http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Friday, June 24, 2016

KarKas : Bukan menantu pilihan



                Oly memangkah tarikh hari ini pada kalender dengan pen merah. Tarikh akhir yang dia paling takuti berbaki lagi sehari. Sudah beberapa hari dia hilang selera makan, dan tidurnya kerap terganggu dengan mimpi ngeri dimana bakal mak mertua tak izinkan dia berkahwin dengan anaknya.        

                Sudah pukul satu pagi tapi Oly masih menekan pedal mesin jahit dengan mata yang berair – mengantuk. Sudah tak terkira berapa kali dia menguap. Mug berisi Nescafe sudah tiga kali dibancuh. Urat-urat leher Oly terasa menegang. Tulang belakangnya juga sakit ditambah kepala yang pening.

                Bunyi guruh kedengaran. Hujan mula turun rintik-rintik.

                Tinggal sehelai kain je lagi sebelum 10 helai baju pelanggannya itu siap dijahit dan akan diambil pagi esok. Senyuman mula terukir di bibir, satu persatu urat terasa mengendur. Beban berat di kepala terasa seperti diangkat satu persatu, saatnya semakin hampir, azab Oly akan berakhir sekejap sahaja lagi dan Oly boleh tidur dalam kesejukan hujan.

                Tiba-tiba kilat berdentum kuat, lampu terpadam, dan.... suasana gelap gelita. Elektrik terputus??

                 Sesaat kemudian bunyi jeritan Oly lebih kuat daripada bunyi petir di luar.

***

                Sepanjang malam Oly tak boleh tidur, dalam kepalanya hanya memikirkan tentang mimpi buruknya dua tiga hari lepas itu akan jadi kenyataan.

                “Mak cik, masa saya menjahit malam tadi elektrik terputus, dengar kata ada pokok tumbang hempap tiang elektrik ye?” Oly berbasi-basi.

                “Entah! Mak cik tak tau. Baju mak cik dah siap?”

                “Ahhhaa.. saya dah siapkan SEMBILAN PASANG dan sehelai baju mak cik, cumaaa....”

                “Cuma apa?” Kasar nada suara mak cik ini.

                “Masa saya tengah jahit kain yang terakhir, tiba-tiba lampu terpadam! Sampai pagi ni tak ada elektrik. Jadi saya tak sempat siapkan kain ni, baru sempat jahit kiri kanan kain je mak cik...” Oly menunjukkan kain yang belum siap di tangannya, sambil tayang muka raih simpati.

                Mulut mak cik itu terlopong. “Tapi mak cik nak pakai baju ni dulu, hari ni!”

                Oly pasrah. Ibu kekasihnya ini memang akan selalu cari jalan untuk cuba memutuskan hubungan Oly dan anaknya. Siapa cakap mak mentua sayang menantu yang pandai jahit? Oly rasa macam nak sumbat mulut orang itu dengan kain yang tak siap ni!



Tema : 'Lampu terpadam, dan...'




0 ceritaMia's lovers: