http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, November 10, 2011

bab 25




Emak pandang aku, sebelum dia mula bersuara. “Sebenarnya.. bukan mak cik dengan pak cik yang jumpa Irin, tapi ada orang lain yang jumpa Irin dan bawa dia ke sini. Orang tu pesan suruh kami jaga Irin baik-baik. Orang tu pesan lagi yang mak ayah Irin dah tak ada. Irin anak yatim piatu dan tak ada tempat untuk dihantar, jadi orang tu minta jasa baik mak cik dan pak cik untuk jaga Irin.”
Harraz pula memandangku. Sebelum dia kembali memandang emak.

“Masa tu, Irin takkan tak ingat apa-apa mak cik?” Soal Harraz.

“Entahlah, masa tu Irin asyik panggil ibu dengan ayah dia je. Katanya ayah dia janji nak belikan kek.” Emak tiba-tiba tersebak. Mukanya berubah muram. “Rupanya hari tu, hari jadi Irin, mak cik dengan pak cik pujuk dia, belikan kek dan cakap kat Irin...” Emak mula mengalirkan air mata. Tiba-tiba aku sendiri pun ikut tersebak. Haishh.. aku bukan boleh tengok orang menangis ni.

“Sudahlah tu...” Kata Abah.

Harraz mula serba-salah. Dia sendiri nampak seperti tak tahu samada nak suruh mak berhenti bercerita atau teruskan saja. “Err.. mak cik.” Panggil Harraz, seperti ingin memujuk, tapi dia akhirnya hanya diam dan garu kepala.

Emak kesat airmata dengan lengan baju. Mak pandang aku dan menggamit aku supaya datang kepadanya. Aku bangun dari tempat dudukku dan menarik satu kerusi kosong di sebelah emak. Emak memeluk bahuku sebaik aku duduk, sambil mengusap rambutku.

“Masa tu, mak cik cakap kat Irin.. ibu dengan ayah dia dah tak ada. Emak dengan abah yang akan jadi Ibu dan ayah baru Irin.” Tangisan emak makin menjadi-jadi. Aku urut tangannya, cuba memujuk sedangkan aku sendiri tak reti nak pujuk.

“Irin memang budak baik, lepas mak cik cakap macam tu, dia langsung tak pernah tanya pasal ibu dengan ayah dia lagi. Dia terus jadi anak kami yang kami jaga baik-baik sampai dia besar. Sampai keluarga kandung Irin datang sini dan ambil Irin, mak cik masih anggap Irin adalah anak mak cik sendiri.” Kata emak lagi, berselang-seli dia bercakap sambil menahan hingus daripada keluar. 

Mendengar kata-kata itu, aku sendiri yang menangis. Sebak, terharu, gembira dan macam-macam perasaan lagi bercampur baur dalam hati. Penyudahnya, aku dengan emak macam berlawan-lawan menangis.
“Ish.. siapa yang pujuk siapa ni? Kalau dah dua-dua pun menangis..” Usik abah sambil ketawa. Aku turut tertawa dalam tangisan, lucu dengan keadaan diri kami. 

“Err.. maaf kalau saya tanya lagi.” Harraz teragak-agak untuk mengutarakan soalannya.

“Apa dia Harraz? Tanya sajalah.. mak cik tak apa-apa.” Kata mak dalam suara sengaunya. 

“Ermm.. siapa lelaki yang hantar Irin ke sini tu? Mak cik dengan pak cik kenal ke dia?”  Harraz nampak seperti ingin tahu benar tentang sejarah silam hidupku, sedangkan aku sendiri, tak pernah peduli dengan masa lampauku. 

Bagi aku, past is past, yang penting teruskan melangkah menuju ke masa depan yang belum pasti. Dan lagipun, mengingati masa lampau aku, sama seperti aku meletakkan diri aku dalam satu emosi yang sangat menyedihkan. Aku tak mahu menangis lagi semata-mata kerana aku terkilan dengan cara kematian ibu dan ayah.

Emak dan abah diam sambil berpandangan sesama sendiri. “Entahlah, sebenarnya mak cik dengan pak cik pun tak kenal lelaki tu. Tapi masa tu kami terserempak dengan dia masa kami dalam perjalanan nak balik dari kebun. Mula-mula dia nampak macam sesat dan dia macam nak tanya sesuatu pada kami, tapi tiba-tiba dia minta tolong kami jagakan Irin pulak.”

“Lepas tu, mak cik dengan pak cik terus terima macam tu je?” Soal Harraz. Lagaknya seperti tak puas hati dan tak sangka.

“Errr...” Emak pandang abah. Mungkin dia sendiri tak tahu nak jawab apa.

“Masa tu kami tak sempat nak fikir panjang bila tengok Irin tengah tidur dan lelaki tu nampak macam nak cepat pergi. kami lebih kesiankan Irin daripada memikirkan hal-hal lain.” Jawab abah.

“Ohh.. “ Harraz terangguk-angguk, seolah mengerti situasi abah dan emak ketika itu.

“Tapi...” Harraz ingin berkata sesuatu lagi tapi dia kelihatan serba-salah.

“Apa dia Harraz? Tanyalah, selagi kami boleh jawab, kami akan jawab.” Kata abah.

“Maaf, tapi saya cuma tertanya-tanya. Mak cik dan pak cik tahu tak yang berita kehilangan Irin ni tersebar hampir di seluruh Malaysia?” 

Emak dan abah berpandangan lagi. Mereka seperti sedang memikirkan tentang jawapan untuk soalan yang diutarakan oleh Harraz itu. Berkerut dahi abah.

“Pak cik tak pastilah. Lagipun dulu, kami memang tak tengok berita, rumah kami tak ada tv sehinggalah setelah setahun Irin tinggal kat sini, itupun sebab Irin yang asyik minta nak tv. Pada jiran-jiran pun kami cakap yang Irin ni anak angkat yang kami ambil dari pasangan orang susah. Lagipun pak cik memang dah lama kata nak ambil anak angkat, jadi bila pak cik jaga Irin, diorang tak banyak tanya lagilah" Jawab abah, tenang. 

Harraz diam dia seperti sedang memikirkan sesuatu. Dan perbualan kami hanya terhenti setakat itu bila abah akhirnya membuat keputusan untuk ke kebun memandangkan matahari mula menampakkan sinarnya.

*****************************

Aku kutip batu-batu kecil di kawasan tasik ini, mana yang cantik aku nak buat main batu seremban, mana yang buruk dan pecah, aku nak baling dalam tasik tu. Nampak sangat yang aku tak ada kerja, dan mencari kerja.

"Kau nak buat apa dengan batu-batu tu??" Soal Harraz dari arah pondok yang didudukinya. 

Aku menoleh sekilas. Melihatnya yang sedang duduk bersandar di tiang, dengan sebelah kaki kanan diluruskan dan kaki kiri dijadikan tempat untuk merehatkan lengan kirinya. Aku menghabiskan kutipan batu dan berjalan menuju ke arah Harraz, aku tolak kaki kanannnya perlahan sebagai isyarat untuk dia memberikan tempat duduk untukku.

"Kat sana ada tempat, duduklah kat sana.." Kata Harraz, tak mahu mengalihkan kakinya dan menyuruh aku duduk di tempat lain. 

Aku tolak jugak kaki dia kuat-kuat, aku nak jugak duduk kat sini. Harraz mengalah, ditegakkan kedua-dua kakinya dan kedua-dua lengannya diletakkan atas lutut. Aku tersenyum, bangga.

"Kita nak ajak awak main batu seremban ni, jom main!" Aku hamparkan batu-batu yang aku dah kutip tadi di atas pangkin ini dan duduk bersila menghadap Harraz.

"Batu seremban? Kau ingat aku ni budak perempuan ke nak main benda-benda macam tu? Heh.." Soalnya, tersengih sinis.

"Dulu masa kat sekolah, kita siap lawan-lawan main dengan budak lelaki lagi kot.. tak ada sesiapa kisah pun ini mainan lelaki ke mainan perempuan?" Kataku, sengaja ingin menunjukkan kepadanya bahawa permainan itu bukan kira jantina.

"Kawan-kawan lelaki kau tu mesti lembik! Orang mainlah, aci kejar ke, sorok-sorok ke, main bola ke.. ini, heheeh.. batu seremban? Tak macho langsung" Katanya lagi, masih ingin memperlekehkan permainan ini dengan mengatakan bahawa kawan-kawan lelaki aku lembik.

"Tak nak main sudah.. kita main sorang-sorang." Balasku, malas dah nak bertekak dengan Harraz semata-mata nak ajak dia main batu seremban. Buang air liur je.

Aku mula membaling batu satu persatu, ditemani Harraz dan tiupan angin sepoi-sepoi. Bila batu tu dah melantun ke atas, Harraz cepat-cepat sambut sebelum batu tu jatuh dalam tangan aku. 

"Harraz!" Marahku, tadi ajak main tak nak. Ini nak kacau orang pulak.

Batu yang disambut itu dicampak kepadaku, aku sambung main dan sekali lagi Harraz mengganggu. Aku jegil mata memandangnya. Harraz ketawa.

"Ingat aku takut sangatlah dengan muka garang kau tu? Hahaha... " 

"Sibuk je, awak kacau lagi siap!" 

Harraz mencebik. Konon tak takut langsung dengan ugutan aku. Aku buat tak tahu dan teruskan bermain, Harraz tak kacau lagi, dia senyap dan merenung aku membaling batu. Tiba-tiba rasa tak selesa bila dia asyik pandang. Ok, mungkin aku patut biarkan je dia kacau aku macam tadi daripada dia tenung aku macam orang ada masalah.

"Irin.. terima kasih!" Ucap Harraz tiba-tiba.

Serta-merta ayunan tangan aku yang rancak membaling batu terhenti. Sampai batu terakhir yang aku campak tadi pun aku lupa nak sambut balik sehingga membuatkan batu tersebut jatuh sipi-sipi di kepalaku. Aku mengelak, terkejut.

Tapi tak sangka yang refleksi spontan itu membuatkan Harraz ketawa berdekah-dekah sampai menepuk tempat duduknya. Alah.. lawak sangat ke aku terkejut pun?

"Ish.. dah la tu, janganlah gelak.." Kataku, malu. Cara Harraz gelak buat aku rasa malu, macam aku buat lawak bodoh yang wajib digelakkan.

"Irin.. Irin.. yang kau berhenti main tu kenapa? Nasib baik batu tu tak jatuh atas kepala kau, kalau tak.." Harraz menggelengkan kepalanya. "Heii.." Sambungnya lagi.

"Awaklah, yang tiba-tiba ucap terima kasih kat kita tu kenapa?"

Harraz terus berhenti ketawa, diganti dengan sengihan dan sisa-sisa tawa. Dia berhenti menepuk pangkin yang diduduki oleh kami ini, dia berhenti memandangku, sebaliknya dia duduk tegak dan bersila, dia berdehem dengan senyuman sinis yang masih belum hilang. Sebelum dia bersuara.

"Terima kasih sebab jaga aku masa aku demam, terima kasih sebab lumur air asam jawa kat kepala aku, terima kasih sebab kau sanggup tidur duduk semata-mata nak tengok aku. Tapi memang patut pun kau buat macam tu, sebab kalau bukan sebab aku, mesti kau terlantar atas katil seminggu sebab tak nak makan ubat dulu. So, fair la kan?." Katanya.

Aku terasa muka aku panas. Alamak, bukan masa tu dia tak sedar ke? Bukan masa tu dia meracau-racau dalam tidur ke? Bukan masa tu... 

Tidak! Masa tu, dia tau aku yang lumur kepala dia dengan air asam, dia tau masa tu aku yang risaukan keadaan dia, dia tau masa tu aku sampai tertidur kat sebelah dia. Ohh, malunya...

"KIta buat semua tu pun sebab kita rimas dengar suara awak meracau-racau je, rimas tau, orang nak tidur pun susah." Kataku, cuba menutup rasa malu disamping untuk mengelakkan Harraz daripada salah faham tentang perbuatanku. 

"Apa-apa sajalah Irin.. "

Aku sambung melambung batu. Harraz memerhatikan batu-batu yang aku lambung itu sebelum dia mengesot mendekati aku  dan menunggu sehingga aku berhenti bermain.

"Nak apa?" Soalku, sambil menyambut batu yang jatuh sebelum membaling batu yang lain.

"Nak main!" Jawabnya.

"Tadi kata tak macho main batu seremban. Ini kan mainan budak perempuan?" Perliku.

Batu yang baru ingin jatuh Harraz sambut dulu sebelum aku sempat menyambutnya. Semua batu-batu yang tinggal di atas pangkin dia kutip, batu yang ada dalam genggaman aku dimintanya.

Aku hulur juga dengan hati yang menyumpah-nyumpah Harraz. Kutuk orang bukan main, lepas tu buat muka tak malu nak main jugak!. Menyampah.

Aku perhatikan saja Harraz campak batu-batu itu satu persatu, pantas. Sekejap saja dia dah timbang batu dan kira jumlah markahnya sebelum dia kembali mengulang main dengan gaya 3.2.1.  Boleh tahan jugak Harraz main, tak nampak kekok langsung kot...

"Pandai main?" Soalku, berupa perlian.

"Tengok tanganlah.." Jawabnya.

"Hurmmm.." Aku mencebik. Terus mengalihkan pandangan ke arah lain sebab tak nak Harraz bangga dan perasan dia bagus kalau aku asyik perhatikan cara dia main. Tapi seketika kemudiannya, aku kembali menoleh memandang Harraz dan bertanya, 

"Eh, Harraz.. kenapa awak tanya kat mak macam tu tadi?"  

"Tanya apa?" Soalnya. Kepalanya didongak untuk melihat batu yang ingin jatuh. 

"Tanya pasal sejarah silam kita la.." Balasku. 

"Sebab aku nak tau.." Harraz campak lagi satu batu tinggi-tinggi. 

"Kenapa awak nak tau?"

"Kenapa? Tak boleh?" Tangan kanannya menyambut batu yang dibaling tadi.

"Bukanlah.. tapi, kita pun tak pernah ambil kisah tentang semua tu, awak pula yang lebih-lebih."

Harraz berhenti bermain. Dipandangnya aku dengan dahi berkerut.

"Tak pernah ambil kisah? Maksudnya kau langsung tak nak tahu siapa lelaki yang hantar kau ke sini dulu? Kau tak nak selidik, kenapa selepas 19 tahun baru atuk jumpa kau kat sini? Kau tak nak siasat, apa punca kemalangan ibu dengan ayah kau dulu?" Soal Harraz, bertubi-tubi.

Aku diam, fikiran aku sedang mencari jawapan sesuai untuk soalan-soalan itu.

"Tak! Kita tak nak tahu dan lebih baik kita tak tahu daripada kalau kita tau dan kita sakit hati, atau menyesal atau.. apa-apa saja perasaan yang boleh buat kita bersedih." Jawabku, sangat yakin dengan jawapan yang aku beri sambil mengutip batu-batu yang Harraz tinggalkan berterabur untuk aku sambung main.

Harraz mengeluh. "Kau tau tak Irin? Kau ni, manusia paling pelik aku pernah jumpa, manusia yang paling pemalas, paling penakut dan paling suka duduk dalam mimpi. Sampai bila kau nak terus duduk dalam zon selesa tu? Sampai bila kau nak simpan perasaan dan anggap yang semua yang berlaku adalah takdir sedangkan kau belum pun buat apa-apa, sampai bila Irina??" Nada Harraz mendatar tapi mampu membuatkan hati aku terasa pedih dan kecil hati, seolah dia cuba menyedarkan aku bahawa apa yang dikatakannya itu adalah sesuatu yang patut aku ambil peduli dan fahami.

Tapi aku tak mahu peduli dan tak mahu faham. Aku pekakkan telinga dan terus bermain seolah-olah apa yang Harraz cakap itu tidak langsung meninggalkan kesan di hatiku.

"Irina Imani!!" Batu-batu ditanganku Harraz tepis kasar, separuh darinya berterabur atas lantai. Kali ni aku betul-betul terkejut dengan tindakan spontannya. Matanya tak berkelip daripada memandang aku. 

"Apa?" Soalku. 

"Apa? Kau tanya aku apa? Kau sedar tak apa yang sedang berlaku dalam hidup kau sekarang ni? Kau sedar tak yang ada sesuatu yang kau patut cari dan fikirkan? Kau sedar ke tak Irin?" Soal Harraz, kini nadanya agak menaik, tapi masih dikawal agar tidak kedengaran seperti menengking. 

Aku menunduk, memandang lebihan batu yang jatuh di atas pangkin ini. Aku capai sebiji dan aku putarkan ianya dengan jari. 

"Cukuplah, kita dah jumpa atuk, dah jumpa keluarga kandung kita, apa lagi yang kita nak harapkan? Nak tanya kat atuk kenapa ibu dengan ayah meninggal? Nak salahkan takdir yang kita tak sepatutnya tercampak ke daerah ini dan hidup susah? Nak merintih dan menangis? Nak buat apa lagi?" Soalku, mula sebak. 

Entahlah.. kata-kata Harraz itu seperti cuba untuk menarik aku keluar dari zon selesa seperti yang dikatakannya tadi. Dia tak tahu, betapa aku cuba untuk pulihkan trauma dalam diri aku, dia tak tahu betapa aku menangis tiap-tiap malam sebab rindukan ibu dan ayah tapi aku tak pernah cakap kat emak dan abah, dia tak tahu.. betapa aku tertanya-tanya, betulkah aku masih ada keluarga lain? kalau ada, dimana mereka? Setiap hari, aku menunggu akan ada seseorang yang mengaku dia adalah saudara kandungku, datang untuk bawa aku pergi, tapi harapan hanya tinggal harapan kosong. Sehingga akhirnya, aku berhenti berharap dan menganggap mak dan abah adalah satu-satunya keluarga yang aku ada.

Dia tak faham....

"Kau perlu rungkaikan misteri yang membelenggu hidup kau selama ni, kau kena cari tau apa punca dan sebab atas semua yang berlaku. Bukan biarkan apa yang dah berlalu tu, pergi macam tu saja, sedangkan teka-teki dalam hidup kau pun masih belum dirungkaikan. Kalau aku sebagai seseorang yang cuma melihat pun dah terasa macam ada sesuatu yang tak kena, takkan kau yang alaminya tak rasa apa-apa langsung?" Bebel Harraz, panjang lebar. Sakit pula telinga aku mendengar.

Aku menggeleng. Air mata aku dah terasa macam nak tumpah. Sebelum aku menangis depan Harraz, baik aku angkat kaki dulu.

"Entah, biarlah.. malas nak fikir." Serentak kata-kata itu, aku bangun dan mengatur langkah meninggalkan pondok ini, niatku ingin terus puang ke rumah. Sempat aku kesat air mata yang mengalir. 

"Irin!" Aku terasa lengan aku ditarik supaya berhenti berjalan dan berhadapan dengan Harraz. Nak tak nak, muka aku yang hodoh sedang menangis ini terpaksa juga aku tayang untuk jadi tatapan Harraz yang sedang tergaman melihatku. Aku menundukkan kepala sambil berusaha untuk berhenti menangis sedangkan aku tahu, bila aku dah menangis jangan haraplah aku akan berhenti dengan mudah. 

"Jom.. kita duduk kat situ dulu.." Ajak Harraz, lembut. Seakan memujuk.

"Tak nak, nak balik." Aku memprotes. Aku ayun kaki selangkah ke hadapan. Tapi berhenti setapak kerana Harraz menghalang laluanku.

"Kau nak jawab apa pada mak abah kalau diorang nampak muka kau macam ni?" Soalnya. Sindiran berupa soalan.

Ya, betul juga tu. Takkan aku nak jawab yang aku bergaduh dengan Harraz sampai nangis-nangis macam pasangan kekasih yang baru putus hubungan? Memikirkan yang aku memang tak ada alasan logik untuk diberikan pada mak yang macam wartawan hiburan tu, maka aku berpatah balik dan duduk di atas rumput bawah pokok ketapang. Harraz duduk di sebelahku dan dia mengeluh beberapa kali. Macam dia pulak yang ada masalah besar sampai perlu mengeluh sebegitu.

"Aku tak nak kau jadi macam aku Irin. Menyesal pun tak guna." Kata Harraz tiba-tiba. 

Aku sebenarnya pelik juga dengar kata-katanya itu, tapi untuk membuka mulut dan menanyakan kenapa dia bercakap macam tu, rasanya memang agak mustahillah kot, memandangkan ego aku sekarang ni setinggi eifel tower!.

"Kau nak tau kenapa aku garang sangat dengan kau masa kita mula-mula jumpa dulu?" Soalnya, memandangku dari sisi. 

Dalam hati aku menjerit-jerit cakap nak! Nak!. Tapi kat mulut aku senyap je. Mengangguk tak, balas pandangan dia pun tak. Aku terus pandang arah tasik sambil kesat air mata yang turun macam hujan lebat.
Harraz ketawa. Perlahan.

"Tak nak tau sudah, aku pun malas nak cerita.." Katanya. Seperti sengaja nak main tarik-tarik tali dengan aku pulak. 

Ish..

"Cakap jelah!" Kataku, tak puas hati. Mestilah aku nak tahu. Seumur hidup, belum pernah aku jumpa manusia yang garang, baran, sombong dan maha pelik macam Harraz yang 'dulu'. Harraz yang terbaru ni macam dah baik sikit. Tak garang macam dulu dah.

Harraz ketawa lagi. Lucu agaknya melihat gelagatku, sebelum dia berdehem beberapa kali dan cuba untuk serius. Akhirnya dia membuka hikayat Iman Harraz, untuk diperdengarkan kepadaku... 

"Urrmmm... dulu aku ada ramai kawan, kawan masa susah, kawan masa senang. Tapi sayangnya, aku tersalah pilih kawan. Melalui diorang, aku belajar hisap rokok, melalui diorang, aku belajar merempit, melalui diorang, aku belajar melepak kat kelab, melalui diorang, aku belajar ponteng sekolah, melalui diorang, aku belajar jadi anak derhaka..." 

"Kau bertuah Irin, sekurang-kurangnya masa ibu dengan ayah kau pergi, kau bukan anak derhaka pada diorang, tapi aku.. masa mak aku meninggal, aku dah pun jadi anak derhaka pada dia. Masa mak aku pergi, aku tak sempat pun nak mintak ampun, apalagi nak tengok jenazah dia untuk kali terakhir. Heh.."

"Entah aku patut salahkan kawan atau salahkan diri aku sendiri. Tapi masa tu aku tak fikir yang aku salah, aku fikir kawan-kawan aku yang jadi punca mak aku meninggal, kawan-kawan aku yang jadi punca aku jadi anak derhaka. Dan sejak itulah.. aku tak pernah ada kawan, apalagi mahu berkawan. Bagi aku, kawan hanya akan membawa aku ke arah kehancuran."

"Lepas tu dapat pulak tugasan kena jaga kau, si budak kampung yang tak dengar cakap. Memang buat aku naik angin jelah kan?" Harraz tersengih menyindir sambil memandangku. 

"Jadi, sebab kawan-kawan awak dan punca kematian emak awak.. awak terus benci orang lain?" Soalku, ego sudah aku tolak ketepi. Cerita Harraz lebih menarik untuk aku terus korek dan selami. 

Harraz mengangguk. 

"Tapi bukan pasal itu yang aku nak tekankan kat sini. Kau patut tau yang aku tak pernah tau apa punca mak aku meninggal sehingga ke hari ini sebab aku takut nak hadapi hakikat, yang mungkin aku adalah penyebab kepada kematian emak. Akibatnya? Sampai sekarang aku tak pernah rasa aman dan rasa serba salah tu terus menghantui aku. Perit perasaan tu Irin, aku tak mahu kau pun rasa apa yang aku dah rasa.."

"Sebab tu aku nak kau luahkan segala yang terpendam dalam hati kau, cari apa misteri yang mungkin ada pada sejarah hidup kau, rungkaikan. Jadi kau akan lebih mudah teruskan hidup tanpa rasa tersekat lagi."
"Habis? Kenapa awak tak cuba cari tahu punca kematian mak awak? Takkan awak pula sanggup hidup dalam keadaan serba salah sampai bila-bila?" Soalku.

"Samada aku tau atau tak tau, hakikatnya tetap sama.. Aku anak derhaka." Jawab Harraz, selamba.

Aku ternganga, tak tau apa yang patut aku katakan lagi. Agaknya apalah kesalahan paling besar yang Harraz telah lakukan sehingga dia menggelarkan dirinya anak derhaka?

"Jadi kau nak ikut cakap aku atau berkeras dengan kehendak kau?" Soalnya kepadaku.

"Awak nak kita buat apa?"

"Patah balik ke belakang, dan betulkan balik apa-apa yang tak betul tu." Jawab Harraz, berkias.
"Maksudnya?"

"Maksudnya kita balik dulu, lepas tu nanti kita plan sama-sama" Harraz bangun dan mengibas-ngibas punggungnya. 

"Jom!" Dia mengajak, bila aku masih tidak bangun dari tempat dudukku.

Err.. mungkin aku patut ikut je apa yang Harraz cakap tu, daripada aku peningkan kepala aku fikir apa yang aku sebenar-benarnya patut lakukan. Aku turut bangun dan berjalan beriringan dengan Harraz menuju ke rumah. 

Betulkan balik apa-apa yang tak betul dulu?                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   


p/s : Salam, aku dah.. (Aku? Kurang ajarnya.. oklah, kite!.) kita dah senaraikan nama-nama yang join Segmen Review Tuan Muda Iman Harraz kat sebelah kanan blog ni, di bahagian bawah sekali untuk yang belum join segmen tu dan tak reti nak buat macammana boleh klik kat nama-nama glamour tu untuk buat rujukan atau saja-saja baca. Sekarang baru ada tiga, kita harap sangat kalau lebih ramai yang join sebab rupanya baca review korang sangat seronok! Dan buat kita sedar kat mana kelebihan dan kelemahan cerita ni. Paling best bila korang main teka-teka apa ending cerita nih. Hahahaaa.. so sweet!

btw, lepas baca rajin-rajinlah komen, boleh? *Hakhak.. melampau kau mia, mintak lebih-lebih!*

8 ceritaMia's lovers:

Isteri Khalifah Uthman said...

kita nak tahu lagi apa jadi dengan harraz..??

afiqah airil said...

mula-mula tu saspen jee kisah lama si Irin tu tiba2
alahai..sedih kisah silam Harraz tu. T_T

nak tau lebih lagi! hehe..xcukup ni kak mia. ;p

idA said...

misteri sungguh kehidupan minah tu..sape kah yg menghantar Irin ke pasangan yg tidak mempunyai anak itu..akanlah poyo poyo mrk mengambilnya..mungkin ini satu komplot mak usu yg hendak kan harta ayahnya,,,
tak sangka pulak Harraz tu..budak nakal..citer ni semakin menarik dik..

sue said...

Rasa nya Mak usu tahu siapa yang buat ..... sebab tu dia ada perasaan takut dengan Irin .....
Harraz buat lah apa yang terbaik buat Irin.....
Sian Irin.... Sedih juga kisah hitu Harraz ....

Kayrel said...

pe ek harraz dah wat? mia x mo cite ke kisah silam harraz? kot harraz tetibe tekenang ke pe y die dah wat kat mak die dlu? eh ayah die p mane? mak die je kan y dah meninggal? emm.. cam lame plak depa dok kat kg kan... cm lebih dri smingu...

mia kaftiya said...

kayrel :Pak cik Ghazi tulah ayat harraz. hahaha..

arasnieryie@1995 said...

laaa...n3 memory land rupe nyer,uhuk uhuk uhuk..

hanna aleeya said...

muahaha.. baru perasan akak kata nma hanna glamour.., mmg glamour pown kak.., iman harraz yg seterusnya bila nak ada niey kaka??