http://img10.imageshack.us/img10/7733/contactm.png

Saturday, August 5, 2017

Karkas ; Rival



Cahaya lampu yang terang bagai menyucuk-nyucuk mataku yang terpejam. Ingin aku halang cahaya itu dengan jari tapi tangan terasa bagai diikat sesuatu, tak mampu digerakkan. Belakang kepala terasa sengal sehingga ke belakang leher. Perlahan mata aku buka. Dalam kekaburan aku cuma sedar yang aku sedang tersandar di kerusi, semakin diperhati baru aku sedar tangan dan kaki terikat rapi di kerusi yang sama.

                “Dah sedar?” Tegur satu suara.

                Mata aku melilau-lilau mencari mana empunya suara.

                “Cari aku?” Soalnya sambil berjalan dari arah belakang kerusiku.

                “KAU?” Mataku membulat.

                Dia tersenyum sambil berpeluk tubuh. “Ya, aku. ‘Jiran’ kau.”

                “Apa yang kau buat ni? Kenapa ikat aku macam ni? Apa yang kau nak hah?? “ Aku meronta-ronta di atas kerusi, cuba melepaskan cengkaman dari tali yang membelenggu.

                “Lebih baik kau duduk situ diam-diam, sekali aku petik butang ni, kejung kau kat situ.” Ujarnya. Menunjuk ke arah butang merah tak jauh dari tempat aku duduk.

                Baru aku sedar ada wayar yang bersambung ke tali yang diguna untuk mengikat aku. Ini bukan kerusi biasa. Ini kerusi elektrik!

                “Jadi, bagitau aku apa yang kau nak sebenarnya?”

                “Aku tak suka kau.” Ujarnya beserta butang merah ditekan.

                Arus elektrik merenjat seluruh tubuhku. Aku menjerit sekuat hati, barulah renjatan dihentikan.

                “Sedap? Nak rasa lagi?”

                Aku geleng laju.

                “Sejak kau bukak kedai baris kedai aku, ramai pelanggan aku pergi kat kau. Diorang cakap kau lagi hebat. Hasil kerja kau kemas. Kau bijak dalam memberikan pendapat, walaupun harga kau mahal tapi diorang tak pernah merungut! Kalau aku naik harga seringgit pun diorang dah bising.”

                “Bukan salah aku kalau aku bagi perkhidmatan yang terbaik.”

                “Memang salah kau! Sebab kau bersaing di kawasan aku.” Setiap kali dia naik angin, setiap kali itulah butang merah ditekan.

                Aku sudah terlalu lemah untuk menerima sebarang renjatan elektrik lagi.

                “Okey, jadi kau nak aku buat apa sekarang?”

                Dia tersenyum – menang. “Kau akan ikut apa saja yang aku suruh?” Soalnya.

                 Aku mengangguk laju.

                “Aku nak kau bekerja untuk aku.”

                “Huh?”

                “Tutup kedai kau dan kerja dengan aku. Kau tak perlu jadi musuh aku, kau hanya perlu jadi pekerja aku dan kita akan terima kebaikannya bersama.”

                “Okey, aku setuju. Sekarang lepaskan aku.”

                Dia tersenyum lebar. “Macam itulah. Lain kali kalau masuk kawasan orang jangan nak berlagak jadi diva. Mulai saat ini, kau akan berkhidmat untuk aku selama-lamanya.” Katanya sambil menanggalkan satu persatu tali yang mengikat kaki dan tangan aku.

                Aku tersenyum nipis -- sinis.


****


                Sudah beberapa hari kedai jahit yang baru dibuka langkau dua baris dari kedai Maria itu tidak dibuka. Maria tersenyum senang. Beberapa orang pelanggan yang datang ke kedainya mengadu yang baju yang mereka hantar ke kedai baru itu tak dapat diambil pada tarikh yang dijanjikan.   

                “Itulaaahh... kalau hantar pada aku kan senang.” Ujar Maria, sinis.

                Tapi pada keesokan harinya, sewaktu melintasi kedai musuh ketatnya itu, Maria terpandang sehelai notis yang ditampal pada pintu shuttle, terus dikoyakkan dan dibawa ke kedainya. Sebaik membaca apa yang tertulis dalam notis tersebut, Maria menjerit nyaring. Notis itu dia remukkan. Dadanya berombak geram. Baru dia sedar yang kerusi elektrik tak mampu menggoyahkan keazaman perempuan itu.



                “Kami telah berpindah ke lot kedai baharu, jumpa di sanaaaa...”