http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, February 17, 2012

bab 39 (akhir)



      Setahun telah berlalu. Dalam tempoh itu bermacam-macam perkara telah aku lalui, dah bermacam-macam dugaan aku tempuhi, sampaikan aku dah jadi lali dan kebal dengan semua ujian dan dugaan itu. Antaranya..
Aku meninggalkan villa dan duduk bersama emak dan abah dalam satu tempoh waktu yang agak lama hanya kerana rasa kecewaku dengan keluarga kandung aku sendiri. Pengajianku terpaksa aku tangguhkan. Aku tak sanggup nak guna apa-apa saja yang berkaitan dengan duit dan harta atuk. Di kampung, tak ada sesiapa yang peduli tentang aku, tak ada sesiapa yang bertanya kenapa aku pulang kembali ke sana kecuali Bob dan Ziana. Jawapan aku bila mereka bertanya cuma.. "Aku bercuti panjang, nak habiskan masa berkualiti dengan mak dan abah" terus mereka akan mengangguk faham.
Mak su? Ikutkan rasa sakit hati aku, memang aku nak saja sumbat mak su masuk ke dalam penjara, sekalipun dengan meringkuk dalam penjara tidak mampu mengembalikan ibu dan ayah aku tapi aku tetap mahu mak su rasa betapa pedihnya hati aku bila orang yang aku percayai rupanya adalah dalang di sebalik tragedi masa laluku. Tapi atas pujukan atuk dan rayuan mak su, aku akhirnya membiarkan saja pembunuh itu lepas bebas. Biarlah.. biar Allah saja yang menghukumnya, aku tak ada kuasa untuk menghukum itu. Selepas itu dengarnya mak su berhijrah ke luar negara. Entah negara mana dia pergi aku pun tak pasti. Biarlah dia dengan hidup barunya disana asalkan dia tidak akan mengganggu aku lagi. 
Pak Cik Sibir. Huh.. siapa sangka rupanya tekaan Harraz selama ini memang tepat. Pak Cik Sibir menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku. Dia mengetahui semua tentang ibu dan ayah. Dia tahu tentang apa yang mak su dah lakukan dan dia mengambil sikap mengasingkan dan menjauhkan diri dari aku kerana ancaman mak su. Mak su tak mahu pak cik Sibir membocorkan rahsia lampau itu. Rahsia dimana mak su sebenarnya sudah lama jatuh cinta pada ayah dan tanpa pengetahuannya atuk telah bersepakat dengan keluarga ayah untuk menyatukan ibu dan ayah. Bukan setakat itu dendam mak su, sebaliknya mak su selalu rasa yang ibu adalah perampas. Segala yang mak su inginkan akan atuk beri kepada ibu. Kerana itu mak su tak dapat terima bila suami yang dikahwininya jatuh bankrap dan jadi gila. Mak su tak boleh terima bila hidup ibu lebih bahagia daripada dirinya. Dia mahu ibu menderita sama sepertinya. 
Lelaki misteri itu. Ya, lelaki yang sering kali muncul di hadapanku pada waktu-waktu yang aku tak jangkakan. Lelaki itulah yang telah menyelamatkan aku dan menghantar aku ke perlis satu ketika dulu. Lelaki itu adalah orang upahan mak su. Lelaki itu yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku. Aku menangis teresak-esak semasa lelaki itu datang berjumpa denganku dan menceritakan semua kejadian 19 tahun lepas. Betapa aku rasa hidup aku asyik dipermainkan oleh orang sekeliling aku. Betapa tragis dan malangnya kisah hidup aku sehinggakan aku tak mampu buat apa-apa lagi selain menangis, menangis dan menangis. "Terima kasih pak cik, sebab dah hancurkan hidup saya" itu kata-kata terakhir yang aku ucapkan kepadanya sebelum aku pulang ke rumah dengan hati yang hancur lebur.
Atuk. Niatnya cuma ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan keluarga. Dia tak mahu berpecah, dia tak mahu sesiapa pergi, dia tak mahu aku mahupun mak su meninggalkannya. Memang aku kasihan dengan atuk tapi setiap kali aku pandang setiap sudut dalam villa aku cuma akan rasa seperti hati aku disiat-siat. Inikah keluarga yang telah mengambil ayah dan ibu aku? Inikah keluarga yang telah membuatkan aku jauh terpisah dan terasing, inikah keluarga yang dapat menggembirakan aku? Inikah dia? Tidak!
Syafiq. Mungkin perasaan yang pernah ada untuknya dulu tidak lagi sama seperti sekarang. Bagi aku Syafiq adalah kenangan masa lalu yang kini menjadi salah seorang teman rapat aku. Kami berkongsi cerita, meluangkan masa bersama dan bertukar-tukar pendapat. Cuma perasaan yang tersimpan dalam hati, tak pernah aku ceritakan padanya. 
Dan Harraz. Aku tahu yang aku tak sepatutnya menyalahkan dirinya di atas semua perkara yang telah berlaku ke atasku. Aku tahu yang aku tak sepatutnya memaki hamun dirinya dan menyalah dirinya kerana cuba membawa aku kembali ke zaman silamku, sekaligus membuatkan aku kecewa bahawa inilah dia, zaman silam aku yang sangat kelam dan suram! Tapi sayangnya aku baru sedar yang aku tak sepatutnya melakukan semua perkara di atas selepas aku kehilangannya. Selepas Harraz mengambil keputusan untuk pergi. Pergi jauh yang aku sendiri tak pasti kemana. 
Betapa setiap saat yang berlalu, aku asyik teringatkannya, setiap perkara yang aku lakukan hanya akan membawa ingatan aku kepadanya. Setiap cerita yang aku tonton seakan berkaitan dengan dirinya. Setiap detik, saat dan masa. Hanya dia dalam fikiranku.
Dan kini, setelah genap setahun berlalu. Setelah rajuk hatiku pergi dibawa angin lalu, aku kembali ke villa. Mendedahkan rahsia diriku sebagai Cik Muda Irina Imani pada media, dan pada satu malaysia. Bakal memangku jawatan Pengerusi Residence Hotel setelah aku tamatkan pembelajaran nanti. Ya, dan juga membuatkan rakan-rakan di kolej terutama Hanna, Nazmi dan Naim ternganga dan terbeliak biji mata melihatku dan melayan aku macamlah aku ni puteri mahkota. 
Setelah apa yang aku dah lalui, kini aku bukan lagi Irin yang manja dan mengada-ngada. Bukan lagi Irin yang lembik asyik dibuli, bukan lagi Irin yang lemah asyik ditindas, bukan lagi Irin yang lama. Sebaliknya sekarang aku adalah cik muda Irina Imani yang tegas dalam membuat keputusan, yang cekap dalam menguruskan hal-hal pentadbiran di villa, yang matang dan yang berdikari. Kini aku tak lagi perlukan tuan muda Iman Harraz sebagai penyelamat aku, atau sebagai malaikat pelindung aku kerana aku mampu melindungi diriku sendiri.
Ya, aku boleh melindungi diriku sendiri sekalipun daripada anjing yang asyik menjelurkan lidah sambil memandang aku ini. Aku tertanya-tanya, adakah anjing ini melihat aku seperti sebatang tulang yang menyelerakan sehingga dia perlu merenung aku sebegitu??
"Syuhh.. syuhh.." Aku menghalaunya dengan jari-jemariku, tak selesa pula aku nak layan perasaan kat sini kalau anjing ni ada. Sekarang aku mula rasa nak menyesal sebab suruh bodyguard aku semua pergi. Konon-kononnya nak tenangkan diri, nak layan blues kat taman ni, alih-alih kena usha dengan anjing liar pulak! Haish.. memang salah pilih tempatlah!.
"Syuhh.. " aku cuba lagi menghalau anjing itu sambil aku berdiri dan berjalan, ingin menjauhkan diri darinya. Tapi tiba-tiba anjing tu ikut aku. Apahal anjing ni, ada hutang dengan aku ke..
Bila aku berjalan lebih pantas, anjing ini seperti berlari dan menghampiri kaki aku. Ahh.. sampai nak himpit-himpit kaki aku pulak! Memang aku bukak langkah seribulah. Tapi anjing ni tiba-tiba menyalak dan mengejar aku. Makin pantas aku berlari. Tolong, tolong jangan malukan aku kat tempat awam ini, tolong jangan tarik seluar aku atau jangan ragut kasut aku. Tolong... Aku berlari kehadapan dengan kepala yang memandang anjing itu di belakang aku. Tiba-tiba badan aku terlanggar seseorang, bila aku memusingkan kepala, muka aku terus tersembam di dada orang itu. Bunyi anjing itu melalak masih kedengaran. Terus aku buka langkah untuk berlari tapi tiba-tiba tangan aku terasa seperti ditarik. 
"Eh, tak tau teori kalau kena kejar dengan anjing jangan berlari?" Soal suara lelaki, yang aku yakin datangnya daripada menusia yang menarik tangan aku itu tadi.
"Worghh.. worrghh.." Anjing liar ini menyalak-nyalak lagi di hadapan kami. 
"Masalahnya dia nak gigit, takkan nak berdiri kaku je kot?" Soalku, sambil cuba menyorokkan diri di belakang lelaki itu.
"Kalau saya berjaya buat anjing ni diam, awak nak buat apa?" Soal lelaki ini. 
"Apa awak nak?" Soalku pula. Dalam keadaan ini boleh pulak kami buat pertaruhan tentang si anjing gila ini.
"Teman saya makan." Pinta lelaki ini.
"Ha.. ok..ok.." Balasku. Begitu terdesak untuk meminta bantuan lelaki ini supaya menyumbat sesuatu pada mulut anjing ini agar dia kembali diam. Naik malu aku bila ada mata-mata yang sedang memandang ke arah kami sambil ketawa, ada juga yang memandang dengan pandangan simpati. 
Lelaki ini tiba-tiba membongkok, entah apa yang dikutipnya di atas tanah sebelum dia bangun kembali dan mencampak sesuatu yang dikutip tadi sehingga membuatkan tumpuan anjing itu teralih kepada benda yang dicampak tadi. Oh, dia campak ranting kayu rupanya..
Aku baru saja ingin menarik nafas lega dan mahu berkenalan dengan lelaki yang telah jadi penyelamat aku ini tadi, tapi tiba-tiba tangan aku pula ditarik sehingga memaksa aku berlari, mengikut ayunan langkah lelaki ini. 
"Eh.. eh.. kenapa kena lari pula ni?" Soalku, panik.
"Nanti anjing tu nak bagi kayu tu pada kita balik." Balas lelaki ini.
Aku sempat menoleh ke belakang. Kelibat anjing itu aku lihat sedang menyalak-nyalak di tempat kami berdiri tadi, ada kayu yang diletakkan di atas tanah tempat anjing itu menyalak. Ceh, patutlah dia pandang aku tak berkelip tadi, nak ajak aku main rupanya..
Lelaki ini terus menarik aku agar turut berlari dengannya sehinggalah aku sendiri memintanya supaya berhenti menarik tanganku, perut aku dah terasa kejang, kaki aku macam nak patah sebab dah lama tak berjongging, nafas aku dah jadi agak tak teratur, peluh muka membasahi dahi, ketiak dan badan aku. Bila lelaki ini berhenti berlari, aku terus terduduk di atas jalan, dengan mata yang terpejam dan tenaga yang hilang. 
Sungguh! Aku memang sangat belum bersedia untuk berlari tadi.
"Heh.. heh.. kau memang tak berubah kan budak?" Soal lelaki ini. 
Apa dia kata tadi? Aku memang tak berubah? Budak? Siapa budak?" Aku angkat kepala dan mendongak memandang muka lelaki ini tapi cahaya matahari yang terpancar dari arah kepala lelaki ini membuatkan aku tak mampu untuk melihat wajahnya dengan lebih jelas. Lalu aku tundukkan kembali kepalaku.
Aku terasa kepala aku digosok sehingga membuatkan rambut aku yang dibiarkan lepas bebas itu berserabai. Aku angkat kepala, muka lelaki tadi betul-betul di hadapan mata aku. Dia sedang bercangkung sambil tersenyum memandangku. Untuk sesaat, aku seakan terpegun. Bukan terpegun kerana wajahnya yang kacak sebab muka lelaki ini tak kacak mana pun dengan janggut nipis yang menutupi dagunya, pipinya yang nampak seperti tidak bersih, mungkin kerana tidak bercukur tetapi kerana senyuman lelaki ini, manis!
Aku hanya tersedar yang aku telah merenung lelaki ini agak lama bila dia sendiri menumbuk pipi aku perlahan dengan buku limanya lalu dia ketawa perlahan. Lebih menambahkan kemanisan senyumannya.
"Hoi, aku taulah kau rindu aku tapi tak payahlah nak tenung muka aku sampai macam tu sekali." Katanya. 
Rindu? Dia kata aku rindu dia? Eh, rasanya aku langsung tak kenal siapa mamat yang berada di hadapanku ini, macammana dia boleh kata aku rindukan dia?
"Eh, kejap! Awak siapa?" Soalku.
"Aku.. Iman!" Jawabnya, dan dia berdiri, sebelah tangannya dimasukkan dalam poket seluar. Sebelah tangan lagi dia hulurkan kepadaku, untuk menarik aku bangun. Teragak-agak aku menyambut.
Bila aku dah berdiri tegak di hadapannya, dia senyum lagi sambil berkata, "Dan kau Imani, kan?"  Soalnya.
Sekarang aku terasa macam mulut aku terbuka terlalu luas. Mungkin mampu memuatkan seekor tupai di dalamnya. 
Lelaki ini ketawa lagi. Oh, sungguh aku tak kenal dengan lelaki yang asyik tersenyum dan ketawa ini. Siapa dia sebenarnya? Macammana dia boleh kenal aku pulak? Lebih-lebih lagi dengan nama Imani itu?
"Hey, Irin! Kau betul-betul tak ingat aku ke?" Soalnya lagi sambil menanggalkan topi yang dipakainya. Sekarang barulah aku nampak keseluruhan wajahnya dengan lebih jelas. 
Mata aku sedang menganalisa wajah lelaki ini jikalau aku pernah kenal dengan dia. Tambah-tambah lagi tadi dia memanggil aku Irin. Pastinya dia memang mengenali aku. Tapi kenapa aku tiba-tiba macam orang hilang ingatan ni?
"Haish, lembap betullah kau ni. Ini akulah, Harraz! Iman Harraz. Kau dah lupa?" Soalnya dengan sebelah keningnya yang dijongketkan.
Iman Harraz? Lelaki yang sedang tersenyum dan tergelak-gelak ini Iman Harraz? Lelaki yang berjanggut nipis dan bermuka serabai ini Iman Harraz? Iman Harraz yang selalu buli aku dulu tu? Iman Harraz yang kacak dan bergaya dan tak suka senyum itu? Iman Harraz yang aku rindui itu? Betulkah ini Iman Harraz?
"Harraz?..." Panggilku, perlahan.
"Ya, aku Harraz. Pelik betullah, macammana kau boleh tak cam aku? Ke kau benci aku sangat sampai muka aku pun kau dah tak nak ingat?" Soalnya.
"Tak.. bukan benci. Tapi.. muka awak nampak lain, awak.. senyum." Balasku perlahan. Hati aku bergetar. Tiba-tiba rasa rindu begitu membuak-buak dalam hatiku. Harraz.. Harraz ada kat depan mata aku sekarang!
Tiba-tiba je aku rasa nak menangis. Sesungguhnya aku dah lama tak menangis sebab aku dah janji pada diri sendiri yang aku bukan lagi Irina Imani si budak lembik yang suka menangis tu, tapi aku sekarang adalah cik muda Irina Imani yang kuat dan gagah! Entah kenapa bila depan Harraz aku jadi lembik balik.
"Oishh.. macam ni ke cara kau sambut kepulangan aku? Dengan air mata? Bila nak matang ni Irin?" Soal Harraz, sengaja mengusikku.
"Harraz.. kita rindu awak!" Ucapku, tanpa rasa malu. 
"Hah.. hahhhaaa.. ada jugak orang rindu aku. Ingatkan semua orang dah tak nak tengok muka aku lagi. Tak sia-sia aku mengembara ke hutan amazon semata-mata nak kejar cita-cita aku mengembara ke seluruh dunia." Harraz ketawa terbahak-bahak. DIa ingat aku buat lawak ke apa?
"Awak pergi hutan Amazon? Seriously?"
"Taklah! Gila kau nak aku mati sorang-sorang kat dalam hutan tu? Aku belum kahwin lagi kot.." Balas Harraz.
"Eleh.. habis tu balik sini kenapa? Nak kahwin lepas tu baru nak jelajah hutan Amazon tu?" Balasku, sengaja mengusiknya.
"Ha'ah.. aku balik ni sebab nak cari calon isteri. Rasanya tak payah cari jauh-jauh, yang kat depan mata ni pun boleh kot??" Harraz jongket kening memandangku.
"Siapa nak kahwin dengan awak.." balasku, malu.
"Hurmmm.. tadi kata rindu kat aku.. ajak kahwin tak nak pulak.."
"Hantar kita balik!" Pintaku. Malu.
"Apasal? Dah tak ingat jalan nak balik?"
"Jomlah hantar kita balik! Jumpa atuk, jumpa pak cik Ghazi...." Aku memberikan kata-kata kiasan yang membawa maksud aku setuju dengan lamarannya.
Harraz memandangku dengan ekor matanya dan tersengih lagi. Sengihan yang membuatkan aku rasa macam pipi aku diserbu darah merah yang maha pekat! Oh Harraz, nampaknya kau akan tetap jadi guardian angel aku sampai bila-bila!

-And that's the end-



p/s : isk..isk.. sedihnya! Dah habis? Maaf kalau ending ini tak seperti yang korang harapkan, tapi aku tak mahu buang masa lagi dengan mengarang draf panjang-panjang sebab makin lambat ending cerita ni disiapkan, makin banyaklah kerja-kerja aku akan tertangguh. Lagipun, kalau ada rezeki untuk mss ni diterbitkan, takkanlah nak biar korang baca versi yang sebijik sama macam dalam blog kan? So, haruslah tamatkan cerita dengan ending yang biasa-biasa je, jadi nanti boleh edit balik dengan jalan cerita yang lebih teratur. Kan? Kan? >_<

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan (alamak, drama!) ribuan/jutaan/billion terima kasih pada semua Harraz's lovers yang baca cerita ni sikit-sikit, yang baca kadang-kadang, yang baca ala kadar, yang baca tajuk dan bab je dan yang baca sepenuhnya enovel ini. Serius cakap, tak tipu! Tanpa korang entah siap entah tidak enovel ni. Serius cakap lagi, tanpa korang.. siapalah mia kaftiya yang baru nak belajar tulis novel ni...

Thank you sayangsss!! (serius cakap, memang sayang korang!) >_< *blushing* 



22 ceritaMia's lovers:

Anonymous said...

x sangka dah abis crita ni. kalau panjang sikit kan lebih baik. apaun tahniah writer.

hanna aleeya said...

akhirnya dia orang bersama.. heee.. happy ending

ain79 said...

yg best nye ble dorg bsama gak akhirnya..heheheheeheh..harraz nie wlo pn ego n nmpak smbong tp still ske gak ngn harraz nie..

Anonymous said...

good happy ending.. :D

Musafir said...

Wahhh, da habis..srnok sgt sb cter ni de ending yg menarik. cik mia, tme ksh ye tok semua 39 bab TMIH. Hrap,awk truskn menulis tnpa jemu n hasilkn krya2 yg b'mutu.

Kayrel said...

love2!!! cant wait iman harraz the series... ehh.. novel version laa... huhu :)

erieka nesha said...

alaa ~ pendek nye ending die, tak puas la . marathon satu malam nak habiskan cite ni, btw kalau buad buku saye org first nak beli . hehe ,

Anonymous said...

apa sal cepat sangat habis? huk..huk...huk...kenapa tak sambung sampai irin & harraz kahwin dulu & mak su datang balik hidup bersama mereka semula....kenapa...kenapa..kenapa dan kenapa....huk..huk..huk...

Nurul Erlysa said...

Dah habis kan..Sebagai peminat setia Harraz(It's harraz not irin ,haha)Sya nak ucap Tahniah to the writer sanggup tulis sampai bab 39,n i hope penulis dapat teruskan cita-cita menyiapkan skrip Tuan Muda Iman Harraz..Even the cerita ending tak gempak ,tapi saya akan tunggu versi cetak yang lebih gempak punya!All the best writer !!

*Sambil kesat air mata n hingus*

-Erlysa

Anonymous said...

da abis..
cptnyee..xpuas lg bacee...lps nie kangan kt Harraz sm irin..huhuhu..apa2 pun thniah buat penulis...ArA

KNR_Nida said...

rasa nak nagis pon ade..cite da abis..huhu..
but, pape pun gudluck for sis mia..
thanks sbb buat cite yg best mcm tuan muda iman harraz..
rindu la kat harraz lps nie..hehe^_^

Nurul syahirah said...

Taniah penulis... kerana penulis akhirnya berjaya siapkan novel ni.

mylovelyday said...

agak2 tajuk untuk novel ini stelah dibukukan ape ek? nak take note..

mylovelyday said...

agak2 ape tajuk novel ini ek setelah dibukukan? still tajuk yg same ker?

mia kaftiya said...

mylovelyday : kalau ikutkan rasa nak kekalkan je tajuk asal, tapi tak taulah kot2 nanti bila hantar ps publisher diorang suruh tukar ke.. papepun, nanti kite akan annoucekan kat sini okeh?

Oh ya, 'like' fb iman harraz, akan selalu update kat situ. hehe.. >_<

Anonymous said...

ala dah abis lak.xpuas bc ni.kene beli buku jugak ni..erm nant cik mia kabo ye..@ednayu

aisy ^^, said...

eiiii, tak puas ending TMIH... nak lagi, nak lagi >.<
hohohohohooo

anyway, congrate!!!!

*sepanjang bace novel asyik terbayang kat lee min ho jadi TMIH, and sesetengah babak tu macam dalam citer Boys Over Flowers XD

farina said...

Wah mmg terbaek...

farina said...

Peh.... mmg terbaek....

Monkey D. Luffy said...

Still xkuar lg ke novel ni??

bila jari menaip said...

memang daboom episod akhir dia!! Luv TMIH forever!

Ayu said...

Jumpa cerita ni kat p2u . And yang ada kat situ sekerat je . Rasa macam tak puas hati sebab kenapa update separuh je dan sebab dah jatuh cinta dengan plot cerita ~ tangan gatal taip kat google anddd jumpa semua bab kat blog ni ~ seriously sukaaa sgt dgn watak Harraz . ~ btw kalau dah ada versi cetakan nanti , kak mia inform yaa . Please please . One more , Good luck :)) * tepuk tangan laju laju *