http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Thursday, January 28, 2016

Karkas : Gelombang golongan pekerja

       

                Hari ini hari isnin. Haiihhh.... Tiada istilah Monday blues dalam hidup aku melainkan weekdays blues. Memijak satu persatu anak tangga seperti menerima satu persatu fail yang diletakkan di atas bahu. Memandang pintu yang kebal dan tebal berwarna krim itu seperti melihat tebalnya masalah yang perlu aku selesaikan. Menjadi seorang kerani di pejabat guaman... seperti menjadi hamba kepada....

                “Hidayah, call mahkamah tanya berkenaan dengan kes Azirawati, dah ada tarikh Sebutan kes atau belum.” Azri, lawyer assistant di pejabat Amin & co memberi arahan sebaik melihat muka aku di muka pintu masuk. Dia yang kebetulan datang dari arah pantri terus masuk ke biliknya dengan secawan Nescafe panas di tangan.

                “Baik.” Jawabku sambil melangkah ke arah meja yang diatasnya sudah ditimbuni dengan fail-fail berwarna coklat dan diikat dengan tali warna merah jambu.

                Nombor mahkamah Ipoh aku dail, bercakap dengan Aisyah kerani di sana yang biasa berurusan dengan aku berkaitan fail ini, dan tarikh baru  untuk Sebutan kes yang telah ditetapkan aku masukkan dalam diari. Pada tarikh yang sama Encik Azri ada Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Lalu aku maklumkan hal itu kepadanya di biliknya.

                “Saya akan pergi KL, awak cari lawyer lain tolong MOB saya.”Arahnya tanpa memandang aku. Matanya hanya tertumpu pada fail di atas meja.

                “Hidayah!” Keluar dari bilik Azri, aku dipanggil pula oleh Encik Amin. “Pukul berapa awak sampai tadi? Waktu operasi pejabat ni pukul 9 pagi sampai 5 petang, tapi saya perasan kadang-kadang awak selalu masuk dah nak dekat pukul 10 dan balik tepat pukul 5.”

                “Oh saya...”

                “Saya nak awak balik pukul 6 hari ini. Ambilkan fail Puan Rahimah. Dia dah bayar hutang dia belum?”

                Belum sempat aku menjelaskan punca aku datang lambat dan pulang awal, bertubi-tubi pula soalan dan arahan yang diberi pada aku. Dengan keluhan aku menjawab. “Belum bayar lagi.”

                “Kalau awak nak gaji awak masuk tepat pada masanya hujung bulan ni, awak tahu apa yang awak kena buat kan?” Nadanya yang sinis menampar gegendang telingaku.

                “Sehari, sepuluh kali saya call dia mintak dia bayar bill, tapi dia marah saya balik. Saya nak buat macammana?” Aku cuba mempertahankan diri.

                “Saya ambil awak bekerja bukan untuk awak tanya saya balik apa yang awak patut buat. Dah, pergi ambil fail dia.”

                Dia dan egonya, yang langsung tak nak kalah!

                Keluar dari bilik Encik Amin, sekali lagi nama aku dipanggil.

                “Hidayah! Pak cik Rahim on the line.” Kak Ina menyambungkan panggilan ke mejaku. Berlari anak aku ke meja untuk menyambut panggilan.

                “Hello...”

                “Hah, Hello. Pak cik ada kat mahkamah ni, mana lawyer tak ada pun?” Nadanya terus meninggi sebaik panggilan itu disambut.

                “Kami mintak lawyer dari firma lain tolong ganti sebab...”

                “Saya bayar lawyer awak, bukan suruh awak pergi cari lawyer lain suruh gantilah apa lah. Ni dah lama saya tercongok menunggu ni, sorang pun tak ada nak panggil saya. Tiap kali pergi mahkamah duit kena bayar jugak RM100. Kamu ni nak main-mainkan saya ke??”

                “Pak cik... kes hari ini untuk sebutan saja, jadi...” aku cuba untuk menjelaskan hal sebenar tapi panggilan dah dimatikan dahulu.

                Oh, ini bukan kali pertama aku diserang dalam telefon. Bahkan ada yang datang pejabat dan memaki hamun hanya kerana mereka tak faham bidang tugas kerani dan peguam. Ini bukan kali pertama aku ditegur encik Amin, bukan juga kali pertama dilayan macam manusia tak ada perasaan oleh Azri. Bukan juga kali pertama diarah buat itu dan ini. Menjadi proletar bermaksud berada dalam frekuensi dimana aku tiada hak untuk bercakap lebih selain menelan semua kepahitan itu sendiri dan teruskan hidup sehingga nyawa dicabut dari badan.

                Haihhh... dah penat rasanya nak hidup dalam frekuensi proletar ini lagi. Tak pernah dalam sebulan, aku tak fikir untuk berhenti saja, tapi ketidakyakinan itu sentiasa menghalang niatku.

                “Hidayah! Mana fail yang sama mintak tadi.” Laung encik Amin dari dalam bilik kerjanya.

                Tapi sampai bila nak hidup bawah telunjuk orang saja. Dah macam badut mekanikal! Lalu dengan lafaz bismillah, aku cetak surat yang yang sudah lama tersimpan dalam komputer. Ruangan tarikh yang selama ini aku biarkan kosong, aku isikan dengan tarikh hari ini. Dengan fail Puan Rahimah dan surat yang aku ‘print’ tadi aku letakkan di hadapan Encik Amin.

                “Awak marah sebab saya tegur tadi?” Soalnya sebaik membaca isi kandungan surat tersebut. “Kalau awak tak boleh terima teguran, kat mana-mana pun...”

                “Saya nak jadi macam encik Amin!” Aku memotong kata-katanya, “Atau mungkin lebih hebat daripada encik Amin.” Buat pertama kalinya, dia mendengar.

                “Waktu tu, saya akan jadi pendengar yang baik untuk pekerja saya, memahami masalah mereka, dan sama-sama membantu mereka selesaikan tugas sebab bekerja dalam satu pasukan memerlukan kerjasama.”

                Encik Amin terdiam terus.

                “Oh lagi satu, saya selalu datang lambat sebab bas yang saya naik tu selalu tak menepati masa. FYi, saya dah tunggu bas dari pukul 7.30 pagi.” Aku sendiri tak tahu mana datang keberanian aku untuk memerlinya.

                Encik Amin letak notis berhenti aku itu ke tepi dan dia kembali meneliti kes. Aku berundur  setapak dua ke belakang sebelum memusing untuk keluar, tapi di muka pintu bilik kata-kata encik Amin buat aku tersenyum menang.

                “Saya doakan awak berjaya.”


p/s : Frekuensi = Gelombang. Proletar = golongan pekerja, marhaen, orang kebiasaan.



0 ceritaMia's lovers: