http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, October 15, 2011

Bab 20



Aku rasa badanku menggigil kesejukan. Tak pasti kerana suhu penyaman udara yang dipasang terlalu tinggi, atau tingkap bilik tidak ditutup dan menyebabkan udara luar masuk ke dalam. Entahlah.. walauapapun sebabnya, aku hanya mahu rasa sejuk ini hilang dari mengganggu tidurku. Aku buka mata. Kabur. Gosok-gosok mata dengan jari, lampu malap yang dipasang menyukarkan aku untuk melihat sekeliling dengan lebih jelas. Kepala aku berpinar-pinar, membuatkan aku pandang sekeliling pun nampak macam berpusing-pusing. 

Ah.. aku tak ada masa nak fikir benda lain selain cari alat kawalan jauh penyaman udara dan matikan ia terus. Perlahankan suhu pun takkan mengubah apa-apa. Tapi menjadi satu masalah pula bila aku tak tahu dimana ianya diletakkan. Rasanya sepanjang masa penyaman udara di bilik ini dipasang. Sekali-sekala menjadi tugas Ros yang akan menukar suhu mengikut keadaan. Jadi aku memang tak tahu dimana benda alah itu diletakkan. 

Badan aku semakin sejuk. Hampir menggigil. Kepala aku makin berpusing-pusing. Lantas aku terbaring kembali. Walaupun sudah berselubung dengan selimut tebal pun belum cukup untuk menghilangkan rasa sejuk yang mengcengkam tulang belulangku. Tiada pilihan lain, aku terpaksa ganggu waktu tidur Ros. Telefon bimbit yang biasanya aku letak bawah bantal aku gagau. Jumpa. Dengan mata yang tak berapa nak buka aku cari nama Ros sebelum menekan butang 'panggil'. Dua tiga kali tut, panggilan dijawab.

"Ros.. sorry kacau awak tidur. Kita nak tanya mana awak letak remote control aircond? Sejuklah..." Aduku, dengan mata terpejam.

"Remote control aircond letak kat mana pun kau nak tanya kat Ros? Betul la kau ni..." Kata suara  di hujung sana. Terus aku buka mata. Nama di skrin aku pandang lagi. Nama 'tuan muda singa' terpapar di situ. Alamak.. macammana boleh tersalah call ni...

"Oh.. er.. sorry, tersilap dail. Oklah. Bye" Kataku lalu menekan butang merah. Talian ditamatkan. Aku mencari kembali nama Ros di senarai buku telefon dan membaca nama yang tertera itu berulang kali sebelum aku menekan butang panggil, selepas aku yakin yang aku tak salah dail lagi.

Kali ini betul suara Ros yang menjawab panggilan dengan suara serak basah. Pantas aku tanyakan apa yang aku mahu kerana tak mahu mengganggu dia lebih lama dengan bermukadimah meminta maaf kerana mengganggu segala bagai. 

"Benda tu ada kat dinding tak jauh dari tempat aircond tu." Kata Ros, separa mamai. Aku bangun dan melihat-lihat di sekeliling. Mencari dimana letaknya penyaman udara itu. Jumpa. Terus aku menuju ke arah dinding itu dan menarik alat kawalan jauh yang tersangkut elok di tempatnya yang terletak di dinding, satu butang aku tekan dan penyaman udara itu dimatikan.

"Ok Ros, dah. Terima kasih, good night." Ucapku lantas mematikan talian dan terus berlari naik ke atas katil dan berselubung. Sekarang aku dah rasa macam duduk dalam peti ais. Beberapa minit kemudian, aku terus terlena sampai ke pagi.

"Cik muda... bangun.." Aku terjaga bila terdengar suara Ros yang memanggil-manggilku, tapi aku tak terasa nak buka mata. Semacam ada benang yang dijahit antara kelopak mataku ini. Kemas.

"Cik muda... hemm, mulalah tu penyakit malas dia nak bangun pagi." Telinga aku disuap lagi dengan gelombang suara Ros yang kini disertai sentuhan lembut di kakiku yang dilapisi selimut. Aku terasa kaki aku digoyang-goyangkan beberapa kali beserta suara manja Ros memanggilku.

"Cik muda.. baik cik bangun sekarang sebelum saya call tuan muda. Biar dia sendiri yang gerak cik muda bangun!" Ugut Ros. Menggunakan pendekatan berbeza mengugutku dengan menggunakan nama Harraz. Haih.. aku tak takutlah dengan tuan muda yang suka merajuk tu.

"Cik mudaaaa..... bangunlah. " Rengek Ros selepas dia memanggil namaku dengan begitu kuat sekali sambil menggoyang-goyangkan badanku supaya aku bangun. Memang aku nak bangun tapi badan aku terasa macam digam dengan tilam ini. Tak boleh bergerak, dan mataku masih belum boleh dibuka. Macammana aku nak bangun. Nak keluarkan suara pun terasa macam tersekat di kerongkong. Lemah gila badan aku sekarang macam telefon yang kehabisan bateri dan perlu dicas. Oh ya, memang sejak semalam tubuhku ini belum di cas dengan makanan, selepas mandi malam tadi, aku terus kejar katil dan tertidur sampai tak ingat nak makan padahal perut aku dah macam budak kecik mengamuk tak dibagi main kat luar rumah.

"Cik muda..." Kali ini nada Ros memanggilku bertukar menjadi sedih dan lirih. Ros.. aku nak sangat cakap kat dia yang aku nak bangun. Aku nak sangat cakap kat dia yang aku tak ada tenaga nak keluarkan suara pun, aku nak sangat cakap kat dia yang.. aku lapar. Ros.. Ros.. dengarlah suara hati kita berkata-kata ni...

"Cik muda?" kali ini nada suara Ros bertukar pelik dan tertanya-tanya. Seperti dia mendengar pula suara hatiku itu.

"Cik muda kenapa? Bibir bergerak tapi suara tak keluar.." Soal Ros lagi. Aku terasa yang dia semakin dekat denganku. Oh, patutlah dia seperti mendengar suara hatiku, rupanya bibirku menunjukkan bahasa isyarat. Aku terasa Ros meletakkan tangannya di dahiku.

"Cik muda demam? Panas ni..." Kata Ros, cemas. Akhirnya.. aku berjaya memberitahunya keadaanku walaupun aku tak mengeluarkan suara. Baiklah, sekarang beri kita makan pula, Ros.   

"Cik muda.. apa saya nak buat ni? Cik muda bangunlah.. saya risau ni.." Rengek Ros cemas dan risau. Aku tak tahu apa yang Ros akan lakukan sekarang tapi aku dapat bayangkan mesti dia tengah garu kepala sambil berjalan mundar-mandir di hadapanku sambil mematah-matahkan jari-jemarinya. Reaksi biasa bila Ros dilanda kerunsingan dan kerisauan.

"Ros.." Aku cuba mengeluarkan suara walaupun suara yang terlontar itu sangat perlahan.

"Cik muda!, Cik muda demam.. nak saya panggilkan tuan pengerusi ke? Atau nak saya suruh tuan muda bawa cik pergi klinik?" Soal Ros bertalu-talu.

Aku menggeleng. "Lapar..." Rengekku. Dah macam anak merengek kat mak masa tengah demam.

"Lapar?" Ros mengusap rambutku. Macam seorang ibu yang sangat penyanyang. "Cik muda nak makan apa? Nanti saya ambilkan." Soalnya.

Kalau ditanya apa yang aku nak makan, memang macam-macam yang beterbangan kat dalam kepala aku sekarang ni. Tapi buat masa sekarang apa saja makanan pun boleh asalkan ianya mengenyangkan perutku. "Nasi.." Itu yang terluah di mulutku, spontan.

"Nasi? Ok saya pergi ambil. Tunggu kejap ya.." Ros bangun dan berjalan beberapa langkah sebelum dia berhenti kerana telefon bimbitnya berbunyi. Dia mengeluarkan telefon itu dari poket baju dan menjawab panggilan itu.

"Ya, tuan muda?" Ros menggunakan kata ganti 'hello' dengan terus memanggil nama tuan muda. Dia diam beberapa saat, mendengar suara di talian berkata-kata. "Cik muda demam.." Katanya lagi sebelum diam kembali. "tak, dia nak makan je. Oh.. ok, ok.." Dan talian dimatikan. Ros menoleh memandangku. "Tuan muda call. Dia suruh cik muda makan ubat. Saya pergi ambil ubat dan nasi ya?" 

Aku tidak mengangguk mahupun berkata ya. Dan Ros pun tidak menunggu aku untuk memberi reaksi kepada kata-katanya itu lalu terus mengatur langkah keluar dari bilikku. Sebaik Ros hilang dari pandangan aku kembali memejamkan mata, berniat untuk rehat sekejap sementara nak tunggu nasi aku sampai.

Tiba-tiba aku terasa seperti ada tangan yang melekap di dahiku. Ros? Cepatnya dia datang balik. Aku biarkan sebab aku malas nak buka mata. Tak lama lepas itu aku terasa sejuk je di dahi. Rupanya ada tuala basah yang diletakkan di dahiku. 

"Terima kasih Ros.." Ucapku, sangat menghargai kepekaannya.

"Sama-sama.." Jawab satu suara garau. Lelaki. Terus aku buka mata. Kelihatan Harraz sedang ingin mendudukkan dirinya di sebuah kerusi tak jauh dari katilku. Lah, mati-mati aku ingatkan Ros tadi.

"Apa awak buat kat bilik kita?" Soalku, kurang senang tapi masih dalam nada suara yang perlahan dan lemah. Kadang-kadang aku rasa macam bilikku ini langsung tak ada privacy bila suka-suka hati je Harraz boleh masuk ke sini, kadang-kadang mak su, dan kadang-kadang atuk. Tapi mak su dan atuk aku tak kisah sangat sebab kedatangan mereka ke bilikku bersebab dan sudah tentulah mak su itu perempuan, masuk ke bilik perempuan. Normal. Tapi Harraz lelaki, masuk ke bilik anak gadis. Bukan adik dia, bukan isteri dia, bukan sesiapa pada dia. Itu tak normal.

"Aku datang nak tengok kaulah.. teruk sangat ke sampai demam-demam sebab kesejukan malam tadi. Heh.. nak tutup aircond pun sampai kena tanya pada Ros. Boleh tahan juga kan kau ni." Katanya, dengan sengihan herot ke pipi kanan. Sinis.

Nasib baik aku tengah berada dalam keadaan tak berapa nak sihat. Kalau tak memang siap la aku halau mamat ni keluar dari bilik aku. Menyibuk aje. 

"Alah.. yang awak tu pun sama.." Balasku, perlahan. Setiap kali aku bersuara setiap kali itulah aku terasa macam seluruh tenaga tubuhku dikerah. Penat. Aku tak sepatutnya bertikam lidah dengan Harraz sekarang. Disaat yang aku perlukan adalah air dan makanan. Harraz sepatutnya menunggu sehingga aku betul-betul bertenaga baru dia boleh cari pasal dengan aku. 

"Aku sama apa? Aku tak harapkan orang lain untuk tolong aku, untuk layan aku macam anak raja. Bukan macam kau.." Katanya lagi. Sekarang aku rasa macam aku sedang bertekak dengan seorang lelaki yang tak cukup matang tentang perkara yang entah apa-apa. 

Tapi aku tak tahan untuk terus biarkan dia mengutuk aku sedangkan dia hanya kembali berperangai dingin dan aneh seperti ini selepas kejadian di tasik semalam. Jadi aku juga mahu membangkitkan isu itu. Aku masih belum puas hati tentang hal itu. "Alah, hari tu bukan main lagi merajuk deng... hukhuk.." Aku tak sempat menghabiskan kata-kataku bila aku terbatuk. Tekak aku perit. 

Harraz bangun, tanpa disuruh dia menuang air di dalam gelas yang terdapat di atas meja di satu sudut ruang dalam bilik ini sebelum dia mendekati aku dan menghulurkan gelas berisi air kosong itu kepadaku. Aku memandang gelas itu bersilih ganti dengan muka Harraz. Tanpa suara dia masih menghulurkan gelas itu kepadaku. Aku bangkit dari pembaringan, capai cawan itu dan meneguk air itu perlahan-lahan. Hanya sesuku dari air itu aku teguk kemudian aku hulurkan kembali gelas itu kepada Harraz. Dan aku kembali berbaring.

Harraz meletakkan gelas itu di meja bersebelahan katilku. Kemudian dia berjalan menuju ke arah kerusi tadi dan duduk kembali. Haishh.. bila dia nak keluar ni? Tak selesalah aku nak berehat. Nak halau karang, jatuh pula saham dia kena halau dengan aku. 

"Irin.. sebelum orang lain tanya, aku nak tahu sendiri dari mulut kau pasal semalam. Apa sebenarnya yang berlaku?" Soal Harraz. Dia menyatukan kesemuanya jarinya dengan badan yang dibongkokkan sedikit dan siku di atas peha. Gaya seperti seorang detektif pula aku tengok.

Aku terbatuk-batuk perlahan. Bukan batuk yang betul-betul tapi batuk yang dibuat-buat. Sebab aku tak selesa bercakap perkara serius dalam keadaan seperti ini. Sekurang-kurangnya kalau ingin berbincang, mungkin aku dan Harraz perlu sama-sama duduk di tempat yang lebih formal dan bukannya aku berbaring di atas katil dan Harraz duduk di sofa dalam bilik tidur!. Tak manis sungguh la..

"Aku tak ada masa nak tunggu sampai kau dah sihat dan bincangkan tentang hal ini di depan semua orang. Aku nak tahu dari mulut kau sendiri sebelum orang lain mula buat spekulasi. Apa sebenarnya yang berlaku?" Soal Harraz lagi. Seperti dapat membaca apa yang bermain di fikiranku.

"Mak su pergi tandas... kita tunggu kat butik baju.. haihh.." Aku berhenti seketika. Bukan mengeluh, tapi aku cuba menarik nafas dan mengumpul tenaga sebelum menyambung cerita.  Tau tak sangat penat nak cakap banyak dalam keadaan sekarang ni? "Lepas tu sebab dah lama sangat mak su pergi, kita pergilah cari mak su tapi tak jumpa.." Aku cuba meringkaskan seringkas-ringkasnya tentang apa yang sebenarnya terjadi. Supaya Harraz faham dan supaya aku tak perlu bercakap banyak.

"Kan mak su dah pesan suruh kau tunggu je kat butik tu, yang kau gatal sangat nak pergi cari mak su kenapa?" Soal Harraz lagi. 

"Sebab mak su pergi lama sangat, kita risau lah." Rungutku. Balik-balik kesalahan itu diletakkan atas bahuku. Mana aku tahu perkara macam semalam akan terjadi. Kalau aku tahu yang aku akan sesat, memang aku takkan kemana-mana sampai mak su datang. 

Tapi itu cerita "kalau"... Kalau aku tahu. Kalau aku tak pergi. Kalau mak su tak pergi tandas. 

"Lepas tu kau ada pergi ke butik yang kau pergi sebelum tu tak?" Soal Harraz lagi.

Aku menggeleng. Harraz mengeluh.

"Patutlah.. kau tau tak mak su pergi cari kau balik kat sana, tapi kau dah tak ada?"

Aku pintal-pintal hujung selimut. Mula rasa serba-salah. Mana aku ingat kat mana butik yang aku pergi sebelum tu, dah panik sangat..

Aku dan Harraz diam. 

"Cik muda.. nasi dah sampai.." Jerit Ros dari muka pintu bilik. Mungkin dia tak tahu yang Harraz ada disini. Kalau tidak takkannya dia akan menjerit sebegitu.

"Oppss.." Seperti jangkaanku, dia termalu sendiri bila melihat Harraz. Aku tersenyum lucu. Ros terus berjalan mendekatiku di katil dan meletakkan dulang makanan di sisiku. Aku bangun tanpa disuruh dan bersandar di kepala katil. Tak sabar-sabar nak menjamah makanan. 

Ros menyiku lenganku. Dari pandangan matanya, dia cuba berbicara denganku, apa yang Harraz buat kat sini? Aku mencebikkan bibir dan mengangkat bahu perlahan.Tak mahu Harraz perasankan perbuatan kami.

"Ros kalau demam cik muda tak kebah-kebah atau makin teruk, bagitahu saya." Pesan Harraz lalu dia bangun sambil bercekak pinggang.

Ros mengangguk, faham. 

"Satu lagi, kalau dia tak nak makan ubat, awak panggil je saya. Tahulah apa aku nak buat" Pesan Harraz. Sempat dia menjeling memandangku. Amaran keras itu. Mana dia tahu yang aku sebenarnya memang tak nak makan ubat??. Misteri betul. Semua tentang aku dia tahu.

1. Dia tahu yang aku nak jadi penulis, sedangkan aku tak pernah beritahu pada sesiapa terutama kepada manusia dalam villa ini tentang matlamatku itu.

2. Dia macam tahu-tahu yang aku memang dah lama ingin beli laptop. Ok, mungkin sebab dia tengok kejakunan aku mengusha laptop di kedai itu dulu jadi dia cuma belikan tanpa memikirkan apa-apa. 

3. Dia tahu yang aku tak suka makan sayur. Jadi dia mengambil kesempatan itu dengan mengugutku supaya makan sayur sebelum aku boleh keluar dengan maksu. 

Bukankah itu aneh?. Aneh kerana dia mengetahui sesuatu tentang aku sedangkan aku dan dia tak pernah sebulu dan kami hanya betul-betul "berkawan baik" cuma untuk tempoh waktu yang singkat. Dalam dua tiga hari saja yang aku boleh bercakap dengan dia tanpa ada pergaduhan, hukuman, tengkingan dan segala yang sinis.

Harraz keluar dari bilikku tanpa pamitan. Sepertimana dia datang ke bilikku tanpa undangan. 

"Apa tuan muda buat kat sini?" Soal Ros sambil menyuakan pinggan nasi ke arahku. Aku baru ingin menyambut tapi Ros kata dia akan suapkan. Tengok, betapa aku bertuah dapat pembantu peribadi yang penyanyang macam Ros ini.

"Dia kata saja nak tengok kita.." Jawabku sebelum sudu yang mengandungi nasi goreng di atasnya itu masuk ke dalam mulutku. Aku mengunyah perlahan. Rasanya dalam keadaan sebegini aku sepatutnya minta Ros bawakan bubur, jadi aku tak perlu memenatkan diri untuk mengunyah. Elok-elok nak tambah tenaga jadi perlu keluar lebih tenaga pula.

"Tengok cik muda? Baiknya dia... Saya baru cakap yang cik muda demam, belum cakap cik muda masuk hospital sebab penyakit kronik lagi." kata Ros, berkerut-kerut dahi dia sebelum dia memandangku dengan sengihan penuh makna. "Atau.. cik muda dengan tuan muda ada apa-apa hubungan yang saya tak tahu ni???" Ros menggerak-gerakkan jari telunjuknya di hadapanku dengan sengihan melebar. 

Aku tepis jarinya. "Merepek la awak ni. Kita tak pernah terfikir sampai ke situ pun, dan tak akan pernah berfikir tentang itu." kataku, yakin dan pasti yang Harraz bukan lelaki idaman aku. Aku nganga mulut, meminta Ros menyuapku lagi. 

"Tapi kalau ada apa-apa pun apa salahnya kan?" Soal Ros sambil menyuap nasi ke mulutku. Aku kunyah lagi. Soalan Ros aku biar tergantung.

"Kenapa? Cik muda tak suka tuan muda ke? Dia tu kacak apa.. alah, kalau setakat perangai dia tu boleh diubah la.." Giat Ros, mengusikku. Aku cebikkan bibir.

"Kalau awak nak, awak jelah ambik dia Ros." Kataku. Macamnya si Harraz tu barang mainan boleh main passing kat sesiapa yang mahu.

"Masalahnya, kalau saya nak kat dia pun, dia nak ke kat saya?" Soal Ros sambil menyuapkan lagi makanan kemulutku.

Aku sengaja beliakkan mata, pandang muka Ros dengan mulut yang tengah mengunyah. Konon-kononnya nak buat dia rasa malu sebab secara tak sengaja dia dah mengaku yang dia ada hati kat Harraz, tapi sebaliknya bahu aku yang ditampar kuat oleh Ros, sampai tersembur apa yang ada dalam mulutku itu. 

Ros ternganga. Tak sangka yang tamparannya itu sampai boleh mengeluarkan isi di dalam mulutku. Sekarang aku betul-betul rasa yang aku dah tak demam lagi sebab layan kerenah Ros. 

"Alamak... sorry, sorry cik muda.. saya tak sengaja." Ros bangun dan meletakkan dulang berisi makanan yang sejak tadi diletakkan di ribanya ke atas kerusi berdekatan. Ros melilau-lilau, samada mahu mencapai tisu, mengurut belakang aku atau berdiri saja sambil garu kepala. 

"Cik muda..." Panggilnya, nada serba-salah. Nampaknya Ros memilih untuk berdiri tegak dan hanya memerhatikan aku yang dah terbatuk-batuk ini. Sedangkan dia sekurang-kurangnya patut hulur air pada aku.

Ros garu kepala. Ros teragak-agak untuk berjalan ke kiri dan mencapai tisu di atas meja bulat atau ke kanan dan mencapai air untukku. 

"Air.." Pintaku, sekaligus memberitahu kepada Ros apa yang seharusnya dia lakukan. Ros capai air di meja bersebelahan katil dan dihulurkan kepadaku. 

"Cik muda.. sorry, saya tak sengaja. Spontan tertampar cik muda tadi" Katanya sambil mengurut-ngurut belakangku, dah la aku tengah minum ni, karang tak pasal-pasal pula dia buat aku tersembur air pula. 

         Habis air segelas aku teguk, aku hulur gelas kepada Ros. "Ros, selimut dah kotor ni." kataku dan menolak selimut itu jauh dariku. "Kita dah tak nak makan la.." Kataku. Letih. 

"Aik, makan pun tak habis lagi ni, takkan dah tak nak makan?" Soal Ros sambil menarik selimut dan menggulungnya dan diletakkan di sebelah katil, atas lantai.

Aku kembali berbaring. "Kita dah kenyang la. Ros la ni, buat kita hilang selera nak makan je.." Kataku sengaja membuat dia rasa serba-salah.

"Ala... kita tak sengaja la. Sorry..." Pinta Ros berlagu bila menuturkan perkataan maaf itu.

Aku senyum mengejek."Iyalah.. Ros, kita nak selimut. Sejuk.." Pintaku.

"Oh, kejap." Ros terus masuk ke walk in wardrobe dan keluar beberapa minit kemudiannya dengan selimut tebal, sebelum selimut itu diselimutkan ke tubuhku. "Eh, cik muda belum makan ubat lagi.." katanya seperti baru teringat pesanan Harraz tadi.

"Kita mengantuk ni Ros, tak payah makan ubat la. Kejap lagi baiklah tu.." kataku. Pejam mata dan bersedia untuk sambung tidur, padahal aku baru lepas makan. Mata yang dah semakin  memberat membuatkan aku tolak tepi teori lepas makan terus tidur nanti badan naik. Alah, lagipun aku makan dua tiga sudu je tadi.

"Cik muda.. makan ubat dulu. Nanti tuan muda tanya, saya nak cakap apa?"

"Cakap je kita dah makan, sebab tu kita tertidur." Balasku perlahan. Separuh fikiranku sudah mamai dialam mimpi.

"Cik muda tak baik ajar saya menipu tau.. cik muda cepat bangun, cik..."

Dan bebelan Ros sudah tidak masuk ke telingaku lagi. Aku dah hanyut ke alam mimpi.. Zzzzz...




p/s : Aku rasa serba salah nak buat benda lain like merewang kat facebook, nonton di youtube, skodeng di twitter, rileks kan otak dengan blogwalking dan segala bagai kerja yang sia-sia selagi aku tak siapkan Iman Harraz, sebab? Korang!. Sebab korang selalu ingatkan aku tentang kerja aku yang satu ni. Jadi terima kasih korang especially yang selalu post kat wall kak mia.. (u know who u are) sebab ingatkan akak yang Harraz sebenarnya ada peminat. heheh.. 

15 ceritaMia's lovers:

evy said...

hmmm...br ckp demam,cpt2 pg tgk ye Haraz..dah jatuh hati ke?..hehehe...
nak lg...

Qaireena Erlysa said...

sy ke tu org nya??Hahahaha...gurau je...buad Pengetahuan kak mia...TMIH adalah antara top cite yang saya suka tawu.. <3

amira aihara said...

chuwetttnya harraz..^_^

Kayrel said...

kak mia mmg best!!
go kak mia go harraz!!!
kerna kak mia adenye harraz...
tnpa kak mia siapela harraz.. cewaah..
... hihihi :D.....

nurafiqah airil said...

alamak terharunya..
thanks kak mia. :)
harraz ni macam ada apa-apa je..siap nak bincang hal tu lagi dan tahu semua pasal irin. misteri~

aisyahrosli said...

hee! comel la harraz datang tengok irin. =')
cepat2 sambung lagi.. ! :)

Anonymous said...

best2.... sambung lagi... awak memang penulis yg hebat......:)

Anonymous said...

rasa rasanya Haraz da jatuh sayang kat irin kot..dan mungkin dia syak yg Mak usu irin saja perjadalkan dia..
ce citer dik..betui ke..telahan akak ni..
salam
kak idA

mia kaftiya said...

qaireena erl - top fav enovel? ohhh..ohh.. *blushing* thank u. hehe.. :p

kayrel- ya,tanpa kak mia siapalah Harraz, tp tanpa korang Harraz takkan sampai ke tahap sekarg ini. thank you!!!.. *shout*

afiqa - thanks kat fiqa jugk sbb rjin komen n bace. Misteri Harraz akan terbgkar di next-next chpter. tunggu... *wah, budget suspen ar tuh?* hehe

aishah - kan? comel betul Harraz ni, hurmm.. tp kerek maha amat. Sinis!.

tanpa nama - alamak, malunya >_<. Sapa name kamu? lain kali letak nama okeh? nak bg reward sbb puji kite lebih2 nih.. heheh :p

mia kaftiya said...

kak ida - oh, mane bleh citer. akak kena tggu next chapterlah. hahahha.. :p

sue said...

best sangat... suka baca bila Harraz ada taman dalam hati ---- hehehe

arasnieryie@1995 said...

heheheee,cpt lar Harraz bg Irin mkan ubat!..cpt smbuh,cpt2 la diorg gado2..hihiii..

Kayrel said...

adui lambatnye sambungan strusnye... tersekse jiwe menunggu... :P

watiy said...

nak lagi,nak lagi,nak lagi... x sabar dh neeee plzzzzz

rahimawati said...

nak lagi, nak lagi, nak lagi.... x sabar neee..