http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, October 24, 2011

Bab 22



Aku duduk berpeluk tubuh di kerusi belakang dengan muka masam kerana tak puas hati manakala Harraz di hadapan sedang memandu tanpa mempedulikan aku. Kami masing-masing buat hal sendiri dalam kereta menuju ke kampung halamanku. Emak dan abah sudah pun dimaklumkan tentang kepulanganku dan mereka sangat tak sabar ingin berjumpa denganku selepas hampir dua bulan aku sepi tanpa khabar berita. Sebenarnya, kalau bukan kerana apa yang berlaku antara aku dan mak su, aku tak fikir yang aku akan balik semula ke kampung. Bukan sebab aku dah lupa diri tapi sebab aku langsung tak berkesempatan untuk meminta izin untuk pulang berjumpa mereka. 

Dan tentang semalam, mengingati balik apa yang berlaku...

"Mak su! Irin tak gilalah. Buku ni tak ada kena mengena dengan masalah yang Irin suka menyendiri atau jiwa Irin kosong! Ini cuma buku biasa mak su..." Kataku, hampir meninggi suara tapi masih berjaya aku kawal agar nada suaraku tidak kedengaran seperti aku bersikap kurang ajar.

Memang aku harap agar ini semua sekadar mimpi ngeri tapi sebaliknya, aku semakin diasak dengan kata-kata "Irin harus jumpa pakar" "Irin tak boleh terus dibiarkan begini" bla.. bla.. bla.. sehingga  membuatkan tahap kemarahanku naik. Aku tak tahan bila dituduh mempunyai masalah mental hanya kerana aku meluahkan perasaan pada buku. Sebenarnya, kalau nak difikirkan.. menulis diari pun bukan sesuatu yang berbezakah dengan apa yang aku buat ni? Tapi kenapa tak ada sesiapa pun menuduh orang yang menulis diari itu sebenarnya mempunyai penyakit gangguan personaliti?

"Irin.. mak su cuma nak pastikan yang Irin betul-betul sihat. Mak su tak cakap main-main tapi mak su pernah jumpa orang macam Irin. Dia mengaku yang dia tak ada apa-apa tapi sebenarnya dia alami tekanan perasaan yang teruk. Mak su tak nak Irin jadi macam tu.." Nada mak su sama naik dengan nada suaraku dan kembali mengendur di akhir bicaranya.

Aku mengeluh, nafasku tak teratur, kepala aku berpusing, segalanya serba tak kena aku rasakan kini. Macammana lagi aku nak yakinkan mereka yang aku tak alami tekanan perasaan, aku tak menulis di buku itu dengan begitu obses sekali, aku tak alami apa-apa gangguan jiwa! 

"Azie.. hemmm.." Atuk seperti ingin berkata sesuatu tapi dia akhiri dengan cuma mengeluh. Kenapa dari tadi atuk langsung tak cuba untuk menjernihkan keadaan? Atuk pun percaya dengan kata-kata mak su ke? 

Keadaan tegang seketika di ruang tamu ini. Masing-masing diam seribu bahasa dengan pemikiran sendiri. Dan aku masih tak faham apakah yang dilakukan mak su ini adalah kerana rasa sayang dia kepadaku atau kerana ada sebab lain?.

"Mak su akan bawa Irin jumpa doktor Radzi esok." Putus mak su, memecahkan suasana.  

Aku angkat kepala memandangnya. Jumpa doktor? Oh.. mak su memang.. memang betul-betul menguji tahap kesabaranku.

"Mak su!, Irin dah cakap yang Irin tak gila, tak gilalah. Kenapa susah sangat mak su nak faham? Harraz!" Kini perhatianku beralih pula kepada Harraz, dia terkejut bila tiba-tiba namanya disebut.

"Harraz awak baca buku kita tu kan? Awak cakap.. buku kita tu ada unsur-unsur yang menunjukkan kita ni ada simptom sakit jiwa ke tak.." Soalku, tegas. 

Harraz memandang ke arahku bersilih ganti dengan memandang mak su. Dia nampak seperti tak berpendirian sekarang ini, seperti dia keliru jawapan mana satu yang patut dia beri. Oh, Harraz aku bukan suruh kau memikirkan untuk memihak kepada sesiapa sekarang ini, aku hanya mahu pandangan ikhlas dari kau!.

"Harraz!!.." Panggilku, geram bila dia masih diam. Seperti seseorang yang keliru.

"Tak.. buku tu cuma nampak macam buku biasa. Tak ada apa-apa yang boleh menunjukkan yang Irin mungkin alami apa-apa penyakit." Jawab Harraz, mula-mula kedengaran  agak tak pasti dari nada suaranya , kemudian semakin yakin dalam menuturkan pandangannya tentang buku peribadiku itu.

Aku tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya aku tahu yang ada orang memihak kepadaku.

"Tak!.. Iman cakap macam tu sebab dia tak sampai hati nak sakitkan hati Irin, Irin tak boleh percaya dengan kata-kata orang yang tak ada kena mengena dengan Irin, Irin sepatutnya percaya dengan mak su, mak su sayangkan Irin, mak su akan lakukan segala yang terbaik untuk Irin, mak su tak nak Irin jadi lebih teruk!" Bangkang mak su.

Daripada tegak berdiri, aku kini terduduk. Lemah. Tak tahu apa lagi yang patut aku lakukan untuk buktikan pada mak su yang aku tak alami apa-apa tekanan perasaan, aku tahu diri aku, aku tahu apa yang tersimpan dalam hati aku, dalam fikiran aku, tak ada apa-apa masalah serius yang aku simpan, tak ada apa-apa yang aku pendam!.

Dan buku nota ini sebenarnya, tak ada kena mengena langsung!.  Atau ini sebarnya cuma helah mak su untuk usir aku dari villa ini?

"Irin.. tolong dengar cakap mak su? Sekali ni je. Kita jumpa doktor dulu ok? Kalau doktor sahkan yang Irin memang sihat, mak su janji yang mak su takkan ganggu hak privasi Irin lagi, tapi Irin kena ikut mak su dulu.. Please?." Pinta mak su, kini dia duduk melutut dihadapanku.

Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Tak setuju. Kalau aku ikut mak su jumpa doktor pakar sakit jiwa itu samalah ertinya seperti aku mengakui tuduhan mak su terhadapku. Perumpamaannya seperti mana ada orang yang sihat walafiat nak makan ubat demam, kan? 

"Irin nak balik kampung, Irin nak duduk dengan emak buat sementara waktu." Kataku, spontan. Entah, tiba-tiba itu yang aku fikirkan. Aku rasa yang aku perlu bersendiri, aku perlu bertenang, aku perlu timbang balik buruk baiknya keputusan yang aku ambil untuk tinggal di sini. 

Atuk mengangkat wajah memandangku. Mungkin ingin memastikan kesahihan daripada kata-kataku. Mak su terdiam daripada asyik memujukku supaya mengikutnya. Dan Harraz hanya memandangku dan melepaskan keluhan.

"Irin nak balik seorang." Tambahku lagi. Aku tak mahu ada sesiapa yang menemaniku di sana, tidak walaupun Ros.  Dan aku terus bangun berlalu masuk ke bilik untuk mengemas pakaianku. Kalau boleh sekarang juga aku mahu pulang ke sana. 

Aku dah penat dengan kehidupan di villa 'misteri' ini. Mungkin atuk patut namakan villa ini sebagai 'villa misteri' kerana manusia-manusia yang menghuni villa ini masing-masing mempunyai peribadi yang sangat misteri. Salah seorangnya adalah mak su! Dari hari pertama aku mengenalinya aku dah tau ada sesuatu yang misteri tentang mak su, tapi aku pujuk diri untuk tidak berprasangka buruk dengan menganggapnya sebagai seorang ibu saudara yang sangat melindungi dan pentingkan kesempurnaan, tapi selepas apa yang dikatakannya kepadaku tadi, aku rasa mungkin mak su sebenarnya hanya mahu aku keluar dari rumah agam ini.

Kalau betul itu yang mak su inginkan, baiklah.. dengan senang hatinya aku akan pergi.

Ketika aku sedang mencari-cari beg pakaian dalam almari di walk in wardrobe, pintu  diketuk. Aku menoleh, dan melihat atuk berdiri di situ dengan pandangan yang.. membuatkan hati aku sebak tiba-tiba. Tiba-tiba aku tersedar yang aku dah buat keputusan melulu tanpa memikirkan perasaan atuk. 

"Atuk.." Panggilku, daripada sibuk membuka setiap inci laci almari, aku terus berdiri tegak dan memandang atuk dengan mata yang hampir bergenang. Perlahan atuk berjalan ke arahku. Bahu aku dipeluknya. Terus aku menangis teresak-esak, sebab aku sedar.. kepulangan aku ke sini adalah kerana atuk. Atuk yang dah bersusah payah mencari aku bertahun-tahun, atuk yang mahu aku tinggal di sini bersama dia, atuk yang aku tahu sangat sayang aku daripada cara dia melayaniku.  

"Atuk.. Irin minta maaf sebab buat keputusan melulu, tapi Irin tak tahan atuk, Irin tak gila macammana pula mak su boleh cakap macam tu?." Kataku sambil mengesat airmata yang tiba-tiba mengalir. 

Bahu aku ditepuk berkali-kali oleh atuk, memujuk. "Dah la.. atuk tak kisah kalau Irin nak balik kampung pun.. dan atuk tahu yang Irin tak gila. Cucu atuk sihat walafiat. Kan?" Pujuk atuk.

Aku mengangguk, sempat aku kesat hingus yang keluar dengan jari. Makin lama makin lebat pula airmata yang keluar, aku perlukan tisu!. Aku terasa badan aku disorong supaya keluar dari bilik pakaian ini. 

Sempat tangan aku capai kotak tisu semasa ingin menuju ke sofa di tengah ruang bilik. Aku duduk di sofa berangkai dua dan atuk duduk di sofa berangkai satu. Tangan aku laju menarik helaian kertas tisu dan menghembus hingus ke atasnya. Selekeh gila kalau aku menangis, mesti hidung pun nak berair.

"Irin tahu tak kenapa mak su jadi sangat prejudis dengan Irin pasal buku tu?" Soal atuk, seperti ingin membuka hikayat lama pula denganku. 

Aku menggeleng.

"Irin tahu tak yang mak su pernah bersuami?" Soalnya lagi. Seperti mendugaku.

Kali ini aku mengangguk. Hingus yang keluar aku kesat lagi dengan tisu. Baki tisu-tisu yang dah diguna aku letak di atas meja, tangan aku tarik lagi tisu yang baru untuk mengesat mata pula. 

"Suami mak su sekarang ada di hospital sakit jiwa kerana dia mengalami tekanan perasaan dan sukar untuk diubati. Jiwa dia dah mati irin, dia dah hilang keterujaan untuk hidup. Tapi masa kami dapat tahu tentang itu, semuanya dah terlambat. Dia dah sukar untuk diubati." Kata-kata atuk itu benar-benar membuatkan segala perbuatan aku tadi terhenti.

Aku pandang atuk dengan pandangan sukar dipercayai. Suami mak su gila?

"Dia juga alami simptom macam Irin alami sekarang. Dia suka menyendiri, kadang-kadang termenung, pendiam, sampailah satu hari mak su jumpa diari dia. Diari tu jadi tempat untuk dia meluahkan segala perasaan yang dia alami. Dia tertekan." Kata atuk merenung ke luar tingkap seolahnya dia sedang membayangkan kejadian yang dah berlaku bertahun-tahun lepas.

Tiba-tiba timbul rasa ingin tahu dalam hatiku berkaitan suami mak su itu.

"Macammana dia boleh jadi macam tu?" Soalku, sengau suaraku sebab sekarang hidung aku dah tersumbat. Tisu aku letak di hidung, sekadar untuk memastikan yang tiada hingus yang meleleh.

Atuk memandangku sambil tersenyum, mungkin atuk fikir yang dia dah berjaya mengalihkan perhatianku daripada menangis ke perasaan ingin tahu. Kemudian dia kembali membuka cerita. 

"Dulu suami mak su itu seorang yang sangat kaya dan berjaya, dia ada perniagaan dia sendiri, dia ada orang-orang yang sayangkan dia, hormati dia, dia ada pengaruh yang besar sekalipun dalam usia yang muda. Sehinggalah dia berjumpa mak su dan mereka berkahwin.." Atuk diam sejenak seperti cuba untuk mengingati selanjutnya.

"Mereka berpindah ke luar negara untuk luaskan empayar perniagaannya dan syarikatnya di sini diserahkan pada salah seorang rakan kongsi yang paling dia percayai untuk diuruskan. Segalanya berjalan dengan lancar untuk beberapa tahun, sehinggalah dia disahkan bankrup kerana dikhianati oleh rakan kongsi yang paling dipercayainya itu. Dia hilang harta sekelip mata." Atuk diam dan mengeluh, kemudian tersenyum sinis. Seperti dia sedang mentertawakan seseorang.

Reaksi muka atuk berubah-ubah semasa dia menceritakan kisah suami mak su yang malang ini dari awal cerita sehingga sekarang. Makin curiga aku dibuatnya.

"Manusia Irin.. masa ada harta, masa senang, masa ada pangkat dan kuasa, semua orang nak mengaku saudara, semua orang nak datang dekat, semua orang hormat. Heh.. tapi masa susah, masa dia perlukan pertolongan, sokongan dan semangat, semuanya lari dan pulaukan dia macam dia tu bukan orang yang sama yang mereka junjung, yang mereka segani." Atuk menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Seperti kesal dengan sikap sesetengah manusia yang pentingkan harta dan menghormati seseorang itu berdasarkan harta kekayaan yang mereka miliki.

Tiba-tiba hati aku tersentuh. Apakah nanti, andai ditakdirkan yang aku bukan lagi cik muda Irina Imani, akan ada lagikah orang yang akan menghormati aku sepertimana yang mereka lakukan terhadap aku sekarang?

"Mereka pulang ke malaysia, atuk bagi dia kerja, atuk yakinkan dia yang dia mampu bangkit semula dan atuk akan membantu sepenuhnya. Luarannya dia nampak kuat dan bersemangat, dia nampak seperti seorang yang berfikiran positif dan tak menganggap apa yang berlaku dalam hidupnya itu sebagai suatu kekalahan!" Atuk terdiam sejenak. Dan mengeluh lagi.

"Tapi atuk tak tahu yang tamparan itu betul-betul buat dia menderita, atuk tak sangka yang rupanya dia cuma berlagak kuat sedangkan dia simpan perasaannya dalam hati, dia tak mahu mak su susah hati, dia takut kalau mak su pun akan tinggalkan dia. Melalui diari itulah baru atuk dan mak su tahu yang dia tak pernah redha dengan apa yang  berlaku dan dia asyik menyalahkan diri sendiri kerana terlalu percaya pada orang lain. Dan sekarang.. di sanalah dia."

Kami masing-masing terdiam. Sekarang aku tak tahu samada aku patut rasa simpati atau patut ke aku rasa lebih marah? Lebih marah kerana mak su menganggap aku sama seperti suaminya, Sedangkan kalau nak diikutkan aku tak alami apa-apa tekanan perasaan, aku tak dikhianati oleh orang yang aku percayai, aku tak ada harta berjuta-juta. Aku cuma gadis biasa yang cuma ada buku nota untuk menulis.

"Mak su mungkin tak nak perkara yang sama berlaku pada Irin.." Kata atuk menyambung bicara sambil memandangku, cuba menyampaikan maksud kata-katanya melalui pandangan mata.

Kalau betul niat mak su begitu, mungkin mak su sepatutnya cakap dengan lebih teratur, terangkan kat aku satu persatu, bukannya dengan terjah dan tuduh aku melulu. Tindakan mak su itu sama seperti menuduh aku mencuri tanpa memeriksa terlebih dahulu. Dan akhirnya dia membuatkan aku tertekan dan terluka.

"Tapi Irin tak boleh terima cara mak su tu, irin tak tahu apa-apa, Irin tak kenal suami mak su, Irin tak tahu sejarah hidup mak su, jadi mak su sepatutnya terangkan kat Irin, apa salah Irin, apa masalah Irin, bukannya main tuduh melulu siap cakap yang Irin mungkin akan jadi gila." Bahasku panjang lebar tanpa henti.
Atuk mengangguk, seperti setuju dengan pendapatku.

"Ya, mungkin cara mak su salah, tapi Irin pun dah tahu keadaan sebenar jadi boleh tak Irin maafkan mak su?" Pinta atuk. 

Maafkan mak su? Selepas tuduhan melulunya dan niatnya untuk hantar aku berjumpa dengan pakar psikologi atau dalam kata lainnya, pakar sakit jiwa? Tidak semudah itu!.

"Entahlah atuk.. Irin bukan nak bermusuhan dengan mak su, tapi Irin rasa Irin perlukan masa untuk fikir dan buat pertimbangan tentang apa yang dah mak su lakukan pada Irin, sebab hal ini bukan baru bermula dengan salah faham ini, tapi Irin dah perasan sejak mak su datang lagi, ada sesuatu yang tak kena dengan mak su." Luahku, berkias.

"Maksud Irin?" Soal atuk, berkerut dahinya. 

Aku menunduk, berfikir. Takkan aku nak ceritakan kat atuk dari awal lagi tentang bagaimana mak su berubah laku daripada bengis kepada baik, bagaimana kejadian sebenar yang berlaku di shopping mall masa aku sesat dulu, dan sekarang, berkaitan buku nota aku pula. 

"Irin nak balik kampung, nak jenguk emak dan abah, boleh kan atuk?" Pintaku, menukar topik perbualan.  

Atuk diam, dari reaksi mukanya aku tahu yang dia tak mahu aku tukar topik, tapi tak pula dia suarakan. Atuk paksa dirinya untuk senyum. Tawar.

"Boleh.. tapi dengan satu syarat." Kata atuk.

Kembali ke saat ini, dimana aku masih di dalam kereta bersama Harraz, menuju ke kampung halamanku.

"Haihh.." Aku mengeluh lagi dan memandang ke luar tingkap. Jauh ingatan aku melayang.

"Dari tadi itu je lah kerja kau. mengeluh, mengeluh, mengeluh!." Kata Harraz tiba-tiba, memecah kesunyian. 

Apa syarat atuk? Apa lagi, si Harraz ini mesti kena ikut!. Huhh.. menyampah gila. Aku lagi nak jauhkan diri dari mamat ni, atuk boleh pula suruh dia ikut aku. Walaupun aku simpati dengar kisah mak su, tapi aku masih belum boleh terima, yang disebabkan Harraz buku yang sepatutnya jadi harta paling peribadi aku tu jadi dah tak privasi lagi. Dah jadi open book yang sesiapa pun boleh selak dan baca isi hati aku kat dalam tu. Benci!.

"Sibuk je.. kita tak nak cakap dengan awak!" Kataku. 

"Aku pun tak kempunanlah nak bercakap dengan kau.." Balasnya.

Aku mencebik. Muncung mulutku. Kami senyap kembali sehinggalah aku melihat kami sudah pun melalui jalan yang menuju ke rumah mak, tak jauh je lagi. Kejap lagi kami akan sampai di destinasi yang dituju setelah punggung kekejangan akibat duduk dalam kereta berjam-jam.

Sampai di satu jalan, aku meminta Harraz membelok ke simpang kiri untuk ke rumah mak, sehinggalah kami melalui sebuah rumah papan tanpa cat, baru aku suruh Harraz berhenti.

"Kat sini ke?" Soalnya. Membebaskan gear dan menarik brek tangan.

Tanpa menjawab soalannya, aku terus buka pintu kereta dan keluar sambil terjerit-jerit memanggil emak dan abah. Teruja punya pasal sampai salam pun aku dah tak ingat nak bagi. Muncul mak di muka pintu dengan dahi berkerut, ada sudip di tangan kanannya. 

"Mak!" Panggilku mengalihkan perhatian mak yang sejak tadi asyik memandang ke arah kereta Harraz sampai tak perasan aku yang dah terpacak di hadapannya.

Emak menoleh memandangku. sedikit demi sedikit, senyuman terukir di bibirnya.
"Irin.... Irin dah sampai!." Emak meluru mendapatkan aku.

Kami berpelukan macam dah tak berjumpa bertahun-tahun. Rindu sangat ni. Sepanjang aku duduk dengan emak dan abah, mana pernah aku keluar dari rumah ini dan tidur di mana-mana dalam tempoh waktu yang lama. Disinilah rumahku, di sinilah duniaku.

"Irin.. Ya Allah, rindunya mak pada Irin.." Emak melepaskan pelukan dan merenungku dari atas ke bawah dan kembali memandang mukaku, pipi aku dipegangnya.

"Dah tembam!" kata mak.

Aku bulatkan mata mendengar respon mak itu. Tembam? Baru duduk kat sana sebulan lebih mak cakap aku dah tembam? Agaknya badan aku pun dah naik dalam aku tak sedar.

"Badan Irin gemuk tak mak?" Soalku, sambil memusingkan diri di hadapan emak. 

Emak membuat analisa dengan jari telunjuknya diletakkan di dagu. 

"Agaklah..." 

"Hah? Betul ke Irin dah gemuk? Tiap-tiap pagi Irin keluar pergi jongging tahu.." Kataku.

Emak tergelak, sebelum ketawanya mati semasa dia memandang ke arah belakang aku. Aku turut sama menoleh, kelihatan Harraz sedang mengusap rambut belakangnya dengan muka serba salahnya antara nak senyum atau nak cakap hai.

Aku kembali memandang emak, tersenyum. Emak jongket sebelah kening, isyarat bertanyakan padaku siapakah lelaki yang bersamaku ini.

"Ini Harraz.." Kataku, sambil menggamit Harraz supaya berdiri di sebelahku.

Harraz berjalan ke arahku dan menunduk sedikit seperti menegur.

"Mak cik.." Katanya. Tersenyum.

Emak membalas senyuman Harraz dan kembali bertanyakan padaku.

"Siapa Harraz ni?" Berkerut dahinya.

Sekarang aku pula yang garu kepala. Susah pulak aku nak terangkan siapa Harraz pada mak. Nak cakap sepupu karang, banyak pula soalan yang akan ditanya nanti macam anak kepada siapa..  ibu ada berapa orang adik beradik, itulah, inilah. Hemm...

"Mak, tak nak ajak Irin masuk dulu ke? Irin dah rindu sangat-sangat kat bilik Irin tu.." Kataku sambil menarik tangan emak supaya masuk ke dalam rumah, secara tak langsung membebaskan diriku daripada perlu menjawab soalan 'siapakah manusia yang bernama Harraz ini dalam hidup aku'.

"Ha'ah.. la mak ni boleh pula menyembang kat luar. Jom, jom masuk. Ni, Harraz, meh masuk, tak payah malu-malu kat rumah mak cik ni." Kata mak menggamit Harraz agar turut sama masuk ke rumah memandangkan yang aku langsung tak ambil peduli tentang lelaki itu. Rasakan! Selalu dia yang buli aku masa kat villa atuk kan, sekarang biar aku pula yang buli Harraz kat sini.

Harraz mengangguk dan dia mengekori kami masuk ke dalam. Haihhh.. rindunya dengan suasana kat dalam rumah ni, semua barang masih lagi di kedudukan yang sama. Aku lantas masuk ke bilik tidurku, kemas. Masih dijaga dengan rapi.. nampaknya mak masih berharap dan mengalu-alukan kedatangan aku ke sini, mujur saja bilik ini tidak dijadikan stor.

Aku keluar dari bilik, dan mula mencari abah.

"Abah mana mak?" Soalku.

"Abah pergi kebun la, mak ingat kamu sampai sini petang tu yang abah pergi kebun dulu pagi ini. Eh, Harraz, duduk lah. Kenapa berdiri je.." Pelawa mak bila dia baru terperasan yang Harraz masih kaku berdiri di tempatnya. Bila disuruh barulah dia duduk di salah satu kerusi kayu beralaskan kusyen nipis di rumah ini.

"Ohhh... " Balasku.

"Eh, mak tengah masak kat dapur tadi. Duduk kejap ya, mak nak pergi sambung masak." Kata mak dan dia berlalu ke dapur dengan sudipnya masih tak lekang dari pegangan sejak tadi. 

Aku berkira-kira untuk ke dapur menolong apa yang patut semasa Harraz memanggilku dan menyuruh aku membukakan tv untuknya. Selepas aku pasangkan aku terus ke dapur. Bila nampak saja kelibatku, cepat saja mak menarik aku ke tepi sinki dan meninjau-ninjau ke arah pintu dapur, sebelum berbisik kepadaku, menanyakan siapa Harraz sebenarnya.

"Dia tu.. anak kepada pak cik yang bekerja sebagai pembantu peribadi atuk. Sekarang dia pula jadi penasihat Irin kat sana.." Jelasku, sambil menarik kerusi plastik di tepi meja dan duduk.

"Penasihat? Bukan bodyguard?" Soal emak menghampiriku dan turut melabuhkan punggungnya di atas kerusi satu lagi.

"Bukanlah."

"Habis tu kenapa dia datang sini sekali dengan Irin? Bukan nampak macam bodyguard tu?" Soal mak, curiga. Susah benar dia nak percaya yang Harraz tu bukan bodyguard aku. Agaknya muka Harraz ada rupa pengawal peribadi kot. Serius semacam.

"Itulah.. atuk yang suruh dia ikut Irin, kenapa entah."

"Atuk nak suruh dia jaga Irin kat sinilah tu.."

"Mak.. macamlah Irin tak biasa duduk kat sini, kenapa pula nak kena ada penjaganya. Entahlah atuk tu, kadang-kadang Irin pun tak faham apa yang dia fikirkan."

"Hurmm... iya lah tu. Eh, Irin seronok tak duduk kat sana?" Soal mak, teruja.

Aku ambil masa beberapa minit untuk tafsirkan maksud 'seronok' itu. Ya, seronok sebab aku ada atuk, lagi seronok bila tahu rupanya atuk aku itu seorang yang sangat kaya, aku juga seronok sebab ada Ros, yang selalu menjadi tempat aku mengadu, aku rasa seronok sangat bila hidup aku bertukar serta-merta dari susah ke senang, aku gembira.. dengan semua ini, tapi.. 

"Irin tak gembira?" Soal emak. DIwajahnya beriak curiga.

"Eh, tak.. mak, bukan. Irin suka duduk sana, atuk layan Irin dengan baik, semua orang pun layan Irin macam anak raja.. diorang panggil Irin... cik muda!" Dalihku, sengaja mengukir reaksi gembira dengan tersenyum dan ketawa.

Takkan aku nak ceritakan semua masalah yang menimpa aku di sana, tentang mak su, tentang pak cik Sibir, tentang Harraz.. ah, aku hanya akan buat mak lebih risau kalau aku ceritakan tentang masalah-masalah kecil ni padanya.

"Baguslah macam tu... memang sepatutnya dari dulu lagi Irin patut hidup dengan diorang." Kata mak, lega. Sepertinya dia dah rasa cukup lega bila aku dijaga dengan baik oleh ahli keluargaku sendiri

Aku ukir segaris senyuman.

"Assalamualaikum..." Kedengaran suara lelaki memberi salam di depan. 

Aku dan emak berpandangan sebelum cepat-cepat aku keluar untuk menyambut abah. Tapi ternyata kehadiran Harraz di ruang tamu itu awal-awal lagi dah menarik perhatian abah. Terkial-kial dia bila abah memandangnya tanpa kelip.

"Abah.." Panggilku.

Abah menoleh memandangku. Sempat aku menjeling memandang Harraz yang nampak agak tak selesa duduk dalam lingkungan keluarga angkat aku ini

"Irin!.. dah sampai ke.." Tegur abah, aku hulurkan tangan bersalaman dengannya.
"Ha'ah.. baru sampai tak sampai sejam pun."

"Ini siapa.." Soalnya menunjuk ke arah Harraz. Berkerut dahinya.

"Ini Harraz.. err... " Aku kelu apa pula yang nak aku terangkan kat abah tentang status Harraz?

"Bodyguard Irin." Sampuk emak. Aku dan Harraz serentak memandang ke arah emak. Bodyguard?

Abah nampak teruja. 

"Irin ada bodyguard? Hebatnya..." Kata abah, tersengih. 

"Bukanlah abah, ini.. pekerja atuk, merangkap.." Aku garu kepala. "Kawan Irin kat sana!" 

Harraz berdehem sekali. Nampak seperti dia berpuas hati dengan jawapanku. Mungkin kawan itu kedengaran lebih baik daripada bodyguard.

"Ohh... " Kata abah sambil menghulur tangannya kepada Harraz untuk bersalam.

"Tidur sini juga ya?" Soalnya kepada Harraz.

Harraz pandang aku, mungkin meminta aku untuk menjawab soalan itu. Ya, aku faham yang Harraz segan. Segan?? At last, tahu juga dia makna segan.

"Ha'ah bah.. Harraz tidur sini, boleh kan? Sebab atuk yang suruh Harraz temankan Irin kat sini"

"Eh.. boleh, apa pula tak bolehnya, bukan selalu rumah kita ni terima tetamu, tapi.. nampaknya Harraz kena tidur kat ruang tamulah, rumah kita ni ada dua je bilik tidur." Kata abah memandang aku dan Harraz, seperti mengharapkan pengertian kami. Aku pandang Harraz.

"Eh, tak apa.. tak apa pak cik, tidur kat mana-mana pun tak kisah. Kalau nak suruh saya balik KL sekarang pun saya tak kisah.." Kata Harraz dengan ketawa yang dibuat-buat. Aku memandangnya tajam. Apa maksud dia cakap macam tu? Nak perli mak dengan abah ke atau nak berbahasa ini? 

"Hah.. baguslah kalau Harraz dah cakap macam tu, Irin balik ke sini bukan nak balik Kl esok kan?" Soal abah, bertanya sekaligus memberi amaran kepadaku. Dah la lepas hampir dua bulan baru nak datang jenguk mereka kat sini, kalau esok dah nak balik Kuala lumpur, memanglah.. 

Aku menggeleng. "Tak.. Irin mungkin duduk lama sikit kat sini, dalam dua minggu ke.." Kataku sambil melirik memandang Harraz. Sengaja ingin menduga reaksinya.

Harraz buat muka terkejut dan tak puas hati. Mana taknya, janji dengan atuk aku hanya akan berada di sini selama seminggu saja.

"Dua minggu?" Soal emak, bersinar-sinar matanya.

"Eh, taklah.. seminggu je kot.. heheh.." Balasku, terasa serba salah pula buat mak berharap.

"Ermm.. kalau dua minggu pun apa salahnya." Kata mak, lirih. Kan.. ish! Mulut ni, dah tau yang mak tu sensitif nak juga bergurau benda-benda sensitif macam ni.

"Tak boleh, sebab Irin kena pergi kelas." Kataku, cuba memberi alasan yang lebih kukuh sekaligus cuba memujuk emak agar tidak memikirkan yang aku sengaja tak mahu bermalam lebih lama di sini. Kelaslah sangat, setakat pergi kelas yang cikgunya adalah Harraz, kat sini pun boleh belajar.

"Kelas? Oh, irin sambung belajar ke? Irin ambil jurusan apa?" Soal mak, teruja tiba-tiba. Aku garu kepala. Lain yang aku harapkan, lain yang jadi. Teruja benar mak nak tahu tentang kehidupanku di viilla atuk. Malam ni, mau tak tidur malam aku semata-mata nak layan emak menyembang.

"Awak ni, nasi dah masak? Lauk dah goreng? Pergilah sudahkan dulu kerja tu, Irin ada kat sini seminggu, banyak masa lagi kalau nak bersembang pun.." Perli abah.

Emak mencemik, "Iyalah.. dah lama tak jumpa, bagi la peluang saya nak bersembang kejap dengan anak kita ni.." Balas emak, pura-pura merajuk. 

Aku ketawa. Dah lama tak tengok mini drama macam ni kat rumah ini. Emak lalu menarik aku ke dapur. Di dapur, sesi menebual aku masih belum berakhir.

"Irin masuk kolej mana? Belajar bidang apa?" Soal emak, sambil meletakkan seplastik sayur bayam di atas meja untuk disiangkan.

"Irin tak masuk mana-mana kolej la mak, Irin belajar kat rumah je. Biasanya dalam hari-hari tertentu ada cikgu yang akan datang rumah untuk mengajar." Jawabku, lincah tanganku mematahkan daun dan batang bayam yang lembut sebelum dimasukkan dalam bekas plastik. 

"Ohh..." Emak terangguk-angguk. Dicapainya pula bekas bawang dan pisau.

"Habis tu, diorang datang rumah ajar apa je?" Soalnya lagi, mula memilih bawang merah, bawang putih dan dikupasnya.

"Ajar cara nak bersolek, cara nak makan yang betul, pasal imej..."

"Haih, apa ke peliknya belajar macam tu? Bukan belajar pentadbiran pejabat ke? Apa ke yang kena mengena?" Berkerut dahi emak memandangku, perbuatan mengupas bawangnya juga turut terhenti. 

"Entah.. buat masa sekarang, Harraz suruh Irin belajar benda-benda macam tu. Irin ikut je.." Sayur bayam selesai aku pilih, lalu aku bawa bekas yang mengandungi sayur-sayur yang ingin dibasuh ke sinki. Aku pasang pili air dan biarkan air memenuhi bekas itu.

Emak tersengih-sengih tiba-tiba sambil berjalan merapati aku.

"Irin dengan Harraz tu ada apa-apa ke?" Soalnya.

AKu kerut dahi. Apa yang membuatkan emak berfikir sejauh itu?

"Ada apa-apa apanya mak... kan Irin dah cakap Harraz tu jadi penasihat irin je, tak jauh beza macam pengajar dengan anak murid, macam majikan dengan pekerja."

"Ye lah.. eh, tapi Harraz tu boleh tahan jugak, Irin tak suka kat dia ke?" Usik mak lagi. Aku besarkan mata memandang mak, ada ke sampai ke situ difikirnya. 

"Mak.. dia itu nampak je macam baik, macam penyegan, macam pendiam, kat sana Irin selalu kena buli dengan dia tahu tak.. " Aku tutup pili air dan meramas-ramas sayur bayam yang direndam itu untuk membuang pasir dan anasir-anasir yang mungkin melekat di daunnnya. 

"Alah.. mula-mula memanglah buli-membuli, benci-membenci, lama-lama... berputiklahh cinta! Ye tak?" Sengihan emak makin melebar.

Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Tak mungkin! Tak mungkin aku dan Harraz akan bercinta, jatuh cinta? Jauh sekali. Tak pernah termimpi pun yang hubungan aku dan Harraz akan pergi sejauh itu.

"Tak ada maknanya mak, tolonglah mak jangan buat spekulasi yang entah apa-apa, Irin dengan Harraz? Errggghh.. jauh panggang dari api." Balasku, air bayam itu aku buang dan aku tadah lagi air yang lain. 

"Hisy.. " Emak baru ingin mengatakan sesuatu untuk membalas kata-kataku semasa abah melaung dari depan..

"Emaknya.. air tak buat ke?" 

"Eh, mak terlupa la nak buat air. Ya, ya kejap.. baru nak bancuh ni." Jerit mak sambil mencapai jag air dan kalut membancuh.

Aku tergelak, mak.. mak. Haih...terubat rindu!

*****************

"Kau ni, dah tahu yang kau duduk kat sini seminggu, tak boleh tunggu hari lain ke nak keluar melawat kawasan pun?" Soal Harraz, dari tadi dia mengekori langkahku dibelakang tanpa bersuara sepatah pun. Bila kami dah nak sampai ke lokasi yang dituju baru dia nak membebel dan mengeluh.

"Haishh.. awak ni kenapa? Sukahati kitalah nak melawat hari ni ke, esok ke, lusa ke, yang awak tu sibuk sangat nak ikut kenapa?" Balasku. Sebenarnya sebelum keluar tadi aku tak ajak pun Harraz, tapi bila dia nampak aku nak keluar terus ditanya kemana aku nak pergi,  dan menawarkan diri untuk mengikutku.

"Habis kau nak suruh aku duduk kat rumah tu sorang-sorang?" Soalnya, nada tak puas hati.

"Sorang-sorang apanya.. emak dengan abah ada kan?." Aku menoleh sekilas memandang Harraz.

"Emak dengan abah kau je yang ada, tapi kau tak ada. Aku tak biasa dengan diorang tau tak? Yang abah kau tu, asyik tanya aku macam-macam, ingat aku ni kaunter pertanyaan ke? Diorang tu tak pernah jumpa orang luar ke?" Soalnya, sinis.

Melampau!. Aku memusing dan memandangnya sambil bercekak pinggang. 

"Berani awak cakap abah kita macam tu? Apa, ingat awak tu hebat sangat ke nak pandang rendah pada orang miskin macam kami ni? Tak sedar diri menumpang rumah orang, nak kutuk-kutuk pulak.. bagi tidur kat luar rumah malam nanti, baru tau.." Rungutku di akhir bicara sambil berpusing dan kembali mengatur langkah.
"Alah.. yang kau pula nak marah-marah ni apahal? Bukannya aku kutuk abah kau pun, aku cakap apa 
yang aku rasa je.." Balas Harraz, kedengaran agak tak puas hati dengan aku.

Aku memusing kembali memandangnya. 

"Ingat eh, kita masih belum maafkan awak pasal buku kita tu, kalau bukan sebab awak, mak su takkan jumpa buku tu dan tuduh kita bukan-bukan."

"Eh.. apasal aku pula yang jadi mangsa antara krisis kau dengan mak su? Helloo.. cik Irina, kau tu yang cuai, bawak buku peribadi merata-rata lepas tu tinggalkan kat tempat lain, cari kat tempat lain, bila hilang tuduh aku yang curi. Elok sangatlah tu.."

"Mana ada kita tinggalkan merata-rata. Buku tu yang tiba-tiba hilang, tau-tau dah ada kat awak. Awak ni pun, dah tau itu buku kita, yang pergi baca tu kenapa? Tak malu ke cerobohi hak privasi orang lain?" Marahku, baru sekarang aku dapat meluahkan perasaan tak puas hati aku kepadanya.

"Tengok! Salahkan aku. Kau yang tinggalkan buku kat taman, salahkan aku yang ambik. Kau yang tak pandai nak simpan barang peribadi sendiri, salahkan aku sebab baca!. Mana ada kucing yang tolak kalau dibagi ikan, mana ada budak-budak yang menolak kalau dibagi aiskrim. Dah buku ada depan mata, apa lagi? Baca je lah.." Balas Harraz.

Aku geleng kepala. Tanpa sedar kami sekarang sedang bertekak di kaki lima kedai pakaian. 

"Teruklah awak ni Harraz." Aku mengutuk dirinya sebelum kembali berpusing dan meneruskan perjalanan. Dia tak suka kalau orang lain cerobohi hak privasi diri dia, dia tak suka kalau orang lain tanya macam-macam pada dia.. tapi tengok sekarang apa yang dia buat kat aku?. Dah la tak hormat aku sebagai 'majikan' dia, dah tu, tak hormat hak aku sebagai manusia pula tu. Teruk.. teruk.. Iman Harraz memang berperangai buruk!.

"Ya.. ya.. teruk. Silakan kata aku teruk banyak-banyak kali supaya aku akan jadi semakin teruk." Balasnya, sempat lagi nak perli-perli aku. 

Aku tak berkata apa-apa untuk membalas kata-kata Harraz lagi bila aku sudah semakin hampir dengan kedai tempat kerja lamaku, Seven Eleven.  Pintu aku tolak, kelihatan Ziana di kaunter sedang menunduk, membaca majalah hiburan di atas meja. Aku tersengih.. itulah kerja dia, kalau dah dapat majalah, dapat pula yang ada cerita artis-artis kesayangan dia memang tak sedar apa dah.

Aku berdehem di hadapannya. Ziana angkat kepala. Sesaat, kami berpandangan dengan Ziana masih blur dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dua saat, Ziana mula mengecam wajahku dan perkataan 'eh' terkeluar dari mulutnya disertai jari telunjuk yang diangkat dan ditunjuk tepat ke mukaku.

"Apa eh, eh" Soalku, tersengih.

"Irin?" Soalnya. Seakan percaya yang aku dihadapannya, tapi masih ragu-ragu.

"Iya la.. irin. Habis tu takkan Minah kot.." Balasku, sengaja berlawak.

"Irin!!!..." Jerit Ziana, mula yakin yang berdiri dihadapannya ini adalah Irin, teman lama yang dah berpindah. Dia keluar dari kawasan kaunter dan memelukku erat sambil melompat terkinja-kinja. Saiz badannya yang lebih besar membuatkan badan aku ikut terhenjut.

"Ni apasal pula terlompat-lompat ni?" Soal satu suara lain.

Ziana melepaskan pelukan dan kami menoleh ke arah suara yang menegur itu. Bob!. Aku angkat dua jari tanda peace kepada Bob.

"Eh?.. irin... eh, bila kau balik? Woo..." Tegur Bob, sama teruja seperti Ziana, cumanya dia tidak menuju ke arahku dan memelukku erat. No, no, no!. Sebaliknya dia menghampiriku dan menghulurkan tangan bersalaman.

"Baru je balik beberapa jam lepas. Penat pun tak hilang lagi aku terus datang sini. Sebab rindukan koranglah.." Kataku. 

"Eceh.. rindu ke? Aku ingat kau dah tak ingat kat kitorang kat sini.. yelah, tengoklah outfit dia sekarang, tak macam dulu. Bergaya beb sekarang." Kata Bob sambil menyiku lengan Ziana. 

Aku memandang penampilanku dari atas ke bawah. Ya, memang nampak agak 'lain' daripada dulu. kalau dulu pakaian harianku cuma  baju t dan seluar track atau seluar jeans yang aku pakai kadang-kadang, sekarang.. heh.. gaun labuh paras buku lali tu. Aku tersipu malu. Sebab dah biasa berpakaian begini, aku jadi dah terbiasa dan terlupa pula untuk menukar ke pakaian yang lebih 'selekeh' sebelum datang ke sini.

"Kaya ke atuk kau tu?" Soal Bob.

Aku jongket kening sambil melirik memadang Ziana. Setahu aku, Ziana tak tahu tentang kewujudan atuk dan status sebenar tentang diriku.

"Aku dah cerita kat Ziana dah pasal kau.." Kata Bob seperti memahami apa yang bermain difikiranku saat ini.

"Oh. Well.. atuk aku taklah kaya, tapi.. oklah.." Balasku, malas nak buka hikayat tentang harta kekayaan atuk pula. Jika tidak makin panjanglah soalan yang akan mereka tanyakan kepadaku nanti. 

"irin... yang kat belakang kau tu, dia datang dengan kau kan tadi?" Soal Ziana, melirik ke arah Harraz dibelakangku. Aku menoleh. Hampir terlupa tentang kewujudan manusia ini.

"Er.. ha'ah, ni.. sepupu aku." Kataku, memperkenalkan Harraz kepada mereka. Lebih mudah kalau aku kata sepupu saja daripada panjang ceritanya dengan 'penasihat tapi kenapa macam bodyguard?' segala bagai nanti.

"Sepupu? Weh, boleh tahan jugak sepupu kau tu eh.." Kata Ziana mula tersengih-sengih. Dalam hati aku kata, boleh tahan jugaklah dia punya kerek, baran, dan yang sewaktu dengannya.

"Hai.. Bob." Bob bertindak memperkenalkan dirinya kepada Harraz dan menghulurkan tangan untuk berjabat, memandangkan Harraz langsung tak ada daya usaha untuk menegur kawan-kawanku ini. Sombong betul mamat ini. 

"Iman Harraz." Balas Harraz dan menyambut huluran tangan Bob.

"Hai, saya Ziana.." Kata Ziana, juga ingin memperkenalkan dirinya. Haihh.. Ziana.. Ziana.. kau belum tahu lagi perangai sebenar lelaki ini. Kalau dia dah tau aku pasti yang dia takkan berminat langsung untuk mengenali Harraz.

Harraz menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda teguran.

"So, korang nak pergi mana lagi lepas ni?" Soal Bob.

"Urmm.. ingat nak tawaf keliling pekan ni. Rindu beb, dah dua bulan tak balik sini.." Kataku.

"Eleh.. baru dua bulan, belum dua tahun lagi." Usik Bob.

Aku jelir lidah ke arahnya. Dan tergelak malu. Entah, baru dua bulan aku tak balik sini dah rindu-rinduan, belum dua tahun lagi. Kalau dua tahun entah macammana pula tahap kerinduan aku tu agaknya.

"Korang habis kerja pukul berapa?" Soalku.

"Lambat sikit, hari ni aku nak buat overtime, yang Ziana aku tak taulah.." Balas Bob.

"Eh, aku pun nak OT jugak hari ni, tak budget pun yang kau nak datang. Kalau tahu aku buat parti untuk kau. Tapi tak apa, esok ada lagi. Eh.. kau berapa lama kat sini?" Soal Ziana.
"Seminggu!"

"Ah, cantik la tu.. lain kali kita keluar lepak-lepak tau, hari ni kau pergilah tawaf satu pekan ni sampai muak!. Esok kau dah balik sana, tak risau nak rindu-rinduan lagi dah.." Balas Bob.

"Baiklah pak cik, oklah.. aku gerak dulu. Nanti calling-calling okeh?" Kataku meminta diri sambil membuat isyarat gagang telefon menggunakan jari.

"Allright bebeh."

Aku melambai bila dah keluar dari kedai itu dan hanya berhenti melambai bila kami dah melepasi cermin kaca dan berjalan di deretan kedai-kedai lain.

"Irin.. boleh tak kita terus balik je?" Pinta Harraz.

"Apasal pula? Kita nak pergi melawat kawasan lain pula ni." Balasku.

"Alah, esok-esok pun boleh.."

"Tak nak, esok-esok kita nak melawat kawasan lain pula.."

"Aku dah penat ni Irin.. tolonglah..." Pujuk Harraz. 

Aku sembunyikan senyuman bila mendengar nada dia memujukku. Haih.. bukan senang nak tengok Iman Harraz merendahkan egonya untuk aku. Selalu tu aku je yang kena ikut cakap dia, hari ni.. rasakan! Biar dia pula yang ikut cakap aku.

"Tak, selepas kita pergi ke satu tempat lagi. Atau kalau awak tahu jalan balik, awak baliklah dulu." Kataku, tegas. Dalam hati dah melonjak-lonjak seronok dapat kenakan Harraz.

"Hurgghh.. fine! Satu tempat je." Katanya, memberi amaran. 

Aku tahu yang samada dia nak atau tak nak, dia kena jugak ikut aku sebab dia memang tak ingat jalan nak balik ke rumah. Hahaha... Aku terus menuju ke arah tasik dan melepak tanpa berbuat apa-apa selain melihat orang-orang yang sedang berkeliaran di kawasan itu.

"kalau setakat nak tengok tasik, kat villa pun ada. Hari-hari kau nak tengok pun tak ada masalah." Kata Harraz, memprotes.

"Kat villa tu tasik lain, kat sini tasik yang lain. Suasananya berbeza, udara dia tak sama, persekitarannya pun tak sama.." Balasku.

"Alah.. tengok kejap-kejap dah lah. Esok datang lah sini balik." Pinta Harraz. Aku tahu yang dia penat, mana tak penat memandu dari jauh berjam-jam, tapi aku suka nak dera perasaan dia. Biar dia tau, macammana yang aku rasa sebelum ni.

"Kalau awak bising lagi, lagi lambat saya nak balik." Ugutku.

"Hoiisshh. Kejam betul!" Rungutnya, lalu duduk diam-diam dan bersandar di tiang kayu pondok ini.

Selepas entah berapa minit atau jam aku duduk termenung di sini, aku pun tak pasti. Baru aku ajak Harraz balik, itupun sebab aku kesian tengok Harraz yang dah terlena sambil duduk. Ish, ish, ish.. kesian..

Selepas solat maghrib, semasa aku dan mak sedang memanaskan lauk untuk makan malam, aku tengok Harraz dah terbaring atas lantai depan tv. Ketiduran, dengan kepalanya hanya dialaskan dengan kusyen nipis yang dilipat dua dan lantai yang dilapik dengan tikar mengkuang. Kesiannya dia..


p/s : maaf, lewat!. heee...


11 ceritaMia's lovers:

hanna aleeya zulkifli said...

huhu.., bez.., next iman harraz yea..,

Anonymous said...

Best sangat,,, sambung lagi...:)

~budak perlisz~

Kayrel said...

kak mia... dende lambat pos!! :P em.. harraz pendiam y extrm la.. cam ne la nak duk sminggu kat umah irin...

pexx said...

alahai..kesian Harraz tidur kat lantai je. tapi bagus laa Irin macam balas dendam kat Harraz. Huu..xsabar tggu next ep. :)

nanie said...

next entry please,, hhehe

just KD said...

ish ish ish,mmg ksian lar Harraz tu..

sue said...

Biarlah Harraz rasa macamana dia selalu dera Irin kan... orang sakit pun buat x tahu ... sekarang dia penat Irin pun buat x tahu juga.... orang lain pun ada perasaan....

THE Henney said...

nice...can't wait to see next chapter

Gadis Bunga Tulip said...

cpt sambung ea... kalo lambat sy saman kak mia.. huhu.. kejam arr..

Gadis Bunga Tulip said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

sangat menarik, terima kasih