelum kelibat dia hilang disebalik pintu.

    Aku dan Ros berpandangan sesama sendiri. 

    Ros menggelengkan kepalanya dengan reaksi muka kesal. kemudian dia mengeluh.

    "Kenapa Ros?" Soalku.

    "Cik muda kena buat sesuatu..." Kata Ros.

    "Buat sesuatu buat apa?" Soalku, pelik.

    Ros memandang ke arah pintu yang tertutup rapat. Seolah ingin memastikan tiada sesiapa disitu sebelum dia mendekatkan badannya kearahku. Curiga pula aku melihat gelagatnya.

    "Tuan muda tu dah melampau. Ikut suka hati dia je nak buat macam tu pada cik muda. Apa? Dia ingat dia tu hebat sangat? Dengan pekerja-pekerja bawahan boleh la dia buli, suruh lari keliling villa segala bagai, tapi dengan cik muda mana dia boleh buat macam tu!." kata Ros agak berbisik, tapi kedengaran agak emosi.Ternyata dia sangat tak puas hati dengan cara Iman Harraz melayanku.

    "Itulah kita cakap, dia sendiri kata dia bekerja untuk kita tapi dia buat macam kita pula yang bekerja untuk dia. " Luahku, juga tak puas hati dengan cara Iman Harraz.

    "Cik muda tak boleh biarkan dia terus buat macam tu pada cik muda.. Cik kena lawan dia!" Kata Ros lagi. Lebih tegas. 

    Aku garu kepala.

    "Lawan? Nak lawan macammana Ros?" Soalku, berkerut-kerut dahiku saat ini. Takkan nak lawan tu, bertendang terajang? Ish.. agak-agak sikit Irin!. 

    "Cik muda kena la lawan cakap dia. Jangan ikut sangat apa yang dia suruh buat. Mana yang patut diikut tu, cik ikut je la.. tapi kalau dia suruh buat benda bukan-bukan, jangan buat." Ros mula menghasut fikiranku.

    "Benda bukan-bukan tu contohnya apa?" Entah kenapa aku menyoal macam orang dungu. Tapi memang wajar rasanya soalan ini aku tanyakan memandangkan aku baru beberapa hari bersama dengan Iman Harraz, masih banyak perkara lagi yang aku tak tahu tentangnya.

    "Ye la.. kalau dia suruh cik... hah! yang dia hukum cik berlari sepuluh pusingan satu villa ni, lain kali cik jangan buat, lagi.. something yang nampak agak tak kenalah, jangan buat. Gunakan kuasa cik sebagai cik muda Irina Imani, cucu kepada tuan pengerusi dalam rumah ni untuk menggertak dia." 

    Aku terangguk-angguk macam burung belatuk. Fahamlah aku sekarang.

    "Eh, tapi..."

Aku tak jadi hendak meneruskan kata-kata bila pintu dibuka dari luar dan Iman Harraz masuk dan berjalan menuju ke arah kami. Cepat-cepat aku berkalih menghadap buku, dan Ros pura-pura membantuku membaca.

    "Setakat mana kau dah baca?" Soalnya.

    "Err.. ha.. baru baca sikit.." Jawabku, teragak-agak. Baca sikit bendanya, satu perkataan pun belum sempat aku baca.

    "Lima minit." Katanya.

Aku mendongak.

    "Ha??"

    "Lima minit untuk kau baca dan fahamkan satu mukasurat tu." katanya yang sedang duduk menyandar di kerusi. Betul-betul ada gaya macam bos besar "kononnya".  

    Aku jeling Ros, nak dapatkan khidmat nasihat dia samada aku patut ikut arahan Iman Harraz yang ini atau tidak. Ros mengerdipkan matanya seolah menyuruh aku mengikut saja arahan tuan muda ini. Aku mengangguk perlahan dan mula membaca. 

    Serangkap demi serangkap aku baca. Mana perkataan yang aku tak faham aku tanya Ros, mana yang aku masih belum faham maksud ayat itu aku baca berulang-ulang kali. Dapat point aku tulis atas kertas, dan seterusnya sehinggalah Iman Harraz bersuara..

    "Timeout!"

    Aku mengangkat muka memandangnya terpinga-pinga. Suaranya betul-betul membuatkan tumpuanku terganggu. 

    "Haa??.." Soalku.

    "Lima minit dah habis. Terangkan kat aku apa yang kau dapat.." Katanya.

Aku merenung kertas yang dah aku contengkan tadi. Baru ada satu perenggan yang sempat aku tafsirkan? Rasanya macam lama benar aku membaca tadi. Aku pandang muka Iman Harraz yang menunggu penjelasan dariku.

    "Kita baru dapat sikit.. satu perenggan je.." Kataku.

    "Lembap betul la kau ni? Bahasa inggeris kau dapat berapa masa SPM dulu? Macammana kau nak jawab soalan-soalan yang wartawan tanya kalau diorang soal kau dalam bahasa inggeris? Itu pun belum kira slang cina, slang india, slang kelantan, slang mat salleh lagi tu. Hey..." Iman Harraz membebel dan mengeluh pada penghujung bicaranya. 

    Aku tertunduk merenung kertas yang aku pegang. Susahnya nak jadi cik muda Irina Imani, kan bagus kalau aku boleh terus jadi irin yang dulu. Tak payah fikir pasal benda-benda ni semua. Tiba-tiba hati aku jadi sebak. Sedih...

    "Dah la, pergi rehat dulu, nanti aku fikirkan cara nak ajar kau cepat belajar bahasa inggeris." kata Iman Harraz, perlahan.

    Aku masih kaku dikerusiku. Kata-katanya itu tak terkesan di telingaku. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan, yang aku masih fikirkan, kepayahan yang harus aku hadapi dalam menjalani kehidupan di villa ini.

    "Ros.. bawa cik muda keluar.." 

    Ros menarik tanganku setelah mendapat arahan daripada tuan mudanya. Aku bangun dan menggengam kertas di tangan. Sepanjang langkahku ke bilik, airmataku menitis jatuh ke pipi.
   

2 ceritaMia's lovers:

BlueApple said...

apelah si harraz ni tegas sgt!riter nk lagi!!!thumbs up!!

mia kaftiya said...

hehe.. ade sbb knapa harraz jd macam tu. *thumbs up? oh thank you...^_^*