http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, February 10, 2012

bab 38



Sangat pelik aku rasakan hari ini bila yang menghantar aku ke kolej bukan Harraz, tapi pemandu peribadi atuk. Sebaik aku keluar saja dari muka pintu villa, lelaki ini yang layak aku panggil pak cik sudah berdiri terpacak di sisi kereta, bila dia lihat aku sedang berdiri memandangnya, dia terus membukakan pintu kereta dan mempersilakan aku masuk. 

Bila aku tanya... “Mana Harraz?”

Jawapan yang diberikan olehnya ialah, “Mulai hari ini saya yang akan menghantar dan menjemput cik muda di kolej.” 


Nampak gayanya memang ada sesuatu yang tak kena dengan Harraz, kenapa tugas menghantar dan mengambil aku pun dah ditukar kepada orang lain??

Sampai saja di perkarangan kolej, tanpa sempat aku berbuat apa-apa, pak cik driver ini sudah terlebih dulu membukakan pintu untuk aku. Aku pandang sekeliling sebelum aku keluar, risau kalau ada yang ternampak aku dilayan seperti tuan puteri sampaikan pintu kereta pun perlu dibukakan. Oh tidak!

Yakin yang tak ada sesiapa yang mempedulikan kehadiran kereta ini, aku cepat-cepat keluar dan berpesan pada pak cik driver ini, “Lain kali tak payah bukakan pintu untuk kita tau, biar kita buka sendiri.” Pesanku.

Pak cik ini mengangguk sebelum dia masuk kembali ke dalam kereta dan kereta bergerak perlahan dan semakin laju.

Aku baru nak tarik nafas lega, tapi tiba-tiba aku rasa macam air liur aku tersekat di kerongkong bila ternampak Hanna sedang memandangku dengan dahi berkerut dan pandangan penuh tanda tanya.

O’ooo.. nampaknya aku harus mula rangka jawapan untuk membalas serangan soalan daripada Hanna, bermula sekarang!  

Satu langkah ayunan kaki aku buka. Ok, Hanna mesti akan tanya siapa pak cik tadi tu.

Dua langkah ke hadapan. Jawab je yang itu pak cik aku, dia memang suka bergurau nak bukakan pintu kereta orang.

Tiga langkah. Dimana Harraz? Errrr....

Empat langkah. Harraz...  sibuk? Lima langkah. Aku dah nampak Hanna sedang berjalan ke arahku dengan senyuman, oh.. jangan datang sini please. Aku perlukan lebih masa untuk memikirkan jawapan.

“Irin!” Tegur Hanna lalu memaut lenganku, mesra.

“Hai.. baru sampai?” Soalku. Tersengih cuak. Menanti dengan perasaan berdebar-debar saatnya Hanna akan mula menembak soalannya kepadaku.

“Ha’ah.. baru sampai lepas tu nampak Irin dalam kereta sebab tu Hanna tunggu. Oh, hari ni driver Irin pulak yang hantar eh? Sepupu Irin tu mana?” Soal Hanna, selamba.

“Dia... sibuk. Ada kerja." Balasku, nampaknya Hanna langsung tak persoalkan tentang driver itu, mungkin bagi dia itu perkara biasa memandangkan memang ramai pelajar kolej ni anak orang-orang kaya. Fuuhh.. selamat!

"Oh.. tak dapat tengok muka dia pagi ni.." Keluh Hanna perlahan. Tapi masih mampu aku dengari. Aku pandang mukanya dengan dahi berkerut dan senyuman yang cuba aku tahan.

Hanna tersipu-sipu membalas pandanganku sebelum dia menolak lengan aku dan dia berjalan lebih pantas. Malulah tu...

Sampai di kelas, baru saja punggung aku nak mencecah kerusi, sekali lagi aku terdengar perbincangan hangat antara Nazmi dan Naim di belakang berkaitan 'cucu pengerusi Resident Hotel' itu. Topik apa pula yang mereka bincangkan kali ini??

"Kau rasa budak tu larikan diri masa malam tu betul-betul sebab dia larikan diri ke atau sebab dia diculik??" Soal Nazmi membangkitkan persoalan.

"Kau merepek apa kena culiknya.. kan paper dah cakap yang budak tu belum bersedia nak muncul kat khalayak?? Eh, tapi budak ni cun jugak kan? Kalaulah dia tak tutup muka, perghh.. " Balas Naim, menolak sebarang spekulasi yang cuba dibangkitkan oleh Nazmi.

Aku tersentak mendengar kata-kata itu. Mana diorang tahu yang 'budak' itu cun? Ada gambar ke?? Kerana rasa hati yang begitu membuak-buak aku terus bangun menuju ke arah mereka dan turut menyelit ingin melihat apa yang terpampang di skrin laptop itu. 

Itu dia! Gambar aku sedang menutup muka sambil bersembunyi di belakang Harraz. Mujur saja muka aku memang tak nampak langsung, kecuali pakaian dan rambut aku saja yang kelihatan. Tanpa sedar rupanya aku sedang merenung skrin laptop dengan mulut yang melopong. Kalau tidak kerana ditegur oleh Nazmi mungkin sekarang aku masih terkebil-kebil memandang gambar aku sendiri.

"Cara kau tengok gambar ni macam tengah tengok alien." Usik Nazmi, tergelak.

Aku telan liur. Kalaulah diorang tahu gambar siapa yang diorang sedang lihat ini, pasti diorang takkan bahan aku dengan usikan sebegini, sebaliknya pasti mereka akan persoalan kepada aku kenapa, bagaimana, dimana, dan bermacam-macam soalan lagi yang berkaitan dengan sejarah silam aku. Betul kata Harraz, aku cuma perlu percayakan dirinya sebab setiap keputusan yang dia ambil tetap yang terbaik untuk aku. 

Arrghh.. kenapa mesti fikir tentang Harraz pula sekarang ni? Bukankah dia dah tak nak kawan dengan aku lagi. Pasti dia marah sebab aku tak mahu percayakan dirinya.

"Aku ada soalan, kalaulah ditakdirkan yang satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan budak perempuan ni, apa yang kau nak buat?" Soal Naim kepada Nazmi. 

Nazmi terdiam sambil memikirkan dalam-dalam tentang soalan Naim itu.

"Kalau aku jumpa dia eh? Ermm... aku nak kiss pipi dia, boleh?" 

Aku pandang muka Nazmi tajam-tajam. Seriously? Nak kiss pipi aku? Yuks! Tak rela! Aku terus kembali ke meja aku sambil menggosok pipi aku macamlah Nazmi dah cium pipi aku. Oh.. imaginasi terlampau betullah aku ni.

"Kenapa Irin gosok pipi?" Soal Hanna, polos. 

"Uh? Tak.. tadi terasa macam berminyak." Dalihku.

"Oh.." 

Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi, cepat-cepat aku keluarkan ianya dari dalam beg tangan. Nama 'Syafiq' tertera di skrin. Nampak nama Syafiq baru aku teringat yang dah agak lama aku tak berhubungan dengan lelaki ini. 

"Assalamualaikum." Ucapku. 

"Waalaikumsalam. Irin, kat mana?" Soalnya dihujung talian.

"Kolej. Kenapa?" 

"Irin ok?" Soal Syafiq, kini baru aku terperasan nadanya yang agak cemas.

"Ok je.. kenapa Syafiq?"

"Tak.. saya baca berita, pasal Irin hilang. Saya dah lama nak call Irin tapi sibuk sangat sampai tak sempat nak call. Irin ok ke? Siapa yang culik Irin?" Soal Syafiq, panjang lebar.

Aku pandang sekeliling. Tiba-tiba aku rasa suara Syafiq bercakap macam terlalu kuat sehingga mampu didengari oleh orang-orang sekelilingku, macamlah aku buka pembesar suara.

"Syafiq.. kita tak boleh nak cerita sekarang sebab kita dalam kelas ni. Boleh tak malam nanti kita call awak?" Pintaku, sedaya upaya cuba untuk tidak buat Syafiq risau sekaligus cuba untuk tidak buat Syafiq terasa yang aku tak mahu berbincang hal ini dengannya.

"Tapi saya nak tau sangat ni, boleh tak Irin cerita je sekarang? Please. Hati saya takkan tenang selagi saya tak dengar cerita sebenar. Telinga saya ni dah diasak dengan pelbagai spekulasi." Pinta Syafiq, begitu berharap.

Serba-salah pula aku dibuatnya. Kemana patut aku pergi? Tandas? Ah, tempat itu akan jadi kawasan yang sentiasa ada orang keluar masuk. Kalau cakap kat sini je? Nanti pensyarah masuk nak lari macammana?

"Irin? Boleh tak?" Suara Syafiq di hujung talian mengejutkan aku.

"Ok, tapi boleh tunggu kejap sampai kita jumpa tempat yang selamat?" 

Penat mencari dan memikirkan lokasi yang sesuai, aku akhirnya menyorok di bawah tangga. Satu-satunya laluan yang jarang dilalui oleh pelajar kerana tangga ini agak jauh daripada kelas. Setelah itu aku ceritakan dari awal sampai ke akhir berkaitan kejadian malam itu. Tentang bagaimana aku ditarik dan diacukan pisau sehinggalah bila aku dibawa pulang atas permintaanku sendiri.

"Irin, petang ni balik dengan saya?" Pinta Syafiq selepas aku selesai bercerita.

"Eh, kenapa pulak? Tak apa.. pak cik drebar boleh ambil kita, awak tak payah la susah-susah." Tolakku, tak mahu menyusahkannya.

"Tak susah pun Irin. Lagipun saya rasa tak puas cuma dengar dalam telefon je. Saya nak tengok awak depan-depan, saya nak pastikan yang awak tak apa-apa" Ucap Syafiq, penuh.. romantis. Tapi kenapa aku rasa macam geli tiba-tiba pula ni? Hiks.

"Kita oklah Syafiq, kita selamat. Kalau tak, takkanlah kita boleh bercakap dengan awak sekarang, kan?"

"Tak kira, petang ni saya datang jemput awak. Pesan kat driver awak tak payah ambil awak petang ni." Arah Syafiq.

"Tapi Syafiq..."

"Saya ambil." Dan talian dimatikan. 

Aku merenung skrin telefon yang memaparkan muka aku sendiri. Satu keluhan aku lepaskan.

*************

Jam di tangan aku kerling lagi. Rasanya dah setengah jam aku menunggu tapi bayang Syafiq masih belum kelihatan. Dia terlupa atau dia terlewat ni?? Nak call, rasa macam serba salah pulak, dah la orang tu nak ambil, so tunggu jelah sampai dia datang kan? 

Hurmmm... Aku kembali duduk di atas salah satu anak tangga sambil menongkat dagu dan memandang kehadapan. Termenung.

"Pin.. Pinnn.." Lamunan aku terhenti bila telinga aku menangkap bunyi hon dari arah bertentangan dengan aku. Kereta hitam tersadai di atas jalan dan Harraz sedang menjengulkan kepalanya keluar dari tingkap sambil memandang aku dan menggamit aku ke arahnya.

Sejak bila dia ada kat situ? Kenapa aku tak perasan pun?? Sekali lagi Harraz menggamit aku supaya datang kepadanya lalu aku sangkut beg tangan ke bahu dan memeluk fail tebal di tangan. Melangkah setapak demi setapak menuju ke arah Harraz.

"Kenapa?" Soalku. 

"Kau ni memang dasar ratu termenung betul. Tau tak berapa lama aku tunggu kat sini, kau boleh tak perasan?? Heh.." Kata Harraz, memerli aku. Ada sengihan di hujung bibirnya. Uish, dah lama tak tengok Harraz versi yang ini, Harraz versi suka mengusik dan mengarah!

Sebabnya kebelakangan ini Harraz sudah bertukar menjadi Harraz yang moody dan.. pelik!.

"Naik!" Suruh Harraz.

"Ha?" Soalku. Err.. sebenarnya aku ingin katakan perkara lain tapi tak tau kenapa reaksi itu yang aku berikan.

"Naiklah, aku hantar kau balik." Jelas Harraz.

"Eh, kita tengah tunggu Syafiq ni, dia kata nak ambil kita." Tolakku.

"Syafiq takkan datang ambil kau, naik je lah."

"Kenapa pula dia takkan datang ambil kita?" Soalku curiga.

"Dia ada mesyuarat. Kalau habis pun lambat. Takkan kau nak tunggu dia kat sini sampai malam kot? Dah la naik jelah. Takkan nak tunggu aku bukakan pintu pulak."

Kalau betul Syafiq ada mesyuarat kenapa dia tak beritahu aku? Atau Harraz yang tipu aku? Tapi kalau betul Syafiq ada mesyuarat dan mesyuarat tu habis lambat, aku macammana? Takkan nak tunggu kat sini sampai malam kot? Habis tu balik je dengan Harraz??

"Kau tunggu apa lagi ni Irin.. naik sajalah! Tak nak naik aku tinggal je karang!" Harraz mula berang. Untuk masuk ke dalam kereta pun aku perlu ambil masa sampai berpuluh-puluh minit. Padahal buka saja pintu dan masuk. Mudah je kan?

Tak mahu fikir kemungkinan yang lain, maka aku putuskan untuk rebut peluang di depan mata. Naik kereta dan pulang!.

"Kau dah tau yang Syafiq tu sibuk, yang kau sibuk nak suruh dia ambil kau tu kenapa?" Soal Harraz, membuka bicara.

"Eh, bukan kita yang suruh dia ambil kita ok, dia yang nak ambil sendiri."

"Lepas tu kau tak reti nak menolak, terima je pelawaan sesiapa saja kan?" Kata Harraz, agak kasar. Nada suara macam nak cari pasal dengan aku je ni.

"Apa awak peduli!" Balasku, geram. Kalau tau yang aku dan dia akan bergaduh dalam kereta ini, aku lebih rela menunggu Syafiq datang mengambilku sekalipun aku harus menunggu sehingga malam.

"Aku peduli semua tentang kau!" Balas Harraz, lantang. 

Aku tersentak. Terkejut mendengar nada suara Harraz yang tinggi itu. 

"Ehem.. sorry." Ucap Harraz, perlahan. Mungkin dia sendiri tak sedar yang dia bercakap dengan nada sebegitu.

Aku tersentuh mendengar ucapan maafnya sehinggakan aku sendiri pun tak tau samada patut cakap 'ok, tak apa' atau nak marah dia balik atau... ok, buat tak tau je, Irin!. Akhirnya kami cuma diam sehingga sampai di muka pintu villa. Sebelum aku keluar, Harraz kembali bersuara.

"Irin, sekali lagi aku nak tanya. Boleh tak kau percayakan aku?" Soal Harraz. Dia pandang mata aku dalam-dalam.

Aku terkebil-kebil membalas pandangannya. Tiba-tiba mulut aku kelu, tak tau mahu jawab apa.

"Irin, percayakan aku?" Soal Harraz lagi.

Perlahan-lahan aku mengangguk. Dah banyak kali dia tanyakan soalan ini, dan setiap kali itulah aku akan jawab ya, jadi tak ada bezanya jika kali ini pun aku mengiyakan. Tapi persoalannya, kenapa Harraz selalu mintak aku supaya percaya pada dia? Apa yang dia nak buat??

Harraz tersenyum. Lega.

"Terima kasih. Lepas ni jangan keluar seorang diri lagi. Kalau tak ada sesiapa yang boleh ambil kau, ingat aku akan sentiasa ada untuk kau." Ucap Harraz, kedengaran lembut di telingaku.
Aku mengangguk lagi.

"Dah, pergi masuk." Arah Harraz.

Aku mengangguk lagi dan membuka pintu kereta. Sepanjang perjalan ke bilik aku rasa macam kaki aku tak jejak tanah. Terasa melayang-layang!

Malam itu, selepas solat maghrib, aku bercadang untuk melepak-lepak di gazebo, sebab rasanya macam dah lama benar aku tak melepak kat taman kecil itu, tapi semasa sedang melintasi bilik tidur Harraz, tiba-tiba hati aku tergerak untuk masuk ke dalam sekalipun aku tak tahu samada Harraz ada di dalam ataupun tidak. Pintu bilik yang tidak ditutup rapat menguatkan lagi keinginan aku itu. 

Baru saja tangan aku ingin menolak pintu itu, tiba-tiba saja ada suara berbisik yang menghalang aku daripada berbuat demikian. 'Jangan masuk bilik orang tanpa kebenaranlah Irin!'. Aku angkat balik tangan, tak jadi nak masuk. Lalu aku atur langkah satu persatu. Perlahan. Kemudian aku terhenti, dan menoleh kembali ke arah pintu bilik itu. Keinginan aku terlau membuak-buak ingin masuk. Tak taulah apa yang istimewa sangat tentang bilik Harraz itu, sebab aku memang tak pernah masuk bilik dia. 

'Irin, selama ni dia masuk bilik kau selamba bodoh dia je, tak ada sesiapa kisah pun?' Bisik satu suara lain. Sekaligus seakan menarik kaki aku agar melangkah lebih dekat ke arah pintu bilik Harraz. Aku tarik nafas sebelum pintu itu aku tolak perlahan. Terbuka sedikit, nampak seperti tidak ada sesiapa di dalam. Aku tolak lagi sehingga luas melebar seperti mengalu-alukan kedatangan aku ke situ. 

Tanpa berfikir panjang, kaki aku angkat untuk masuk ke dalam. Berjalan-jalan mengelilingi bilik yang agak kecil sikit daripada bilik aku itu. Tak ada apa-apa yang istimewa tentang bilik Harraz ini, cuma terdapat bilik air dan susunan perabotnya kemas dan ringkas. Cuma ada sebiji katil, almari pakaian yang lengkap dengan meja solek dan meja tulis. Kaki aku atur terus menuju ke meja tulis yang terdapat buku-buku yang bertaburan di atasnya. Harraz.. Harraz.. suka tabur-taburkan buku tau! Tanpa sedar lincah je tangan aku nak kemaskan buku-buku itu, tapi secara tiba-tiba mata aku terpandang sesuatu yang bagi aku agak ganjil, agak menarik perhatian dan aku tahu bahawa cebisan kertas itu mengandungi satu rahsia mengenai sejarah hidupku!

Aku teliti satu persatu, aku baca. Dahi aku berkerut-kerut. Sekalipun aku kurang faham tapi otak aku masih keras bekerja untuk mencerna semua data-data yang dah aku analisa tadi. Semakin aku selak helaian kertas di atas meja, semakin aku berjumpa dengan isi-isi penting yang aku perlukan. Dan pada saat otak aku mula mencerna hasil maklumat yang aku dapat, ketika aku mula mengenalpasti hasil keputusan analisa, ketika itulah...

"Irina Imani!!" Harraz menjerit memanggil namaku dengan lantang. Mukanya tegang. Aku tahu dia tak suka aku membaca maklumat-maklumat peribadi ini, tapi nampaknya dia dah terlambat. Aku dah tau semua rahsia yang Harraz simpan. 

Oh, patutlah selama ini dia sentiasa harap yang aku akan percayakan dirinya, patutlah selama ini dia selalu bersikap dingin bila aku tanyakan tentang 'misi' kami itu, patutlah dia melarikan aku daripada majlis malam itu, patutlah...

"Harraz.." Ucapku perlahan sebelum aku terjelepok jatuh terduduk di lantai dan menangis teresak-esak.

"Ibu.. ayah.." ucap aku lagi. Air mata semakin laju mengalir. Aku tak tau apa yang aku patut lakukan sekarang, tapi aku benar-benar rasa 'kehilangan'. Aku rasa macam separuh dari hidup aku dah hilang selepas apa yang aku baca hasil dari penyiasatan Harraz itu, aku rasa macam dunia ini tak adil untuk aku.

"Irin.." Harraz mendekati aku dan dia bercangkung di sebelah aku.

"Irin.. kenapa kau masuk ke sini?" Soal Harraz, lirih. Aku dah tak peduli apa Harraz akan cakap, aku lebih peduli tentang apa aku harus buat untuk hidup aku, untuk masa depan aku dan yang lebih penting, untuk manusia yang menyebabkan kematian ibu dan ayah aku.

Tiba-tiba seperti ada satu bisikan halus ditelingaku yang menyuruh aku bangkit dari kesedihan ini, dan lakukan apa yang sepatutnya aku lakukan dari awal lagi, tegakkan keadilan! Aku bangun dari lantai, kertas-kertas yang dah berterabur aku buat tadi, aku kutip satu persatu dengan kasar sehinggakan ada yang hampir keronyok.

"Irin.. kau nak buat apa ni?" Soal Harraz disebelahku, dia sedang cuba menenangkan aku yang dah tak mampu untuk bertenang lagi ini. Tangannya yang mendarat di lenganku aku tepis kasar. Aku cuma capai mana-mana kertas yang sempat saja sebelum aku meluru keluar dari bilik Harraz, menuju ke ruang tamu.

"Irin! Irin tunggu.." Panggil Harraz, sekali lagi lengan aku ditarik dari belakang sehingga membuatkan badan aku terdorong ke belakang. Aku tepis lagi dan menolak-nolak tubuh Harraz agar dia berhenti mengganggu aku. 

"Atuk! Atuk!" Aku menjerit memanggil atuk macam orang hilang akal. Difikiranku saat ini cuma ada nama atuk. Aku tak peduli kalau semua orang dalam villa ini akan mendengar suaraku yang lantang, yang aku mahu hanyalah atuk muncul di hadapan mataku sekarang juga!.

"Atuuuuukkkk.." Jeritku lagi.

"Apasal terjerit-jerit ini Irin?" Soal mak su yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Kemudian datang emak dan abah, turut memandangku dengan dahi berkerut.

Baguslah, aku memang mahu mereka semua ada di sini, tapi atuk masih lagi belum muncul. Dimana atuk?

"Atuk..." Jerit aku lagi. Air mata yang tadinya hampir kering kini kembali bergenang di kelopak mata. Aku risau kalau atuk tak ada di villa sekarang, aku risau kalau atuk mungkin sedang bekerja di luar daerah atau di luar negara sehingga memakan masa berhari-hari, aku risau kerana aku mahu atuk ada di sisiku sekarang!

"Irin.. kenapa ni nak?" Soal emak, lembut. Aku pandang muka mak, muka abah. Terasa seperti ingin berada di dalam pelukan emak pula sekarang. Tapi aku tak boleh lemah! Aku kena kuat. Bukan sekarang masanya untuk aku bermanja-manja. Tugas aku belum selesai.

"Irin? Kenapa menjerit panggil atuk?" Soal maksu lagi. Ada nada tak senang dalam bicaranya.

"Tadi Irin bergaduh dengan saya, lepas tu dia nak mengadu kat atuk. Tak apalah.. biar saya je yang pujuk dia. Jom Irin." Harraz menarik tangan aku dan menolak tubuh aku agar mengikut langkahnya. Tapi aku keraskan badan, aku tak akan berganjak sehingga aku berjumpa dengan atuk.

"Irin..." Pujuk Harraz.

"Irin nak jumpa atuk. Mana atuk?" Soalku, sambil meronta-ronta cuba melepaskan diri dari cengkaman Harraz.

"Atuk tak ada.. nanti kita bincang sama-sama. Jom!" Pujuk Harraz, masih cuba untuk menggunakan kelembutan dengan aku. 

"Tak nak! Irin nak jumpa atuk jugak!" Protesku. Aku rasa macam fikiran aku sangat-sangat tak waras sekarang kerana aku tak mampu berfikir tentang apa-apa lagi melainkan atuk.

"Irin? Kenapa ni?" Soal satu suara. Dan suara itu datangnya dari manusia yang aku tercari-cari tadi. 
Pegangan Harraz di lenganku semakin longgar, kami masing-masing menghalakan pandangan ke arah atuk dan pak cik Ghazi yang sepertinya baru pulang yang entah dari mana. 

"Kenapa ni?" Soal atuk, dahinya berkerut melihat situasi tegang ini.

Aku terus meluru mendapatkan atuk, kertas di tangan yang aku pegang sejak tadi aku hulurkan pada atuk. "Irin nak tau, selama ni atuk memang rahsiakan hal ini dari pengetahuan Irin ataupun atuk memang tak tau apa-apa langsung?" Soalku. Air mata dah mencurah-curah jatuh.

Atuk sambut huluran kertas itu, dibaca dan diselak satu persatu mukasurat. Dahinya yang berkedut itu dilapisi kerut yang tebal, mulut atuk hampir ternganga, atuk pandang aku dengan wajah yang kesal. Dia mengeluh dan kertas ditangannya itu diberikan kepada pak cik Ghazi.

"Irin..." Atuk meraih tanganku dan digenggam erat.

Semakin kuat aku menangis, bukan lagi setakat air mata yang keluar tapi dengan suara yang tersedu sedan sekali keluar. Pandangan atuk itu, nada suaranya buat aku rasa macam aku dah buat satu kesilapan besar dengan tunjukkan bukti kepada atuk.

"Kenapa Irin buat macam ni.." Soal atuk, matanya juga bergenang dengan air mata. 

Kan! Aku tau yang aku tak salah tafsir dengan nada suaranya tadi. Memang atuk dah tau! Atuk dah tau dari awal lagi! Kejamnya atuk! Kejam! Kejam! Makin kuat aku melalak. Aku tak boleh terima hakikat ini.

"Ada apa sebenarnya ni? Kenapa semua orang nak menangis ni?" Soal mak su tiba-tiba, lalu dia merampas kertas yang dipegang oleh pak cik Ghazi. Aku hanya memerhatikan reaksi mukanya sambil dia membaca kertas itu. Dari reaksi muka tak puas hati dan penuh tanda tanya, mulutnya mula ternganga, mak su juga seperti aku tadi yang terjelepuk jatuh selepas mengetahui hal yang sebenarnya. 

"Mak su! Tak payah nak berpura-pura macam mak su tak tau apa-apa, Irin tak sangka mak su penyebab kematian ibu dengan ayah Irin, Irin tak sangka yang mak su sanggup bunuh kakak kandung mak su sendiri, Irin tak sangka yang mak su sanggup pisahkan Irin dari keluarga Irin sendiri, Irin tak sangka yang mak su sekejam ini!" Aku meluahkan semua yang aku rasakan. Rasanya kemarahan aku ini seperti belum cukup untuk membalas semua perbuatan mak su terhadap ibu dan ayah. Belum cukup!

"Irin... " Atuk cuba meraih aku ke dalam pelukannya, tapi aku melarikan diri. Aku tak sanggup. Aku tak sangka, yang rupanya atuk juga berkomplot. Atuk sanggup simpan penjenayah yang dah bunuh anak dan menantunya sendiri. Atuk sanggup tutup mulut, tutup mata semata-mata kerana harta! Atuk kejam!

"Irin.. atuk buat semua ni demi kebaikan kita semua. Atuk cuma mahu keluarga kita bersatu, atuk cuma mahu habiskan sisa hidup atuk dengan ahli keluarga yang atuk ada.." Jelas atuk, tapi penjelasan itu langsung tidak mampu untuk buat aku rasa tenang. Mereka semua penipu!!!!
        Aku lari masuk ke dalam bilik dan mengunci diri di dalamnya. Aku hanya mahu mengasingkan diri daripada kehidupan yang maha tak adil ini. 



p/s : Bagi yang tak tahu, (yang tau pun buat-buat tak tau jugak) segala entri berkaitan cerita ini dari PROLOG sehinggalah ke BAB AKHIR nanti, ianya hanyalah draf semata-mata. Jika aku berpeluang untuk menerbitkan manuskrip ini ke dalam versi cetak, insyaallah, ianya akan jadi 50% berbeza daripada apa yang korang baca di blog ini. Insyaallah... ;)


7 ceritaMia's lovers:

Anonymous said...

erkk...mak su ke???

~nur~

lollipop candy girl said...

kesian irin ;'(

Pwincess sarah said...

mak su dia sndiri..??? erkk.. =.="

Qirin said...

yes! kak mia nak wat novel tuk cite ni... tp ending lam blog ni nanti adakah same ngan ending lam novel?

mia kaftiya said...

Qirin : ermmm... mestilah lain! Eh, eh.. hehe.. ;) Doakan semuanya berjalan dgn lancar yeah?

hanna aleeya said...

haih! tak guna punya mak su.. sanggup bunuh kakak sendiri.. hanna dh agak dh.. mak su tu bukan boleh pakai sht.. buat2 baik tapi perangai mengalahkan syaitan!!

Betty Zurina said...

memang dah agak dari awal dah..mesti maksu yang punya kerja..sbb mmg dah ada hint dari kehadiran maksu lagi... irin please dengarlah cakap harraz tu..