http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, November 30, 2011

Bab 28



Selangkah, dua langkah, huhh.. hiyahh. Sampai pun aku kat depan Villa! Yeah, and the winner is cik muda Irina Imani, mengalahkan tuan muda Iman Harraz!!!! Aku tersenyum kepuasan, sambil berpusing ke belakang untuk memastikan dimana kedudukan Harraz sekarang. Tapi sebaik saja mata aku terpandang gaya Harraz yang sedang berjalan itu, mata aku tiba-tiba seakan dipaku supaya terus memandang ke arahnya.
Cool. Harraz nampak sangat cool. Dia berjalan santai dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan dalam poket. Rambutnya yang tak disapu gel elok terjatuh ke dahi dan menutupi hampir kesemua dahinya. Mata dia! Nampak redup je. Nampak macam sepasang mata yang.. yang.. sayu. Walaupun muka dia nampak bengis tapi mata dia menunjukkan sebaliknya. Mata dia... sedih!

"Puas hati dah menang?" Soal Harraz, yang kini sudah pun berdiri di hadapanku. 

"Kenapa awak tak lari?" Soalku. Pelik dan curiga.

"Kalau aku lari memang dah sah la kau takkan menang irin..." Jawab Harraz, selamba.

"Awak memang nak kita menang? Kenapa?" 

"Tak ada sebab!"

"Tak ada sebab??..."

"Dah la kau tak payah banyak tanya. Sekarang baik kau fikirkan apa yang kau nak aku buat untuk kau." 

"Betul awak akan buat semua yang kita suruh??"

Harraz diam. Hanya keningnya saja yang dijongketkan.

Aku tak perlu fikir panjang lagi apa yang aku ingin dia lakukankan sebab permintaan ini dah lama aku ingin dia laksanakan.

"Kita nak... awak luahkan semua perkara yang terbuku dalam hati awak tu. Macam yang kita cakap tadi, kita nak jadi patung yang takkan bocorkan rahsia awak pada sesiapa, kita akan pinjamkan bahu kita kalau awak nak menangis dan kita akan tadahkan telinga kita untuk dengar semua masalah awak. Boleh awak tunaikan?" Soalku.

"Apa yang kau merepek ni Irin? Apa yang aku nak kena ceritakan pada kau? Masalah apa?" Soal Harraz, berkerut-kerut mukanya. Tak pastilah aku kerutan itu kerana dia memang betul-betul tak faham apa yang aku maksudkan atau kerutan itu kerana dia tak senang mendengar permintaanku ini.

"Kita tak taulah kalau awak memang tak faham atau buat-buat tak faham, tapi kita tau masalah awak dan mak awak, dan kita tau yang awak dah simpan lama benda tu dalam hati awak kan? Awak tak boleh macamni Harraz, sampai bila awak nak simpan rasa serba salah awak tu? Hidup awak takkan tenang, hati awak takkan senang sampai awak luahkan pada seseorang!" Pujukku. Kenapalah si Harraz ni keras hati sangat? 

Harraz mendengus kasar. 

"Kenapa kau pulak yang mesti nak sibuk-sibuk hal peribadi aku? Siapa yang ceritakan pada kau pasal semua tu? Atuk? Heh.. kau tak ingat ke apa yang kita rancangkan masa kat kampung dulu Irin? Aku akan tolong kau untuk betulkan balik masa silam kau, bukan kau yang akan betulkan masa silam aku.."

"Ya.. tapi sebelum awak selesaikan masalah orang lain, awak kena selesaikan masalah awak dulu!" Tegasku. 
Harraz diam. Menunduk memandang lantai marmar di kawasan hadapan pintu masuk villa. Dia mengeluh lagi sebelum dia angkat kepala memandangku.

"Kau ada masa seminggu untuk suruh aku buat benda lain yang lebih rasional daripada suruh aku betulkan hidup aku sendiri." Kata Harraz dan dia terus angkat kaki, masuk ke dalam villa tanpa pamitan.

Aku hanya memerhatikannya dari belakang dengan satu keluhan kecil. Atuk.. kenapa Harraz ni keras hati sangat? Irin penatlah nak pujuk dia. 

Perlahan aku heret kaki, turut sama melangkah masuk ke dalam villa. 

******************************

Keluar dari bilik selepas bersiap dan ingin menuju ke ruang makan, aku terpandang seseorang di ruang tamu. Laju kaki aku halakan ke arah sana, sekadar menurut rasa hati yang ingin tahu siapa tetamu yang datang itu. Tapi semakin langkah aku hampir dengan kedudukan lelaki itu, semakin aku rasa aku macam kenal dengan gerangan manusia ini. 

Bila Jarak aku berdiri dengan kedudukan lelaki yang sedang duduk di sofa itu hanya beberapa langkah jauhnya, lelaki ini angkat kepala memandangku. Kami berpandangan. Serta merta anggota badanku memberi tindak balas dengan mengundur setapak ke belakang, dengan mata yang dikecilkan dan mulut yang ternganga sedikit. Begitu juga dia yang serta merta terus berdiri menghadapku, dahinya juga berkerut. 

"Eh.." Terletus perkataan itu, keluar dari mulutnya.

"Awak??.." Kataku pula. Ingin bertanya sesuatu tapi sayangnya lidah aku tiba-tiba kelu. Tak tahu apa yang patut aku tanyakan. Yang pasti aku sangat-sangat terkejut melihat Syafiq berada di hadapanku saat ini dalam pakaian kemasnya. Seperti seorang pekerja pejabat yang sungguh berkarisma. 

Dari dulu hingga kini, aku sentiasa merasakan yang Syafiq ada auranya yang tersendiri!. 

"Irin?" 

Aku menoleh, pak cik Ghazi sedang berjalan menuju ke arah kami dengan sebuah fail hitam di tangannya. Aku toleh memandang Syafiq kembali, terfikir juga apa kaitannya Syafiq di sini dengan pak cik Ghazi? 
Kerana rasa ingin tahu yang mendalam, aku tetap terus berdiri di sini sekalipun pak cik Ghazi dah ambil tempat duduk berdekatan Syafiq dan mempersilakan Syafiq supaya duduk. Ternyata Syafiq juga merasakan apa yang aku rasa sebab dia asyik curi-curi memandang aku yang sedang berdiri di belakang kerusi pak cik Ghazi.

Mungkin terperasan dengan tingkah Syafiq itu, pak cik Ghazi menoleh ke belakang, memandangku. 

"Kenapa Irin??" Soal pak cik Ghazi.

"Errr..." Aku serba salah, apa yang patut aku katakan? Mengaku yang aku sebenarnya kenal Syafiq? Atau buat tak tau je? Aku sempat menjeling memandang Syafiq yang turut sedang memandangku.

Arrgghh.. kenapa tiba-tiba aku rasa macam aku tak patut biarkan Syafiq tahu siapa aku sebenarnya? Aku menggelengkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan pak cik Ghazi itu sedangkan aku sendiri tak tau kenapa aku menggeleng. Bila aku baru berkira-kira untuk pergi dari situ, kehadiran atuk pula membantutkan langkahku.

"Irin buat apa kat sini? Dah sarapan?" Soal Atuk.

"Belum.. nak pergi sarapanlah ni." Jawabku, dan mula mengatur langkah setapak, ingin beredar dari situ. Biarlah.. mungkin aku boleh risik-risik pada pak cik Ghazi nanti tentang tujuan kedatangan Syafiq ke sini.

"Irin..." Panggil pak cik Ghazi. Sekaligus mematikan ayunan langkah kakiku, sebelum aku menoleh memandangnya.

"Irin kenal Syafiq?" Soal pak cik Ghazi. 

Aku garu kepala. Nak jawab ya, takut Syafiq mungkin tak selesa. Nak cakap tak, nampak sangat macam aku tak mengaku orang kampung sendiri. Tambah-tambah lagi dia adalah lelaki yang aku suka.

Aku pandang Syafiq, meminta pertolongan talian hayat daripadanya. Seperti memahami maksud pandanganku, Syafiq mengangguk perlahan.

"Kenal.." Jawabku, sepatah.

"Oh.. patutlah, pak cik tengok kampung Syafiq sama dengan kampung Irin." Kata pak cik Ghazi, sambil membelek-belek kertas di tangannya.

"Oh, Irin dengan dia satu kampung? Siapa nama kamu?" Soal atuk kepada Syafiq, dia berjalan menuju ke sofa dan duduk betul-betul berhadapan dengan Syafiq. Mungkin atuk masih belum mengenali Syafiq lagi agaknya.

"Syafiq." Jawab Syafiq sepatah sambil dia menundukkan kepalanya sedikit, sebagai tanda hormat.

"Oh.. irin.." Atuk menggamit aku supaya menghampirinya. Perlahan aku berjalan ke arah atuk sebelum tangan aku ditarik oleh atuk supaya duduk bersama-sama dengannya di sofa itu. 

Aku pulak yang rasa tak selesa. Bukan apa, sebelum ni pun aku memang tak pernah rapat apalagi bersembang dengan Syafiq, tiba-tiba hari ini kami dipertemukan dalam keadaan tak dijangka dan atas tiket, 'orang kampung' pasti atuk dan pak cik Ghazi fikir yang aku dan Syafiq sangat rapat dulu. Kalau tak, takkan atuk sampai menarik aku supaya duduk bersama mereka, kan?

"Syafiq dah tau siapa Irin sebenarnya?" Soal atuk.

Aku menggeleng. Atuk pamer reaksi terkejut.

"Tapi kata sekampung? Bukan Irin dengan dia berkawan ke?" Soal atuk lagi, meluahkan persoalannya.

"Hehehe... kami memang satu kampung, satu sekolah tapi bukan satu kelas. So.. tak pernah kenal rapat." Jawabku, dengan sengihan malu. Malu sebab aku harus mengakuinya di hadapan Syafiq sendiri.

"Maaf, kalau saya nak tanya. Err.. Irina buat apa kat sini?" Soal Syafiq. Berkerut dahinya, memandang aku dan atuk bersilih ganti.

Atuk memandangku dan memandang Syafiq semula. "Panjang ceritanya. Masa ini mungkin tak sesuai kalau kita nak ceritakan semua sekali, tak apalah, lain kali atuk bagi peluang untuk irin jelaskan semuanya kepada Syafiq, boleh Irin?" Soal atuk kepadaku.

Aihh.. kenapa aku pula? Aku nak cakap apa dengan dia, dah la tak rapat tiba-tiba nak bukak hikayat lama pulak. Kekok gila kot.. Aku pamer senyuman plastik kepada Syafiq yang masih memandang kami dengan reaksi muka ingin tahunya. 

"Irin jomlah kita pergilah sarapan dulu, pak cik Ghazi ada hal yang nak diselesaikan dengan Syafiq." Atuk bangun, diikuti aku "Err.. nanti jemput sarapan sekali ya?" Atuk mempelawa Syafiq untuk sarapan bersama-sama kami, sehingga Syafiq tersenyum segan kerana dipelawa dan mengangguk barulah kami meninggalkan mereka berdua di situ, dan terus menuju ke ruang makan.

"Betul ke Irin tak kenal rapat dengan Syafiq tu?" Soal atuk, semasa kami sudah mengambil tempat masing-masing di meja makan. Ada nada curiga dalam soalannya itu.

Aku yang ketika itu sedang meletakkan napkin di atas peha, pantas menggeleng, "Err.. betullah atuk, tegur dia pun Irin tak pernah, dulu." Jawabku.

"Tapi cara Irin pandang dia nampak macam ada sesuatu je?" Balas atuk dengan reaksi muka selamba sambil dia juga mengibas perlahan napkin yang dilipat cantik atas piring sebelum diletakkan di pehanya. 

"Ada sesuatu apa tu atuk? Irin biasa jelah, Irin cuma terkejut je tadi, tiba-tiba nampak dia kat sini.." Balasku, cuba berlagak selamba dan meneguk teh panas dalam cawan yang baru saja dituang oleh pelayan dapur.
Atuk senyum. Senyuman yang tak tahu bagaimana untuk aku tafsirkan.

"Apa atuk senyum-senyum ni??" Soalku, tak selesa. Orang kata kita tak boleh tipu orang tua sebab walaupun kita tak cakap apa-apa tapi mereka pandai baca bahasa tubuh kita. Huishh.. cara atuk pandang aku pun aku dah rasa macam atuk boleh baca bahasa tubuh aku. 

"Aik? Takkan atuk senyum pun tak boleh?" Usik atuk lalu ketawa. 

Aku mencebik sambil capai roti bakar dan capai pisau pula untuk sapu jem pada roti dan pada ketika itulah 
Syafiq dan pak cik Ghazi datang ke ruang makan, membuatkan pergerakan tangan aku seakan kaku. Bila atuk pandang aku membuatkan aku makin tak senang duduk.

Lebih membuatkan tingkah aku semakin serba tak kena bila panahan mata Syafiq betul-betul menikam ke anak mataku, oh.. tolong jangan bagi hati aku berkerja lebih keras! Aku penat nak rasa getaran jantung aku yang berlari laju ni!

Aku cepat-cepat tundukkan pandangan. Elok-elok tadi nak sapu jem pada roti terus tak jadi. Penyudahnya roti bakar kosong itu juga yang aku telan. Tawar.

"Syafiq satu sekolah dengan Irin dulu?" Soal atuk. 

Adush, kenapa tiba-tiba atuk tanyakan soalan itu pula.. macam nak bukak hikayat lama aku dengan Syafiq je.

"Ya, tapi saya senior Irina, kami jarang bertegur sapa" Jawab Syafiq. Jawapannya itu membuatkan aku rasa seperti kami memang tak ada apa-apa hubungan selain tinggal di kampung yang sama dan bersekolah di sekolah yang sama. Selama ni memang kau sorang je yang syok sendiri Irin...

"Oh... kalau dulu jarang bertegur sapa, sekarang bolehlah rapatkan hubungan." Kata atuk, seperti mengandungi maksud yang sangat mendalam dalam kata-katanya itu. Aku gigit bibir, risau pula kalau atuk 
akan berkata sesuatu yang akan buat aku makin tak senang duduk.

Syafiq tersenyum dan mengangguk. Sempat dia memandang ke arahku lagi. Huish boleh lemah jantung aku dibuatnya. Dahlah Syafiq duduk betul-betul kat depan aku. Aku baru berkira-kira untuk tundukkan pandangan daripada bertentang mata dengan Syafiq tapi mata aku terlebih dulu ternampak Harraz yang sedang berjalan menuju ke sini dengan pandangan matanya tertancap pada Syafiq yang sedang duduk membelakangi Harraz. 

Dalam fikiranku, hanya ada dua sebab yang rasional kenapa Harraz pandang Syafiq dengan pandangan mata helangnya itu. Pertama, sebab dia tertanya-tanya siapakah gerangan manusia asing yang berada bersama-sama kami di meja makan ini  dan yang kedua, mungkin dia tak suka ada orang lain yang mengambil tempat duduknya. Dan pada perkiraan aku, jawapan paling tepat untuk menghuraikan maksud pandangan tajam Harraz itu adalah nombor dua. Kerana dia hanya berdiri di belakang Syafiq dengan kedua-dua tangannya di dalam kocek dan memandang ke arah lelaki pujaan hati aku ni dengan muka serius yang mencuka. Tiba-tiba aku rasa macam aku dah lama tak nampak muka serius Harraz macam ni.

"Harraz.." Tegur atuk.

Serentak Syafiq dan pak cik Ghazi menoleh ke belakang. Syafiq menghadiahkan senyumannya untuk Harraz tapi Harraz tak beri reaksi langsung, sebaliknya dia terus beredar dan duduk di kerusi kosong sebelahku. Aku nampak perubahan air muka Syafiq yang menelan liur. Terus mati senyumannya. 

Dengan selamba, Harraz pecahkan telur rebus ke dalam mangkuk, capai serbuk lada sulah dan mengacau sebati campuran telur tiga suku itu dan serbuk lada sebelum dia menghirupnya dengan sudu. Nampak selamba benar gayanya seperti dia langsung tak ambil peduli dengan tetamu yang ada di hadapan aku ini. Aku rasa Harraz patut masuk kelas pendidikan moral supaya dia belajar bagaimana untuk menghormati tetamu.

"Ini Harraz, anak Tuan Ghazi.." Kata atuk memperkenalkan Harraz kepada Syafiq.

Syafiq tersenyum dan mengangguk faham. Sempat matanya memandang Harraz. Mungkin dalam hatinya mengeji sifat Harraz yang sombong atau mengutuk peribadi Harraz yang dingin, atau memikirkan dari mana 
Harraz mewarisi sifat sombong ini sedangkan pak cik Ghazi bukanlah seorang yang dingin dan sombong, atau apa sajalah, sama seperti yang aku lakukan semasa pertama kali aku bertemu Harraz. Cuma bezanya, dulu aku sangat takut dengan Harraz pada kali pertama kami dipertemukan, tapi Syafiq nampaknya dia seperti menyimpan satu perasaan menyampah dalam hatinya terhadap Harraz.

Ya, semua itu dapat aku baca dari air muka Syafiq yang kejap-kejap berubah dengan matanya masih tak lekang daripada memandang Harraz

"Err.. atuk, apa Syafiq buat kat sini?" Soalku, persoalan yang bermain dikepalaku tadi aku luahkan bila berpeluang.

Atuk pandang pak cik Ghazi, seperti ada satu arus magnetik di antara mereka, pak cik Ghazi terus angkat kepala memandang atuk sebelum dia memandangku dan menjawab soalan aku itu bagi pihak atuk.

"Syafiq akan jadi salah seorang pegawai baru di headquarters Residence Hotel, dia dah beberapa hari masuk kerja tapi baru hari ni pak cik dapat jumpa dia. Itupun sebab pak cik tak sempat nak masuk pejabat hari ni, sebab tu pak cik suruh Syafiq datang sini." Jelas pak cik Ghazi panjang lebar. 

Sekarang, mata aku dah terkedip-kedip berkali-kali. Tak percaya. Serta-merta kata-kata Bob di kampung dulu yang katanya Syafiq dah habis belajar dan kini bekerja di kuala lumpur bermain di telingaku. Tak sangka rupanya Syafiq akan bekerja di syarikat atuk! Oh, tiba-tiba aku rasa macam keciknya dunia...

Syafiq tersenyum manis memandangku. Alamak, tiba-tiba aku rasa macam nak cair macam coklat yang terkena panahan matahari. Tolong.. tolong jangan senyum macam tu pada aku, Syafiq!.

"Irin cepat sikit makan tu, aku tunggu kat library." Kata Harraz tegas, sebelum dia bangun dari kerusinya dan terus menonong berjalan tanpa mengucapkan apa-apa kepada tetamu ini mahupun kepada orang-orang tua yang ada di meja makan ini. sekaligus menghentikan saat-saat indah untuk aku menghayati kemanisan senyuman Syafiq. 

Aku pandang atuk, atuk pandang aku. Hati aku berat untuk meninggalkan meja makan ini memandangkan bukan senang untuk aku makan semeja dengan Syafiq. Atuk mengalihkan pandangan ke arah Syafiq.

"Kejap lagi awak masuk kerja kan?" Soal atuk kepada Syafiq.

Pantas Syafiq mengangguk.

"Habis kerja pukul berapa?" Soal atuk lagi.

"Urmm.. ikutkan pukul lima. Tapi saya tak pasti pukul berapa saya boleh balik." Jawab Syafiq.

"Kalau macam tu, balik kerja terus datang sini boleh? Makan malam kat sini." Pelawa atuk, aku dah terjegil biji mata dah ni. Apa pula motif atuk suruh Syafiq makan malam kat sini?

Syafiq diam, seperti sedang menimbangkan pelawaan atuk itu.

"Tak payah fikir-fikirlah, lagipun awak mesti nak tahu siapa saya pada Irin dan bagaimana Irin boleh ada kat sini kan?" Atuk memancing Syafiq supaya bersetuju dengan menggunakan aku sebagai alasan pula. 

Syafiq memandangku, lama. 

"Insyaallah, kalau tak ada apa-apa hal, saya datang." Balas Syafiq, beri jawapan pasti.

Atuk tersenyum memandangku. Aku kerut dahi. Apa maksud atuk ni? Senyum-senyum lepas tu pandang aku, kemudian pujuk Syafiq makan kat sini. Haduiii...

"Irin? Dah habis makan? Pergilah, Harraz dah tunggu tu.." Kata atuk kepadaku, seperti menghalau pun macam ya.

Dengan berat hati, aku angkat juga kaki meninggalkan meja makan, menuju ke bilik bacaan. Meninggalkan lelaki yang aku suka untuk bertemu dengan lelaki yang aku tak suka. Urrghh.. benci! Benci!

Aku buka pintu bilik bacaan dan masuk dengan berat hati, berat kaki, berat segala-galanya.

"Siapa mamat tu?" Soal Harraz, itu soalan pertama yang diajukan pada aku.

"Mamat mana?" Soalku, mula-mula memang aku blur, siapa mamat yang Harraz maksudkan, beberapa saat kemudian aku tersedar, mungkin mamat yang Harraz maksudkan adalah Syafiq.

"Oh.. nama dia Syafiq,bukan mamat!. Siapa dia? Awak tak dengar ke apa yang ayah awak cakap tadi?" Soalku. Memerli. Kerusi aku tarik dan duduk bersebelahan dengan Harraz yang sedang berdiri.

"Siapa dia pada kau?" Soal Harraz lagi. 

Kali ni aku rasa ada sedikit kepelikan pada soalan Harraz itu. Kenapa dia mesti tanya soalan sebegitu pada aku? Siapa Syafiq pada aku? Apa dia kenal ke siapa Syafiq sebelum ni?

"Apa maksud awak?" Soalku kembali.

"Dia Syafiq yang Bob sebut-sebutkan masa kat kampung dulu kan?" Soal Harraz lagi, keningnya terjongket.

Aku tersentak. Eh, tak sangka yang dalam diam dia, dalam dia buat-buat tak tahu dengan kawan-kawan aku, rupanya dia ambil peduli tentang apa yang kami bualkan?. Wow!

"Mana awak tau?" Soalku, dengan dahi yang sengaja aku kerutkan.

"Tengok cara kau pandang dia pun aku semua orang boleh tahu Irin.." Balas Harraz sambil menarik kerusi di kepala meja dan duduk di situ. Jawapan balasnya itu membuatkan aku tersipu-sipu malu.

"Tau apanya? Kita pandang apa? Ish, dah la.. cepatlah mulakan kelas!" Balasku, cuba menukar topik perbualan. Semakin panjang topik Syafiq dibualkan, alamatnya semakin panaslah muka aku walaupun duduk dalam bilik yang ada penyaman udara. 

Harraz tersengih sinis memandangku. Aku tak tau apa yang tak kena dengan muka aku sekarang sehingga Harraz perlu memandangku sebegitu rupa.

"Yang kau malu sangat dengan aku ni kenapa? Bukan aku memang awal-awal lagi dah tau ke yang kau suka kat mamat nama Syafiq tu? Dulu masa bercakap pasal budak tu depan aku tak malu pun?" Perli Harraz.

Dulu memanglah tak malu sebab aku ingat Harraz tak ambil pusing tentang apa yang aku, Bob dan Ziana sembangkan dan dulu Harraz tak kenal Syafiq, tapi sekarang dia dah kenal Syafiq dan dia pasti akan membuat penilaian terhadap Syafiq dan mencari kelebihan lelaki itu sehingga membuatkan aku terjatuh hati pada lelaki bernama Syafiq itu. Dan lepas tu bolehlah dia bahan aku pulak kan?

"Awak ni nak mengajar ke tak nak? Kalau tak nak baik kita keluar je." Protesku, malu sampai tak tau nak tukar topik apa lagi.

Harraz ketawa. "Kelakarlah kau ni Irin, dengan aku pun nak malu.. " Usiknya lagi.

"Harraz!!!" Panggilku, keras.

Harraz tergeleng-gelengkan kepalanya dengan ketawa yang semakin kuat dan bergema. Lucu sangatkah sampai meja pun mahu ditepuk-tepuk segala bagai? 

"Eeii.. Harraz! Kita keluar karang!" Ugutku dan bangun dari kerusi, berkira-kira untuk keluar dari bilik ini.
Harraz menahanku dengan isyarat tangannya, menyuruh aku supaya duduk kembali.

"Kita tak nak duduk sehingga awak berhenti ketawa." Ugutku, tegas.

Harraz berdehem beberapa kali dan cuba untuk menghentikan ketawanya. Tapi sengihan sinis itu masih belum 
hilang dari bibirnya. Aku buat muka monyok.

"Ambil kertas..." Katanya dalam sengihan yang ditahan-tahan.

"Nak buat apa?" 

"Ambik jelahhhh..."

Aku keluarkan sehelai kertas A4 dari dalam fail yang memang aku tinggalkan di bilik bacaan ini.

"Tulis kat atas tu, senarai perkara yang kau nak aku buat untuk kau." Arahnya.

"Hah??"

"Tulis je lahh.. tak ingat ke perjanjian kita apa? Kau dah menang lumba lari kan?" Kata Harraz dengan muka yang kembali serius. Sisa-sisa ketawa juga hilang dari bibirnya.

"Ohhh.." Aku baru teringat, padahal masa berlari tu, aku la yang bukan main eksited nak menang dan nak kalahkan harraz sebab benda inilah. Jadi apa patut aku suruh Harraz buat? 

Bangun pukul 6 pagi? Memang itu rutin harian dia. Hah! Suruh dia bancuh teh untuk lima puluh cawan dan agihkan pada semua penghuni Villa. Juga suruh dia berlari sepuluh pusingan villa ni? Ok tak? Aku pandang Harraz, mencari inspirasi dari wajahnya, Kononlah! 

Harraz jongket sebelah kening, membalas pandanganku. Aku tundukkan kembali pandangan, memandang ke atas kertas yang masih kosong. Kemudian laju tangan aku mencoret senarai perkara yang aku mahu Harraz lakukan untuk aku selama seminggu ini. Betullah, pandang muka Harraz je terus dapat inspirasi!

Siap! Kertas itu aku hulurkan kepadanya. Harraz menyambut dengan muka angkuhnya. Dia membaca satu persatu senarai permintaanku itu dengan tenang, kemudian reaksi mukanya berubah kepada berlapis dahi, kemudian berubah lagi kepada terbeliak biji mata, kemudian berubah lagi kepada kata-kata dan mulut yang ternganga...

"Hah?? What the...." Ayatnya tergantung sampai di situ.

Aku tersengih bangga. Kan aku dah kata, inilah masanya untuk balas dendam. Kan? Heh.. heh.. heh... Aku jongketkan sebelah keningku berkali-kali, macam Ziana Zain.

bersambung....


p/s : Sorry for being very-very-very the late! Kadang-kadang bila traffic light otak berselirat, tangan tak boleh nak buat kerja. Mana nak kejar dengan balik kampung, dengan kenduri, dengan nak siapkan 'buku CCMK', dengan plain guy, dengan cinta bas mogah part dua.. Huishh... ini belum lagi nanti dengan suami yang tak balik-balik kerja lagi, dengan anak-anak merengek nak makan, dengan kain baju tak berbasuh, dengan rumah tak berkemas. Ish.. ish.. ishh... 

Permohonan maaf ni diterima ke tidak? huhu.. >__<

5 ceritaMia's lovers:

Nurul Erine Erlysa said...

Mestilah diterima !! >.<

arasnieryie@1995 said...

yeahhhh!!!...saat yg ku idam kan,heheheeee..

Afifah Yusof said...

tak apa kak.. cerita best tunggu lama pun sanggup... hihihi..
agaknya apa yang Irin suruh Harraz buat? jeng..jeng..jeng... ^^

KNR_Nida said...

best..!!
x sbr2 nak baca sambungan..hehe..
excited nye..!!^_^

hanna aleeya said...

muahaha.. bestnyerr,,, berbaloi cik hanna tggu lama.. ekeke