http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, May 23, 2015

ANTIDOT



                Rasa serba tak kena. Dada aku macam sempit sampai nafas pun tak mampu dihela. Fikiran menerawang memikirkan benda yang aku sendiri tak pasti hujung pangkal. Jasad aku kaku di atas kerusi, tangan memegang kain, mesin jahit industri terbiar hidup membingitkan suasana. Aku lelah. Aku tahu ada sesuatu yang tak kena tapi aku tak tahu apa dia. Dada aku tumbuk berkali-kali biar rasa sempit itu hilang, biar lapang, biar tenang.

                “Kenapa?” Tanya Lala.

                “Entahlah..” aku mengeluh.

                Lala jongket kening. Lalu dia kembali fokus bekerja.

                Aku mengeluh. Keluhan yang berat. Kain ditangan kembali aku pandang, baju kurung ini harus disiapkan hari ini juga, tak boleh dilengah lagi kalau tidak aku akan terus melengahkan kerja-kerja yang lain.

                Baru jahit pesak dan tangan, tekak mula rasa kering. Mungkin rasa sempit di dada itu bikin badan jadi terhidrat. Aku tinggalkan kepingan-kepingan kain yang perlu dicantum itu, mesin jahit industri aku matikan dengan menekan butang merah. Tali pengukur aku tarik dari leher dan letak di atas meja.

                “Aku nak pergi kedai, ada apa-apa nak kirim?” Soalku pada Lala.

                Dia menggeleng tanpa memandang aku. Tanpa pamitan, aku terus keluar dan berjalan kaki menuju ke kedai serbaneka tak jauh dari situ. Pintu peti ais aku buka, melihat-lihat sambil menimbang tara air apa yang mahu aku capai. Penat berfikir akhirnya air kacip fatimah perasa madu dan kurma aku capai. Pintu peti ais aku tutup kembali dan ketika itu aku sedar ada figura lelaki sedang berdiri menghadapku.

                Betul-betul disebelahku. Dan sedang memandangku. “Sorry..” kataku sebab dah buat dia menunggu lama lalu aku terus ke kaunter bayaran, dan berjalan dengan kaki yang macam tak pijak tanah kembali ke tempat kerja.

                Dada aku berombak kencang, perut berirama tidak senada seolah ada rama-rama yang sedang mengepak kencang. Aku terus duduk di kerusi dan menarik nafas berulang kali.

                Dan rasa sempit yang menyesak dada itu perlahan-lahan hilang. Fikiran aku tenang, dada aku lapang dan aku kembali menjahit kepingan-kepingan kain itu dengan bibir yang tak berhenti tersenyum.

                “Siapa yang kau jumpa kat kedai tu tadi Mia?” Tanya Lala tiba-tiba.


                Terus mati senyumanku.



0 ceritaMia's lovers: