http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, December 14, 2011

Bab 30


Aku duduk berpeluk tubuh dengan pandangan mata aku halakan pada makanan di atas meja, sementara menunggu Harraz datang. Nampaknya pagi ini Harraz lambat bersiap! Siap dia, nak kena hukum ni!.

"Irin? Kenapa tak makan lagi?" Soal mak su, terhenti perbuatannya yang sedang menjamu selera itu bila dia terpandang aku yang sedang termenung disebelahnya ini.

"Kejap lagi.. Irin tunggu Harraz." Balasku. 

"Tunggu Harraz kenapa?" Soal atuk pula.

Aku senyum je, malas nak komen apa-apa. Atuk dan mak su berpandangan sesama sendiri sebelum aku nampak mak su jongket bahu dan kembali meneruskan makan. Atuk juga memandangku sekilas sebelum dia kembali menyambung makan.

Beberapa minit kemudian Harraz datang dengan kemeja ungu dan seluar slacknya, terus dia tarik kerusi dan duduk betul-betul di hadapanku. Aku perhatikan saja perlakuannya yang sedang mencapai roti bakar kosong dan diletakkan dalam piring sebelum dia capai pisau kecil pula dan menyapu mentega ke atas roti bakar itu, tiba-tiba tingkah Harraz terhenti, dia angkat kepala memandangku. Dia mendongakkan dagunya sebagai isyarat bertanyakan kepadaku "Apa?"

Aku ketap bibir, terfikir-fikir mahu katakan kepadanya sekarang, dihadapan atuk dan mak su atau beritahunya kemudian bila hanya tinggal aku dan dia saja di sini, mengenai permintaanku ini?

Harraz kerut dahi, tak puas hati bila aku masih tidak menjawab pertanyaannya. Diletakkan roti dan pisau di dalam piring dan dia menentang pandanganku. "Kau nak apa?" Soalnya. Sekaligus menarik perhatian atuk dan mak su.

Nampaknya aku tak perlu berfikir lagi memandangkan Harraz telah membuka ruang untuk aku bersuara. 

"Kita nak awak masakkan untuk kita hari ni." Pintaku.

"Hah??" Harraz kerut dahi dengan muka maha pelik tak boleh blahnya. Atuk dan mak su juga terkejut dan memandangku dengan pandangan mohon penjelasan. Tapi mataku tak berganjak sesaat pun dari membalas pandangan Harraz.

"Kenapa tiba-tiba nak suruh Harraz masakkan untuk Irin pula ni?" Soal mak su kepadaku.
Aku senyap je.

"Irin.. " Atuk ingin berkata sesuatu tapi dia terdiam kembali dan dia memandang Harraz dan aku bersilih ganti sehingga akhirnya atuk mengeluh dan memilih untuk tidak masuk campur urusan kami.

"Harraz? Kenapa?" Soal mak su kepada Harraz pula, tak puas hati kerana aku tidak memberi respon terhadap pertanyaannya.

"Entah Irin ni.. tiba-tiba je." Balas Harraz, kembali menyapu mentega ke atas roti bakarnya.

"Irin tak nak makan, selagi Harraz tak masakkan untuk irin!" Kata-kataku itu aku tujukan lebih kepada mak su dan atuk untuk menunjukkan kepada mereka bahawa permintaan aku itu serius. Bukan sekadar suka-suka nak request. Jadi kalau aku tak makan, maksudnya Harraz perlu dipersalahkan! Eh, tiba-tiba pula aku pandai nak guna kuasa veto aku sebagai cik muda di sini.

Harraz meletakkan kembali roti dan pisaunya ke atas piring dengan kasar sehinggakan bunyi pisau dan piring berlaga itu kedengaran seperti kuat benar. Satu keluhan di lepaskan dan dia memandangku dengan pandangan tak puas hati.

"Atuk.. tengoklah Irin ni!" Rungutnya.

Aku jegil mata memandangnya. "Awak kata awak akan ikut cakap kita selama seminggu? So takkan baru suruh masak dah nak merungut?" Kataku, mempersoalkan tentang perjanjian kami.

"Hah? Apa kamu berdua cakap ni?" Soal mak su, tak pasal-pasal dia pun terbabit sama dengan masalah kami.

"Irin, ikut aku!" Harraz bangun dari kerusinya dan berdiri di luar ruang makan. Aku turut bangun dan mengikut langkahnya.

"Perjanjian apa ni sampai aku kena masak pulak?" Soal Harraz, sepertinya dia rasa terbeban dengan permintaan aku.

"Awak dah lupa apa yang kita tulis kat kertas tu?" Soalku kembali.

"Kertas apa ni? Masa bila kau ada bagi aku apa-apa kertas?" Soal Harraz lagi. Dari tadi kami hanya berbalas-balas soalan tanpa seorang pun memberi jawapan.

Aku tarik keluar kertas dari poket baju gaunku. Memang aku dah agak yang Harraz akan persoalkan tentang hal ini makanya aku dah siap-siap simpan kertas itu dalam poket. 

"Awak kata awak tak mahu ikut permintaan kita yang suruh awak 'jangan marah-marah, kena senyum, kena hormat orang lain' dan semua-semua yang tak advantured tu kan? So, kita dah pangkah semua perkara yang tak advanture itu, tapi... senarai permintaan kita yang awak baca sampai ternganga mulut tu kenalah awak penuhi!"  

Aku pegang kertas itu dan berjalan mengeliling Harraz sambil membacakan  satu persatu "senarai tugas yang Iman Harraz wajib lakukan"

"Pertama, masakkan untuk kita selama seminggu. Kedua, nyanyikan lagu tiga bear macam dalam cerita full house, yang itu awak dah buat semalam, ketiga... "

"Hah.. dah, dah! Kalau aku tak nak masakkan untuk kau, kau nak buat apa?" Soal Harraz.

"Kita tak nak makan!"

"Yang kau nak seksa diri sendiri tu kenapa? Kalau aku masak tak sedap kau sanggup nak habiskan?"

Aku mengangguk. "Sanggup!"

"Kalau aku masak tu masinnya macam lori garam tumpah, kau sanggup nak habiskan?"

Aku mengangguk lagi. "Sanggup!"

"Tipu!"

"Betullah!"

"Dah, daripada kau suruh aku masak, baik kau makan je apa yang dah terhidang atas meja tu. Lagipun aku lebih rela daki gunung kinabalu daripada masakkan untuk kau." Balasnya dan kembali ke meja makan untuk menyambung sarapannya yang terbantut tadi.

Haishhh... dia ingat aku main-main ke? Memikirkan yang aku tak mahu makan, kecuali masakan yang dimasak oleh Harraz, aku terus atur langkah kembali ke bilik dan memerapkan diri di dalamnya.  

Lima minit kemudian, telefon bimbitku berbunyi. Nama Harraz tertera di skrin. Aku tekan butang hijau dan lekapkan telefon itu ke telinga, tapi belum pun sempat aku kata hello, suara Harraz dah terlebih dulu menampar gegendang telingaku.

"Kau kat mana?" Soalnya.

"Bilik!" Jawabku, sepatah.

"Kau buat apa kat situ? Pergi tengok jadual sekarang masa apa?" Katanya, nada arahan.

"Huishh..  kalau hari ni kita tak mahu belajar tak boleh ke? Dalam masa seminggu ni awak la yang kena ikut cakap kita kan??" Soalku.

"Hal lain aku tak kisah tapi hal ni tak boleh ditunda-tunda, datang sekarang dan jangan buang masa aku menunggu kau!" Tegas Harraz.

"Kalau tak nak?" Soalku, sengaja cari masalah.

"Kau nak aku heret kau keluar dari bilik ke??" Soalnya mengugut.

"Hah.. ok..ok.. kita keluar sekarang!" Balasku dan terus mematikan talian, lalu aku terus keluar dari bilik dan menuju ke bilik bacaan di mana Harraz sedang menantiku.

***************

Aku bermain-main dengan pen di tangan sambil menongkat dagu. Bosan. Sungguh sekarang aku dah bosan nak ikuti kelas yang diajarkan oleh Harraz ini, lebih-lebih lagi sejak aku mula rapat dengan Harraz dan tidak lagi menganggap dia sebagai tuan muda yang menakutkan. Sebaliknya cuma Iman Harraz yang sangat banyak kelemahan!

"Irin, boleh tak kau serius sikit?" Keluh Harraz.

Aku angkat kepala tegak-tegak dan mengangguk, "Hah.. kita serius la ni.." 

Harraz tarik kerusi dan duduk, memandangkan sejak tadi dia cuma berdiri dan berjalan ke kiri dan ke kanan sambil membacakan buku nota ditangannya untuk aku dengar.

"Irin.. kau sedar tak? Kita dah banyak buang masa sejak kita balik dari kampung dulu?" Soal Harraz, tiba-tiba. Aku ingat dia mungkin mahu marah aku sebab tak fokus, tapi soalan lain pulak yang dia tanya. 

"Buang masa apa?" Soalku, tiba-tiba berminat dengan topik ini. Jika ini adalah salah satu sukatan pembelajaran aku untuk hari ini, nampaknya intro topik ini sudah berjaya menarik perhatian aku.

"Bukan ke sekarang ni kita berdua sepatutnya dah mula jalankan misi untuk cari punca kemalangan ibu dan ayah kau?" Jelas Harraz. Tiba-tiba aku jadi teringat tentang rancangan kami semasa di kampung dulu iaitu ingin kembali ke zalam silam aku dan betulkan apa yang sepatutnya dibetulkan.

"Hemm.. mana kita tau nak buat apa, awaklah yang punya plan.." 

Harraz capai kertas dan pen, "Ok.. sekarang kita buat lakaran kasar dulu. First, tempat kemalangan, second, siapa sebenarnya lelaki yang bawak kau ke rumah mak dengan abah kau? Tiga, kenapa jiran-jiran emak dan abah tak persoalkan langsung tentang kewujudan kau yang secara tiba-tiba tu. Empat, kalau berita kehilangan kau tersebar di seluruh malaysia kenapa tak ada sesiapa yang cam itu kau? Lima, kenapa selepas sembilan belas tahun baru kau dijumpai?" Harraz menulis semua yang dia katakan itu di atas kertas sebelum dia memandangku dan bertanya..

"Ada apa-apa lagi yang kau nak tambah?" 

Aku menggeleng, tapi kemudiannya tiba-tiba aku teringat sesuatu. "Eh, ada! Satu, kenapa pak cik Sibir yang dulu baik dengan kita tiba-tiba macam nak jauhkan diri dari kita? Dua, dah dua tiga kali terserempak dengan seorang pak cik ni, dia pandang kita semacam, padahal kita tak kenal dia langsung pun! Tiga... mak su! Kadang-kadang mak su nampak macam baik sangat dengan kita, tapi kadang-kadang perangai mak su pelik sikitlah.. awak perasan tak?"

Harraz mencatitkan semua yang aku katakan itu dan dia langsung tidak mengendahkan soalanku sebaliknya dia cuma meneliti kembali apa yang telah dicatitkan itu dan membuat kiraan berapa banyak persoalan telah kami senaraikan. 

"Kita akan mulakan siasatan satu persatu dan bermula dari.... " Harraz terdiam sejenak seperti berfikir, 

"Tempat kemalangan!" Kemudian dia memutuskan untuk mengikut turutan seperti yang telah disenaraikan.
Ipad di atas meja Harraz capai, aku bangun dari kerusi dan berdiri di sebelah Harraz, ingin melihat apa yang ingin dilakukannya.

"Sembilan belas tahun lalu, berita yang tersebar luas ini memang dah semestinya jadi tumpuan media, jadi kebarangkalian untuk rekod-rekod berkaitan kemalangan itu ada dalam internet... sangat besar kan?" Harraz membuka Jaringan google dan mula menaip, 'Kemalangan anak pengerusi Residence Hotel'. Tup.. keluar senarai yang semuanya berkaitan dengan residence hotel, Harraz klik link paling atas yang memaparkan tajuk 

"Kronologi kemalangan anak dan menantu pengerusi Residence Hotel". 
Kami membaca satu persatu baris ayat yang terpapar di skrin itu.

"Kemalangan berlaku di jalan duta? Habis macammana dari jalan Duta kau boleh tersesat sampai ke Perlis ni Irin?" Soal Harraz memandangku sekilas. Aku cebikkan bibir dan mengangkat bahu.

"Kat sini je dah nampak yang memang ada sesuatu yang tak kena dengan kemalangan tu.. Jadi, siapa sebenarnya lelaki yang bawa kau ke perlis tu?" Kata Harraz lagi, terfikir-fikir. Aku suka tengok Harraz dalam keadaan ini, sebab dia nampak macam sangat... sangat...

"Nampaknya kita kena balik kampung kau untuk cari petunjuk!" Kata Harraz tiba-tiba, sekaligus menghalau pergi khayalanku.

"Balik kampung? Bila?" Soalku, teruja!

"Cakap balik kampung, suka kau eh.. kita bukan balik suka-suka ok, kita balik sebab nak selesaikan misi ni." Balas Harraz, serius. Sementara itu tangannya sempat mengklik link yang lain. Tiba-tiba Harraz sekali lagi menarik perhatianku dengan bunyi eh yang keluar dari mulutnya.

"Kenapa... semua artikel yang berkaitan dengan kemalangan tu, langsung tak ada muka kau? Muka mak dengan ayah kau je ada..." Soal Harraz, membangkitkan lagi satu persoalan. Aku turut memerhatikan skrin ipad itu. 

"Sebab... diorang tak ada gambar kita? Kan kita dah hilang masa tu, macammana diorang nak ambil gambar kita?" Soalku, tiba-tiba jadi blur. Sekaligus mengeluarkan teori yang sangat-sangat menunjukkan kebodohan aku.

"Masa ni ibu dengan ayah kau dah meninggal, tapi apasal diorang boleh letak gambar masa diorang masih 
hidup Irin?" Soal Harraz, memerliku.

Aku tersengih sambil menggaru kepala.

Harraz tiba-tiba bangun dan membawa bersama ipadnya, terus menuju ke pintu keluar. "Awak nak kemana tu?" Soalku. Semasa dia memegang tombol pintu, Harraz memandangku dan berkata.. "Jumpa atuk!"

"Hah?? Nak ikut...." Berlari-larian aku mengejarnya. 

Sampai di bilik kerja atuk, Harraz berlagak selamba dengan membelek-belek buku yang terdapat di rak buku atuk. Aku pula yang pelik melihat tingkahnya. Dia jumpa atuk semata-mata nak pinjam buku atuk ke?

"Atuk ada gambar-gambar Irin masa kecik?" Soal Harraz dan beralih daripada berdiri di rak buku kepada duduk di kerusi depan atuk, bersebelahan dengan aku.

"Ada.. mestilah ada! Kenapa? Harraz nak tengok ke?" Soal atuk, tersenyum.

"Taklah.. cuma, kalau ada kenapa akhbar-akhbar tak siarkan gambar Irin masa kemalangan tu dulu?" Soal Harraz dan menunjukkan ipadnya kepada atuk. Serta merta reaksi muka atuk berubah.

"Kenapa tiba-tiba..."

"Ah.. tak ada, tadi Irin ni saja nak baca pasal kemalangan dulutu, jadi saya bukalah kan. Tiba-tiba terperasan yang gambar Irin langsung tak ada dalam kebanyakan artikel tu.." Kata Harraz, tergelak-gelak. Kenapa dia cakap aku pula yang nak tengok, padahal aku tak tau apa-apa langsung pun!

"Memang atuk tak izinkan diorang siarkan gambar Irin.." Kata atuk dengan satu keluhan kecil.

"Kenapa atuk?" Soalku.

Atuk menghadiahkan segaris senyuman tawar untuk aku. "Sebab atuk tak nak apa-apa perkara buruk berlaku pada Irin. Lagipun kata mak su, lebih baik gambar Irin jangan disiarkan, risau kalau ada pihak yang tak bertanggungjawab mungkin akan pergunakan Irin untuk dapatkan wang tebusan." Jelas atuk.

"Oh, jadi sebab itulah walaupun berita kehilangan Irin tersebar seluruh malaysia tapi tak ada sesiapa yang kenal siapa Irin?" Soal Harraz, meluahkan pendapatnya.

Atuk mengangguk. Harraz menongkat lengannya di penghadang kerusi sambil menggeselkan ibu jari dengan jari telunjuknya sambil menunduk merenung bawah meja. Jauh dia berfikir. 

Tiba-tiba aku terasa dalam perut aku macam ada pusaran angin yang buat aku rasa tak selesa  sebelum perutku mengeluarkan bunyi.. "krukkkk..." Serentak Atuk dan Harraz memandangku.

Aku tersengih, malu.

"Haish, jom makan! Aku masakkan!" Kata Harraz lalu terus bangun dari kerusinya dan berjalan keluar. Aku tersengih kepada atuk sebelum aku turut bangun dan mengekori Harraz. Sempat aku menoleh ke belakang sekilas dan melihat atuk sedang tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sampai di dapur, semua pekerja-pekerja dapur terkejut melihat kami yang tiba-tiba menempel kat situ, tapi sebab Harraz pun buat tak reti je, aku pun buat tak tau jelah..

"Kau tau kan yang aku tak reti masak?" Soal Harraz

"Tak tau!" Jawabku

"Kau janji akan makan sampai habis semua yang aku masak nanti?" Soalnya lagi, sambil capai apron dan disarungkan ke badannya

"Janji kot.." Balasku, sambil memandang ke sekeliling, ini kali pertama aku masuk ke dapur villa ini.

"Baik, kau punya pasal, kita mulakan sekarang." Kata Harraz lagi dan bersedia dengan barang-barang dihadapannya. Lengkung lengkang, tung tang.. lima belas minit kemudian tersedia dihadapanku, kuewtiaw sup, yang dipenuhi sayur.... 

"Habiskan, jangan tinggalkan hatta satu benda pun!" pesan Harraz.

Ya, aku boleh habiskan.. kecuali sayur sawi itu... Tapi bila terpandang peluh yang merenik di dahi Harraz, tiba-tiba aku rasa.. alah, sawi je kot. Baik akan aku habiskan sebagai tanda penghargaan aku kepada usaha Harraz!.

Aku duduk di meja meja dalam dapur itu dan mula menjamah sup itu. Tapi baru satu hirupan masuk ke mulut, aku dah rasa macam nak tercekik.

"Habiskannnn..." Pesan Harraz yang sedang berdiri berpeluk tubuh sambil memerhatikan aku makan. Oh, makan sayur lebih baik daripada makan sup yang masin!

11 ceritaMia's lovers:

arasnieryie@1995 said...

cewahhh,sgt comel lar..

KNR_Nida said...

hehehe..sweet la..
best la sis mia..^_^

sha said...

best3...sian irin kna makan kuey tiow masin....hehe:)

Qireen said...

best!! tp rase mcm pendek cket dari sblum2nye kan... pape pun taniah n thanx sbb wat qireen melekat kat blog ni n menanti stiap cite y bakal kua tiap minggu!! <3

alfa syamimi said...

suke n3 kali ni...byk konflik...da lama sbenanya gian nk bace cite misteri cam ni...haha songeh punye irin...

BettyZurina said...

tak sabar nak tunggu sambungannya..excited sesangat nie...

sue said...

cepat sambung lagi...

Anonymous said...

Huh.....Bez..:D
Sambung please..
But,yang pasti,Harraz tu dh falling in love ngn irin tu..sbb masa irin cakap ngn syafiq,dia suh masuk sebab atuk suruh.padahal tak pun..:D

CEPATLAH SAMBUNG KAK:d
-Peminat novel-

Ana Isna said...

bez...bez...love it...
rasa cam x nak benti baca...

Ana Isna said...

bez sngat...

nimk said...

alaa...xsambung lg ker??
best la...xsabar2 nie..lama da..