http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Tuesday, January 10, 2012

Bab 33




Harraz menyelak helaian kertas dalam buku hitamnya dan memangkah dengan pen merah pada point-point tertentu yang telah kami senaraikan sebelum ini berkaitan isu yang sedang kami siasat sekarang, sambil dia mengjelaskan tentang point-point yang sudah ada jawapan itu.

 "Kenapa gambar kau tak disiarkan di internet mahupun surat khabar? Dah ada jawapan! Sebabnya atuk tak benarkan gambar kau disiarkan. Kenapa jiran-jiran kat kampung tak kenal siapa kau padahal satu malaysia tahu tentang kejadian tu, dah ada jawapan jugak! Sebab diorang tak kenal kau. Tapi yang aku musykil tu.." Harraz terdiam beberapa saat, seperti sedang memikirkan sesuatu, pen yang terselit di celah-celah jari kanannya itu dibawa ke bawah bibir. Diketuk-ketuk dagunya dengan pen merah itu.

"Musykil apa?" Soalku, tak sabar nak tau.

Harraz pandang muka aku. "Kau tak pelik ke, takkanlah mak dengan abah kau langsung tak terfikir siapa kau sebenarnya? Siapa keluarga kau? Kenapa kau dihantar ke situ?" Soal Harraz, menyenaraikan soalan-soalan yang menjadi kemusykilannya.

"Ya, kalau diorang tertanya-tanya pun, apa diorang boleh buat? Kan mak cakap lelaki yang hantar kita kat rumah mak itu terus pergi tanpa sempat cakap apa-apa?" Balasku.

"Itu dia! Takkanlah mak dengan abah kau langsung tak terfikir yang kau mungkin Irina Imani, cucu kepada Pengerusi Residence Hotel yang hilang tu?" Harraz memetik jari dan menghalakan jari telunjuknya ke muka aku.

Aku garu cuping telinga. Sekarang aku tak tahu nak fikir macammana. Patutkah aku turut rasa curiga seperti yang Harraz sedang rasakan kini sekaligus membuatkan aku bertanggapan negatif terhadap kedua orang tua yang telah membesarkan aku itu atau...  abaikan saja pandangan Harraz itu dan tetaplah dengan pendirian yang selama ini, emak dan abah adalah penyelamat aku?

"Err.. kita tak faham apa yang awak cakap" Balasku, ambil langkah selamat dengan tidak memihak kepada mana-mana pihak.

"Haish kau ni, lembap betul! Bukan ke kau kononnya dihantar oleh seorang lelaki yang tak dikenali ke rumah mak abah kau kat perlis, lepas tu..."

"Ahh.. cukup! Cukup! Kalau awak terangkan pun kita takkan faham jadi lebih baik tak payah terangkan langsung." Aku memintas kata-kata Harraz kerana aku tak sanggup untuk memikirkan tentang hal itu. Tambah-tambah lagi bila keraguan Harraz itu seolah-olah menunjukkan emak dan abah berada di pihak yang salah.

Aku tak sanggup untuk mengakui hal itu.

"Huurrgghh.. entah apa-apa entah kau ni." Rungut Harraz diiringi dengusan panjang kemudian dia kembali memandang bukunya di atas meja. Dibaca kembali satu persatu point-point itu.

"Ada lagi enam persoalan yang masih belum ada jawapan. Aku rasa kunci untuk huraikan semua persoalan ini adalah pak cik Sibir. Kerja kita akan jadi lebih mudah kalau dia mahu bekerjasama, tapi nampaknya macam tak je.." Keluh Harraz.

"Habis awak nak buat apa?" Soalku.

"Aku nak upah orang suruh ugut dia supaya bukak mulut, tapi kalau dia berdegil juga, belasah dia sikit-sikit bagi dia gerun dan ceritakan semua yang dia tahu, tapi kalau dengan cara itu pun dia masih berdegil...."

Mulut aku dah terlopong mendengar kata-kata Harraz itu. Aku taulah yang zaman remaja dia ni memang budak nakal tapi aku tak sangka yang otak dia boleh berfikir untuk bertindak sampai macam tu sekali. "Awak nak buat apa pulak? Hey ini bukan komplot samseng jalanan ok, kenapa sampai nak belasah pak cik Sibir pulak?" Kataku lantang.

"Heh.. dah cara tu je yang..."

"Belasah siapa?"

Kata-kata Harraz terhenti. Serentak kami berdua menoleh ke belakang, ke arah dimana terletaknya pintu. Mak su sedang berjalan ke arah kami dengan dahi berkerutnya. Aku memandang muka Harraz, gusar. Dia membalas pandanganku dengan muka tenang tapi dari reaksi mukanya aku nampak dia seperti sedang cuba menyampaikan sesuatu kepadaku. Mungkin mengingatkan aku supaya tidak menceritakan hal ini kepada mak su.

"Mak su.. " Tegurku, lalu bangun dari kerusi dan cuba untuk tersenyum manis sekalipun aku rasa macam bibir aku dah kebas kerana terlalu panik!. Panik kerana mak su datang ke sini semasa kami sedang membincangkan sesuatu hal yang tak patut diketahui oleh orang lain.

"Nak belasah siapa?" Soal mak su lagi. Dia memandang aku dan Harraz bersilih ganti sambil berpeluk tubuh. "Hemm??"

"Tak.. tak ada sesiapa, Harraz ni main-main je tadi" Balasku, sambil memandang Harraz yang masih santai di atas kerusinya. Bukannya nak tolong aku bagi alasan ke apa ke. Ish, geram je dengan mamat ni.

"Main-main? Main-main nak belasah orang? Parah tu.. apa sebabnya Harraz?" Soal mak su kepada Harraz. Nampaknya perkataan 'belasah' yang didengari olehnya tadi betul-betul meninggalkan satu tanda tanya besar yang buat mak su tetap ingin tahu apa sebabnya sekalipun aku dah cakap tak ada apa-apa.

Harraz bangun dari kerusinya dan memasukkan tangan di dalam kocek seluar slack yang dipakai. "Saya nak belasah sesiapa saja yang cuba nak ganggu Irin dan cuba nak susahkan hidup dia." Balas Harraz, tegas dan memandang tepat ke muka mak su sehinggakan mak su terkedu untuk beberapa saat sebelum dia kembali tersedar dan..
"Oh.. " Dan perkataan ini terluah dari mulutnya.
Aku memandang mak su dan Harraz silih berganti. Tiba-tiba rasa pelik suasana dalam bilik ini senyap dan suram. Ada malaikat lalukah?
"Oh ya Irin.. mak su datang sini sebab nak bagitau Irin yang atuk dah putuskan untuk kenalkan Irin pada pihak media sebulan dari sekarang, jadi mak su nak sepanjang tempoh itu, pastikan Irin belajar betul-betul dan tonjolkan peribadi seorang cucu kepada seorang pengerusi empayar hotel  terkenal, bukan peribadi anak manja yang suka main-main. Faham?" Soal mak su, tegas.
Perlahan-lahan aku mengangguk sekalipun aku tak yakin samada aku mampu atau tidak melakukan hal itu. Tonjolkan peribadi sebagai seorang cucu kepada pengerusi empayar hotel terkenal? Apa ciri-cirinya? Cantik? Bergaya? Pandai speaking orang putih? Atau... berjalan dengan muka sombong yang sangat mengjengkelkan? Arghh tak reti aku! Jadi diri aku sendiri tak boleh ke?.
"Jangan angguk je, mak su akan pantau perkembangan Irin setiap hari. Dan Harraz, kegagalan Irin menjadi seorang cik muda bermakna kegagalan awak mendidik dia. So, please.. work hard." Selesai mengucapkan kata-kata itu, mak su pun berpaling dan melangkah keluar dari bilik bacaan ini dengan langkah yang menonjolkan ciri-ciri seorang wanita berkarisma dan bekerjaya sehinggakan bunyi tapak kasut tumit tingginya bergema sepanjang langkah menuju ke pintu keluar! Hebat.. macam itu ke yang mak su mahu aku tonjolkan?
"Nasib baik mak su tak dengar dengan jelas apa yang kita bincangkan tadi. Itulah kau apasal tak kunci pintu masa masuk tadi?" Kata Harraz, sekarang dia menyalahkan aku pula, sedangkan tadi bukan dia yang tergagap-gagap nak cari alasan masa mak su tanya, tapi aku.
"Pintu memang selalu tak berkunci pun.. "
"Eh, ye ke? Hah.. lain kali setiap kali kau masuk kunci dulu pintu tu.." Pesan Harraz.
"Kenapa pulak?" Soalku, terkejut.
"Habis kau nak ke sesiapa masuk masa kita tengah bincangkan hal ni macam tadi? itu baru mak su, kalau atuk yang masuk tadi macammana? Atau kalau ayah aku? Tak ke naya aku nak jawab"
"Habis kalau kunci pun, dah la kita berdua je kat dalam ni, nanti orang lain ingat kita buat benda tak senonoh pulak! Eii.. tak naklah!" Rungutku, langsung tak bersetuju dengan cadangan Harraz itu.
Harraz diam, ibu jari dan jari telunjuknya diletakkan di dagu, seperti sedang memikirkan kebenaran kata-kataku itu. "Betul jugak.. Kalau macam tu, lain kali kita bincangkan hal ini kat tempat lain jelah."
Aku mengangguk setuju.
"Lagi satu, yang pasal mak su cakap tadi, dalam masa sebulan dari sekarang, identiti kau akan diumumkan pada orang luar, jadi tolong jangan banyak main dalam kelas aku. Dan tolong jangan banyak sangat habiskan masa kat luar ke kat dalam villa ni ke dengan si Syafiq tu.."
Aku bercekak pinggang. "Soalan! Apa masalah awak dengan Syafiq ha? Kenapa suka nak halang kita daripada jumpa Syafiq? Dia ada buat apa-apa ke pada awak sampai awak macam benci sangat kat dia tu?" Soalku, bertubi-tubi. Memang dah lama aku nak tanyakan tentang hal ini tapi asyik lupa dan tak berkesempatan je.
"Aku pun ada soalan, yang kau asyik backup si Syafiq tu apahal? Apa yang istimewa sangat pasal mamat kening tebal tu? Handsome sangat ke dia? Sampai dia merajuk kau nak kena pujuk segala bagai.." Balas Harraz.
"Eh, kalau kening dia tebal pun apa masalahnya dengan awak? Dia ada susahkan hidup awak ke? Awak jangan lupa pulak sebab apa dia merajuk dulu tu, kalau bukan sebab awak" Balasku, rasa tercabar pula bila perihal kening Syafiq yang tebal itu pula yang dijadikan isu.
"Ni yang aku tak suka ni, balik-balik aku pula yang dikaitkan dalam drama Si kening tebal tu merajuk" Balas Harraz, tak puas hati.
"Dah memang betul pun sebab awak! Kalau bukan sebab awak tengah sedih masa tu, kalau bukan sebab awak mintak kita temankan awak, kalau bukan sebab masa silam awak, kita pasti dah keluar dengan Syafiq untuk temunjanji pertama kami tau tak." Balasku, geram. Kalau diikutkan hati aku memang tak mahu mengungkit tapi sebab aku geram dengan mulut pedas Harraz tu, memang tak tertahan je apa yang keluar dari mulutku ini.
"Bagus! Ungkit.. ungkit semuanya. Kalau pasal Syafiq, semuanya betul kan? Pergilah suruh dia jadi penasihat peribadi kau. Senang, tiap-tiap hari pun boleh berkepit." Balas Harraz.
Aku genggam kedua-dua belah tangannku dan aku angkat tinggi sehingga ke kepala. Geram. "Eeeeiiiii... cakap dengan meja lagi baiklah daripada cakap dengan awak. Huh!" Penat berada dalam situasi yang melelahkan itu, aku terus keluar dari bilik ini meninggalkan Harraz yang sempat menjerit kepadaku dengan kata-katanya yang menyakitkan hati.
"Pergilah mengadu kat budak kening tebal tu, suruh dia datang sini pujuk kau pulak. Baru adil, pujuk memujuk..bla.. bla.. bla.." Aku tekup telinga daripada menghadam semua yang dikatakannya itu. Buat sakit telinga, sakit hati, dan sakit jantung aku saja.
Aku kembali ke bilik dengan muka masam mencuka dan mulut yang tak henti-henti membebel. Merungut-rungut. Tanpa aku sedari rupanya Ros ada di dalam bilik pakaian, entah apa yang dibuatnya di dalam itu, sedar-sedar kepala dia sudah terjengul di muka pintu bilik pakaian itu.
"Apa yang dirungutkan tu cik muda??" Soal Ros. Tersengih-sengih dia melihatku sebelum dia berjalan  keluar dan menutup pintu yang seperti sliding door itu dan berjalan kearahku sebelum duduk di sofa bersebelahanku.
"Harraz tu..." Rungutku.
"Kenapa dengan tuan muda? Dia buat apa pulak kali ni? Bukan cik muda dengan dia dah ok ke??" Soal Ros, pelik. Ya, selama ini aku asyik bercerita yang baik-baik saja tentang Harraz dan menyatakan rasa gembiraku kerana aku dan Harraz sudah berbaik semula.
"Memanglah.. tapi dia suka kutuk kita dengan Syafiq! Entah apa yang dia tak suka sangat dengan Syfiq itu entah, boleh pulak tu dia panggil Syafiq kening tebal? Suka hati dia je..."
Ros tergelak. "Kening tebal? Tapi memang kening encik Syafiq tu tebal pun kan?" Balas Ros. Turut ingin mengusikku.
"Ros awak pun nak jadi macam Harraz tu ke?" Aku cubit peha Ros, perlahan.
"Ouch!" Ros menggosok tempat yang dicubit oleh aku itu. "Sakitlah.. cik muda ni, main-main sikit pun tak boleh."
"Ye lah, siapa suruh awak berpakat dengan si Harraz tu. Lagipun apa salahnya dengan kening Syafiq yang tebal tu? Kening dia tu menyusahkan orang ke? Tak kan?"
"Urmm... untuk menjawab persoalan cik muda ni, satu je jawapan yang saya ada.." Balas Ros, sengaja menggantungkan ayatnya.
"Apa dia?" Soalku, teruja.
"Dia mungkin cemburu pada cik muda dan encik Syafiq!"
"Nonsense!" Balasku, spontan.
"Nonsense katanya??" Balas Ros, memperlekehkan aku.
"Habis kalau bukan nonsense apa? Merepek? Tak masuk akal? Eh, bukan karut dengan tak masuk akal tu sama maksud ke?" Soalku kembali kepada Ros.
"Hurm.. apa-apa sajalah cik muda, karut ke, nonsense ke yang penting sekarang saya nak keluar, oh ya, kenapa cik muda lepak kat bilik pulak ni? Bukan sekarang..." Ros mengerling memandang jam di tangannya.
"Dah awak tak payah tanya macam-macamlah Ros.. " Balasku, memotong kata-kata Ros.
"Oh, baiklah. Have a good rest!" Balas Ros sambil melambai pendek dan dia keluar dari bilikku.
Fikiran aku ligat memikirkan tentang kata-kata Ros itu tadi, Harraz cemburukan aku dengan Syafiq? Apa motif? Cemburu sebab Syafiq lagi kaya? Heh, Syafiq kerani biasa je kot.. cemburu sebab Syafiq lagi kacak walaupun kening dia tebal?? Hurm.. boleh jadi jugak kan? Heh, tak sangka rupanya Harraz cemburu dengan Syafiq sebab kening tebal dia tu.. hikhikhikk..
Tiba-tiba aku tersedar yang aku dah terlalu banyak berfikir tentang Harraz dan Syafiq, lalu aku tepuk pipi berulang kali dan bangun dari dudukku, berjalan mundar-mandir di dalam bilik sambil memikirkan apa yang aku mahu lakukan sekarang.

****************************

Pamplet-pamplet dari beberapa kolej berbeza dihimpunkan di hadapanku. Atuk menyuruh aku memilih bidang mana yang aku suka untuk aku sambung belajar di kolej swasta. Terpinga-pinga aku dibuatnya. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba je nak suruh aku masuk kolej?
"Irin minat bidang apa? Perubatan? Kejuruteraan? Design? Fotografi? Pilih je, tak payah risau pasal yuran, sebab sekarang bukan mak ayah angkat Irin yang akan tanggung perbelanjaan ni semua, tapi atuk. Oh, kalau Irin rasa macam nak belajar kat luar negara pun boleh, mak su boleh tolong pilihkan kolej mana yang sesuai untuk Irin kat sana." Kata mak su, sambil memberikan kepadaku satu persatu pamplet itu untuk aku lihat. Naik rambang mata aku dibuatnya.
"Kenapa Irin tiba-tiba kena masuk kolej pulak? Harraz kan ada.. dia boleh ajar Irin kat sini kan?" Soalku.
Mak su meletakkan kembali semua pamplet yang dipegang itu di atas meja. Kemudian dia memandangku. "Irin.. sampai bila nak harapkan Harraz jadi guru yang tak bertauliah untuk ajar Irin semua perkara? Kalau Irin minat fotografi tapi Harraz tak ada ilmu dalam bidang tu, macammana dia nak ajar irin? Kalau setakat nak ajar protokol-protokol itu mungkin tak apalah, tapi bidang akademik Harraz tak boleh nak ajar Irin main ikut suka-suka dia je, Irin perlukan perlukan guru yang bertauliah. So, sekarang Irin pilih nak belajar dalam bidang apa?" Soal mak su, kembali mengambil pamplet itu dan ditunjukkan kepadaku.
"Atuk rasa Irin patut ambil bidang apa?" Soalku kepada atuk, meminta pendapat darinya.
"Irin tak nak pilih dulu?" Soal atuk kembali.
"Irin tak pandailah nak pilih, apa yang atuk pilih Irin ikut sajalah!" Putusku, walaupun dulu aku begitu berminat untuk mempelajari bidang kesetiausahaan, tapi sekarang entah kenapa rasa minat itu sudah tiada. Dan aku tak ada mood pun nak buat pilihan. Bagi aku keputusan ini terlalu mendadak. Sekurang-kurangnya mereka patut bincang dulu dengan aku sebelum hulur pamplet-pamplet ini semua, jadi aku boleh buat keputusan dengan lebih tenang dan mendalam, bidang mana yang aku ingin ceburi.
"Kalau ikut atuk, atuk lagi suka kalau Irin belajar bisness." Cadang atuk, tersenyum.
Bisness? Selama aku hidup aku tak pernah rasa ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Malah mendengar perkataan itu saja sudah buat aku rasa macam bidang itu bukan bidang yang sesuai dengan minatku, tapi...
"Kalau ambil bisness sekurang-kurangnya nanti Irin dah ada pengetahuan asas dalam perniagaan, tak ada masalah la kalau Irin nak kerja kat hotel nanti.." Sambung atuk lagi.
"Oh.." Ya, aku patut tahu yang atuk pastilah berfikiran maju ke hadapan. Jadi patutkah aku ikut saja saranan atuk itu?
"Mak su tak setuju! irin kan muda lagi, biarlah dia tentukan bidang apa yang dia mahu. Kenapa nak ambil bidang perniagaan sedangkan dia tak berminat. Kan irin?" Soal mak su, memandangku seolah-olah dia faham apa yang sedang aku fikirkan sekarang ini.
Aku kedipkan mata berkali-kali. Tak tahu nak cakap ya atau tidak.
"Usia macam Irin ni biasanya orang akan pilih bidang fesyen ke, web design ke, fotografi! Itu memang tengah ramai yang suka bidang tu, atau.. atau.. apa saja yang tak begitu membebankan! Oh, Irin kan suka menulis? Irin boleh cuba ambil mass com? So, nanti boleh jadi wartawan. Muda-muda ni Irin buat apalah nak peningkan kepala belajar benda-benda yang berat? Enjoylah dulu" Saran mak su panjang lebar.
Aku pandang atuk. Semakin keliru aku dibuatnya. Err.. sebenarnya hati aku terusik jugak bila mak su cakap, bidang mass com dan boleh jadi wartawan tu. Ok, mungkin aku ni taklah minat sangat nak jadi wartawan tapi aku rasa menulis artikel itu pun sesuatu yang agak... cool juga kan?
"Atuk cuma bagi cadangan, apa-apa pun keputusan terletak di tangan Irin. Apa saja yang Irin pilih atuk akan terima. Lagipun bukan atuk yang nak belajar, tapi Irin.." Kata atuk pula, masih dengan senyuman yang terlukis di bibirnya. Mungkin cuba untuk tidak buat aku rasa tertekan dengan saranannya tadi.
"Errr... " aku kelu.
"Apa kata mak su je yang tolong pilihkan untuk Irin?" Mak su menyelak-nyelak beberapa pamplet sebelum ditunjukkan kepadaku satu pamplet.
"Mak su rasa Irin sesuai dengan bidang fesyen! Irin suka menjahit tak? Kalau ambil bidang ni untung-untung nanti Irin boleh jadi pereka fesyen terkenal ke? Wah.. bestnya, anak buah mak su jadi pereka fesyen!"
Aku garu kepala. "Tapi Irin tak minat fesyen mak su.." Kataku, perlahan. Serba-salah pun ada untuk menghancurkan angan-angan mak su tu.
"Oh, tak apa.. kalau macam tu apa kata Irin pilih..."
"Mak su, atuk boleh tak bagi Irin masa untuk buat pilihan?" Pintaku.
"Boleh... Irin fikir dulu, nanti Irin bagitau atuk ya?"
Aku mengangguk dan tersenyum. Lega. Dalam hati dah terfikir untuk minta pendapat dari Harraz.

************************

Harraz membelek-belek pamplet di tangannya. "So, kau sendiri nak belajar dalam bidang apa?" Soal Harraz. Matanya masih tertancap pada isi pamplet itu.
"Dulu kita minat kesetiausahaan, tapi sekarang rasa macam dah tak minat dah, so sekarang dah tak tau bidang apa yang kita suka." Jawabku. Situasi sekarang ini terasa seperti Harraz bos dan aku adalah calon yang sedang ditemuduga. Mana taknya, Harraz duduk di kerusi sambil menyelak-nyelak pamplet seperti menyelak resume dan aku berdiri tegak di sisi Harraz dan menggenggam kedua-dua belah tanganku seperti seseorang yang sedang gemuruh!
"Habis tu kau nak suruh aku buat keputusan untuk kaulah? Pilihkan bidang apa yang sesuai untuk kau, macam tu?" Soalnya, sekarang dia mengangkat kepala memandangku dan tersandar pada kerusi sambil menggosok-gosokkan dagunya. Eii.. bukan ke perangai bos-bos yang gatal miang saja ke suka buat gaya macam tu??
"Urmm.. lebih kuranglah. Lagipun kita rasa awak mesti lebih tahu apa yang sesuai untuk kita sebab awak kan selalu ada dengan kita berbanding atuk dengan mak su.."
 "Atuk dengan mak su ada cadangkan kau ambil bidang apa-apa ke?" Soal Harraz dengan dahi berkerut.
Aku mengangguk. "Atuk suruh kita ambil bisness, mak su suruh kita ambil fesyen.. tapi sebenarnya dua-dua pun kita tak minat."
Harraz mengusap-ngusap lagi dagunya. "Tapi kau minat menulis kan? Kenapa tak kau ambil bidang yang ada kaitan dengan penulisan je?" Soal Harraz, memberi saranan. Wah.. baru saja mak su cadangkan begitu, nampaknya sejak kes buku peribadi aku itu terlepas ke tangan mereka, semua orang dah tau yang suka menulis.
"Mak su pun ada cakap macam tu..." Balasku.
"Hah.. kalau macam tu pilih je la mana-mana bidang yang ada sangkut paut dengan penulisan!" Putus Harraz, senang hati nampaknya. Mestilah senang hati sebab dia tak payah pening-pening kepala fikirkan untuk aku lagi.
"Tapi kalau boleh kita nak belajar dalam bidang lain.." Usulku, sengaja nak buat dia pening kepala. Padahal boleh je kalau aku nak belajar dalam bidang-bidang yang ada aspek penulisan tu.
"Dah pulak... bidang apa yang kau nak? Masak? Ok juga tu, nanti habis belajar kau boleh terus kerja kat bahagian dapur hotel. Tapi kau suka masak yang berat-berat ke atau yang ringan-ringan macam pastri?
"Masak??" Aku terfikir-fikir. Selama ni nak kata aku suka memasak pun tak jugak, rajin masak? Jauh sekali.. tapi masak pun best juga kan? Boleh buat kek, buat biskut..
"Boleh jugak! Kita suka yang bakar-bakar kek, biskut, roti tu.."
"Pastri." Balas Harraz.
"Ha'ah, pastri. So.. kita ambil bidang masaklah ya?" Soalku, mencapai kata akhir.
"Kalau kau serius nak bidang ni, ambiklah."
Aku tersenyum lebar. Wah.. aku tau yang Harraz pasti tahu apa yang terbaik untuk aku. Tengoklah, sekejap saja aku dah pilih bidang mana yang sesuai untuk aku.
"Ok, kita nak pergi bagitau atuk sekarang! Thank you Harraz." Balasku teruja lalu terus berlari-lari anak keluar dari bilik Harraz dan menuju ke bilik atuk pula. 

bersambung...


p/s : Aku selalu rasa macam cerita ni dah nak tamat, tapi rupanya nak huraikan konflik itu bukan mudah! So sorry kalau selalu buat korang tertunggu-tunggu.. :(

6 ceritaMia's lovers:

Anonymous said...

hehehe best2...tq2....

RinsyaRyc said...

huhu... bestnye. >_<

jgn la habiskan cepat... siapkan terus manuskrip ni n anta kak mia...

:')

KNR_Nida said...

best!! irin tu mmg padan dgn harraz..hehe..

Ana Isna said...

best,,,suka snagt....cepat smbung.....semngat tau coz ramai yang suka dgn citer IH nie....

Ana Isna said...

best....best..best....suka sngt....cepat smbung ....huhuhu....semangat jgn tak smangt ...

QasehSuci said...

alhamdulillah..hari nie Qaseh luangkan masa baca dari episod awal sampai lah ke 34...mmg awak ada bakat menulis...x macam Qaseh ...terkial2 lagi.. heheh... nice... kita tggu next episod yer(terikut Irin plak hehe)...GOOD JOB!