http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Wednesday, March 19, 2014

cerpen : Blind Date (Marissa - Umar)



                “Marissa?” Seorang lelaki bertanya sedang aku ralit termenung.
                “Ya?” AKu pandang mukanya yang sedang berdiri di sisi kananku. “Ismail?” Soalku.
Dia senyum lalu terus tarik kerusi di hadapanku dan duduk dengan senyuman masih belum pudar.
‘not baddd..’ bisik hati kecilku.
                “Dah lama sampai?” Soalnya.
Aku pandang jam tangan. Sebenarnya dah sampai setengah jam yang lalu tapi.. “Tak, baru je.” mungkin kita perlu ‘hormat’ date kita dengan tidak memalukannya.
                Dia senyum lagi. “Lega saya dengar. Sebenarnya saya terlambat keluar dari rumah sebab ada hal yang tak dapat dielakkan.” Terangnya tanpa dipinta.
                Aku angguk. “Oh.” Nampak tak? Everythings happen for a reason. Maka bersangka baiklah. Walaupun pada temujanji anda yang pertama.
                “Dah order?” Soalnya.
                “Belum, saya tunggu awak.” Jawabku.
                Tanpa berlengah dia terus baca senarai menu yang memang ada di atas meja ini. “Awak suka makan apa?” Soalnya. Matanya masih belum berkalih daripada membaca senarai menu.
                “Kuewtiaw.” Jawabku. Pasti.
                “Oh, saya tak suka. Paling tak suka benda tu.” Dia bereaksi dengan muka yang menunjukkan betapa dia betul-betul tak suka.
                “Habis tu awak suka apa?”
Dia senyum. “Western.”
                Kemudian dia memanggil pelayan dan kami membuat pesanan masing-masing.
                Pertemuan pertama itu berjalan dengan lancar, kami banyak bersembang tapi sebenarnya yang paling banyak bercakap adalah dia. Dia dan kehidupannya yang baginya begitu menarik berbading kehidupan orang lain.
                Selepas satu jam, aku meminta diri untuk pulang.
                “Ini nak kira macammana ya? Saya bayar saya punya, awak bayar awak punya eh?” Dia bertanya  kepadaku sebelum dia memanggil pelayan untuk membuat bayaran.
                Terkebil-kebil aku memandangnya. Apabila pelayan datang, dia memberitahu kepada pelayan itu agar mengira secara asing, aku cuba sedapkan hati sendiri, mungkin dia belum gaji, duit poket tinggal sikit, beg duit tertinggal?.
                Dan aku membuat bayaran untuk kuewtiaw sup dan sirap limau yang cuma berharga RM5.50.
***
                Bukan dia. Bukan, Ismail bukan orangnya. Aku tidak mencari seseorang yang boleh menggantikan Iklil dalam hatiku, tapi sekurang-kurangnya seseorang yang boleh beri aku perasaan yang lebih kurang sama  macam yang aku rasa apabila melihat Iklil.
                Berjumpa dengan Aamin, seorang peguam lewat 20-an, berkarisma, bekerjaya, menepati masa, good-looking (mungkin kerana keperibadiannya) yang memandang serius dalam setiap perkara, yang mencari satu titik persamaan dalam perhubungan, yang mahukan kesempurnaan.
                Huh! Baru duduk beberapa minit dengan lelaki ini aku dah terasa ‘bahangnya’. Ya, perfectionist itu bagus tapi mencari kesempurnaan dalam pertemuan pertama janji temu buta, bukankah itu merimaskan? Malah, menakutkan!.
                “Saya tak datang sini dan berjumpa dengan awak semata-mata untuk menghabiskan masa saya kerana saya berpegang pada prinsip masa itu emas. Jadi saya akan beritahu apa yang saya mahukan dan apa yang awak cari dalam perjumpaan ini. Jika kita jumpa satu titik persamaan, mungkin kita akan terus berjumpa lagi, tapi kalau tidak saya tak rasa yang kita perlu buang lebih banyak masa di sini.” Katanya.
                “Oo..key.” terkelu sekejap aku dibuatnya.
                “Awak atau saya yang nak mulakan dulu?” Soalnya.
                “Errmm.. awak.”
                “Saya akan masuk fasa 3 series tahun depan, sangat workaholic, sangat pentingkan masa dan kesempurnaan. Saya seorag peguam, bekerja di firma guaman milik saya dan rakan kongsi, mencari calon isteri yang sekurang-kurangnya bekerjaya, berdikari dan boleh terima saya seadanya.”
                Dia pandang aku. Maksudnya dah sampai giliran aku pula untuk memperkenalkan diri. Saat itu aku Cuma rasa macam nak garu kepala sahaja. Tiba-tiba aku jadi tak tahu nak cakap apa.
                “Your turn cik Adrianna.” Katanya apabila dilihat aku masih belum bersuara.
                “Yeah.” Aku mengangguk sambil terfikir-fikir bagaimana harus aku gambarkan diri aku sendiri.
                “Saya..” jeda “Saya datang sini bukan untuk cari calon suami, saya cuma suka-suka je.” Seboleh mungkin aku cuba meringkaskan pertemuan kami ini. Jika calon isteri yang dia cari, maka aku bukanlah orangnya dan kami boleh hentikan temujanji ini sampai disini saja.
                “Oh.” “Saya tak main-main dalam hal yang sebegini, jadi saya rasa awak mahupun saya dah tahu jawapannya, jadi.. maafkan saya kalau saya mintak diri terlebih dahulu?”
                “Ya, tak apa, tak apa. saya faham, awak.. sibuk.”
                “Maafkan saya.” Dia bangun dan menolak kerusinya ke bawah meja. “Oh ya, untuk hari ini, saya bayarkan.” Sebelum berlalu dia tarik segaris senyum, tundukkan sedikit kepalanya dan berlalu pergi.
                Dan aku, tarik nafas lega.
***
                Meet Zairul. At the first place aku percaya yang dia tersalah jumpa ‘date’ dan kebetulan pula nama dia juga adalah Zairul, Cuma.. mungkin dengan ejaan yang berbeza. Mungkin ejaan nama dia adalah Zairool, atau Zhairul, Atau..
                “Saya Zairul Mohd Isa. Awak Marissa kan? Saya cam muka awak sebab dalam gambar dan depan-depan langsung tak jauh beza.” Katanya.
                Jadi dia memang Zairul yang aku kenal di facebook yang menggunakan profile picture gambar lelaki kacak yang sedang berdiri di tembok highway dengan tangan dalam kocek dan seyuman yang menawan itu? Yang dalam gambar kononnya tak-kacak-tapi-smart itu? yang tak mahu upload gambar banyak-banyak sebab mahukan privasi dan tak mahu tunjuk kat aku gambarnya yang terbaru sebab nak bagi aku ‘surprise’.
                Tahniah, ‘surprise’ anda berjaya.
                Sejujurya aku bukan hanya memandang pada rupa paras, tapi dalam kes ini, itu dah kira penipuan namanya. Zairul  di hadapan mataku sekarang sedang tersenyum lebar, tapi gigi depannya dah hilang sebatang. GIGI DEPAN. KOT?
                Aku boleh je pejamkan mata dengan baju dia yang nampak lusuh tu sebab apa ada pada pakaian kan? Aku pun boleh je pakai baju kurung 10 tahun lepas kalau aku nak, tapi sebab aku fikir 1st impression itu penting, maka aku pakailah blaus yang baru dibeli seminggu yang lepas.
                Tapi aku rasa yang aku tak boleh terima cara ini.
                Zairul, Pangkah.
***

Temujanji buta : 4
                Aku sepatutnya sudah patut putus asa selepas apa yang aku alami  dengan Zairul, tapi bila aku ternampak Iklil dan bersedih kerana aku akan ‘kehilangan’ dia sehingga mengganggu mood aku untuk hari itu, makanya aku teruskan juga dengan pertemuan kali keempat ini.
                Aku perlu lupakan Iklil kerana dia adalah tunangan orang, dan tak lama lagi dia akan berkahwin, dia akan ada anak, seorang, dua orang kemudian ‘berorang-orang’. Aku tak boleh terus sukakan dia dalam diam dan berharap dia jadi milikku lagi kerana itu agak mustahil, aku perlu teruskan hidup dan aku tak nampak cara lain kecuali dengan cara ini.
                Mencari crush yang baru.
                Betullah kata orang, pengalaman itu mematangkan. Kali ini biar aku yang datang lewat dan beri persepsi buruk pada date aku kali ini.
                Seorang lelaki berkemeja biru sudah menunggu di meja yang sudah kami tempah itu. dari belakang rambutnya nampak tersisir rapi dengan potongan pendek, kulit sawo matang, memakai jam tangan di tangan kiri, tak pakai seluar yang koyak sana sini dan..
                “Ehem.” Aku berdehem untuk menarik perhatiannya.
                Dia menoleh memandang aku di sisinya.
‘Good looking dan tidak bermuka serius..’ hati aku berbisik.
                Dia senyum lalu berdiri.
‘Juga mempunyai senyuman yang manis.’
                “Umar.” Katanya.
                “Marissa.”
                Dia berjalan melewati aku, ingatkan dia nak kemana rupanya dia tolong tarikkan kerusi dan mempersilakan aku duduk.
‘Getleman.’
                Aku ambil tempat di kerusi itu dan menunggu dia pula duduk di kerusinya. Kami berbalas pandang dan bertukar senyuman.
                “Maaf saya lewat.”
                Dia senyum lagi “Tak apa,” katanya.
                Pelayan datang, kami buat pesanan dan menunggu pesanan kami sampai tanpa berkata apa-apa. Lambsteak untuk dia, fettucini carbonara untuk aku pun sampai.
                “Kenapa blind date mesti set place kat restoran? Kenapa tak kat tempat lain selain restoran?” Tanya Umar sambil hiris steak dalam pinggan menjadi kiub-kiub kecil.
                Soalannya itu menjadi pembuka bicara kami.
                “Sebab kalau rasa kekok dan tak tahu nak cakap apa dengan orang tu, boleh makan supaya tak nampak pelik sebab langsung tak bercakap.” Jawab aku sambil menggulung fettuci dengan garfu sebelum aku suap dalam mulut.
                Aku terasa macam sedang diperhati, bila aku angkat kepala, Umar sedang memandang aku kemudian dia senyum.
                “Logik.” Katanya.
                Aku angkat bahu sambil angkat kening. Banggalah kononnya dapat bagi jawapan bernas dan logik macam tu.
                Dan selepas itu kami terus bersembang tanpa rasa kekok sehingga makanan dalam pinggan habis. Siap order dessert lagi supaya kami masih ada alasan untuk panjangkan pertemuan kali ini.
                Dalam perbualan singkat itu, apa yang aku tahu tentang dirinya adalah dia seorang arkitek, berusia 27 tahun, menghadiri temujanji buta untuk suka-suka, dan ini adalah temujanjinya yang kesepuluh.
                “Jadi, can I have your number?” Pinta Umar.
                “Untuk?”
                “Untuk kita set up the next-next-next date?”
                Aku senyum.
                “Logik.”
                Dan dia angkat bahu sekali dengan kedua-dua belah tangan didepakan.
                Untuk persepsi pertama, aku rasa aku boleh cuba dengan Umar, dia tidak terlalu keras atau terlalu berkira, dengannya aku rasa selesa dan kerana itu aku setuju untuk masukkan dia dalam senarai ‘percubaan’.
***
                Satu mesej diterima. Nama Mr. Umar  terpapar.
                “Weekend ni sibuk tak?”
                Butang reply ditekan, “Tak kot. Why eh?”
                “Jom teman pergi bookstore, boleh?”
                “Bookstore…?”
                “Takpe kalau tak boleh..“
                “Eh tak cakap tak boleh pun? ;p”
                “Then, see u this Saturday! ;)”
***
                “So you read comics?” Soalku hampir tak percaya.
                “Apasal?”
                “You. As a architect, read comics??”
                “Oh, memang ada rule yang archi tak boleh baca komik ke?”
                “Err.. tak. Tapi I expect you mestilah baca buku-buku yang ‘berat’ macam autobiografi Ruslan Khalid atau Hijjas Kasturi ke.. Eh, Hijjas Kasturi ada autobiografi ke?”
                “Kenapa pula Archi mesti ‘kena’ baca Autobiografi tokoh-tokoh arkitek dan tak boleh baca komik?”
                “Sebab bidang arkitek sangat mencabar jadi membaca kejayaan tokoh-tokoh dalam bidang yang sama boleh menaikkan semangat arkitek-arkitek muda macam you ni. Berbanding komik..”
                “Jadi you bacalah buku-buku yang berkaitan dengan akaun since you kan akauntan?”
                Aku terdiam.
                Dia tersenyum. Menang.
                “Awak pernah baca komik?” Soalnya sambil melihat-lihat tajuk komik di rak.
                “Tak. Tak pernah.”
                “Nak cuba baca?”
                “Huh?”
                “Saya pinjamkan satu untuk awak.” Putusnya.
                “Hoo.. key.”
Aku berjalan di sekitar rak ini dan ternampak komik jepun. Aku capai dan aku bawa kepada Umar.
                “Kenapa?” Soalnya.
                “Ni apa? Ani.. Anime?” Aku biasa dengar orang sebut tentang itu tapi aku tak tahu apa sebenarnya Anime itu, tapi yang aku tahu ia sesuatu yang berkaitan dengan komik dan jepun.  
                “Itu bukan anime, itu manga.”
                “Mangga??” Berlapis dahi aku berkerut.
                “Buk..” Dia ketawa kecil. “Bukan buah mangga yang boleh makan tu, ini ‘man-ga’ = komik jepun.”
                “Oh, habis tu..” Aku capai buku ditangannya. “Ini?”
                “Ini komik.”
                “Apa beza?”
                “Perbezaannya adalah kelompok. Manga untuk kelompok komik di asia khususnya jepun dan korea. Komik pula untuk kelompok di eropah atau barat.”
                “Oooohhh…”
                “Yang awak sebut anime tadi tu, Anime tu kartun. Orang jepun sebut animation sebagai a-ni-me-syon, tapi bila diorang buang perkataan ‘syon’ maka jadilah anime.”
                “Ooohhh…” Aku terangguk-angguk. Rasa macam baru terima ilmu baru. “Banyak juga yang awak tahu tentang semua ini kan?”
                “Kita akan tahu semua perkara yang kita suka.”
                Aku angguk, setuju.
                Selepas dia buat bayaran di kaunter, dia beri aku satu manga utuk aku baca.
***
                Mata aku terasa berat bila sudah berjam-jam aku berbaring sambil membaca novel yang baru aku beli semasa temankan Umar pergi kedai buku hari itu. Cukuplah untuk hari ini Marissa, there are many other interesting things to do selain baca novel.
                AKu cuba memotivasikan diri aku sendiri kerana hakikatnya aku masih belum mahu tutup novel itu lagi. Novel itu aku letakkan di atas meja sebelah katil, bertindan pula dengan komik yang Umar beri. Aku capai pula komik itu dan aku selak secara rambang. Mukasurat berwarna. Gambar cantik, tapi.. ah banyak lagi benda menarik boleh dilakukan selain baca komik, Marissa!
                Sekali lagi aku mengingatkan diriku.
                Komik itu aku letakkan semula dan keluar dari bilik tidur.
***
                “Hai, datang majlis saya nanti ya?”
Dan kad itu bertukar tangan. Aku cuba untuk senyum walau aku sedar untuk menggerakkan bibir aku itu pun terasa berat sekali. Aku cuba untuk menuturkan kata ‘tahniah’ dalam nada yang teruja dan gembira tapi ternyata ianya sukar. Terlalu sukar sehinggakan aku Cuma mampu mengucapkan tahniah dalam senyuman yang hambar.
“Awak akan datang kan?” Soalnya. Reaksi mukanya kelihatan gusar. Risau kalau aku mungkin tidak datang.
“Ya, inshaallah.” Aku pamer senyuman teruja yang kenyataannya palsu.
Dia senyum, lega. “Oklah, kita jumpa nanti.” Dia angkat sebelah tangan dan berlalu pergi.
Kad bersampul di tangan aku buka,
“Walimatul Urus Iklil dan…” Haaahh.. kalaulah nama perempuan itu digantikan dengan nama aku..
Ah, sudahlah Marissa, she made for him, not you! Kad itu aku simpan kembali dalam sampulnya
Bukankah makna bahagia itu apabila melihat orang yang kita suka bahagia dengan pilihan hatinya?
****
                “Umar, weekend ni free tak?” Aku hantar pesanan melalui whatsaap padanya.
Beberapa minit kemudian.
                “I’m not sure about that, but I’ll confirm later. But y eh?”
                “Ingat nak ajak teman attend wedding.”
                “Sabtu ke ahad?”
                “Ahad.”
                Hampir 3 minit kemudian.
                “Kalau ahad inshaallah saya free.”
                “Jadi bolehlah ni?”
                “Boleh apa?”
                “Teman saya?”
                “Oh, sure. -_<”
***
                “Kawan awak yang mana satu? Maksud saya yang lelaki ke yang perempuan?” Soal Umar.
                “Yang lelaki.”
                “Ahhaaa…”
                “What ‘Ahhaaa’ means?” aku pandang tajam ke arahnya.
                “Tak. Tak ada maksud apa pun.” Dia buat muka tak bersalah.
                “Awak nak cakap saya ajak awak sebab…”
                “Cop! Saya tak cakap apa-apa pun? Heh.” Dia sengih dengan mulut herot ke tepi.
                Ya mungkin aku perlu zip mulut aku daripada berkata apa-apa yang Umar tidak perlu tahu.
                Kami bertemu dengan pengantin untuk mengucapkan tahniah dan bergambar bersama. Kali ini aku cuba sungguh-sungguh untuk mengucapkan perkataan itu dalam nada yang sepatutnya, aku senyum lebar-lebar sewaktu bergambar dan Iklil kelihatan gembira, malah terlalu teruja melihat seorang lelaki datang bersamaku,
                “Kawan awak?” Soalnya.
                Aku angguk dengan senyuman lebar.
                “Saya harap dapat makan nasi minyak awak pula lepas ni..” Iklil memandang aku dan Umar silih berganti.
                Aku pandang Umar dan Iklil, dengan ketawa besar yang dibuat-buat.
                Okey, tak kelakar.
***
                Limau yang ada dalam beg doorgift dari kenduri Iklil tadi aku keluarkan. Limau sebiji itu aku pisahkan kepada dua bahagian, seulas limau aku tarik dari kulitnya dan aku buang urat-urat yang berwarna putih itu. AKu tak suka makan benda tu, kelat. Walaupun ada sesetengah orang cakap urat-urat yang berwarna putih itu baik dimakan, tapi aku peduli apa.
                Sampai togel limau seulas itu aku buang uratnya, kemudian aku kupaskan lagi  kulitnya supaya yang tinggal hanya isi limau itu sahaja, baru aku masukkan dalam mulut. Aku memang tak reti makan limau seulas-seulas macam tu saja sebab nanti aku mesti akan tercekik.
                Pelik. Tapi aku terpaksa terima hakikat ini.
                Umar awal-awal lagi sudah dihabiskan limaunya. Aku tak sedar yang sejak tadi dia memerhatikan aku dan limau seulasku sehinggalah aku memandangnya.
                “Macam tu awak makan limau?” Soalnya dengan dahi berkerut.
                Aku senyum je.
                “Marissa, begitau saya kenapa awak attend blind date?”
                “Kenapa tiba-tiba nak tau?”
                “Sebab kawan awak yang kahwin tu?” Soalan aku dibalas dengan soalan juga darinya.
                Aku tak menjawab. Prosedur limau itu aku ulang lagi sebelum aku makan. Umar setia menunggu sekalipun dari reaksi mukanya aku faham yang dia tak sabar menantikan jawapan dari aku.
                Spontan Umar capai limau di tanganku dan dimasukkan dalam mulutnya.
                “Kenapa susah-susah nak kupas satu persatu? Masuk jelah dalam mulut, kunyah dan telan. Dah. Bukankah nanti kat usus juga duduknya?” kata Umar.
                Aku tak beri reaksi, seulas lagi limau aku ambil. Masih melakukan prosedur yang sama.
                “Kenapa tak nak jawab?” Soal Umar.
                Aku mengeluh.
                “Ya, saya pergi blind date sebab saya nak cari alasan untuk saya lupakan dia. Maksud saya, lupakan perasaan tu terhadap dia dengan cari ‘crush’ yang baru. Saya percaya rasa suka itu boleh hilang bila kita jumpa orang yang lain untuk kita suka.”
                “Jadi selepas saya, awak ada pergi blind date lagi?”
                Aku geleng. “Belum lagi.”
                “Kenapa?” Soalnya.
                Aku jongket bahu. “Entah.”
                “Ke sebab saya dah buat awak b               erjaya lupakan dia?”
                Aku pandang dia dan senyuman perasannya itu. Heh, seriously?
                “Sepanjang sepuluh date yang saya dah pergi. Awak seorang je yang masih keep in touch dengan saya. Mulanya saya fikir sebab awak boleh terima latar belakang saya, tapi lepas tahu kisah awak, saya rasa mungkin sebab kita sebenarnya serasi. Jadi sebelum hubungan kita pergi lebih jauh, saya rasa saya perlu berterus terang dengan awak.” Nada suara Umar tiba-tiba berubah jadi serius.
                “Huh?” Dahi aku berlapis.
                “Sebenarnya saya tipu awak. Saya bukan arkitek.”
                Aku pandang dia dengan muka tak percaya.
                “Ya dulu saya pernah belajar seni bina tapi saya berhenti sebab saya rasa archi bukan bidang saya.”
                “Habis tu awak sebenarnya kerja apa?”
                “Saya melukis. Saya lukis semua benda, komik, anime, potret tapi saya tak ada kerja tetap. Saya tipu awak sebab selama ni orang asyik pandang rendah pada kerjaya saya.“
                “Saya tahu saya salah tapi sembilan date yang saya pergi semua reject saya lepas tahu kerja saya, jadi saya sengaja tipu date saya yang seterusnya yang kebetulan adalah awak. Saya  tak kisah kalau awak nak marah, nak maki hamun tapi tolong.. tolong jangan putuskan persahabatan kita, please?” mukanya nampak sungguh-sungguh berharap.
                Aku pandang dia tajam dengan muka tak puas hati. Sampai hati dia buat aku percaya yang dia adalah arkitek, oh patutlah suka baca komik, ‘budak archi tak boleh baca komik ke?” Aaahhh.. bencinya bila diingat balik.
                “Awak memang kejam. Sangat kejam. Tapi saya boleh maafkan awak sebab..”
                “Sebab?” mata Umar bersinar-sinar.
                Benci gila bila tengok muka meraih simpati dia tu, tipu orang pandai, bila nak raih simpati orang pun pandai eh. Muka innocent gila.
                “Sebab saya pun tipu awak. Saya bukan akauntan, saya tukang jahit je.” Aku senyum.
                “Hah!” Besar mulut Umar ternganga. Dia macam tak tahu nak terkejut atau nak marah.
                Bila aku ketawa dia garu kepalanya. Macam orang keliru.
                “Awak main-main ke serius ni?” Soalnya.
                “Seriuslah, buat apa saya nak main-main.” Aku ketawa lagi.
                Sedikit demi sedikit Umar mula tersenyum, dan ikut ketawa. 
                “Patutlah saya rasa macam kita ni ada chemistry. Jadi lepas ni bolehlah saya jadi crush awak yang seterusnya?”
                Aku jeling dia. Tiba-tiba aku rasa macam dia sedang perli aku.


Habis/19.03.14/

2 ceritaMia's lovers:

Anonymous said...

dah tamat ke ek? :)
tahniah.. menarik (Y)

Rusma Hani said...

hahah..lawak lah yg last tu..dua dua menipu dua dua kena tipu