http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, October 19, 2011

Bab 21



Selepas hampir tiga hari aku terlantar di atas katil, berselubung dalam selimut dan makan bersuap hampir setiap masa, hari ni... oh, dan juga dipaksa makan ubat, hari ini aku kembali sihat dan akan menjalani kehidupan seperti biasa. Aku tak tahu samada aku patut ucapkan terima kasih atau tidak kepada Harraz, yang memaksaku makan ubat dengan cara yang paling kejam iaitu dengan menyumbat ubat itu ke dalam mulutku sehingga membuatkan esoknya, iaitu hari ini aku automatik terus sihat.

"Ros, dia dah makan ubat ke belum?" Soal Harraz semasa dia dengan sengajanya datang menjengukku di bilik. Ros yang serba-salah tak tahu samada mahu berlaku jujur kepada Harraz atau menyebelahi aku dengan mengaku yang aku dah makan ubat tapi sebenarnya belum, hanya mampu berkata.. "Err..." Sambil urut tengkuknya.

Satu perkara yang aku tak pasti tentang Ros adalah, adakah dia memang tak pandai menipu atau dia sebenarnya takut dengan Harraz sehingga membuatkan dia tak berani nak menipu? Cukup dengan reaksi serba-salahnya itu, Harraz dah pun dapat jawapan sebenar yang aku belum makan ubat.

"Nah, makan sekarang." Dicapainya ubat demam berupa kapsul dengan dua warna, merah dan biru itu lalu diberikan kepadaku. Aku menggeleng. Nak tengok saiz kapsul itu saja dah buat aku rasa seram sejuk. Entah kenapa sejak dulu aku memang sangat allergik dengan hospital, klinik, doktor, jururawat, jarum suntikan dan ubat! Seolah-olahnya manusia-manusia yang berpakaian rasmi putih itu adalah zombi yang menakutkan, dengan bau-bauan yang memeningkan kepala. 

"Jangan la mengada-ngada, makan jelah." Rungut Harraz, masih menunggu aku mengambil ubat di tangannya itu. Aku menggeleng lagi. Aku tahu sampai di tahap mana ubat itu boleh pergi dalam mulutku. Sebaik saja air dilalukan, ubat itu serta-merta akan terkeluar balik, bukan terus mengikut aliran air itu menuju ke kerongkong seterusnya ke perut. Tidak!. Sudah banyak kali percubaan aku menelan ubat tidak berhasil yang mana akhirnya emak hanya akan memberikan aku panadol yang direndam dalam air suam jika aku demam. 

"Mengada-ngadalah kau ni, aku sumbat dalam mulut tu karang" Ugut Harraz. Aku mencebik, ini bukan soal mengada-ngada, ini soal aku tak mahu tapi dipaksa macamlah dia tu abang aku, atuk pun tak sibuk-sibuk nak memaksa macam dia tau?. 

Pantas, mulut aku ditekan dan ubat dimasukkan ke dalamnya. Elok-elok berbaring, aku terus terduduk, terkejut. Tapi belum pun hilang rasa terkejut kerana Harraz memasukkan ubat ke mulutku, sekali lagi aku dikejutkan bila Harraz memaksa aku minum. Segalanya berlaku begitu pantas. Sampai sedar-sedar aku sudah pun menelan ubat. 

"Hah.. boleh pun makan ubat." Katanya sebelum dia beredar keluar dari bilikku. Aku dan Ros berpandangan seketika. Ternyata Ros juga terkejut bila mulutnya masih lagi ternganga sebelum aku terbaring kembali. Ini adalah pengalaman pertama aku dipaksa makan ubat sehinggakan aku langsung tak sedar yang aku dah pun selamat menelannya. Memang ini peristiwa yang aku takkan lupakan sampai bila-bila.

Aku masuk ke dalam bilik bacaan, Harraz tiada di dalamnya tetapi ditinggalkan barang-barangnya di atas meja. Seperti seorang gadis yang langsung tidak terfikir yang aku mungkin sedang mencerobohi hak peribadi orang lain, aku terus melihat-lihat buku-buku dan helaian kertas yang bertabur di atas meja itu sekali lalu. Kebanyakannya adalah berkaitan dengan jadual harianku, nampaknya Harraz masih lagi sedang menyiapkan modul-modul pembelajaran aku. 

Aku capai pula buku motivasi bahasa inggeris dan melihat sekali imbas kulit hadapan dan belakangnya. Satu perkara yang aku perasan tentang Harraz adalah, dia memang akan sentiasa memegang sebuah buku di tangan walau kemana dia pergi. Tapi sebelum ni aku tak pernah ambil peduli pun buku apa yang dia suka baca, tapi melihat dari buku ini nampaknya buku bercorak ilmiah menjadi pilihannya. Ermm.. not bad. Sekurang-kurangnya selain suka menghukum, dia juga punya hobi yang lebih baik iaitu membaca.

Aku letak buku itu di tempat asalnya, tangan aku laju pula ingin mencapai diari hitam yang diletak bersebelahan dengan buku tadi, tapi tiba-tiba mata aku terpandang sesuatu yang sangat biasa aku lihat, terletak di bawah diari hitam itu. Aku tarik buku bercorak anak beruang itu dan membaca nama yang tertera.. "Irin and her soul" jantung aku rasa macam berhenti berfungsi. Kenapa buku nota yang hilang dari simpananku selama ini boleh ada pada Harraz?

Tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Kelihatan Harraz masuk dan terhenti di muka pintu kerana dia sendiri terkejut melihat aku disini yang sedang memandangnya tajam. Kemudian dia mengatur langkah ke arahku dengan soalan "Kenapa kau ada kat sini?" 

Tapi soalannya dibalas juga dengan soalan dari aku "Kenapa buku kita ada pada awak?" Aku menayangkan buku notaku itu dihadapannya. Harraz mengerut dahi memandang buku nota itu bersilih ganti memandang ke mukaku.

"Mana aku tahu, bukan aku yang ambik" Katanya, tanpa perasaan. Dikemasnya semua kertas-kertas di atas meja dan dimasukan ke dalam fail nipis yang berkulit keras warna hitam. Aku hanya memerhatikan perilakunya yang nampak selamba dan seperti tiada apa-apa, seperti aku tak wujud di sebelahnya ini.

"Aku tak tahu yang kau dah sihat, dan aku tak prepare apa-apa pun untuk ajar kau hari ni, jadi kau boleh balik bilik sambung tidur." Katanya, menyusun kedudukan fail dibawah sekali, diikuti diari dan buku di atas sekali sebelum dikepit dengan tangan dan dia berjalan menuju ke pintu.

Hah.. macam tu je? Habis persoalan dalam kepala otakku pasal buku nota aku ni siapa yang nak jawab? "Harraz, awak belum jawab lagi macammana buku nota kita boleh ada pada awak?" Aku menyoal Harraz sambil mengekori langkahnya, sehingga kami keluar dari bilik bacaan tanpa menutup pintunya kembali. Berjalan melintasi ruang tamu dan bilik-bilik yang tertutup pintunya. Dan Harraz masih menganggap soalanku itu seperti sesuatu yang tak penting dan tak perlu untuk dijawab langsung. Dia diam seribu bahasa.

"Harraz, kita cakap dengan awak ni. Jawablah." Kataku, geram. Aku tak pernah ambil ringan bila ia melibatkan buku notaku kerana buku nota ini bukan seperti buku nota yang menyimpan nota-nota sejarah, matematik dan sains di sekolah yang orang tengok 'subjek' pun orang dah tak berminat nak selak dan baca. Tapi ini buku nota berkaitan aku dan jiwa aku.Tempat untuk aku meluahkan segala rahsia hati yang terpendam. Seperti aku dan seorang kawan baik yang menjadi tempat untuk aku berkongsi segala rahsia, tentang siapa lelaki idamanku, apa impianku, apa kegemaranku, apa ketidaksukaan aku, apa kebencianku. Cuma bezanya aku tak ada seorang kawan yang aku percaya untuk mendengar semua bebelan aku tentang hidup aku sendiri. Jadi buku nota ini adalah kawan baik aku.

Bila dengan secara sengaja atau tidak sengaja buku ini jatuh ke tangan Harraz dan bila  dengan amanah atau tidak amanah, Harraz mungkin membaca isi kandungan buku ini, ia samalah seperti kawan baik aku mengkhianati aku dengan membocorkan semua rahsia aku pada Harraz dan ia adalah sesuatu yang amat memalukan!

Oleh itu, by hook or by crook, aku mahu tahu bagaimana buku ini boleh ada di tangan Harraz? Tapi masalanya mamat ini tidak mempedulikan aku dan menganggap soalanku ini tidak penting lalu terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia tak sedar yang dia telah pun membuatkan tahap kemarahanku naik mendadak.

"Iman Harraz!!!" Jeritku. Sekurang-kurangnya aku berjaya membuatkan Harraz berhenti melangkah dan menoleh memadangku di belakangnya.

"Kau apahal nak jerit-jerit kat aku?" Soalnya.

"You forced me to.." Kataku, mendatar. Tanpa sedar aku sedang menuturkan kata-kata dalam bahasa inggeris.

"Wah, dah pandai melawan sekarang?" Perlinya. 

Melawan? Ya, selepas beberapa insiden yang melibatkan Harraz, aku sedar yang tak ada apa yang nak ditakutkan dengan Harraz, walau dingin mana sekalipun muka dia, dia tetap manusia biasa yang punya banyak kelemahan. 

"Apa lagi yang kau tak puas hati ni?" Soalnya. Cemberut mukanya. Rimas.

"Mana awak dapat buku kita ni?" Soalku. Kini aku berpeluk tubuh dan berdiri lima langkah jauhnya dari Harraz.

"Kau nak aku ulang berapa banyak kali? Aku tak tahu, bukan aku yang ambik" 

"Tipu!" 

"Aku tak suruh kau percaya pun.."

"Haihh.." Aku mengeluh. Tak tau nak cakap macammana lagi supaya Harraz mengaku saja. Aku bukan nak hukum dia sebagaimana dia buat kat aku kalau dia mengaku pun, tapi aku cuma nak cari jawapan tentang bagaimana buku aku ni boleh hilang dan seterusnya dijumpai dalam simpanan Harraz. Itu pun susah ke nak mengaku?.

"Cepatlah Harraz..." Kataku, seolah merayu. Tak ada gunanya aku terus mendesak dia tapi dia tak mahu beritahu, jadi aku terpaksa guna psikologi untuk memujuknya seperti mana kita memujuk budak kecil yang takut nak mengaku yang sebenarnya dia yang ambil gula-gula kakak dia. 

"Haihh..." Harraz juga mengeluh. Dia menundukkan kepala memandang lantai dengan sebelah tangannya di masukkan ke dalam poket seluar dan sebelah lagi memegang buku-bukunya tadi. 

"Kau patut tahu satu perkara yang aku tak curi buku itu dari simpanan kau, dan tak sengaja menyimpannya, dan tak sengaja... dah membaca isi kandungannya." Tutur Harraz perlahan bila mengatakan yang dia secara tak sengaja dah baca isi kandungan buku ini.

Dan aku secara tak sengaja dah ternganga mulut, sebelum aku kembali mengetap bibir.  Terkejut dan geram. Aku ingin memarahinya kerana tak reti untuk menghormati hak privasi orang lain bila dengan tiba-tiba Harraz terus berpaling dan melangkah laju. Aku kaku, tak tahu samada mahu mengejarnya atau biarkan saja dia pergi dan melepaskan marah pada diri aku sendiri kerana membiarkan buku itu terlepas ke tangan orang yang tak sepatutnya. 

Dengan rasa hati yang sangat menggila, dengan rasa geram tak terkira aku kembali ke bilik, duduk di atas sofa, menyelak satu persatu mukasurat dalam buku itu dan mencari jika ada mana-mana bahagian yang dikoyak atau diconteng, tapi ternyata tiada, selamat. Tapi sekarang aku faham macammana Harraz boleh tahu tentang keinginanku untuk beli laptop. Ini, ada gambar apple putih aku lekatkan dengan satu perkataan yang cukup untuk menggambarkan betapa aku mahu memilikinya, "wanted!",  Dan bagaimana Harraz tahu aku ingin jadi penulis? Cukup dengan perkataan "Aku mahu jadi penulis" yang aku tuliskan penuh satu mukasurat gara-gara aku kebosanan masa masih bekerja di seven eleven dulu. Segala tentang aku sangat jelas dalam buku ini.

Aku tutup buku itu dengan rasa bebal!. Geram, tak puas hati, malu, nak marah, nak nangis dan segala macam perasaan yang bercampur baur. Perasaan aku sekarang ini seperti jika Ziana atau Bob memberitahu kepada Syafiq yang aku sukakan dia dalam diam dan Syafiq akan memandangku dengan tanggapan yang aku sendiri tak tahu. Dan aku tak tahu apa yang Harraz akan fikirkan tentang aku selepas dia membaca buku ini.

Oh! Patutlah dulu dia asyik bahan aku suka berangan!. 

Macammanalah buku ni boleh terlepas ke tangan Harraz?? Aku campak buku ini di atas meja dan bangun berjalan ke kiri dan ke kanan sambil menggemgam rambutku, cuba untuk melepaskan geram dengan cara itu. Huh.. duduk di sini dan memikirkan tentang ini hanya akan buat aku jadi semakin sakit jiwa, ada baiknya aku keluar dan tenangkan fikiran di tempat lain. Dan tiada tempat lain yang aku fikirkan selain tasik itu..

**************************

Aku kembali ke villa selepas hampir waktu makan tengahari, terus ke bilik kerana aku mahu mencuci muka dulu sebelum makan bersama-sama atuk, mak su dan Harraz. Sejak mak su ada, tradisi makan tengahari bersama-sama macam dah jadi satu acara wajib memandangkan yang atuk memang jarang-jarang sekali masuk ke pejabat kerana dia lebih selesa melakukan kerjanya di pejabat dalam villa ini dan mak su hanya akan ke pejabat pada bila-bila masa yang dia suka, sekadar untuk membuat pantauan. Segala urusan di pejabat hanya akan diuruskan oleh pak cik Ghazi. 

Sampai di bilik, aku disambut dengan kehadiran mak su yang sedang berdiri membelakangi aku dan dia langsung tidak sedar dengan kehadiranku. Dia seperti sedang melakukan sesuatu sambil berdiri.

"Mak su?" Tegurku. 

Mak su terkejut, terus dia menoleh ke belakang menghadapku dengan sesuatu yang dipegang di tangannya itu disorok ke belakang. Perlakuannya menimbulkan tanda tanya dibenakku, apa yang mak su sorokkan itu?.

"Oh, Irin... baru sampai?" Soal mak su. Nampak seperti sedang cuba berlagak selamba seolah tiada apa-apa yang sedang disembunyikan dari penglihatanku.

"Baru sampai? Ahh..ha'ah baru sampai.." Jawabku, agak kabur pada asalnya dengan soalan mak su itu.  Bukan mak su sepatutnya tanya, "Dari mana tadi?" Bukannya "baru sampai" kerana soalan itu kedengaran agak pelik. Sepertinya aku bukan duduk di sini dan baru sampai dari sesuatu tempat yang lain.

"Mak su.." 

"Jom makan, mak su keluar dulu ya?.." Aku baru ingin bertanya pada mak su apa yang disorokkan dibelakangnya itu tapi mak su memotong percakapanku dan terus melangkah keluar dari bilikku, meninggalkan tanda tanya besar di kepalaku.

Aku garu kepala. Kemudian baru teringat apa tujuanku masuk ke bilik tadi. Lalu terus ke bilik air untuk cuci muka yang dah terasa berminyak kerana berjemur di bawah panas matahari.

Beberapa minit kemudian aku sudah pun berada di ruangan makan dan disambut dengan suasana suram dan sepi oleh mak su, atuk dan Harraz. Tiada gelak ketawa dan suasana ceria seperti sebelumnya. Kenapa hari ini kelihatan aneh?.

Aku tarik kerusi di sebelah mak su dan duduk. Sempat aku memandang muka setiap seorang dari mereka. Atuk dengan muka tenang, Harraz dengan muka tak ada perasaan dan mak su dengan muka gelisah dan seperti tak puas hati. Apa sebenarnya yang berlaku ni?.

"Makanlah.." Kata atuk, dan dia mula mencapai sudu sebelum mengambil lauk masuk ke pinggannya diikuti Harraz dan aku. Tapi mak su masih duduk kaku. Tingkahku serta-merta terhenti. 

"Irin.. mak su nak tanya sikit boleh tak?" Soal mak su memandangku.

Aku mengangguk. Elok-elok nak mula makan, aku jadi terus tumpukan sepenuh perhatian kepada mak su. Tapi tak sangka yang tingkah Harraz dan atuk juga terhenti. Masing-masing memandang mak su.

"Azie.. sudahlah, makanlah dulu" Kata atuk. Seperti tak senang dengan soalan mak su.

"Ayah.. benda ni tak boleh disimpan lama-lama nanti makin parah jadinya." Protes mak su.

"Lepas makan, kita boleh berbincang, tapi tolong jangan rosakkan selera makan semua orang." Pinta atuk.

"Haihh.." Mak su mengeluh. Dia pandang aku dalam-dalam. Kemudian dia senyum, sambil menepuk perlahan jariku yang aku letak di atas peha.

"Tak apalah, Irin makan dulu, lepas ni baru kita bincang." Kata mak su.

Aku kerut dahi tak faham. Aku pandang Harraz, ingin melihat reaksi mukanya, tapi muka yang seperti tidak ada perasaan itu kembali menunduk dan memandang makanannya.  Apa sebenarnya yang dah berlaku ni sampai semuanya kelihatan serius dan tak bersemangat? Penasaran aku dibuatnya.

Sepanjang tempoh makan, aku langsung tak rasa kenyang sebab aku tak sungguh-sungguh menikmati makananku bila dalam kepala otak asyik memikirkan tentang apa yang mak su ingin tanyakan. Cepatlah habis waktu makan...

Dulu irin berkawan dengan siapa?" Soal mak su. Akhirnya, selepas penantian satu penyeksaan di meja makan berakhir, kami berkumpul di ruang tamu dan aku disoal seperti seorang pesalah oleh mak su.

Aku garu kepala. Kawan? Patut ke aku beritahu semua nama kawan-kawan kelasku dulu? Atau perlukah aku beritahu nama kawan-kawan sekerjaku? Semua?

"Maksud mak su?" Soalku kembali. Merepeklah kalau aku perlu senaraikan nama semua kawan-kawanku dari aku bersekolah darjah satu ke tingkatan lima dan seterusnya semasa zaman aku bekerja. Kan?.

"Siapa nama kawan baik Irin?" Soal mak su lagi. Kawan baik? Aku pandang atuk yang seperti sedang termenung jauh, seperti tidak ambil bahagian dalam perbualan aku dan mak su. Aku pandang pula Harraz yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Memandang ke arah lain tapi aku tahu yang dia masih mengambil bahagian dalam perbualan ini.

"Bob!" Jawabku, spontan. Sebenarnya aku tak ada kawan baik dalam erti "kawan baik" yang sebenar, tapi Bob bagi aku adalah kawan yang sangat-sangat baik dengan aku. 

"Bob? Lelaki?" Soal mak su sepertinya dia tak dapat menggambarkan nama Bob itu sebagai nama seorang lelaki. Aku mengangguk. 

"Haih.. kawan perempuan? Kawan yang akan selalu jadi telinga untuk Irin, yang akan selalu pinjamkan bahu untuk Irin, yang akan selalu pinjamkan duit, yang akan selalu ada ketika susah dan senang Irin?" 

Aku menggeleng. Tak ada. 

"Tak ada? Jadi sebab itulah Irin anggap buku ini sebagai kawan baik Irin?" Soal mak su sambil mencampakkan buku notaku di atas meja. Entah dari mana datangnya buku itu. Aku ternganga, bukankah buku ini ada di bilik selepas aku mendapatkannya dari Harraz pagi tadi? Macammana boleh ada pada mak su pula ni?

Aku capai buku itu tapi pantas dirampas kembali oleh mak su. Aku terkesima. 

"Mak su... kenapa ni?" Soalku, pelik.

"Kenapa? Irin tanya mak su kenapa? Mak su yang sepatutnya tanya kenapa dengan Irin. Kenapa Irin jadi macamni? Kenapa Irin pendam perasaan? Kenapa Irin?" Soal mak su bertalu-talu. Reaksi mukanya menggambarkan kebimbangan.

Aku terpinga-pinga, tak faham. Apa yang aku dah buat?.

"Irin buat apa mak su?" Soalku. 

"Irin buat apa? Irin menulis di buku ini macam Irin bercakap dengan seseorang! Mak su faham kalau kat sini Irin mungkin belum dapat biasakan diri dengan persekitaran sekeliling, dengan kehidupan baru Irin, tapi mak su tak sangka yang dari dulu lagi Irin hidup dalam dunia Irin sendiri, berkhayal, hidup dalam fantasi Irin sendiri. Tau tak orang macam Irin ni dipanggil apa?"

Aku menggeleng.

"Orang yang kekosongan jiwa.. yang tak mahu bercampur dengan dunia luar, yang hanya mahu hidup dalam fantasinya. Mak su tak sangka yang Irin dah jadi separah ini. Itupun nasib baik mak su jumpa buku Irin ni, kalau tak agaknya sampai bila-bila pun mak su takkan tahu tentang penyakit Irin."

Makin ternganga aku mendengar kata-kata mak su. Penyakit? Aku meluahkan perasaan dalam buku itu digelar penyakit?, aku luahkan impian dan angan-angan aku dalam buku, itu digelar orang kekosongan jiwa? Aku senaraikan matlamat-matlamat yang aku ingin capai dalam hidupku itu digelar khayalan? Apa sebenarnya semua ni? Aku pandang Harraz. Pasti semua ini berpunca dari dia, pasti dia yang hasut mak su supaya cari buku aku itu.

Harraz membalas pandanganku seperti seseorang yang tak tahu apa-apa. Menyampah.  Aku pandang atuk yang sesekali mengeluh perlahan. Apa atuk pun dah baca buku nota peribadiku itu dan memikirkan aku seperti mana yang mak su cakapkan? Apa semua ni? Aku tak faham satu apa pun.

"Irin perlu jumpa pakar psikologi." Kata mak su mendatar tapi sudah cukup untuk kami masing-masing memadang tepat ke mukanya.

"Azie!" Panggil atuk terkejut.

"Tak ada pilihan lain ayah, sebelum keadaan Irin jadi makin bertambah rumit, kita kena pulihkan dia." Kata mak su tanpa memandang ke arah sesiapa sebaliknya cuma memandang kosong ke arah carpet.

Aku garu kepala, makin lama aku makin pening dengan butir perbualan mereka. Kenapa aku sampai kena dihantar ke pakar psikologi pula? Aku bukannya gila. Aku tak buat apa-apa yang diluar jangkaan pun. Aku masih normal!.

"Mak su, Irin tak faham.. apa yang irin dah buat sampai mak su nak hantar Irin jumpa pakar psikologi?" Soalku.

"Irin mungkin alami gangguan personaliti dan irin harus jumpa pakar untuk pulihkan penyakit Irin tu" 

"Gangguan personaliti? Maksud mak su... Irin ni gila?"

"Belum lagi tapi mungkin akan.."

"Azie!!" Jerit atuk tiba-tiba.

Tiba-tiba aku terasa macam diserang penyakit jantung dan aku nak pengsan sekarang dengan harapan bila aku sedar semula, apa yang aku alami sekarang hanyalah mimpi ngeri. Mak su kata aku mungkin akan gila? Oh.. cuma mimpi ngeri...



Pesanan penaja : "Anonymous" sila tinggalkan nama anda sekali okeh?



16 ceritaMia's lovers:

afiqahairil said...

apa hal mak su ni?
ishk.. tah pape tah. geram betul. >.<

::seven:: said...

suka!! thanks for d update! keep it up!

Salina Azni said...

rasa2 mcm mak su ada masalah je.... mcm dia tk blh terima irin salah sorg pewaris.... mak su jeles kot...

arasnieryie@1995 said...

ciskek tol lar mak su ni..kerat 15 baru padan muke die!!...

kayrel said...

kali ni mendatar cket...
x delah tetekan sgt bile bace...
erm..
bile nk cite psal org y slalu dok usha irin dr jauh kat tu?
mak su ni cam x menentu ek angin die.. x leh jangke...

sue said...

Rasanya mak su yang ada sakit..... Penyakit hati yang sangat busuk....
takut atuk sayang irin lebih....

ain90 said...

eeee...msalah tol la mak su nie kn..x ptut la dia kata irin 2 cm2 kn..

Gadis Bunga Tulip said...

tq, sbb update bab yg baru... lama tunggu.. mak sy siap bebel... huhu.. dia kata, knp lama sgt, ni yg ibu malas nak baca novel online ni... tapi layan jugak.. haha.. tahniah, mak n anak baca TMIH. huhu...
knp dgn maksu tu?? mak sy ckp maybe maksu dia tu tak puas ati sbb ada pewaris lain.. yelah, mula-2 dia sorang jer pewaris harta atuk irin, skarang ni dua org pewaris..
apa-2 pun, updatelah cepat-cepat... haha... nanti berjanggut sy nak tunggu...

mia kaftiya said...

gadis bunga tulip - Comelnya, mak dia pun baca cerita kite laaaaa.... ahahhahah...

thanks soooo much, kawan2 sbb sudi baca n komen. >_< terharu nih, hehe

aisyahrosli said...

eh..? Maksu ni sekejap macam baik, sekejap macam jahat..??

BlueApple said...

rsenye maksu irin yg ade masalah...
skjap baik kjp jahat...
ade ape lgi rahsia yg atuk simpan?

ain said...

maksu irin 2 dengki kot...yelh tiba2 jer irin mncul dlm hdup dia....

insha said...

best....mk su irin mcm de agenda je..npe irin ni blur sgt...huhu...xsbr nk baca next entry...

nurul hannani said...

xsabar nk baca next entry,, knp dgn mak su 2,mcm xsuka irin je..

aniraz289 said...

mak su nie sbnrnya..... ada muslihat.... biar org kata irin tu sakit n x jd waris.... tp rasa2nya iman tau sapa mak su..... apa yg mak su nk buat kt irin.... iman akan jaga irin dari gangguan mak su..... go iman... go... jg irin yer......

mia kaftiya said...

aniraz : hahaha.. comel!. Harraz pasti akan jaga Irin, jaga risau.. hehe