http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, August 4, 2011

Bab 8




Makan malam tidak formal bak kata Ros ini cuma dihadiri oleh ahli keluarga dan tenaga kerja di villa ini sahaja. Ia sekadar majlis makan malam kecil untuk memperkenalkan aku dan mengumumkan kepulangan aku ke rumah ini kepada semua pekerja-pekerja. Memang aku agak gementar kerana selama ini aku cuma hidup dalam kelompok kecil dan tidak diberi perhatian langsung oleh orang-orang sekeliling tapi tiba-tiba malam ini akan diadakan satu majlis khas untuk aku. Mau tak gelabah?.

"Ros.. kenapa atuk kena buat semua benda ni? Kita bukan sesiapa pun sampai perlu diraikan.." Kataku meluahkan rasa gementar kepada Ros yang sedang mendandan rambutku.

Hanya beberapa jam bersama dengan Ros, aku sudah pun terasa ada 'kimia' diantara kami berdua, dan aku memilih untuk tidak lagi menggelarkan diri aku sebagai 'saya' kerana aku rasa ianya sangat-sangat formal, tapi aku juga rasa agak tak patut aku menggelarkan diri aku sebagai 'aku' kerana ia kedengaran agak kurang hajar. Kata ganti nama 'Irin' hanya akan aku guna bila berbicara dengan orang-orang dewasa yang 'tertentu' sahaja. Dan 'kita' adalah kata ganti nama yang lebih baik, sepertimana yang selalu aku guna bila berbicara dengan orang-orang yang lebih tua dariku, kecuali Bob!.


"Bukan sesiapa cik muda cakap? Cik muda Irina Imani adalah satu-satunya manusia yang paling dikehendaki sepanjang tempoh kehilangan cik tau tak? Mana boleh cik muda cakap cik muda bukan sesiapa.. semua orang dalam villa ini nak sangat tau dan kenal dengan cik muda, dan itu menunjukkan yang cik muda adalah seseorang yang sangat-sangat istimewa. A very very important person." Tegas Ros sambil menyematkan reben biru yang sederhana besar di atas kepala bahagian kiri rambutku. Dah rasa macam Hello kitty pula diletakkan reben macam ni..


"Tapi kita tak biasa.. kita takutlah. Cuba rasa tangan kita dah sejuk ni." Aku menghulurkan sebelah tanganku kepadanya. Ros menyambut dan digenggam kejap jari jemariku. Diteleknya, diperhati dan diusap.


"Tangan cik kena pakai losyen ni, bagi dia lembut sikit..." Kata Ros selamba.


Aku tarik balik tangan aku dari genggamannya dan berpeluk tubuh sambil membuat muka monyok dihadapan cermin. Ros terkekek-kekek ketawa di belakangku. Geram aku melihatnya, aku tengah serius, dia boleh main-main pula.


"Tak ada apa yang cik muda nak takutkan.. semua orang kat sini tak makan orang, lagipun saya akan sentiasa bersama dengan cik muda. Jangan risau ok?" Ros menunduk rapat di sebelahku yang sedang duduk sambil membuat gaya peace di hadapan cermin.


Aku mula tersenyum senang. Seronok bercakap dengan Ros yang ceria ni, sekejap saja rasa resah gelisah dalam diriku dah hilang.

"Jangan tinggalkan saya sesaat pun!" Aku menyuakan jari kelingkingku kepadanya sebagai tanda ikatan janji.

"Sesaat pun tak!.. tapi seminit boleh kot.." Katanya lalu menyambut huluran jari aku.

"Nakal la Ros nih."

"Dengan cik muda je... ok kita boleh pergi sekarang" Kata ros lalu bangun dan mengiringi langkahku ke tempat dimana majlis akan dijalankan.


****************


Aku tak tau yang aku memang terlewat untuk menghadiri majlis ini ataupun Ros sengaja membuatkan aku lewat keluar dari bilik, kerana sesampainya aku ke ruangan di tengah villa yang tidak berbumbung di atasnya dimana majlis itu diadakan, semua mata memandang ke arahku. Aku mula rasa tak selesa pada gaun yang aku pakai, sedangkan sepanjang hidupku inilah pakaian paling cantik aku pernah pakai. Aku mula rasa tak selesa dengan rambutku yang disanggul sedangkan selama ini rambut ikalku ini selalu aku lepaskan menutupi muka. Itupun hanya apabila rambut aku berada dalam keadaan baik, tidak kusut dan tidak kering. Aku juga mula rasa tak selesa untuk berdiri di sini dan terus-terusan direnung oleh perpuluh-puluh pasang mata.


Seperti memahami perasaanku, Ros memimpin aku ke tengah ruang dimana terdapat sebuah meja bulat yang menempatkan beberapa buah kerusi yang sebahagiannya sudah diduduki oleh atuk dan pak cik Ghazi juga beberapa orang yang belum aku kenali. Ros menarik satu kerusi untuk aku duduk sebelum dia duduk di sebelahku.

"Cantik pun cucu atuk ni, macammana dengan Ros? Dia jaga Irina baik-baik tak?" Soal atuk, ketawa.

Ros tertunduk malu diusik oleh atuk, amboi bila dengan aku bukan main lagi banyak cakapnya, tapi bila depan atuk, sepatah pun tak berani bersuara. Aku siku lengannya, tersenyum memerli.

"Ros ok, dia banyak cakap.. " Kataku, sengaja membuatkan Ros semakin tak senang duduk.

"Baguslah macam tu, kalau Irina tak selesa atau tak suka dengan sesiapa atau dengan apa-apa pun, mesti beritahu atuk ya.. atuk akan sediakan semua yang terbaik untuk cucu atuk ini." Kata atuk, serius mukanya. Mungkin dia benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya. Aku jeling Ros disebelah, agaknya kalau aku kata aku tak mahu Ros jadi pembantuku, atuk akan menukarkan dia dengan yang lain tak?

Ros membalas pandanganku dengan reaksi muka sedih. Seperti tau-tau saja apa yang sedang aku fikirkan. Oh ya, bukan ke Ros boleh baca fikiran aku? Aku tersenyum lucu melihat reaksi mukanya.

"Baiklah atuk." Balasku, kembali meberi tumpuan pada kata-kata atuk tadi.

Atuk mengangguk dan tersenyum lagi, aku terperasan yang atuk asyik tersenyum dari tadi. Tak penat ke?.
"Oh ya, memandangkan mulai hari ini irina akan jadi penghuni dalam villa ini, atuk akan kenalkan Irina dengan orang-orang kuat di villa ini." Kata atuk.

Aku buat muka teruja. Konon tak sabar nak tau siapa 'orang-orang kuat' di villa ini, padahal teruja nak makan makanan yang terhidang di hadapan mata. Nampak sangat menyelerakan! Nyum!.

"Dalam villa ini ada lebih kurang 30 orang pekerja yang bekerja dalam bahagian masing-masing. Irina mungkin tak boleh nak kenal semua pekerja-pekerja kita tapi Irina boleh bezakan setiap pekerja dan tugasnya daripada pakaian seragam yang mereka pakai. Tapi malam ni, atuk benarkan mereka pakai pakaian bebas, nanti Irina boleh minta tolong Ros untuk tunjukkan."


Atuk memandang Ros menandakan tugas itu diserahkan kepada Ros. Faham dengan maksud atuk, Ros menundukkan sikit kepalanya. Mengerti.


"Tapi disebalik semua pekerja-pekerja ini, ada seorang ketua yang akan memimpin mereka supaya setiap tugas akan jadi lebih teratur dan berjalan dengan baik." Atuk berhenti bercakap dan meneguk sedikit minuman. Haus agaknya asyik bagi penerangan pada aku panjang lebar dari tadi.

Aku memandang satu persatu muka yang berada di meja ini, mereka cuma senyap sejak tadi. Mungkin mereka adalah ketua-ketua yang atuk maksudkan tadi?.

Selesai meneguk minuman, atuk mula bercerita kembali.

"Mereka yang berada di sini adalah ketua-ketua jabatan, kenalkan ini Rashid, Head Chef di dapur." Atuk memperkenalkan aku dengan seorang lelaki yang agak besar badannya dan berkulit sawo matang. Aku senyum dan menundukkan kepala sebagai tanda hormat.

Dia membalas 'teguran' aku dengan turut melakukan sedemikian.

"Ini Maimunah, Chief Maid di villa ini." Atuk menunjuk pula kepada seorang perempuan yang agak berumur tapi tak tua, cuma mukanya nampak agak matang. Mungkin usiannya dalam lingkungan akhir 40-an atau awal 50-an. Belum sempat aku menegurnya, dia terlebih dahulu menundukkan kepalanya ke arahku dan tersenyum segaris. Senyuman segaris yang tak sampai seminit, nampak sangat yang dia memaksa diri untuk mengukirkan senyumannya untukku. Hipokrit!.

"Ini Sibir, Head gardener, dialah yang bertanggungjawab menjaga dan mencantikkan pemandangan di kawasan villa ini." Lelaki yang agak berumur dalam lingkungan usia pak cik Ghazi ini nampak agak mesra dan lebih suka tersenyum berbanding yang lain-lain. Dia siap mengangkat tangannya ke arahku. Aku cukup sekadar membalas senyumannya. Segan pula nak angkat-angkat tangan segala.

"Dan yang ini, mungkin Irin dah kenal. Ghazi, orang kepercayaan atuk yang merupakan Pembantu peribadi atuk."

Aku mengangguk dan tersenyum. Mana boleh tak kenal, dia orang pertama yang aku jumpa sebelum atuk.
"sebenarnya ada seorang lagi yang atuk nak kenalkan pada Irina tapi malam ni dia tak dapat datang, jadi mungkin esok atuk akan kenalkan. " Kata atuk lagi.

Aku pandang Ros. Tiba-tiba terasa nak tau sangat pula siapa lagi seorang manusia yang atuk nak kenalkan kat aku tu. Ros membalas pandanganku dengan senyuman penuh makna tersiratnya, tengok tu, sempat pula dia kenyitkan mata.

Selepas itu, pak cik Ghazi bangun dan meminta aku untuk memberi sedikit ucapan pengenalan sebelum majlis makan malam bermula. Sudah aku terpinga-pinga. Aku nak cakap apa? Masa sekolah dulu aku tak pernah jadi pengawas, tak pernah jadi pengacara majlis, tak pernah berucap depan orang ramai, tiba-tiba aku diminta berucap di hadapan lebih 30 orang manusia. Walaupun jumlah ini tak seramai jumlah pelajar-pelajar di sekolahku dulu, tapi aku masih tak berani, err.. nak cakap apa pun tau.

Ros menarik tanganku dan memimpin aku berdiri ke satu sudut. "Kita nak cakap apa ni Ros?" Soalku berbisik ke telinga Ros.

"Bagitau nama cik muda." Kata Ros, mengajarku.

"Err.. hai! Saya Irina Imani.." Dah, seperti yang Ros suruh, itu saja yang aku sebut.

"Cakaplah lagi.." Gesa Ros, perlahan di telingaku.

"Nak cakap apa? Kita tak tau.." Aku pula berbisik di telinganya. Banyak mata yang memandang tidak kami hiraukan.

"Cakap.. 'terima kasih sebab sudi tunggu kepulangan saya selama ini dan tolong beri kerjasama. Terima kasih.' Dah itu je." Pesan Ros. Ayat yang diberikan itu terlalu panjang pula aku rasakan sehingga membuatkan aku sukar untuk mengingati dan mendengar dengan jelas. Penyudahnya aku cakap sajalah apa yang terlintas di fikiranku saat ini.

"Err.. tolong bagi kerjasama pada saya dan terima kasih." Dah! Cukup, aku nak duduk di kerusiku sekarang juga. Menonong aku berjalan tanpa mempedulikan orang sekeliling. Pak cik ghazi pantas mengambil alih tempatku dengan menjemput semua orang menjamu selera.

Meja lain disediakan khidmat bufet cuma meja kami saja yang dihidangkan makanan atas meja. Ros membantuku mencedokkan makanan ke dalam pinggan. Melihat makanan yang disediakan ini betul-betul membuatkan aku rasa seperti makan di hotel lima bintang, sekalipun aku belum pernah ke restoran-restoran di hotel lima bintang. Tanpa mengambil pusing tentang keadaan sekeliling, aku makan dengan penuh berselera. Habis je makanan dalam pinggan, Ros cedokkan lagi dan lagi dan lagi sehinggalah aku berhenti makan kerana terlalu kenyang.

"Irina.. jom ikut atuk."

Atuk memanggilku sewaktu aku sedang mengusap perut. Teruk betul perangai aku. Perlahan-lahan atuk bangun dari kerusi dan dibantu oleh pak cik Ghazi. Aku hentikankan perangai buruk mengusap perut yang kekenyangan dan mengambil alih tugas pak cik Ghazi dengan memimpin atuk ke satu sudut yang agak jauh dari orang lain. Aku dudukkan atuk di kerusi manakala aku duduk di atas buaian bulat berhias indah dengan pokok bunga menjalar. Unik betul buaian ini, oh sempat pula aku buat analisa tentang buaian yang aku duduki.

"Kaki atuk kenapa?" Soalku, kalau tak silap siang tadi atuk duduk di atas kerusi roda.

"Biasalah, penyakit tua.."

"Penyakit tua tu penyakit apa?" Soalku agak dungu. Penyakit tua ada banyak tapi aku tak tau pula sakit kaki juga dipanggil penyakit tua?.

"Dulu, atuk kena stroke, tapi sekarang dah baik dah, cuma kaki ni je masih dalam proses pemulihan."
"Oh, patutlah.. ingatkan sakit apa."

"Irina macamana?" Soal atuk, pandangannya fokus kepadaku saja.

"Macammana.. apa? Irin macam ni lah."

"Hidup Irin selama ni baik-baik saja ke? Atuk minta maaf sebab atuk terlambat jumpa Irin. Masa kejadian tu berlaku, atuk tak ada kat sini, atuk sibuk uruskan kerja kat luar negara. Bila atuk balik, baru atuk dapat tau yang Irin hilang. Atuk rasa serba salah sampai sekarang. Maafkan atuk?" Atuk memegang tanganku dengan matanya yang berkaca. Dia nampak betul-betul kesal atas apa yang telah berlaku.

"Tak. atuk tak salah apa-apa. Benda tu dah memang nak jadi kita semua pun tak dapat halang, tak dapat dijangka. Sekurang-kurangnya sekarang atuk dah jumpa Irin." Aku tersenyum. Cuba menghilangkan perasaan serba-salah atuk dengan senyumanku.

"Nasib baik atuk sempat jumpa Irin sebelum atuk tutup mata, kalau tak atuk akan pergi dengan perasaan serba salah yang tak berpenghujung." kata atuk sedih campur lega.

"Atuk... kenapa cakap macam tu, kan Irin dah ada kat depan mata atuk ni? Dah la, tak mau cakap pasal sedih-sedih ni lagi, kita tukar topik. Ermm.. betul ke villa ni dibina untuk kita satu keluarga?" Soalku, entah kenapa soalan itu yang aku tanyakan pada atuk sedangkan Ros sudah membuka hikayat sejarah rumah ini kepadaku beserta dengan fakta yang turun dari mulut ke mulut.

Atuk ketawa sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku angkat kening, pelik dengan reaksi atuk yang tadi sedih kini ceria.

"Kenapa atuk ketawa? Irin salah cakap ke?" Soalku keliru. Rasanya macam itulah yang Ros bagitau aku.

"Tak.. bukan Irin yang salah cakap, atuk cuma pelik, macammana cerita ni boleh tersebar. Memang masa atuk buat keputusan untuk bina villa ni, tujuan atuk cuma satu, atuk nak kita satu keluarga tinggal kat sini jadi atuk akan ada lebih banyak masa untuk keluarga, tapi tak siapa yang tahu rupanya belum pun sempat rumah ni siap dibina, kejadian tu pun berlaku. Atuk pernah halang pembinaan rumah ni daripada diteruskan sebab atuk rasa kerana rumah ni, anak-anak atuk pergi, tapi bila dapat tau yang Irin mungkin masih hidup, atuk mula teruskan balik proses pembinaan dan jalankan proses pencarian Irin secara besar-besaran.."

"Dan selepas 19 tahun berlalu, barulah Irin dijumpai..." aku menyambung kata-kata atuk.

"Ya, selepas 19 tahun... mujur atuk belum berhenti berharap. Oh ya, mak ayah angkat Irin baik?"

"Oh, mak dan abah sangat baik. Lagipun diorang tak ada anak, jadi diorang dah anggap Irin macam anak diorang sendiri, mak abah bagi Irin sekolah, tanggung makan minum Irin, bagi Irin tempat tinggal.. walaupun tak mewah macam yang atuk bagi ni, tapi Irin tetap bersyukur sebab ada diorang." Kata-kata aku itu keluar tulus dari hati yang sangat menghargai jasa mereka.

"Satu hari nanti, atuk pun nak jumpa mak ayah angkat Irin tu, atuk nak ucapkan terima kasih sebab dah jaga cucu atuk dengan baik.."

"Boleh, nanti Irin bawa atuk pergi sana, tapi kena tunggu atuk betul-betul sihatlah, sebab perlis tu bukan dekat. Irin naik kereta tadi pun dah rasa sakit badan, atuk apatah lagi.."

"Atau pun kita bawa diorang datang sini pun boleh.." Cadang atuk.

"Ha'ah.. boleh mak dan abah tidur kat sini lama sikit kan atuk?" Soalku teruja.

"Boleh.. boleh.." dan perbualan kami seterusnya mula menjerumus ke topik-topik ringan yang merapu-rapu...


************************


"Rosss.. siapa lagi seorang yang atuk nak kenalkan kat kita tu?" Soalku sewaktu kami di bilik setelah selesai majlis makan malam sederhana meriah itu.

"Seseorang itu... adalah seseorang yang sangat penting dalam hidup cik Irina." Kata Ros sengaja ingin berteka-teki denganku.

"Kenapa pula dia sangat penting pada kita"

"Sebab.. dia pegang amanah yang sangat besar daripada tuan pengerusi."

"Amanah? Amanah apa ni Ros, eeiii.. jangan la main-main, cerita la kat kita betul-betul." Rayuku. Makin penasaran aku dibuatnya.

"Dia.. adalah seseorang yang pendiam." Ros menarik tanganku supaya duduk di kerusi dihadapan cermin solek. Sambil menanggalkan reben di kepalaku dia berkata lagi..

"Dia.. bukan sombong tapi dia selalu dianggap sombong. Entahla mungkin sebab dia pendiam jadi dia nampak macam sombong kot.." Ros melepaskan sanggul rambutku pula dan menyisirnya dengan sikat.

Aku langsung tak faham siapa yang Ros ceritakan ini, tapi aku juga langsung tak berkesempatan untuk bertanya, bila setiap kali aku nak buka mulut bertanya, suara Ros dulu yang akan lancar berkata-kata.

"Umur dia 24 tahun, sebaya dengan saya tapi saya selalu rasa yang dia tu lebih tua dari saya.."

Aku berpusing dari menghadap cermin ke menghadap muka Ros. "Umur Ros 24 tahun?" Soalku terkejut. Aku ingat Umurnya mungkin sebaya dengan aku je, tak sangka rupanya dia lebih tua dariku.

"Err.. ya, kenapa?" Soal Ros, pelik. Terangkat sebelah keningnya.

"Kita ingat Ros sebaya kita je, tak sangka rupanya lebih tua dari kita. So, kita kena panggil Ros kakaklah?"

"Kakak? Eh, tak payah, tak payah. "

"Kenapa?"

"Sebab pertama, saya rasa macam terlalu tua kalau cik Irina panggil saya kakak, dan yang ke dua, sebab saya adalah pekerja cik Irina, takkanlah majikan nak panggil pekerjanya dengan panggilan-panggilan yang sebegitu kan?"

"kita bukan majikan awak, Ros bekerja dengan atuk kita jadi tak ada masalah kalau kita panggil Ros kakak. Kan?"

Ros hembus nafas mengeluh. "Tak mahulah, panggil saya Ros saja ok, lagipun kan cik muda kata saya nampak muda daripada usia sebenar? hehhee.."

"Apa la awak ni Ros, tau tak, kita ada sorang kawan lelaki yang tak suka kita panggil dia abang sedangkan umur dia dah 25 tahun. Nama dia Bob."

"Bob? Mesti dia gemuk.."

"Tak lah, dia kurus. Masa kecil-kecil je dia gemuk.."

"Ye ke? Dia tu kacak tak?" Soal Ros, mulalah tu.

"Tak kacak, tapi sweet, dah la Ros ni, sambung balik cerita pasal orang sombong tu"

"Urrmmm... cik muda yang kacau saya bercerita tadi, sekarang nak salahkan saya pulak. Ok lah, berbalik pada cerita manusia pelik itu tadi, dia adalah anak kepada tuan Ghazi. Oleh kerana tuan Ghazi adalah orang kepercayaan tuan pengerusi, secara tak langsung anak tuan Ghazi tu juga menjadi orang kepercayaan tuan pengerusi, makanya, dia dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah di syarikat tuan pengerusi."

"Kalau cik Irina nak tau, dia ni.. sangat berkarisma. Bila dia berjalan.. teratur dan kemas je langkahnya. Bila dia bercakap, jelas dan mudah difahami. Bila dia makan.. sangat sopan dan penuh tertib. Bila dia... "

"Maksud awak orang ni, lelakilah ya?" Soalku. Tak sukar untuk aku mengagak dengan hanya melihat sinar mata Ros yang bersinar-sinar, liuk lentok tubuhnya yang seperti ditiup angin, senyuman di bibirnya yang manis bagaikan gula-gula.. pasti dia sedang bercakap tentang lelaki.

"Ish.. macammana cik muda boleh agak ni? saya baru nak buat kejutan untuk cik esok.."

"Maksudnya betullah lelaki? Kejutan apa pula yang awak nak buat ni Ros.. Ada-ada je."

"Kejutanlah, bila cik tengok dia baru cik tau macammana orangnya."

"Ros, awak buat kita jadi makin curious la.. siapa dia tu sebenarnya? Kenapa dia kena jadi orang yang sangat penting untuk kita?.. " Aku terdiam beberapa saat bila ada sesuatu terlintas di fikiranku.

"Ros, jangan-jangan maksud awak, dia tu bakal jadi suami kita? Atuk yang tentukan perkahwinan kami ni? Macam tu ke??" Soalku mula risau. Aku kembali ke sini bukan untuk dikahwinkan dengan mana-mana lelaki, aku kembali sekadar untuk.. sekadar untuk.. ahh, aku kembali ke sini kerana ini memang tempatku!.

"Hah.. macammana cik muda tahu?" Soal Ros juga terkejut. Nampaknya kejutan yang dia nak buat tu memang tak menjadi langsung.

"Haaa.. Ros! betul ke atuk nak kahwinkan kita dengan lelaki tu? Ala.. macammanani? Kita tak nak kahwin lagi la, kita baru 22 tahun ok." Aku mula resah macam cacing kepanasan. Elok-elok duduk depan cermin, kini aku berjalan ke hulu ke hilir dengan rambut yang kembang kerana 'gulungan' semulajadinya dah hilang, akibat baru disikat.

"Cik muda, sabar.. sabar. Duduk dulu. " Ros cuba menenteramkan aku dan mendudukkan aku di atas katil.
"Selagi tuan pengerusi tak cakap apa-apa cik muda tak payah bangkitkan apa-apa tentang hal ini. Rileks saja ok?"

"Siapa lelaki tu?" Soalku.

"Anak tuan Ghazi lah."

"Siapa nama dia?" Lebih tegas.

"Tuan muda Iman Harraz.."

Aku telan liur. Gulp!.

3 ceritaMia's lovers:

Rindu Lukisan said...

n3 ke 8 baru timbul TMIH...Mia sambung cepat2 k...x sabar dh ni...

mia kaftiya said...

haha.. lambt btul hero keluar kan.. baiklah, sedang cuba siapkan sbb tgn asyik menggeletar je bila nak taip, iman harraz ckp dia malu nak keluar.. hahahah...

Nur Hamidah Lubis said...

Kan Irina Imani baru j 22 tahun umur dia, then kenapa tulis kehilangan dia setelah 19 tahun silam????
Bukan seharusnya 17 eh ??? (Umur dia masa tu kan 5 tahun !)