http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Monday, February 3, 2014

Peplum : Bab 4


            Dua hari kemudian barulah aku mendapat panggilan telefon daripada Norli. Aku tak tahu kenapa dia perlu mengambil masa selama dua hari untuk menghubungi aku? Adakah dia juga perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum menghubungi aku atau..?
            “Norli tak ada kredit nak call Icha, ini pun kakak Norli baru topup kan. Biasalah.. orang tak bekerja haha..” itu alasannya.
            “Oh, itulah kita nak bagi Norli kerja lah ni. So macammana?”
            “Ermmm… kerja dia jaga butik pakaian je kan?” Soal Norli.
            “Haaa… ah! Kalau berdasarkan maklumat yang diberitahu pada kita macam tu lah. Kita sendiri pun tak pasti kerja dia macammana yang selebihnya.” Jelasku.
            “Hemm.. “ Norli seperti sedang mempertimbangkan tawaran ini. “Norli bukan apa, kalau kerja tu senang, biasa-biasa je Norli berani la ambil tapi kalau yang kena buat itu, buat ini Norli takut juga sebab Norli memang TAK PERNAH ada pengalaman bekerja so.. agak risau sikit lah.” Jelasnya.
            Aku mengangguk sedangkan aku tahu dia tidak dapat melihat anggukkanku ini. Tapi bagi aku kerja di butik cabarannya tidaklah sebesar atau seteruk bekerja di pejabat peguam tempat aku kerja sebelum ini. Sekurang-kurangnya mungkin tidak melibatkan banyak pihak kecuali bos, pelanggan dan baju-baju? Mungkin?.
            “Alah, kita rasa kerja dia tak susah la Norli. Lagipun gaji dia bayar RM500 tau. Kalau duduk je kat rumah tu siapa la yang nak bayar awak RM500 tu..” aku cuba menyakinkan Norli sebab sekurang-kurangnya kalau Norli bersetuju, semangatku untuk terima kerja ini juga makin bertambah sebab ada geng!
            “Urrrmmm..” Norli terfikir-fikir. Aku faham perasaan untuk keluar dari zon selesa itu. Mula-mula mesti akan rasa ragu dan takut, tapi sebenarnya perasaan kita sendiri yang terlalu memikirkan tentang hal kecil itu.
            “Tak apa Norli, kalau Norli tak biasa kita kan ada, kita boleh tolong..” sekali lagi aku cuba menyakinkannya.
            “Kalau Norli fikir lagi, boleh?”
            “Heeiii.. nak fikir lagi? Sepatutnya hari ni kita dah kena bagi jawapan tau. Kejap lagi kalau Akhbar telefon tanya apa keputusan kita takkan nak mintak tangguh lagi, nanti dia bukak tawaran ni pada orang lain pula..”
            “Akhbar?” Soal Norli.
            Aku tak pasti adakah Norli mengenali Akhbar atau tidak tapi memandangkan kami satu sekolah dulu, kemungkinan untuk dia kenal Akhbar walaupun cuma kenal gitu-gitu je adalah tinggi. Jadi aku ceritakan tentang Akhbar senior sekolah menengah dulu sehinggalah kisah pemilik sebenar butik itu.
            “Ohh.. kalau macam tu, Norli setujulah. Tapi Delisya pun kerja jugak kan?”
            Tersungging senyuman di bibirku.
            “Ya haruslah. Yeay, lepas ni boleh terus bagitau pada Akhbar!” Jeritku kegirangan.
            “Haha. Nanti apa-apa hal terus mesej atau telefon Norli kat nombor ni ya?” Pesannya.
            “Okeh.”
            “Assalamualaikum.”
            “Waalaikumsalam.” Dan talian dimatikan.
            Sejurus selepas itu aku terus menghantar pesanan ringkas kepada Akhbar.
Dan Maria!

***

            Pada hari pertama aku sepatutnya mula bekerja, semua perkara buruk berlaku. Pertama, aku terlewat bangun sebab aku dah biasa bangun pukul sembilan pagi sejak aku mula jadi penganggur. Kedua, kebetulan pula emak tak ada di rumah untuk mengejutkan aku sebab dari semalam lagi dia dah kata yang dia nak pergi kelas mengaji kat rumah mak cik apa entah, di Taman Permai. Sejak bila mak aku berkawan dengan orang-orang taman aku pun tak tahu. Ketiga, bila aku sampai saja di kedai pada pukul sebelas pagi, Norli dan kak Sarah majikan baru aku itu memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan.
            Orang kata persespi pertama adalah yang paling penting, sebab tu pada pertemuan pertama kita kena bagi imej yang baik-baik, tapi aku? Hari pertama dah tunjuk perangai buruk.
            “Maaf, kita terlambat.” Sambil tersengih macam kerang buruk aku hulur tangan pada kak Sarah untuk bersalaman. Untuk tunjukkan imej baik selepas ianya dirosakkan dengan datang lambat, aku siap cium tangan kak Sarah tu.
            “Tak apalah, hari pertama lewat akak tak kisah jangan hari-hari lewat sudahlah ya..” sinis sungguh kata-kata yang keluar dari mulut kak Sarah itu, berbisa telinga aku mendengar
            Aku hulur tangan pada Norli pula dan bersalam dengannya sambil buat mimik muka serba salah.
            Norli cuma tersenyum simpati.
            Kemudian aku menarik satu kerusi kosong dan duduk bersama dengan mereka di meja bulat ini. Aku agak yang kak Sarah sedang jalankan sesi temuduga sebab kalau dilihat keadaan kedai nampak macam belum dikemas apa-apa lagi pun.
            “Delisya dulu kerja apa?” Soalan kak Sarah buat aku berhenti melilaukan mata memandang sekeliling kedai ini.
            “Ah, dulu kerja kerani.”
            “Biasalah guna computer?”
            Aku angguk, “biasa.”
            “Internet reti guna?”
            Aku bulatkan mata, kalau tak fikirkan yang dihadapanku ini adalah majikanku dah lama dah aku jerit, ‘GILA TAK RETI??’ nasib baik aku masih mampu kawal diri lalu aku Cuma mengangguk dengan bangga.
            “Kalau macam tu, akak nak Delisya uruskan bahagian admin, Norli bahagian depan ya?”
            Aku lihat Norli mengangguk macam dia dah faham apa tu bahagian admin dan bahagian depan, padahal aku yang terlambat sampai dan tak mendengar apa-apa dari mula tercengang-cengang sebab tak faham.
            “Bahagian admin tu kena buat apa kak?” Soalku.
            “Oh, akak lupa yang Delisya belum dengar konsep perniagaan akak ni sebab datang lambat tadi kan..” Kata kak Sarah.
            Rasa macam dada aku ditusuk pisau tumpul dan berkarat, ngilu tapi tak pedih. Aku masih mampu tersenyum tapi dengan tahap ketebalan muka yang bertambah berinci-inci.
            “Macam ni Delisya, sebelum akak buat keputusan untuk buka kedai ni, akak buat perniagaan atas talian dari rumah je. Jadi bila perniagaan akak dah makin berkembang akak perlukan tapak untuk memudahkan kerja-kerja akak inilah, lagipun kalau campurkan hal rumah dengan kerja jadi tak tentu hala kan, sebab tu walaupun dah ada kedai akak masih mahu kekalkan perniagaan atas talian tu.”
            Aku mengangguk faham.
            “Jadi memandangkan Delisya biasa guna computer, akak nak Delisya uruskan bahagian atas talian. Maksudnya pelanggan kita bukan setakat orang yang datang ke kedai saja, pelanggan kita pun ada kat dalam computer tu. Faham tak?” Kak Sarah pandang tepat ke mata aku. Mungkin untuk memastikan yang aku tak keliru atau pelik.
            Apa dia ingat aku ni kampung sangat ke sampai tak tahu pasal online-shop ni?  
            Terus aku angguk laju-laju sambil cakap, “Faham-faham, kita pun pernah beli barang online jugak.” Dengan nada bangga.
            “Haaahhh…” itu saja reaksi yang kak Sarah mampu bagi.
            “Oklah, kalau macam tu bolehlah kita mula mengemas sekarang.” Kak Sarah bangun, diikuti oleh Norli dan aku.
            Banyak kotak-kotak yang belum dibuka yang aku fikir didalamnya terdapat baju-baju yang perlu digantungkan pada penyangkut baju di sini. Baru saja aku berkira-kira untuk membuka salah satu daripada kotak-kotak itu, kak Sarah sudah menyuruh aku ke bahagian belakang.
            “Delisya tolong susun barang-barang kat belakang ya.”
            Aku fikir bahagian belakang adalah tempat penyimpanan barang, tapi sebaliknya ia adalah satu ruang kerja macam pejabat. Ada dua buah meja, computer dan beberapa barag lain yang belum dikemas. Ruangan ini tidaklah begitu sempit, Cuma agak kecil daripada bahagian depan yang Cuma dipisahkan dengan dinding dan pintu cermin.
            Mungkin ini ruangan kerja aku nanti. Okey tiba-tiba aku jadi tak sabar nak mulakan kerja ini! Perasaan tu sangat lain daripada pengalaman kerja sebelum ini.
            



1 ceritaMia's lovers:

baby mio said...

best.....nak lagi.